Angkara Sayang, Cemburu, dan Dendam (Part 2)

Jam menunjukkan hampir 1 pagi. Kakak dan abang sudah sedar sepenuhnya walaupun masih lagi dalam keadaan yang lemah. Ibu menghidangkan air teh bagi melegakan sedikit keletihan dan meredakan tekanan.

“Macamana rambut tu boleh ada di sana ustaz? Rambut tu memang rambut kakak? Apa perlu kita buat pada orang yang hantar ‘benda’ tu ustaz?”

Ibu tidak sabar mahu tahu.

“Wallahualam, saya pun tak pasti. Cuma saya nak pesan, syaitan ni boleh saja menyerupai wajah sesiapa. Dia akan cuba perdaya kita dengan segala tipu helah dia.”

“Maksudnya bukan Asri?”

“Saya tak tahu, kak. Wallahualam. Kita tak boleh tuduh sesiapa. Kak Su kenal bayangan tadi?”

Ibu mengangguk.

“Saya pun jelas nampak, ustaz. Memang abang Asri! Dulu abang Asri pernah suka kakak tapi kakak tak suka dia.”

Aku menyampuk, memberi penjelasan.

Giliran Ustaz Ali dan sahabat-sahabatnya pula mengangguk.

“Ustaz, sebenarnya 2 hari lepas Asri ada balik sini.”

Dalam kepayahan abang tetap bersuara. Bibirnya bengkak, namun sudah tidak lagi berdarah.

“Saya jumpa dia di tempat biasa kitorang lepak. Katanya cuti seminggu. Dia ada tanya khabar Hawa, tanya khabar adik sekali. Tapi setakat tu ja la, ustaz. Saya pun tak fikir apa-apa.”

“Tapi pagi tadi masa nak pergi kerja, saya jumpa Asri dekat bus stop. Pucat dia ustaz. Saya tanya dia nak ke mana, saya boleh tolong hantarkan. Tapi dia tolak. Dia cakap dah nak balik ke seberang, tiba-tiba cuti dipendekkan.”

Abang menyambung. Kata-kata abang menimbulkan lagi pelbagai persoalan. Betulkah Asri?

Memandangkan sudah lewat malam, Ustaz Ali mengambil keputusan untuk menangguhkan rawatan.


“Assalamualaikum..”

Kedengaran suara ustaz Ali memberi salam diluar rumah. Seperti dua malam sebelumnya, mereka datang berenam. Ayah menyambut mereka di depan pintu. Malam ini ustaz Ali sebolehnya ingin membersihkan segala ‘benda’ yang tinggal dalam tubuh kakak. Rawatan ustaz Ali sangat mudah. Dimulakan dengan 3 orang melaungkan azan disetiap pelusuk rumah, 2 orang lagi mengelilingi luar rumah sambil menaburkan garam kasar, manakala ustaz Ali membacakan ruqyah diruangtamu, berhadapan dengan kakak. Kakak pula hanya duduk bersila sambil diminta untuk berzikir dan bertenang.

Usai sahabat ustaz Ali melakukan tugas masing-masing, mereka duduk mengelilingi kakak. Aku, ayah, ibu dan abang hanya memerhati. Memohon agar dipermudahkan sesi perubatan demi kesembuhan kakak. Ayah yang baru saja balik dari kerja luar daerah telah diceritakan segalanya. Terkejut ayah melihat keadaan kakak pagi tadi. Kakak hanya baring dibilik. Dia sedar, tetapi keadaannya sangat lemah. Seluruh tubuh dan wajahnya bengkak, pucat sekali. Ayah yang terkenal dengan sikap tegas dan garang tidak berjaya sembunyikan airmatanya kali ini. Tewas melihat kesakitan yang ditanggung anak sendiri.

“Assalamualaikum..”

Sekali lagi kedengaran suara memberi salam. Siapa pula ni? Ayah bangun melihat keluar. Ternyata Isa, tunang kakak yang datang. Sudah beberapa hari Isa tidak kemari. Kejadian dua malam lalu juga tidak diketahui Isa. Namun ibu ayah faham kerana Isa punya tugas hakiki. Mungkin kerana tidak mendengar khabar kakak beberapa hari menyebabkan Isa datang kerumah. Ayah menyambut dan mempelawa Isa masuk kedalam.

