BONEKA

Bab 1

Bibir Natasha disapu dengan lipstik, kemudian wajah isteri kesayangannya itu dimekap…

“Cantik.” Natasha senyum memandang cermin.

Anatoly membalas senyuman Natasha.

“Kasut.” Natasha memandang ke arah but berwarna merah.

Anatoly menepuk dahi. Terlupa memakaikan kasut buat Natasha. Kasut kesukaan Natasha.

Anatoly menyarung but di kaki Natasha. Natasha senyum lebar. Anatoly bangun.Tubuh Natasha didukung. Diletakkan di atas sofa di hadapan TV, kemudian Anatoly duduk di sebelah Natasha. Mereka menonton filem bersama-sama.

Hanya seketika Natasha menonton rancangan kegemaran mereka. Kedengaran suara Natasha mengeluh.

Anatoly memandang wajah Natasha. Muram. Matanya bergenang dengan air mata.

“Kenapa Natasha?”

“Sunyi…”

Anatoly mengeluh. Dia juga berasa sangat sunyi. Hidup bersama Natasha selama 9 tahun, pasti Natasha juga terasa sunyi.

Tambahan lagi, sudah banyak kali Natasha mengadu kepadanya, dia sangat kecewa apabila ibu bapa Anatoly tidak melayannya, malah mereka berlagak seolah-olah Natasha tidak wujud.

Anatoly sedih mendengar keluhan Natasha. Dia tahu Natasha bukan mereka cerita untuk meraih simpati. Semua yang diceritakan Natasha benar belaka. Berlaku di depan matanya sendiri.

Kedua-dua ibu bapanya memang tidak mempedulikan Natasha. Sewaktu makan, Natasha langsung tidak dijemput, sudah 9 tahun begitu, Anatoly tidak mampu menegur ibu bapanya. Tetapi dia bersyukur, walaupun dilayan begitu, Natasha masih setia disisinya.
Anatoly sedar dia bukan kaya, dia tinggal bersama ibu bapanya di sebuah unit pangsapuri yang kecil.

Mereka sebenarnya mahu mempunyai keluarga lebih besar. Walau bagaimanapun, pihak kebajikan Rusia menolak permohonan untuk mengambil anak angkat kerana faktor kewangan yang tidak kukuh.

“Jangan risau sayang. Nanti aku usahakan…”

Mata Natasha ditatap lama. Lega dia melihat senyuman Natasha.

Dia harus berbuat sesuatu. Dia mahu Natasha mempunyai rakan untuk bergelak tawa saat dia bekerja.
Seminggu kemudian, Anatoly pulang membawa beg.

Bab 2

Kini Anatoly semakin lega.

Natasha semakin gembira. Di pangkuan Natasha, kini ditemani Marsha. Berusia 3 tahun.

Marsha sangat comel. Dia masih teringat senyuman lebar Natasha saat dia membawa Marsha pulang.

Sepanjang malam, Marsha dipeluk Natasha sehingga ke pagi. Anatoly membiarkan, dia tahu, Natasha sudah lama mahukan anak untuk dijadikan peneman kala sunyi.

“Kau sekarang dah nak masuk 40 tahun, sampai bila kau nak jadi macam ni, bela patung, suka menyendiri. Kau tak rasa nak ada keluarga, kahwin, ada anak. ”

Anatoly diam. Dia mencuri pandang ke arah Natasha. Nyata riak wajah Natasha berubah muram sebaik sahaja mendengar apa yang dikatakan oleh ibunya. Mungkin perkataan ‘patung’ membuatkan Natasha tersinggung.
Marsha bukan patung. Anatoly dan Natasha sudah menganggap Marsha sebagai anak mereka sendiri.

Kahwin? Bukankah dia sudah berkahwin dengan Natasha. Mungkin ibunya mahu dia bercerai dengan Natasha kerana Natasha tidak memberikan zuriat buatnya. Tetapi mereka gembira kini dengan kehadiran Marsha.

Anatoly sedih melihat Natasha yang kini menangis. Cukup! Anatoly tidak sanggup melihat Natasha bersedih mendengar leteran ibunya. Pasti hati Natasha terguris luka.

Marsha dalam dukungan Natasha diletakkan di atas sofa. Anatoly mendukung Natasha masuk ke bilik.
Ibu bapa Anatoly menggeleng kepala.
.

Bab 3

“Kenapa.”

“Marsha dah mereput tu. Mata pun dah tak ada. Macam mana dia nak tengok TV macam ni?”

Anatoly mengambil Marsha dari riba Natasha. Mata Marsha diteliti. Ya sudah lopong. Tubuh Marsha juga sudah ringan.

