Aku, Zila dan PLKN

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua peminat FS. Kali ni saya akan kongsikan salah satu pengalaman yang tak dapat dilupakan sewaktu menyertai PLKN di Perak.

Saya antara ribuan pelajar yang terpilih menyertai program PLKN. Awalnya semua tampak ceria dan gembira. Kami berkumpul di lawasan lapang, beratur, menunggu giliran bas untuk bergerak dan semuanya seakan tidak sabar untuk tiba ke destinasi. Dalam bas yang mulanya sunyi sepi, kini bertukar riuh. Kami bernyanyi dan bergelak tawa bersama. Dan di sinilah bermulanya sebuah perjalanan yang tak pernah saya bayangkan.

Perjalanan tidak begitu jauh memandangkan saya juga berasal dari Perak. Dari jalan besar, masuk jalan kampung dan seterusnya masuk ke kawasan yang jauh kedalam. Perasaan saya ketika itu hanya biasa saja. Tidak ada apa-apa yang menakutkan dan pelik walaupun melihat banyak pokok-pokok dan semak samun di kiri dan kanan jalan. Sebaik sahaja sampai, kami terus dikumpulkan dan sudah mula sibuk mengejar jadual. Pendaftaran, pembahagian baju, kasut, dan sebagainya. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.

Kami mula dibahagikan dalam beberapa kumpulan. Dari kumpulan besar hingga kumpulan kecil. Juga termasuk kumpulan di bilik tidur. Dorm kami ramai dan boleh juga dibahagi untuk beberapa kumpulan lagi. Antaranya kumpulan Ghaib, Sedang dan Hot. Ghaib bukanlah beerti dihuni para bunian atau makhluk ghaib tetapi mereka ini jenis tak mahu bergaul. Hanya buat hal sendiri saja. Hanya ada masa tertentu mereka akan datang berbual. Itu pun hanya sepatah dua kata. Kedua, kumpulan Sedang. Ahlinya tak berapa nak pendiam tetapi tidak juga huru-hara. Kumpulan yang selalu membuat cubaan berinteraksi dengan si Ghaib tetapi selalu gagal. Ketiga, kumpulan Hot. Luarannya biasa saja tetapi disebabkan keyakinan diri mereka lebih tinggi, mereka menggelarkan diri mereka sebagai Hot. Mereka selalu membuat kecoh, angkuh dan juga kuat membuli. Mangsa tentunya dari kumpulan pertama.

Oh ya, kumpulan Hot ini mempunyai seorang ketua. Lisa, bukan nama sebenar. Orangnya kasar, dan suka membuat kacau. Tetapi sebenarnya dia bukanlah siapa-siapa. Rupanya dalam ramai-ramai, ada seorang dari ahli kumpulan Sedang yang sangat misteri. Saya ingat-ingat lupa sama ada sebelah ibu atau ayahnya berasal dari Indonesia tetapi sudah pun mendapat taraf penduduk tetap. Zila, bukan nama sebenar. Orangnya kecil molek, wajahnya sedikit unik dan berasal dari Selangor. Entahlah, wajahnya ibarat wajah Melayu lama. Manis dan berkulit sawo matang. Tetapi agak seram bila tersenyum. Tak tahu hendak gambarkan bagaimana. Setiap kali tersenyum, matanya seperti memandang tajam. Senyumnya pula bukanlah sinis tetapi seperti tersenyum memandang sesuatu ke arah kita.

Setiap malam, apabila semua sudah terlena.. Pasti saya akan terjaga. Sesiapa yang pernah membaca coretan saya sebelum ini, pasti sudah tahu bagaimana saya selalu terkena. Perasaan seperti ada yang memandang walaupun saya memejamkan mata. Rasa setiap gerak ada yang memerhati. Tak selesa hendak tidur. Bukan setiap masa tetapi selalunya terjadi dalam pukul 2 pagi ke atas. Dan perasaan itu akan hilang tiba-tiba. Saya, bukanlah jenis yang hijab terbuka sentiasa. Tetapi bila teringat kata Ustaz yang hijab saya jenis terbuka dan tertutup sendiri ni semakin menjadi-jadi pula. Saya yakin, ini bukan sebab perasaan semata.

