Bas Tengah Malam

Malang bagi seorang insan bernama Qila. Sudahlah tadi dia terpaksa menghadap pelanggan yang tak faham bahasa, terpaksalah dia tutup kedai lewat walaupun deretan kedai di mall itu sudah tutup. Dia mengerling ke jam telefon bimbit, sudah pukul 12:25 pagi. Sambil berlari keluar, dia berdoa agar ada bas di perhentian. Kawasan LRT IOI Puchong Jaya lengang tanpa sebarang kenderaan. Dia mendongak. Pasti LRT sudah tutup memandangkan tak ada pun pengumuman yang keluar dari corong pembesar suara.

“Seriuslah.” Qila mengeluh. Tak ada satu bas pun di perhentian berhampiran stesen LRT. Nak berjalan kaki di perhentian bas hadapan mall boleh tahan jauhnya. Dek kerana kepenatan, dia ambil keputusan untuk tunggu saja di situ.

Sedang sibuk mendengar lagu menggunakan headphone yang baru dibeli, dia dikejutkan dengan suara seorang pak cik tua. Wajah pak cik itu berkerut memandang Qila yang duduk berseorangan di perhentian bas.

“Ya, pak cik. Kenapa ya?” tanya Qila terus turunkan headphone.

“Apa kamu buat dekat sini? Tunggu kawan ambil ke?”

Qila geleng. “Saya ingat nak naik bas. Tapi hari ni saya keluar lambat. LRT pun dah tutup.”
Pak cik itu sekadar mengangguk. Dia rasa simpati dengan apa yang menimpa Qila. Sudahlah tengah malam, sunyi dan tiada sesiapa.

“Bahaya kamu duduk sini. Nak pak cik hantarkan balik tak?” pelawa lelaki tua itu. Qila tak menjawab, apa ekor matanya menangkap adalah sebuah bas diparkir tak jauh mereka. Badan bas berwarna hijau lusuh dan emoji tersenyum besar terpampang di situ. Perkataan ‘BAS EKSPRESS’ juga hampir pudar. Pak cik tadi menoleh sama arah dengan Qila.

“Oh, tu bas pak cik. Maaflah kalau nampak buruk depan mata kamu.”
Qila laju menggeleng. “Tak adalah, nampak okey saja. Cuma …”
“Cuma apa nak?”
Qila ketap bibir. Sebenarnya dia takut dan segan untuk menerima pertolongan pak cik tua itu. Memandangkan tak ada pilihan dan sekarang pun hampir menunjukkan jam satu pagi, terpaksalah dia tebalkan muka.
“Kalau … kalau macam tu, boleh tak pak cik hantarkan saya pulang?” Pak cik tadi memandangnya dengan riak berkerut. Badan Qila serta merta terhenjut sedikit.
“Saya akan bayar wang tambangnya. Pak cik jangan risau, saya baru saja dapat ga …”

“Boleh.”

Qila terkejut. Pak cik tua itu mengukir garis senyuman lebar.
“Mari pak cik hantar kamu balik. Nanti tunjukkan sekali jalan ke rumah kamu.” Dengan langkah perlahan, pak cik itu menuju ke bas hijaunya. Qila pula lambat-lambat mengikut dari belakang. Enjin bas dihidupkan seraya pintu masuk sliding dibuka. Sambil tersenyum, pak cik itu mengangguk kepala. Qila memanjat anak tangga dan bawa keluar dompet dari kocek seluar. Baru saja dia mahu hulurkan wang RM20, laju pak cik itu menghalang.
“Bila dah sampai nanti kamu bayarlah seikhlas hati. Pak cik tak kisah.”
Qila menunduk dan terus simpan dompetnya semula. Spontan dia duduk di satu anak tangga bersebelahan dengan tempat duduk pemandu.

“Pak cik tak kisahkan saya duduk di sini?” tanya Qila. Pak cik itu menggeleng, pada masa yang sama dahinya berkerut.
“Kenapa pula nak duduk itu?”
“Saja, nak tengok jalan.” Pak cik tadi sekadar mengangguk dan mula memandu bas keluar dari kawasan stesen LRT.
“Nanti pak cik berhenti saja di LRT Puchong Prima. Saya boleh jalan kaki sampai rumah,” arah Qila. Pak cik tua mengangguk lagi – tanda dia menurut permintaan penumpangnya.