“Maaf pakcik, saya tak tahu ada ramai tetamu disini. Saya saja datang melawat Hawa.”

“Tak mengapa. Hawa kurang sihat, sebab tu pakcik makcik panggil ustaz kemari. Duduklah.”

Ustaz Ali tersenyum, menghulurkan tangan. Isa menyambut salam ustaz dan segera duduk disebelah abang. Tanpa berlengah, ustaz Ali kembali menyambung bacaannya. Kakak yang seperti separa sedar telah dibaringkan. Ustaz Ali dan sahabat yang lain meninggikan lagi suara, menguatkan bacaan. Kakak menangis. Semakin kuat sehingga kedengaran seperti anak kecil yang sedang teresak-esak. Suara kakak berubah. Tangisan telah bertukar menjadi dengusan yang kasar, bernafas kuat dan laju. Tangannya menumbuk lantai berkali-kali, begitu juga kakinya dihempas-hempaskan menunjukkan marah yang berapi.

Ustaz Ali dan yang lainnya masih tenang duduk diposisi walaupun kakak sudah mula bangun, meracau, sesekali merangkak, mengensot mendekatkan wajahnya ke wajah ustaz Ali. Bezanya kali ini kakak tidak bercakap walau sepatah. Memukul, menampar dan meludah juga tidak. Hanya tindak tanduk kakak sangat pelik, ibarat binatang yang sedang bingung.

Ada ketikanya mata kakak tepat memandang ibu dan ayah. Dilenggokkan kepala menyerupai seekor ular tedung melihat ancaman. Sesekali memandang Isa sambil mencangkung dengan mata yang redup dan sayu persis seekor monyet lagaknya. Seakan memohon pengertian dan meminta bantuan. Ada juga ketikanya dia memeluk tubuh, menjelirkan lidah, mengangguk-angguk kepala seperti seekor anjing. Dan seketika, kakak menggigil dan menekupkan muka ke lantai, ketakutan.

Saat ustaz Ali meniupkan nafasnya ke ubun-ubun kakak, kakak membeliakkan mata. Tajam merenung ustaz. Mereka seakan berbicara tanpa suara. Keduanya kaku, hanya anak mata mereka berpandangan. Suasana sunyi seketika. Kedengaran Isa menarik nafas panjang. Tangannya digenggam, tidak senang duduk. Turun naik dadanya bernafas kencang. Abang yang menyedari segera memegang bahu Isa.

“Banyakkan bersabar. Istigfar. Kita sama-sama doa supaya Hawa pulih.”

Pujuk abang. Abang mungkin mengerti perasaan Isa ketika ini. Jasad insan yang disayang bukan dihuni oleh empunya diri.

“AstagfirullahAladzim…. Berani sungguh kamu!”

Tegas suara ustaz. Wajah ustaz yang tenang sedikit berubah.

Tanpa menoleh, ustaz Ali tiba-tiba saja meminta abang menunjukkan bilik kakak.

“Shah, boleh bawa saya jenguk bilik Hawa?”

“Boleh ustaz. Disini.”

Abang menunjukkan jalan. Ustaz meminta abang Im turut serta. Sahabat ustaz yang lain kembali membacakan ayat suci. Kakak duduk ditengah. Mata Isa merah, berkaca. Tidak tahan melihat keadaan kakak, Isa meminta diri untuk pulang. Lagi pula jam sudah hampir 11 malam, ibu ayah juga merasakan tidak manis Isa berada dirumah sehingga lewat malam.

Didalam bilik kakak, ustaz Ali tidak henti-henti beristigfar. Abang Im membacakan ayat ruqyah disudut bilik manakala ustaz Ali berjalan mengelilingi bilik kakak sambil matanya melihat sekeliling dinding. Raut wajah ustaz Ali ketat sekali. Seakan tidak percaya, juga ligat mencari jawapan pada setiap misteri.

“Shah, boleh ambilkan besen atau bakul? Im, mari tolong saya turunkan semua perhiasan ni.”

“Sekarang juga ka ustaz?”

“Ya, sekarang. Lepas tu nanti tolong kami turunkan perhiasan ni. Bunga-bunga layu tu juga. Jangan ada 1 pun yang tertinggal.”