Setiap malam kami wajib memadamkan lampu dibilik bila tiba waktu tidur. Kebetulan saya juga tidur bertentangan dengan katil si Zila. Ingat tiga kumpulan di awal tadi? Ya, kumpulan ini juga dibahagi mengikut kawasan. Jadi kami yang kumpulan Sedang, duduk diruangan tengah bilik. Lupa, Zila punya rambut yang sangat panjang hingga melepasi pinggang tetapi tidak mencecah lantai.

Setiap hari, Zila punya satu tabiat. Dia akan bangun di awal pagi lebih kurang pukul 3 pagi. Dia akan bangun menyikat rambutnya yang panjang itu. Bayangkanlah didalam gelap tetapi masih boleh dilihat, pukul 3 pagi ada orang sikat rambut panjang dihadapan kita. Sudahlah membelakangkan badan pula. Aduhh.. Yang buat tak keruan tu sebab saya yang akan terjaga, kedua rambut panjangnya dan ketiga ini yang paling saya tak suka. Dia akan menyanyikan satu lagu sambil menyikat rambut. Tiada lirik, hanya bunyi dibibir saja. Pernah tonton lakonan Maya Karin didalam Pontianak Sundal Malam? Hah, begitulah lebih kurang.

Hmmm.. Hmmm. Hmmmm……. Perlahan tetapi jelas. Sikatannya perlahan, satu persatu. Dan dia akan menarik rambutnya ke depan untuk menyikat hingga kebawah. Dia tidak akan menoleh ke tempat lain. Habis menyikat Zila akan terus berbaring dan tidur. Walaupun kita menyapa, dia tidak akan sesekali menjawab. Disebabkan saya sudah biasa, saya hanya akan menarik selimut menutup muka.

Lisa kerap kali cuba mencetuskan perbalahan bersama Zila. Tetapi Zila hanya tersenyum sahaja. Mungkin berang tidak dilayan lalu dia terus meluru mengambil makanan di dalam loker Zila. Sudahlah ambil tanpa bertanya, dia juga melanggar badan Zila hingga jatuh terduduk. Namun dia hanya mendiamkan diri. Saya fikir mungkin kerana dia takutkan si Lisa atau mungkin juga malas bergaduh menyebabkan dia hanya mendiamkan diri. Namun, saya perasan sesuatu. Zila memerhatikan Lisa tanpa mengerdipkan matanya. Pandangannya tajam. Seperti menahan api kemarahan.

Malam itu, sunyi. Tidak riuh seperti selalu. Zila juga begitu, tidak berjenaka seperti biasa. Agaknya masih marahkan kejadian siang tadi, fikir saya. Katil Lisa jauh dihujung sana. Sedang kami mula lena, saya terdengar bunyi yang aneh. Seperti bunyi orang tercekik. Tetapi hairan juga, siapalah yang curi makan lagi dalam keadaan gelap gelita. Saya hanya biarkan saja, takut-takut tersilap dengar. Tetapi semakin lama, bunyi semakin kuat. Saya bingkas bangun dan menggerak beberapa rakan lain. Setelah diamati rupanya bunyi itu datangnya dari katil Lisa!

Ya Allah, Lisa seperti dicekik! Tangannya memegang leher dan kakinya menendang-nendang katil. Matanya hanya memandang ke atas. Habis kelam kabut satu dorm. Waktu itu terasa sejuk yang lain dari biasa. Meremang! Kami cuba membantu sambil rakan lain membaca ayat suci Al Quran. Dan bila tersedar, Lisa menangis ketakutan. Katanya dia sedang tidur tiba-tiba dia terasa bagaikan dicekik kuat hingga sesak nafas! Kami mula kecut perut. Macam-macam perkara mula bermain di minda. Antaranya tapak kem ini berhantu.