Anatoly menyumbat tubuh Marsha yang mula mereput dengan cebisan kain. Seterusnya, dia memasukkan mata patung ke dalam soket mata Marsha.

“Dah siap.” Anatoly meletakkan Marsha di atas riba Natasha semula.

Riak wajah Natasha berubah gembira.

Natasha menemani Marsha menonton kartun bersama.

Bab 4

Natasha murung lagi. Marsha kini tidak dipedulikan. Apabila diletakkan Marsha di riba Natasha, layanan Natasha kepada Marsha dingin. Tidak seperti dulu.

“Kenapa Natasha?”

“Tak ada apa…” Natasha diam. Seakan malas mahu melayan pertanyaan Anatoly.

Anatoly nekad. Dia akan membuat Natasha tersenyum semula.

Keesokannya, Anatoly membawa pulang beg hitam lagi.

Bab 5

“Siapa tu?” Natasha yang berada di kerusi bersebelahan Anatoly bertanya.

Anatoly memandang wajah Natasha seketika. Ternyata mata Natasha bersinar. Pasti Natasha gembira dengan hadiah yang dibawa pulang olehnya.

“Tiara.”

Natasha menegur Tiara yang dibaringkan di atas meja.

Rusuk Tiara ditoreh dengan pisau.

Anatoly meletakkan peti muzik di dalam rongga rusuk jasad Tiara yang sudah diawetnya. Siap!

Anatoly menanda Tiara dengan dengan tarikh lahir.

Diletakkan Tiara yang berumur di 10 tahun di sebelah Natasha. Natasha seronok berbual dengan Tiara. Anatoly kembali tersenyum lebar. Barangan Tiara, gambar dan plat nama yang diambil dari batu nisan diletakkan di sebelah Tiara.

Beberapa bulan kemudian, Natasha sama seperti sebelumnya. Sudah tidak mempedulikan Tiara.

Anatoly membawa pulang beg hitam lagi. Lagi… dan lagi…

Kini Natasha semakin gembira dengan 10 rakan baru yang sudah dimumiakan di dalam pangsapuri Anatoly. Kesemua ahli keluarganya berada dalam lingkungan umur 3 sehingga 25 tahun.
Kesemua boneka itu disediakan khas buat Natasha.

Anatoly juga amat sayang pada kesemua ‘boneka’ yang diibaratkan seperti anaknya sendiri.

Ternyata pengorbanannya tidak sia-sia. Natasha kini semakin gembira. Malah senyuman tidak lekang di bibir Natasha.

Bab 6

Ibu bapa Anatoly sedang menonton siaran berita.

Anatoly masuk ke rumah membawa beg hitam. Dia terus masuk ke bilik. Beg hitam diletakkan di atas katil. Dia keluar semula menuju ke ruang tamu.

“Patung lagi. Sampai bila kamu nak kumpul patung pelik ni. Rumah ni dah penuh dengan patung.” Ibu Anatoly membebel.

Bapa Anatoly hanya diam. Faham benar dengan hobi pelik Anatoly yang suka mengumpul boneka aneh.

Anatoly tidak menjawab sebaliknya berjalan ke dapur. Dahaga. Natasha dipandang sekilas. Riak wajah Natasha berubah muram sebaik sahaja mendengar bebelan ibu Anatoly.

Anatoly mengambil sebotol air mineral di dapur, kemudian duduk di sebelah Natasha. Dia tidak menegur Natasha. Natasha juga begitu. Mereka lebih suka berbual ketika ibu bapa Anatoly tidak berada di rumah.

“Penduduk setempat menyedari beberapa kubur keluarga mereka kelihatan seolah-olah digali semula. Malah, ada kuburan yang sudah hilang ‘penghuni’nya. Apa penjelasan Tuan?” Kelihatan wartawan mengajukan soalan kepada Jurucakap bagi Menteri Hal Ehwal Dalaman Rusia, Jeneral Valery Gribakin.

Anatoly meneguk air mineral. Jawapan dari Janeral Valery didengar penuh teliti.

“Kubur-kubur tersebut mungkin digali oleh satu kumpulan ekstrimis yang mahu mengganggu keamanan kawasan terbabit.”

Anatoly senyum. Natasha juga tersenyum lega setelah mendengar penjelasan itu.

Pintu diketuk. Semua memandang ke arah pintu.

Ibu Anatoly membuka pintu. Kelihatan dua anggota polis berdiri di muka pintu.

Bab 7

“Ada apa Encik?” Ibu Anatoly bertanya kepada anggota polis.

“Kami nak jumpa Anatoly.”

Anatoly bangun, menghampiri anggota polis. Dia tenang. Anggota polis yang berada di luar rumah dihampiri.

“Awak Anatoly?Nekropolis?”

“Ya saya.”