Satu persatu ukiran kayu diturunkan. Abang kembali membawa bakul besar. Dimasukkan satu persatu dengan berhati-hati. Abang mengumpulkan semua bungaan layu yang ada, juga dimasukkan sekali kedalam bakul yang sama. Baru abang perasan, segala ukiran kayu dan bungaan ini adalah pemberian Isa. Kenapa ustaz minta semua diturunkan? Abang bingung tetapi masih saja meneruskan tugasan yang diberikan. Walaupun kuat rasa ingin tahu, namun mulutnya terkunci untuk bertanya. Entah kenapa, susah benar hendak membuka paku di dinding. Setiap ukiran kayu itu juga terasa berat. Abang yang menyangka iyanya tugas mudah bertukar fikiran. Sememangnya banyak tenaga harus digunakan.

‘Kreeekkk… Kreekkkk… Kreekkkk….’

Bunyi tapak kaki seperti orang berjalan diatas bumbung rumah. Tepat diatas bilik kakak.

Abang dan abang Im berpandangan.

“Teruskan. Jangan peduli.”

Tegas ustaz Ali.

Bunyi itu berlanjutan. Berlegar-legar tanpa henti.

‘PRRAAAAKKK!!!’

Dentuman kuat diatas bumbung. Hampir terlepas ukiran kayu dari tangan abang.

“Ustaz! Kakak pengsan!”

Aku meluru ke bilik kakak. Sebentar tadi diruangtamu, kakak duduk menangis teresak-esak. Pandangannya ke bawah, tidak sedikit pun mendongak, hanya suara tangisan saja yang kedengaran. Sesekali memukul dahi. Ibu ayah meminta izin ustaz Mat untuk duduk bersama kakak namun dihalang, risau sekiranya kakak bertindak diluar kawalan. Entah kenapa tiba-tiba saja kakak jatuh pengsan. Ustaz Mat meminta aku segera memanggil ustaz Ali.

“Teruskan dulu. Turunkan semuanya, nanti bawa sekali ke ruangtamu.”

Bergegas ustaz Ali berjalan, aku mengekori.

“Kenapa Mat?”

“In Syaa Allah, dah pergi.”

“Bacakan ayatul qursi. Sedarkan dengan air ruqyah tu. Ada lagi tu Mat. Dah jumpa ‘rumah’ dia. Bukan sekor, ramai!”

Tegas kali ini. Ustaz Ali tidak mahu diperdaya lagi. Kakak yang disangka pengsan tadi tersenyum dan duduk dengan sendiri. Ustaz Ali senyum sinis.

“Takut juga kau. Ingatkan berani sangat.”

“Kenapa balik?”

Sambung ustaz Ali. Kakak bengis memandang.

Abang dan abang Im meletakkan bakul yang penuh dengan ukiran kayu dan bungaan layu di depan kakak.

“Cantik ‘rumah’ kau sediakan.”

“AKU BOLEH BUAT LEBIH!”

“Kau lupa, Allah tidak bersama orang-orang musyrikin! Malu aku nak mengaku kau saudara keturunan aku!”

“BODOH! KAU SUKA MASUK CAMPUR! DIA AKU PUNYA! AKU PUNYA SUKA!!”

“Aku tanya sekali saja. Aku minta kau pergi dengan rela hati. Ajak sekali semua yang kau tinggalkan disini!”

“AKU KATA DIA AKU PUNYA!! KAULAH PERGI!! KAU SUKA GANGGU AKU!!”

“Aku tidak mahu berdolak dalih. Sudah aku katakan aku hanya minta sekali. Kau tak mahu pergi, aku hantar kau sendiri.”

“KALAU KAU KUAT, LAWANLAH AKU! HAHAHAHA..!!”

Ustaz Ali dicabar, namun tetap tenang.

“Urusan kau bukan dengan aku. Urusan kau dengan Allah.”

“PUIIHH!! HAHAHAA.. KATAKAN SAJA ILMU KAU TAK CUKUP!! KAU PERGI!!”

Tidak membalas dengan kata-kata, ustaz Ali segera membacakan surah al-Falaq dan an-Nas.

Merah mata kakak menahan kesakitan. Bergelut sendiri.

“HAHAHAHAA.. KAU KIRA AKU TAKUT?! BELUM CUKUP!!”