Selang beberapa hari selepas kejadian Lisa dicekik… dorm kami gempar pula apabila Anna, bukan nama sebenar mula sakit belakang. Anna ini ibarat pembantu setia Lisa. Ada Lisa, adalah dia. Perangai sama seperti ketuanya. Katanya belikatnya tiba-tiba sakit hinggakan mahu mengangkat tangan pun tidak boleh. Sakit hinggakan menangis teresak-esak! Kami fikir mungkin tersalah urat agaknya. Iyalah, tidak boleh duduk diam. Usik sana, usik sini. Mungkin terlajak mengusik barangkali. Hingga ke malam, Anna masih menangis menahan sakit. Zila yang awalnya seperti tidak mahu mengambil tahu, mula berjalan munuju ke katil Anna.

Duduk, mari sini aku tengokkan. Kata Zila lembut. Anna bangun perlahan dan duduk membelakangkan Lisa. Lisa hanya diam dan tiba-tiba dia menepuk belakang Anna 2,3 kali. Mulutnya seperti berbisik sesuatu tetapi tidak jelas. Aneh! Sakit Anna terus hilang! Tangannya tidak sakit lagi malah sudah boleh di angkat tinggi! Semua terdiam. Entahlah. Tadi bersungguh sangat menangis, takkanlah terus hilang sakit begitu saja! Entah-entah diorang berlakon ni. Kata saya di dalam hati.

Tetapi saya mula sedikit pelik dan curiga dengan Zila. Dia baik, sangat baik orangnya tetapi hati saya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu tentang Zila. Yang saya tidak tahu atau mungkin tiada siapa pun tahu. Zila setiap kali waktu makan, hanya akan menjamah sedikit sahaja. Enam kali waktu makan sehari, setiap hari. Dia akan meninggalkan satu bahagian dipinggan. Dia juga handal mengubat kawan-kawan lain yang sakit. Saya tahu, ada sesetengah orang memang ada kebolehan mengurut atau merawat yang diwarisi dari keturunan.

Bukan itu saja, dia juga suka muncul secara tiba-tiba! Ingat lagi waktu di dewan makan. Kami menunggunya tetapi rupanya dia sudah selesai makan disebelah kami! Entah bila dia datang, ambil makanan dan tahu-tahu saja sudah bangun selesai makan! Hairan, padahal kami memandang pintu, tidak pula nampak kelibatnya lalu. Ahh.. Boleh jadi terlalu ramai, mungkin terlepas pandang. Kata rakan lain.

Zila juga suka melihat cermin. Seakan ralit melihat dirinya sendiri. Kadang kala dia akan tersenyum sendirian. Ada masanya juga, dia hanya akan berdiri kaku dihadapan cermin, tidak berganjak langsung. Entah apa yang bermain difikirannya pada waktu itu.

Ada satu malam, saya terjaga. Saya tahu memang ada rondaan setiap malam tetapi tak mungkin pula ada yang masih berjaga dan bergelak ketawa! Dan sesekali seperti berbisik. Butirannya tidak jelas. Takkan lah budak dorm sebelah berbisik sampai sini. Kata saya. Saya pusingkan badan, mengiring ke kiri. Ya Allah! Zila! Boleh pulak dia duduk mencangkung sebelah katil saya! Dengan muka yang hampir bertembung muka. Padahal sebelum tu saya lihat dia sudah tidur.

Dia hanya tersenyum, bangun dan sambung tidur. Sebelum baring, dia sempat berkata. ‘Aku pun dengar benda yang sama. Aku tahu kau istimewa’. Allah.. Allah.. Waktu itu meremang, macam duduk dalam bilik ais! Takutnya saya hingga menggigil. Nak baca bismillah pun tergagap-gagap! Jantung degup laju bagaikan nak pecah dada! Berpeluh nak tidur malam tu.