Anggota polis itu tersenyum.

“Saya Detektif Czar, kawan saya Detektif Dimitri. Sebenarnya kami nak mintak encik tolong bantu kami dalam siasatan…”

Anatoly merupakan seorang tenaga pengajar di sebuah kolej. Dia mampu bercakap dalam 13 bahasa berbeza, malah turut menggelar dirinya seorang ‘nekropolis’ yakni seseorang yang pakar mengenai hal-hal berkaitan kubur dan makam.

Anatoly turut mempelajari budaya kuno Celtic di sebuah Universiti tempatan dan menulis beberapa buku dan kajian akademik mengenai subjek berkenaan. Oleh kerana itulah, pihak polis ingin meminta dia membantu dalam siasatan kes itu.

Anatoly mengangguk tenang. Mengajak dua detektif itu berbual di kedai makan berhampiran rumahnya.

Selesai mendengar penjelasan pihak polis. Anatoly bersetuju untuk membantu pihak polis untuk menyiasat mengenai kehilangan penghuni kubur itu.

Walau bagaimanapun, kes terbabit menemui jalan buntu meskipun siasatan sudah dijalankan selama dua tahun.

Bab 8

Detektif Czar dan Detektif Dimitri bertolak ke Lapangan Terbang Domodedovo kerana
satu serangan pengganas telah berlaku di sana.

“Eh! Tu Anatoly kan?” Detektif Czar yang duduk di sebelah tempat duduk memandu menunjuk ke arah tanah perkuburan Islam.

“Ha,ah. Dia buat apa kat sini? Baru ni ada aduan, beberapa kubur kat tanah perkuburan Islam ni kena gali.”

“Berhenti kejap.” Detektif Czar mengarah.

Kereta berhenti. Mereka menuju ke arah Anatoly yang sedang menggalas beg hitam. Berdiri tenang di sebelah kubur.

“Buat apa kat sini Anatoly?”

“Tak ada apa? Buat siasatan sikit. Baru ni ada penduduk kat sini cakap tanah perkuburan islam pulak yang kena gali.”

Detektif Dimitri mengangguk.Manakala Detektif Czar memerhati kawasan sekitar.

“Macam biasa, digali kemudian dikambus semula.” Anatoly menunjuk pada beberapa kubur yang telah digali.

“Saya balik dulu Tuan.”

Detektif Dimitri dan Detektif Czar mengangguk kemudian menuju ke arah kereta. Mengangkat tangan kepada Anatoly yang berselisih dengan mereka. Tiba-tiba Detektif Czar bersuara.

“Tunggu!”

Langkah Anatoly terhenti.

“Kenapa?” Wajah Anatoly seperti biasa. Tenang.

“Apa dalam beg hitam tu?”

“Barang hardware.”

Detektif Czar diam sejenak. Dia terhidu bau kurang menyenangkan. Ya, bau yang sama sewaktu dia singgah di rumah Anatoly. Pada awalnya dia mengangka bahawa itu hanyalah bau kompleks perumahan itu yang sudah lama.

“Buka…” Detektif Czar mengarah.

Anatoly kelihatan keberatan untuk membuka beg hitamnya.

Detektif Dimitri menghampiri Anatoly. Beg ditangan Anatoly diambil. Detektif Czar kini berdiri di sebelah Anatoly.
Beg hitam dibuka.

“Tulang…” Detektif Dimitri memandang Anatoly.

Anatoly diam tidak berkata apa-apa. Dia ditahan.

Bab 9

Rumah keluarga Anatoly segera diserbu namun apa yang menanti pihak polis di sana mengejutkan dunia.

Sebaik sahaja pihak berkuasa menyerbu masuk ke rumah Anatoly, mereka mendapati terdapat banyak boneka yang terdiri daripada pelbagai saiz dan rupa.

Ada di antara mereka kelihatan seperti patung antik. Sesetengah daripada anak patung terbabit memakai solekan yang tebal. Malah, ada juga yang mukanya ditutup dengan sehelai kain nipis.

Detektif Dimitri mengangkat boneka untuk disiasat. Sebaik sahaja diangkat, boneka milik Anatoly mengeluarkan musik apabila dialihkan atau disentuh.

Detektif Czar memandang sekitar rumah Anatoly.Kelihatan beberapa ‘patung’ bersaiz manusia yang lengkap berpakaian cerah dengan wajah dan sendi dibalut kain.

Ada antaranya diletakkan di atas rak atau sofa di dalam bilik-bilik kecil yang dipenuhi buku dan kertas.