Bacaan ruqyah dilaungkan oleh sahabat-sahabat ustaz Ali. Mulut kakak juga berkumat kamit. Langkahnya dibuka seakan bunga silat, sesekali bertukar menjadi lenggok tari. Semakin kuat bacaan suci dilaungkan semakin laju mulut kakak berkumat kamit, juga semakin kasar langkah silat dan tarinya.

‘PANNGG!!’

Kakak menendang bakul berisi ukiran kayu dan bungaan layu. Bertabur semuanya. Langkah kakak semakin perlahan, bacaan ayat suci semakin dikuatkan.

“Bagus! Kau musnahkan semuanya sendiri!”

Ustaz Ali senyum sinis. Puas! Ayat suci kembali dilaungkan berulang kali.

Kakak rebah. Segera disambut Pak Amit. Ibu mula menangis, panik melihat kakak pengsan lagi. Ayah memeluk ibu, cuba menenangkan. Aku tidak berdaya memujuk, tumpuanku hanya kakak. Dalam ketakutan, acap kali aku memerhati sekeliling rumah. Boleh jadi terlihat susuk tubuh manusia seperti sebelumnya, hampa.

“Bawakan air ruqyah tu ke sini. Cepat!”

“Kita tak mahu ‘benda’ tu masuk balik. Kena sedarkan Hawa supaya yang kembali itu semangatnya, bukan ‘benda’ tu lagi.”

Ustaz Ali menuang sedikit air ke dalam mulut kakak, kemudian menadah air lalu menyapunya dari ubun-ubun ke dagu kakak. Diulangi beberapa kali, sambil mulutnya tidak henti-henti berzikir. Kakak sedar, terbatuk-batuk.

“Sediakan baldi. Hawa macam nak muntah tu.”

Sekali lagi ustaz Ali memberi arahan. Abang bingkas bangun mendapatkan baldi dari dapur. Sambil membacakan ayat suci, ustaz Mat meletakkan telapak tangannya di atas kepala kakak. Benar! Kakak muntah d***h. Banyak sekali. Ada yang berketul dan baunya sangat busuk!

“Bagus, Hawa. Keluarkan semua. Jangan ada yang berbaki.”

Seperti diberikan semangat, kakak muntah lagi. Berusaha mengeluarkan segala penyakit dari dalam tubuhnya. Ustaz Ali berdiri, ingin melaungkan azan. Sempat dia meminta kami mengumpul semula ukiran kayu dan bungaan layu yang bersepahan. Abang dan abang Im terkejut! Ukiran kayu yang dirasakan berat tadi menjadi ringan.

Keadaan semakin tenang. Kakak sudah berhenti muntah. Entah bila wajah kakak menjadi seperti biasa, tiada lagi j*****t bernanah. Hanya matanya kelihatan sayup, kesan airmata barangkali. Sungguh! Wajahnya ceria. Tubuh kakak juga kembali normal, tidak bengkak dan tidak lagi berbau busuk. Kakak boleh duduk dengan selesa, sepertinya tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku tanya kalau dia rasa penat, maklum saja dia baru lepas bersilat dan menari sebentar tadi. Tidak, kakak tidak merasa apa-apa, bahkan dia tidak sedar segala perbuatannya. Katanya dia nyenyak tidur. Perkara terakhir yang kakak ingat hanyalah dia diminta bertenang dan berzikir. Sedar-sedar dia terasa ingin muntah.

Ibu datang dari dapur membawakan teh, kopi dan biskut-biskut kering. Dihidangkan kepada semua. Saat inilah ustaz Ali membuka cerita.

“Maaf la Kak Su, Abang Iman. Mungkin perkara yang saya nak sampaikan ni agak berat untuk diterima.”

Isa. Dialah yang melakukan segala angkara.

Perkenalan Isa dengan kakak juga sudah bermula dengan salah. Isa sebenarnya tahu Asri suka kakak. Mereka pernah berkelahi, sewaktu Asri meminta Isa menjauhkan diri dari kakak. Isa pula tidak mahu kalah. Disanalah Isa mula mengenakan ilmu pengasih. Apabila kakak sudah menjadi tunangnya, perasaan cemburu semakin kuat dalam dirinya. Dia tidak berhenti menuntut ilmu hitam dan kali ini dia mengenakan ilmu penunduk pula pada kakak. Segala jenis makanan yang dihantar dicampurkan dengan d***h binatang buas, entah dari mana Isa dapat. Walaupun makanan itu dimakan semua ahli keluarga, tujuannya hanya pada kakak. Sebab itu hanya kakak mengalami alahan dan gangguan. Setiap ukiran kayu pemberian Isa pula diletakkan ramai ‘khadam’, ditugaskan bagi menjaga dan melihat segala gerak geri kakak untuk memastikan kakak tidak curang.