Saya tahu, Zila juga istimewa. Saya pasti dia ada sembunyikan sesuatu dari saya. Kami boleh dikatakan sahabat rapat. Tetapi sejak beberapa insiden, saya mula rasakan sesuatu. Bukanlah saya menjauhlan diri tetapi saya mula tidak selesa bersamanya. Saya perasan, kadang kala dia memandang saya tajam. Tetapi bila saya menoleh, dia terus mengalihkan pandangan. Banyak kejadian mistik berlaku. Yang histeria di bilik air juga ada. Lelaki juga kena. Yang mengilai di tengah malam, yang ternampak macam-macam!

Bukan saya saja tetapi rakan-rakan lain juga merasakan yang sama. Bayangkanlah kumpulan Ghaib terus jadi tak ghaib dah. Takut punya pasal. Apalagi waktu bilik tiba-tiba berbau wangi. Wanginya semerbak! Lain dari bau bunga, lain dari bau sabun. Wangi yang tiba-tiba ada, tiba-tiba tiada. Waktu ini, semua akan berselubung tidur. Tetapi tidak bagi Zila. Pernah saya curi-curi melihatnya. Dia kelihatan sangat tenang, seperti tidak ada apa-apa. Ada juga suatu malam.. Waktu saya terjaga kerana ditarik selimut.. Buka sahaja mata saya terlihat Zila duduk mencangkung di atas katil.

Dengan rambut terbiar menutupi muka. Badannya digoyangkan perlahan. Kedepan, kebelakang. Beberapa kali sebelum saya cepat-cepat memejamkan mata! Sehinggalah suatu hari, saya bertekad mahu bertanyanya. Bagaikan sudah dibaca, Zila terus duduk menghampiri saya. Dan dia tersenyum. Ahhh.. Apalagi kali ini. Belum sempat saya bertanya, dia memulakan bicara.

Katanya, dia anak tunggal. Dibesarkan dengan kasih sayang. Hinggakan apa saja kemahuannya akan dituruti tanpa dibantah. Tetapi ibu bapa tidak hanya memberinya harta benda, ada ‘benda’ lain juga diberi bersama. Katanya saka, milik keluarganya. Diberi bertujuan melindunginya apalagi sekarang sedang berjauhan dengan keluarga. Allah.. Waktu itu saya bagaikan terpaku mulut. Badan keras kerana terkejut. Jelasnya lagi kejadian yang menimpa Lisa dan yang lain memang ada kaitan dengan dirinya! Lisa, mengambil barangnya tanpa bertanya, melanggarnya. Anna pula pernah menampar belakangnya waktu didewan sebelum Anna mula sakit.

Senang cerita, sesiapa saja yang membuatnya marah atau terasa hati, pasti orang itu akan diganggu belaannya. Ada yang disuruh dan ada yang sakanya pergi sendiri jika menyakiti tuannya. Ya Allah.. Waktu ini perasaan saya bercampur baur. Patutlah setiap kali dia ubatkan, sakit akan terus kebah. Rupanya dialah punca!
Kata Zila lagi, ini bukan kemahuannya. Tetapi dipaksa untuk terima oleh keluarganya. Zila bukan jenis kaki ponteng solat, dia akan mengaji dan rajin berzikir. Itulah yang membuatkan saya lebih terperanjat. Tambah Zila, belaannya tidak akan mengganggu sesiapa jika dia tidak diganggu.

Asalkan tidak menyakiti hati dan perasaannya. Dengar sahaja begitu, kecut perut juga. Iyalah, mana nak tahu. Hati dan perasaan bukan boleh dibaca! Kalau saya terlajak kata, mungkin selepas ini giliran saya pula yang kena!
Dan seperti biasa, Zila seakan boleh membaca fikiran saya. Terus dia menambah. ‘Aku tak izinkan ‘dia’ mengganggu kawan-kawan rapat aku’. Entah mahu gembira atau takut, saya pun celaru. Masak ni sampai aku pun dijaganya! Zila hanya tersenyum.