Jasad itu diteliti Detektif Czar, Terdapat beberapa ‘boneka’ yang mempunyai barangan peribadi dan pakaian di dalam badan mereka. Satu mayat mempunyai batu nesan yang berukir nama si m**i diletakkan di dalam badan. Ada juga yang masih memakai tag hospital bersama tarikh kematian dan ada juga yang masih mempunyai jantung yang sudah kering.

Anatoly yang digari menghampiri Natasha. Duduk melutut di lantai dan merebahkan kepalanya pada paha Natasha yang duduk di atas kerusi.

Detektif Dimitri hanya memandang sekilas pada Anatoly yang sedang duduk bersandar kepala pada paha patung, wajah patung pula ditutup dengan topeng.

Anatoly teringat kembali saat kali pertama dia bertemu Natasha.

Bab 10

(Imbas Kembali)
Anatoly berlari di setiap ceruk untuk mengutip kertas terbuang. Pada hari tersebut, Anatoly dan jirannya diwajibkan menyertai pertandingan mengumpul kertas terpakai anjuran kerajaan.

Persaingan yang kuat untuk menang membuatkan Anatoly memasuki setiap ceruk untuk mengutip kertas terbuang.

Dalam pencarian, dia telah bertembung dengan sekumpulan individu yang berpakaian pelik, memegang lilin di hadapan sebuah keranda sambil menyanyi dalam bahasa asing.

Anatoly bergegas mahu beredar, namun, salah seorang hadirin telah menahan dan menyuruhnya untuk mencium mayat di dalam keranda tersebut.

“Cium Natasha.” Hadirin memaksa.

Anatoly berdiri kaku.

“Cium Natasha.”

Mayat tersebut adalah Natasha Petrova yang maut akibat terkena renjatan elektrik.

Anatoly menggeleng lagi. Tidak mahu.

“Tak nak!” Anatoly menolak permintaan tersebut namun gagal.

‘Dipaksa’ ibu bapa si m**i, Anatoly akhirnya akur mencium dahi Natasha yang diselaputi lilin.

Rombongan itu beredar ke tanah perkuburan. Anatoly kembali ke rumah.
Malam itu dia, didatangi Natasha di dalam mimpi.

“Selamatkan aku Anatoly. Aku takut. Tempat ni gelap. Menakutkan.” Jelas kelihatan air mata Natasha jatuh menuruni pipi.

Anatoly terjaga dari mimpi.

Bab 8

(Imbas kembali)
Anatoly termengah-mengah. Penat menggali kubur Natasha. Rambut Natasha diusap. Kesian Natasha dibiarkan kesejukan.

“Jangan risau, lepas ni aku jaga kau. Bangun Natasha. Dah tak ada orang kat sini.”

Mata Natasha yang terpejam rapat kini terbuka. Natasha tersenyum ke arah Anatoly.

“Sejuk.”

Anatoly lantas berbaring di sebelah Natasha. Tubuh Natasha dipeluk. Kejam sungguh ibu bapa Natasha membiarkan Natasha kesejukan.

Mereka sama-sama melihat bintang di langit.

Anatoly terasa damai. Lega kerana sudah menyelamatkan Natasha. Kerana kepenatan, dia tertidur seketika. Setelah sedar tubuh Natasha diangkat.
Dibaringkan di sebelah kubur. Jasad Natasha dimasukkan ke dalam beg hitam. Tanah kubur dikambus semula.

Siap!

Beg hitam diangkat. Anatoly beransur pulang.
(Tamat Imbas Kembali)

Bab 9

Anatoly melihat Natasha mengalirkan air mata, begitu juga Marsha, Tiara dan anak-anak mereka yang lain. Semua anak-anaknya memandang Anatoly dengan pandangan sayu.

Dia tahu Natasha dan keluarganya juga turut bersedih seperti dirinya. Mereka tahu saat perpisahan telah tiba.

“Bangun.” Detektif Dimitri menarik lengan Anatoly.

Anatoly bangun, menatap wajah Natasha buat kali terakhir sebelum berpisah. Dia diiring polis keluar dari rumah.

“Jangan tinggalkan aku.” Suara Natasha yang sayu tiba-tiba kedengaran.

Di muka pintu, langkah Anatoly tiba-tiba terhenti. Dia menoleh lagi. Memandang Natasha buat seketika kemudian berpaling semula.

Sebelum beredar Anatoly berpesan.

“Encik jangan tanam dalam-dalam. Saya dah keluar penjara, saya nak kumpul balik keluarga saya!”

Anatoly keluar dari rumah. Sayu merantai hati. Entah bila lagi takdir akan menemukan dirinya dan Natasha semula.

Tamat.

Adaptasi kisah benar. Anatoly Moskvin. Rusia.
Sumber: BBC, Daily Mail, Dark Histories

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

SYED UWAIS QORNI-SUQ

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 4.7]

3 thoughts on “BONEKA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.