Jalan raya lenggang, tak ada kesesakan lalu lintas dan hanya beberapa buah kereta saja atas jalan. Boleh dikira dengan jari saja. Yalah, logik juga sebab sekarang pun sudah lewat malam. Kebanyakkan orang sudah beradu di rumah sedangkan dia baru saja pulang kerja. Tak apalah, lagipun dia cuti pada esoknya. Apa yang perlu dirisaukan?

Dari tadi Qila dan pak cik tua itu tak bersuara. Hanya kedengaran enjin bas saja menemani malam mereka. Qila sempat curi-curi pandang. Ada juga dalam lubuk hatinya tertanya-tanya, kenapa seorang pemandu bas berjaga pada waktu begini?

“Dulu pak cik bawa bas. Dah biasa drive atas jalan malam-malam.” Pak cik tua mulakan bicara dengan matanya tertumpu pada jalan.

“Pak cik mesti selalu dapat pelanggan yang nak sewa bas untuk apa-apa lawatan kan?” tanya Qila. Matanya sempat menangkap satu kertas yang siap laminate dan didirikan atas dashboard. Dengan bantuan lampu jalan, Qila berjaya dapatkan nama pemandu bas itu.

Samad Bin Kassim.

Berkerut dahi Qila membaca nama itu. Seolah-olah namanya itu familiar baginya.
“Kenapa nak?” tanya pak cik itu sebaik mengerling sekejap ke arah Qila. Laju Qila gelengkan kepala. Dia bawa keluar telefon bimbit dan taip nama pak cik di ruang carian Google.
“Pak cik dah … dah berapa tahun bawa bas?” Entah suara Qila tiba-tiba gagap. Jantungnya berdegup kencang dan dia mula tak senang duduk.
“Lama dah. Dah nak dekat 30 tahun macam tu.”
“Kiranya pak cik dah travel satu Semenanjunglah. Seronoknya.” Qila memaksa diri untuk menguntumkan senyuman. Matanya mengerling sekejap ke telefon bimbit.

‘Lambatnya, aku baru lepas top up internet kot!’ getus Qila dalam hati. Dia pandang saja skrin telefon yang masih loading macam siput.
“Paling best, pak cik pergi Padang Besar nun di Perlis. Dapat tengok sempadan Thailand. Macam-macam diorang jual dekat sana. Kalau anak kelapangan bolehlah pergi.”
Qila hanya tersenyum dan mengangguk. Dia cuti pun hanya sehari, dan sehari itu jugalah dihabiskan masa dengan tidur saja.
Bas ekspress itu berhenti di lampu isyarat berwarna merah. Qila toleh ke belakang sekejap kemudian ditoleh ke hadapan semula.

Eh?

Kepala Qila laju ditoleh ke belakang semula. Bulat matanya apabila terlihat tempat duduk penumpang di belakang semuanya sudah dihuni kelibat berkain putih. Kepala mereka tunduk ke bawah dan tak ada satu kata pun keluar dari mulut mereka. Bulu roma Qila tegak berdiri. Dia pun dah seriau, takkanlah mahu duduk lama-lama dalam bas lagi.
Qila perlahan menoleh memandang Pak Cik Samad. Raut wajahnya tenang saja. Entah sama ada dia tahu ataupun tidak ada penumpang tak diundang masuk ke dalam basnya. Lampu isyarat akhirnya bertukar hijau dan Pak Cik Samad menukar gear.

“Duduklah dulu. Nanti kamu jatuh pula. Lagipun, cerita pak cik tak habis lagi ni.” Pak Cik Samad tak memandang, namun jelas bibirnya terukir sedikit senyuman.
“Masa pak cik ke Perlis, pak cik bawa satu rombongan dari kampung. Memang seronok sangat masa kitorang ke sana. Tapi sayang seribu kali sayang …”

Pak Cik Samad perlahan menoleh ke arah Qila. Qila berundur sedikit ke belakang. Separuh wajah Pak Cik Samad ditusuk dengan kaca dan beberapa daun kering serta lumpur melekat pada tubuh badan lelaki tua itu. Bau busuk menyengat terus menusuk rongga hidung Qila, terpaksalah gadis itu menahan diri dari termuntah.

