Buana

Sudah dua minggu semenjak kejadian haruman yang hanya keluar selepas Maghrib itu terjadi. Haruman yang seperti bau bunga mawar itu telah menggemparkan satu blok asrama perempuan itu dua minggu yang lalu kerana tiada pokok bunga mawar berdekatan di situ. Namun, kerana musim peperiksaan dalam masa dua bulan lagi maka kejadian itu pun tidak berlarutan menganggu pelajar-pelajar perempuan di situ. Kejadian aneh ini hanya menjadi bualan untuk beberapa hari dan mereka akhirnya terbiasa dengan bauan itu yang hanya akan berlarutan sehingga sebelum azan Subuh berkumandang.

Di semester dua ini, inilah pengalaman aneh pertama yang dialami oleh Anna seorang pelajar agama Kristian yang menyambung pelajarannya di Kolej Matrikulasi di tengah semenanjung Malaysia itu. Berbekal kan ajaran agamanya, Anna semakin sering sembayang sendirian ketika rakan-rakan sebiliknya yang beragama Islam keluar untuk solat berjemaah di surau yang juga terletak di lantai pertama bangunan asrama Blok Alam itu. Bilik Anna merupakan bilik di koridor paling belakang bangunan segi empat itu, yang juga bersebelahan tangga sebelah kiri di lantai pertama. Disebabkan kedudukan bilik tersebut, haruman tersebut agak kuat dihidu mereka.

Dek kerana peperiksaan akhir semakin menghampiri, maka ujian-ujian mengejut semakin kerap dijalankan di kelas-kelas tutor. Hal ini membuatkan Anna dan rakan-rakan sekelas lebih banyak menghabiskan masa membuat ulangkaji bersama di perpustakaan yang berhadapan kafe Blok Alam yang didiami Anna. Pulangnya Anna juga kebiasaannya beberapa minit sebelum azan Mahgrib sejak dari semester satu atas pesanan rakan sebiliknya. Entah kenapa malam ini, Anna merasa terlalu lelah sehingga dia terlelap seketika di perpustakaan. Dia kemudiannya terjaga kerana azan Maghrib berkumandang, yang akhirnya dia memutuskan untuk mengemas kertas-kertas tutor nya dan pulang selepas habis azan Maghrib. Bukan Anna sahaja yang masih di dalam perpustakaan tersebut, beberapa orang pelajar berbangsa Cina dan India juga masih segar membuat tugasan tutor mereka di situ kerana perpustakaan dibuka sehingga jam 10 malam di musim ujian tidak seperti sebelum ini di mana perpustakaan dibuka sehingga jam 7 malam sahaja.

Sebaik sahaja azan Maghrib tidak lagi berkumandang, Anna pun keluar dan pulang ke asramanya yang terletak tidak sampai 200 meter dari perpustakaan itu. 10 langkah sebelum tiba di kaki tangga menuju ke biliknya, alangkah terkejutnya Anna melihat sekujur tubuh berbungkus kain putih dengan kotoran tanah di bahagian kaki berdiri betul-betul di sebelah tangga. Langkahnya terhenti dan Anna dengan cepat menggosok matanya dan melihat semula ke arah tangga, namun kelibat tadi tidak lagi kelihatan di situ dengan serta merta bulu romanya berdiri sebaik disapa angin yang entah datang dari arah mana. Cuba menyenangkan hati, Anna hanya mengira mungkin kerana dirinya terlalu lelah dan meneruskan perjalanannya menaiki tangga. Tanpa disedarinya, sekujur tubuh tadi berdiri di bawah pokok yang bersebelahan tangga yang Anna sedang naiki.

Kunci dimasukkan ke tombol pintu, bilik kosong kerana rakan sebiliknya menunaikan solat Maghrib berjemaah yang seterusnya diteruskan dengan bacaan surah di surau seperti biasa. Dengan kesempatan ini, Anna segera meletakkan beg galasnya di atas kerusi, mencapai baldi yang berisi bakul barang mandiannya dan baju kotor tadi pagi terus menuju ke bilik air. Sebaik sahaja melalui tangga tadi, di hujung mata Anna seolah-olah menangkap entiti putih dan meskipun Anna merasa seram sejuk tiba-tiba itu, langkahnya tetap diteruskan menuju ke bilik air. 