Tetapi bila diingat saya memang pernah beberapa kali diganggu pelajar lelaki, esoknya mereka datang meminta maaf walaupun kadang bukan usik apa pun. Hanya bergurau sahaja. Jujurnya saya mula sedih dan juga takut. Bukan takut belaan Zila tetapi takut nanti orang salah faham kata saya pula yang membela! Iyalah entah apa punca mereka meminta maaf, tak tahu pula. Entah-entah belaan Zila punya kerja. Waktu ini terus saya terfikir.. Entah-entah ada waktu saya bersama Zila, bukan saya bersama Zila yang sebenar. Mungkin yang ada gelagat aneh itu bukanlah Zila. Kata orang, belaan ini mampu menyerupai tuannya tetapi tidak boleh berbicara. Tak tahu lah entah betul atau tidak.

Saya cuba memujuk Zila membuangnya tetapi kata Zila.. Kalau hendak membuang, bukanlah semudah yang disangka apalagi jika sudah sebati bersama keturunannya. Hanya orang yang benar-benar handal boleh menolongnya. Pernah ibunya cuba membuang tetapi gagal. Katanya selepas habis PLKN, mereka mahu berjumpa seorang Ustaz di selatan tanah air untuk berubat. Saya hanya terdiam. Dia sahabat saya tetapi dalam masa yang sama, saya juga takut mendekatinya. Nak menjauhkan diri, takut juga Zila berkecil hati. Tetapi saya juga berterus terang padanya.. Saya takutkan saka, tetapi saya tidak boleh memejam mata membiarkan rakan lain terkena.

Kalau semua tahu, pasti tiada langsung yang mahu berkawan dengannya. Iyalah, punya nak jaga hati punya pasal, masing-masing diam membatu saja. Tiba waktu kunjungan keluarga, tiada siapa pun pernah berjumpa keluarga Zila. Walaupun sekali. Tahu-tahu saja dia membawa macam-macam dibilik. Entah kirim ikut angin mungkin.
Malam berlalu dan silih berganti. Jarang-jarang sudah berlaku gangguan. Untuk rakan dibilik, semua sedia maklum dia punya penjaga. Begitu juga bilik sebelah. Jika ada yang mahu meminjam atau meminta, pasti akan menunggunya.

Kecuali jika dia sudah maklum awal, barang ini boleh di makan, diambil atau diguna sesiapa saja. Baru tiada gangguan. Tiada lagi yang kaki buli. Dan pernah juga jurulatih turut terkena! Teruk demam terkejut punya pasal. Dengar cerita dikejar hantu hingga pengsan! Disebabkan ramai yang sudah tahu, Zila semakin lembut tidak lagi sensitif tak bertempat. Mungkin takut kehilangan teman. Siapa tahu kan.
Pernah juga memang ada gangguan di kem, kami hantar Zila sebagai wakil menemani cikgu. Waktu itu pelajar terserempak dengan Cik Ponti waktu keluar malam meronda. Maklumlah sebelah dorm hutan. Tak cukup yang sedia ada, bawa pula belaan sendiri bersama. Teringat Zila pernah kata..Benda ni dia tahu siapa yang sebut tentang dia.

Selepas tamat PLKN, Zila langsung tidak dapat dihubungi. Cuba juga mencari, masih belum punya rezeki bertemu kembali. Cuma apa yang saya dengar, dia kini telah bebas dari saka kelurga dan telah selamat berkeluarga bersama seorang Ustaz. Tak tahulah entah ya atau tidak kerana apabila saya cuba menghubunginya, gagal. Mungkin dia cuba membina hidup baru agaknya. Tak apalah, saya sentiasa doakan yang baik-baik sahaja.
Hebat macam mana pun, jangan sesekali kita menduakan Allah. Saka, tiada yang baik. Mudaratnya lebih banyak. Berbaliklah kepada Allah. Buat Zila, jika awak terbaca kisah ini. Saya nak awak tahu, tanpa saka pun awak tetap sahabat baik saya.

Hantar kisah anda : fiksyenshsha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 106 Average: 4.9]
RainaS

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.