BAYANGAN MALAM

Ketukan papan kekunci semakin rancak. Aku masih leka menyiapkan tugasan yang di berikan oleh pensyarah di makmal. Bergelar pelajar tahun akhir benar-benar melemaskan aku, masakan tidak segala tugasan perlu aku selesaikan dalam kadar segera agar tidak jauh ketinggalan. Tanganku menggapai termos yang di bawa dari rumah, serta-merta aroma kopi menusuk menyegarkan kembali kantuk mataku. Kopi ku hirup perlahan, menikmati setiap kepahitan di sulami sedikit kemanisan.

Jam di dinding sempat aku kerling sekilas, masih awal lagi, masih ada masa untuk aku berada di makmal sebelum ianya di kunci. Kedinginan malam musim bunga sedikit sebanyak mencengkam tulang hinggakan aku lantas mengemaskan lilitan mafla di leherku. Entah kenapa terasa debar di dada seolah-olah ada sesuatu yang akan berlaku.Hembusan di telingaku serta merta meremangkan bulu romaku, suam namun terasa kaku. Aku tidak berani untuk berpaling walau berganjak seinci dari kerusi yang aku duduki, mataku pejam rapat moga ianya hanyalah khayalan.

” Dum..dum…”, bunyi seperti benda jatuh di belakangku. Aku cuba untuk mengerling ke belakang, dan melihat penunu Bunsen tergolek di lantai. ” Barangkali di tiup angin”, ngomelku sedirian cuba menenangkan hati yang semakin kuat getaran. Di sebalik meja di hadapan papan hitam, satu kelibat dengan laju melintas serentak dengan itu jam di dinding terjatuh. Sungguh waktu itu, ketika itu, jika di toreh wajahku sumpah tidak berdarah.

Tidak cukup di situ, skeleton yang di letakkan di penjuru kiri di pintu hadapan bagaikan bergerak menerpa ke arahku. Kakiku bagaikan dipasak di lantai, aku tidak berdaya untuk bergerak hatta untuk lari sekalipun. Suara tangisan dan hilaian silih berganti bersama bunyi-bunyian botol botol kaca berlaga antara satu sama lain. Mafla yang kupakai terasa di rentap kasar, hingga hampir melemaskan aku. Suara kanak-kanak kecil menambahkan keseraman malam. Terasa ingin sahaja aku menyumpah diri sendiri, kalaulah aku pulang lebih awal.

Gangguan tidak terhenti malah makin rancak bagaikan mengejek dan memerli aku. Semakin banyak kelibat-kelibat hitam melintas dan berlari, bergantungan malah ada yang mengengsot di lantai. Sejuk, suasana semakin sejuk. Segala ayat-ayat suci Al Quran bagaikan hilang dari mindaku, aku tidak mampu mengeluarkan sepatah kata umpama di kunci bibirku. Laptop di hadapan, berkelip dan paling menyeramkan aku, papan kekuncinya berbunyi seperti ada tangan ghaib yang menekannya. Allah dugaan apa lagi ini.

Aku cuba, cuba untuk bangun, cuba untuk berlari atau mungkin menjerit meminta tolong. Tapi ianya terkunci, rapat, batinku menjerit tapi suaraku seolah hilang. Peralatan makmal mula jatuh ke lantai satu persatu, bagai di baling oleh sesuatu. Suara itu, hilaian itu, makin kuat, makin banyak makin ramai. Helaian buku notaku, dibelek kasar, jelas aku lihat helaian tersebut bertukar. ” Tolong..tolong jangan ganggu aku, tolong.” rintihku sendirian. Tanganku tekap di telinga cuba menghalau bunyian, mataku pejam rapat suapaya aku tidak perlu melihat segala yang di hadapan. ” Pergi…pergi “, tempikku kuat bersama linangan air mata.