“Bagus, mesin basuh kosong.” Ujar Anna melihat sebuah mesin basuh kosong, segera dia membuka pakaian dan berkemban menggunakan kain batik. Pakaian kotor tadi pun dimasukkan ke dalam mesin basuh, “Selamat tangan aku harini, tak payah cuci baju guna tangan”, kata hatinya. Sementara pakaiannya dicuci, Anna pun mandi. Kedengaran ada orang lain juga masuk ke dalam bilik mandi. Kemudian kedengaran lagi dua orang juga masuk ke dalam tandas, ada yang yang menggunakan sinki sambil memberus gigi. Lega hati Anna mendengarnya, akhirnya tidak kesunyian selepas mengalami kejadian yang membuat bulu romanya meremang tadi. Selesai mandi, pakaiannya juga selesai dicuci terus di sidainya di ampaian dalam. “Esok pagi sahaja lah aku jemur baju-baju ni ke ampaian luar”, katanya sendiri. 

Di bilik, selesai berpakaian dan membuat skincare routine kata orang tu, Anna meluangkan masa 15 minit untuk bersembayang. Kemudiannya dia berbaring dan menghantar WhatsApp di group keluargnya seperti biasa. Tidak terdetik di hati Anna menceritakan kisah tadi, namun keluarganya sudah dimaklumkan Anna tentang kejadian haruman bunga mawar tersebut yang membuatkan ibunya tidak henti-henti mengingatkannya untuk sering-sering sembayang. Tidak lama sudah kedengaran bising di luar, pelajar-pelajar perempuan lain sudah selesai solat termasuklah rakan-rakan sebiliknya. 

“Anna, kau balik jam berapa tadi?”, tanya Afiza, penghuni katil sebelah Anna.”Ha’ah Anna. Lambat kau harini, biasa kau sampai sebelum kita orang solat”, kata Sephia penghuni katil depan Afiza.”Saya tertidur tadi sebab penat kut”, jawab Anna yang berubah ke posisi duduk atas katil sebaik sahaja mereka masuk.”Anna, esok-esok jangan balik lepas Maghrib macam ni tau”, ujar Najah penghuni katil depan Anna.”Betul tu, Anna.”, kata Sephia sambil membetulkan sejadah yang di sangkutnya di kaki katil. Afiza mengangguk sambil memandang Anna.” Ya ya, tak balik lambat dah lepasni. Hehe.”, jawab Anna.

Seperti biasa, perbualan mereka diteruskan tentang tahap susah ujian , isu dengan rakan sekelas, isu jadual kelas, hingga ke rancangan aktiviti hujung minggu bersama. Anna, Afiza dan Sephia mengambil jurusan sama iaitu perakaunan sementara Najah pula mengambil jurusan sains tetapi tidak menghalang mereka saling berkongsi cerita. Anna dan Afiza sama dewan kuliah tetapi berlainan kelas tutor makanya mereka berdua lebih sering ke kuliah dan pulang kuliah bersama, Sephia sahaja berlainan dewan kuliah. 

Malam itu, tepat jam 10 malam, mereka duduk di meja belajar masing-masing dan menyambung latihan tutor mereka. Sesekali Anna, Afizah dan Sephia saling mengunjungi meja belajar sesama sendiri apabila ada soalan sukar kerana mereka berkongsi subjek. Jam 12.43 pagi, Anna meregangkan badannya. Dia berpaling ke arah Najah, kemudian Sephia dan Afizah. Masing-masing ralit dengan tugasan tutor, memandangkan esok Sabtu tiada kelas tutor jadi mereka merancang untuk sama-sama bangun lambat makanya malam ini mereka ingin habiskan latihan tutor. Anna mengambil pencuci muka di dalam bakul mandiannya, terasa mukanya kembali berminyak pula. Dia bangun menuju ke pintu.

“Eh Anna, nak keluar ke? Aku temanlah. Kan dah janji kalau keluar jam-jam lewat macam ni kena sama-sama”, kata Afiza bangun dari kerusinya. Najah dan Sephia hanya memandang sepi mereka berdua sebelum menyambung menulis. Anna menjengah keluar, kelihatan masih ada yang berjalan di koridor kiri kanan dan atas, malah ada yang oncall di hujung kanan koridor lantai biliknya memakai telekung putih. Nyaris terkeluar jantung Anna melihatnya.