Kepulangan Asri baru-baru ini seakan mencabar kesabaran Isa. Isa ada sewaktu Asri datang ke tempat biasa mereka melepak. Abang rindu Asri. Mereka berborak dengan mesra, Isa berdendam. Prasangka telah menghanyutkan Isa jauh menyekutukan Allah. Asri dikerjakan dengan diganggu oleh ‘khadam’ Isa. Dua malam berturut Asri diganggu makhluk halus, setiap waktu maghrib, Asri dimomokkan dengan kelibat yang buruk dan menakutkan. Badannya menjadi panas, telinganya seakan dibisikkan sesuatu yang tidak jelas. Kelibat menakutkan muncul sepanjang malam. Keadaan berlanjutan sehingga waktu subuh. Asri sedar sesuatu tidak kena. Sebab itu dia mengambil keputusan untuk balik keseberang dan menerima rawatan islam di sana.

Isa pula masih tidak puas hati. Dihantarnya gangguan ke rumah bagi mengajar kakak. Sengaja dia menyerupai Asri, agar kakak dan keluarga tidak lagi berbaik dengan Asri. Isa juga menyakitkan abang. Atas sebab yang sama, cemburu pada Asri yang dilayan baik sekali.

Namun perbuatan Isa memakan diri. Allah maha mengasihani. Allah memberi petunjuk, membuka jalan pada ustaz Ali dan sahabatnya. Kedatangan Ustaz Ali kerumah pada malam kakak dirasuk merungkai sedikit misteri. Ustaz Ali dapat merasakan sesuatu yang tidak kena didalam rumah. Ketika orang lain melihat susuk Asri, ustaz Ali dapat melihat susuk lain dibelakang susuk Asri. Dan susuk dibelakang itulah sebenarnya membawa ‘khadam’ untuk menyerupai Asri.

Kali kedua Ustaz Ali datang, Isa sebenarnya tahu. Sebab itu dia memunculkan diri. Ustaz Ali pula pada masa itu memohon agar diberikan hidayah dan petunjuk yang baru. Tidak menyangka Isa menjadi dalang. Fahamlah ustaz Ali, mengapa sangat sukar untuk merasakan kehadiran ‘benda’ itu didalam rumah. Isa masuk dan keluar rumah atas keizinan tuan rumah. Yang ‘dibawa’ juga disambut dengan baik sekali. Ianya tidak menyelinap dan tidak secara sembunyi. Justeru, ‘benda’ itu tidak mudah untuk dihidu.

Seminggu selepas kejadian, keluarga Isa menghubungi ibu untuk memutuskan pertunangan. Isa juga sudah tidak lagi tinggal diperumahan yang sama, entah bila dia pindah. Alhamdulillah, kakak pulih sepenuhnya. Kali terakhir abang terserempak dengan Isa, sewaktu berkursus. Isa buat seperti tidak mengenali abang.

Ahh Biarlah…

Tamat..

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

WHJ

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

20 thoughts on “Angkara Sayang, Cemburu, dan Dendam (Part 2)”

  1. Betul…
    Gambaran yang dilihat kenkdg adalah jelmaan syaitan utk meyesatkan manusia…
    Mcm mak akak, penah bertentang mata di waktu pepagi buta dgn jelmaan menyerupai akak…
    Tapi tu x bermaksud akak yg membela atau mengantar…

    Reply
  2. Penulis Bunga boleh jadikan cerita ni sebagai rujukan. Kalau panjang, jadikan 2 bahagian. Tak yah nak skip2. Kami semua tetap baca kalau cerita menarik dan tersusun.

    Reply
  3. Sebab tu kalau ikhtiar berubat dgn ustaz, biasanya dorg takkan bagitau sape yg hantar sbb takut jadi fitnah & takut keluarga mangsa jadi berdendam

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.