Dalam kekalutan, rasakan tanganku di pegang oleh sesuatu yang dingin, sejuk dan kaku. Aku tidak berani menoleh, aku tidak berani. Pegangan tersebut kejap, kemas bagaikan mahu di siat kulitku bersama. ” Don’t leave me, stay by my side”, halus bersama dengusan nafas yang kasar serta merta mukanya di rapatkan ke mukaku. ” Allahuakbar, jeritku”, pantas di mana aku beroleh kekuatan, aku berlari keluar dari makmal. Tidak cukup, malaha aku dapat merasakan kelibat demi kelibat, lintasan demi lintasan di setiap koridor yang aku lalui, saat itu juga lampu kalimantang berkelip-kelip menambahkan lagi takutku, aku berlari sepantas yang mungkin. Aku tidak sanggup lagi, ” Tolong aku ya ALLAH, tolong aku”, perlahan bersama tangisan.

Entah kenapa kurasakan jauh benar makmalku dan pintu utama universiti. Seni bina bangunan yang di bina sejak tahun 1874 itu menambahkan lagi ketakutanku. Bau bangunan lama mula menerjah hidungku. Sekuat hati aku cuba, bergelut menyelamatkan diri. Dari kejauhan aku melihat cahaya yang samar dan terus aku berlari ke arah cahaya terebut. Badanku terlanggar sesuatu, keras, aku terjatuh. ” Miss, are okay?”, suara garau lelaki tua itu pantas cuba untuk mindaku kenali. ” Mr Brown, please help me, there something behind me”, tangisku semakin kuat tersedu sedan. Lelaki tua itu memaut lenganku dan keluar dari bangunan itu. ” You safe here, dont worry”, pujukan lelaki tua itu hanya berlalu sahaja di telingaku.

Serta-merta lampu di seluruh kawasan bangunan universiti terpadam sendiri dan dentuman guruh serta kilat sabung menyabung. ” We should leave this place,hurry up”, aku yang masih terpinga-pinga di heret oleh lelaki tua itu menuju ke kereta. Laju kami berlari, berlari menyelamatkan diri bersama lolongan serigala yang menambahkan kecut di hati. Angin semakin kuat, lolongan sayu serigala semakin mendekat, bunyi seperti barangan di campak serta berlaga antara satu sama lain. Kilat, guruh saling bersilih. Kami menghela nafas, mencuri sediri nafas yang hilang bersama debaran yang bersisa di dalam kereta. Lelaki tua itu segera menghidupkan enjin kereta dan keluar dari pagar universiti.

Aku di hantar pulang ke rumah oleh lelaki tua itu. Wajahku yang kusut masai dan terpinga-pinga mengejutkan keseluruhan rakan serumahku. Aku tidak mampu bercerita apa-apa, aku terkejut dan ketakutan. Segera aku peluk erat Alia, sahabat serumahku. Lelaki tua itu menceritakan semuanya kepada rakan-rakanku. Dan aku hanya mampu memandang dengan pandangan yang kosong. Semuanya telalu pantas dan mengejutkan hingga benakku sukar untuk menghadam setiap yang berlaku.

Keesokkannya, seluruh warga universiti kecoh dengan apa yang berlaku. Pensyarahku terjumpa buku nota serta segala baranganku di makmal dalam keadaan berselerak. Lebih menakutkan, terdapat kesan seperti cakaran di meja tempat aku duduk semalam. Ianya menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Di bumi Kanggaru itu aku di ganggu, di tahun akhir bergelar mahasiswa dan di makmal yang selama ini mungkin menyimpan misteri yang tidak dapat dihuraikan. Jika selama ini, kita dimomokkan dengan pelbagai kisah mistik di alam Melayu walhal jauh di pelusuk bumi Kanggaru, ianya wujud dan nyata menghantui barangkali tidak semua tetapi aku dalam kalangan yang di uji oleh makhluk yang tidak terlihat oleh pandangan mata.

DISCLAIMER:
Ianya adalah sebahagian dari pengalaman sebenar penulis.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pengembara Jalanan

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 5]

1 thought on “BAYANGAN MALAM”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.