“Takyah lah Fiza, ramai ni ha berkeliaran kat luar.”, kata Anna sambil senyum meyakinkan Afiza dan keluar menuju ke bilik air di mana sekali lagi perlu melalui tangga tadi. Alangkah terperanjatnya Anna, ada seorang pelajar mengenakan baju biru kokurikulum kolej, berseluar slack hitam, bertudung hitam dan menyandang tote bag hitam menaiki tangga. Entah kenapa bulu romanya kembali meremang. Perlahan langkahnya cuma mengamati wajah pelajar perempuan itu.

Sebaik sahaja pelajar itu mengangkat mukanya yang tadi hanya tunduk dan bertemu mata dengan Anna, segera Anna mengecam wajah itu. Rupanya ketua blok asrama yang duduk di bilik koridor paling depan, entah kenapa dia gunakan tangga belakang sedangkan dia patutnya menggunakan tangga depan yang lebih dekat dengan biliknya. Tiba-tiba matanya berubah hitam pekat, urat-urat hijau di mukanya berubah hitam juga memandang tepat ke arah Anna yang terkaku seketika melihatnya. Bengis sekali pandangan mata yang hitam sepenuhnya itu. Entah dari mana tenaga Anna datang, dia lintasi juga pelajar itu yang masih berbaki 4 anak tangga sebelum tiba di lantai pertama blok itu, dan terus ke bilik air. Belum hilang rasa panik tadi, Anna terkejut melihat orang yang sama sedang memunggah pakaian kotor ke dalam mesin basuh depan bilik air yang senyum manis ke arahnya yang hanya dibalas senyum tipis daripada Anna.

Anna menepis rasa takut dan panik tadi, cepat-cepat dia membuka paip dan mencuci mukanya dengan air. Degupan jantungnya masih laju kerana kejadian tadi, sesekali dia menjengah keluar melihat ketua blok asrama tadi menekan button mesin basuh itu sambil mencekak pinggang. Anna yakin yang dilihatnya di tangga tadi bukan orang sama sekali. Dia meneruskan mencuci mukanya, dan membuang air kecil dengan degupan jantung yang masih melebihi degupan normal. Dia bersyukur masih ada lagi orang lain yang juga menggunakan bilik air, meskipun tiada antara mereka duduk sama koridor dengannya. Ini bermaksud, dia perlu pulang ke biliknya sendirian.

Di pintu bilik air itu, Anna menarik nafasnya dalam-dalam, dan hembus. Dia mengulang pernafasan begitu 3 kali sehingga degupan jantungnya kembali normal. Dia gagahkan diri melalui 2 buah bilik sebelum tiba di tangga tadi. Dengan beraninya dia menoleh ke arah tangga tadi, kali ini entiti tadi masih di situ tetapi berdiri menghadap pokok di depan tangga itu sambil berbisik. Tidak mengendahkan apa bisikan entiti itu, Anna yang meremang bulu romanya segera beredar masuk ke bilik. Sebaik sahaja dia masuk, Afiza orang pertama memandangnya kerana meja Afiza sebelah pintu bilik yang apabila pintu dibuka, orang yang masuk pasti akan melihat Afiza terlebih dahulu.

“Anna, pucatnya muka kau. Apasal?”, Afizah bangun dan menarik tangan Anna. Dia membawa Anna ke katil Anna sementara Anna mengulang cara pernafasan dilakukannya tadi di pintu bilik air. Afiza kemudian duduk di katilnya sendiri memandang Anna dengan dahi berkerut, Najah dan Sephia juga berhenti menulis dan mereka memandang ke arah Anna.”Aku tidur dulu lah, korang”, Anna terus ke meja belajar dan mengemas kertas-kertas atas meja nya dan terus baring dan tidur. Membiarkan tiga lagi rakannya saling memandang satu sama lain dengan persoalan tidak berjawab. Sepi.

Anna mengalami demam sepanjang malam dan pagi esoknya ditemani Afizah ke pusat rawatan. Minggu itu, waktu cuti Anna dihabiskan dengan dengan hanya berbaring sehingga demam panasnya kebah. Selepas reda daripada demam, Anna pun menceritakan apa yang berlaku kepada tiga orang rakan sebiliknya. Najah yang lemah semangat pun mencadangkan mereka untuk bergabung katil sehingga mereka habis peperiksaan akhir. Namun, tanpa Anna sedari bahawa kejadian itu hanyalah permulaan sahaja untuk dirinya.

Hantar kisah anda :; fiksyenshasha.com/submit

Arabelle

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.