“ … bas kami terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang.”

Qila bagaikan disambar petir. Terkejut. Dia perlahan menoleh ke ruang penumpang. Kelibat berkain putih berdiri dan kepala mereka seolah-olah tepat memandang ke arahnya. Qila terus melangkah ke pintu keluar dan cuba untuk menarik namun gagal. Pintu itu seolah-olah dibiarkan berkunci dan sengaja Pak Cik Samad mengurungnya dalam bas, bersama rombongan yang sudah m**i. Qila sandarkan badan pada pintu bas. Sekarang dia mampu telan air liur dan menggengam erat telefon bimbitnya.

Ting!

Qila memandang lama skrin telefon miliknya. Hasil keputusan carian tadi memaparkan berita sebuah bas yang membawa rombongan kampung ke Perlis jatuh ke dalam sebuah gaung di LPT pada tahun 2013. Walaupun pihak berkuasa berjaya menarik keluar bas, namun ada beberapa mayat dari rombongan yang tercampak keluar dari bas itu tak dapat diselamatkan. Lebih menyedihkan, mayat mereka hanya dibiarkan terkubur di situ.

Pak Cik Samad hanya lemparkan senyuman. Bas itu berhenti betul-betul di perhentian bas LRT Puchong Prima, bersebelahan dengan deretan kawasan rumah. Pintu bas dibuka dan spontan Qila jatuh terduduk di atas jalan raya. Pak Cik Samad dan kelibat rombongan hanya memandang kosong.

“Hati-hati bila berjalan pulang. Terima kasih sebab sudi dengan cerita pak cik tadi. Simpan saja duit tambangnya ya?” Pintu bas tadi perlahan ditutup. Sempat Pak Cik Samad lemparkan senyuman sebelum memandu pergi. Qila hanya mampu memandang bas itu sehingga ia hilang menjauh.

“Adik?”

Laju kepala Qila menoleh. Risau takut ‘hantu’ yang memanggilnya, rupanya tidak. Seorang pak cik berkemeja jingga menghampirinya dengan riak risau.

“Yang kamu duduk atas jalan ni kenapa? Kamu tunggu siapa?” Qila tak segera menjawab. Soalan pak cik tadi dibiar masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Pak cik itu memetik jari berkali-kali di hadapan wajah Qila.

“Kamu ni kenapa? Kenapa rupa macam baru lepas terserempak dengan hantu?”
Qila tersenyum sedikit, perlahan kepalanya mengangguk. “Memang … memang saya baru lepas terserempak dengan hantu.”

Pak cik itu mengangkat kening. Qila terus berdiri dan mula ceritakan apa yang berlaku. Qila sangka pak cik itu akan beri reaksi cuak ataupun apa-apa saja yang berkait dengan ketakutan. Apa yang membuatkan dia terkedu hanyalah pak cik itu terus mentertawakannya.
“Luculah cerita kamu ni. Mana ada hantu tak kacau orang.”
“Betul pak cik, saya tak ti…”
“Ha, sudah-sudah. Pergi balik. Tahulah dia kerja dekat panggung wayang.” Pak cik itu terus melangkah pergi.
“Saya kerja dekat kedai bajulah,” getusnya perlahan. Qila hela nafas. Dengan langkah berat, dia pun pulang ke rumah.

Paginya, Qila ceritakan apa yang berlaku semasa dia pulang kerja pada ibubapa dan adik beradik yang lain namun tak ada siapa pun percaya. Kawan-kawannya juga beri jawapan yang sama.
“Apa ni Qila, merepeknya cerita kau.”
Qila hanya mampu senyum tawar. Biarlah lepas ni apa-apa kejadian seram yang menimpa dirinya, biar dia saja yang tahu.

—Tamat—

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fiena

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 28 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.