Budak Kaki Sebelah

TAJUK : BUDAK KAKI SEBELAH
KARYA PANDA
(Kisah benar seorang penjual ais krim)

Dari awal 2020 sampai ke 2021. Berbagai perintah telah kita patuhi.
Perintah berkurung sudah, perintah kawalan pergerakan sudah, perintah kawalan pergerakan bersyarat juga sudah. Dan macam-macam yang kita lalui sejak CORONA melanda negara kita, juga negara luar.

Ekonomi negara jatuh merudum. Malah banyak syarikat, agensi, perniagaan kecil dan besar menyembah bumi. Melingkup. Kenyataan yang amat perit. Namun terpaksa kita terima dengan redha. Setiap aturan Allah itu pasti ada hikmah di sebaliknya…

Aku, Kader Baba. 58 tahun.
Seorang penjual aiskrim berlambang Panda. Sebelum negara dilanda wabak Covid19, setiap pagi aku akan ke kilang aiskrim di Cheras Jaya mengambil stok aiskrim untuk dijual. Motor Ex5 cabuk peneman setia sejak dulu.

Rezeki semakin sempit bila kita semua terpaksa akur dengan perintah PKP, PKPB, PKPP. Jualanku merosot. Malah pernah seminggu tiada pembeli.

Semua orang berkurung di dalam rumah. Siapa yang sanggup bertaruh nasib untuk membeli aiskrim dari aku yang entah datangnya dari mana-mana?

Suatu petang,
Ketika aku berhentikan motor di tepi tembok di belakang lorong kedai mamak, sambil menyedut kopi ais untuk menghilangkan lelah….aku terpandang seorang budak berdiri di balik tong sampah Majlis Perbandaran.

Dari jarak 10 meter tu aku nampak matanya memandang sayu ke arah aku. Memang lemah la kalau bab budak-budak ni, terbayang anak empat orang di rumah. Mungkin macam ni lah bila anak-anak aku teringinkan sesuatu yang aku tak mampu berikan.

Kedua tangannya berpaut pada tong sampah. Dengan pandangan matanya tidak lepas dari memandang ke arah tong aiskrim dan sesekali merenung wajahku pula.

Kacau. Perasaan aku waktu itu berkecamuk dengan pendapatan RM15 di dalam poket. Isteri sudah meminta duit belanja dapur. Rumah sewa kena bayar lagi seminggu. Datang pula muka sedih anak siapa tak tahu lah.

Aku menepuk dahi. Langit ketika itu semakin kelam. Burung-burung mulai berterbangan pulang ke sarang.

Jam di tangan menunjukan hampir jam tujuh. Berniaga dari tengahari hanya dapat RM15. Apa yang akan ku beri pada keluargaku?

Baliklah. Bisik hatiku. Aku alihkan pandangan mataku dari budak perempuan yang masih berpaut di tong sampah. Enjin motorsikal ku hidupkan. Dengan wajah dingin aku melewati budak kecil itu.

Dia tidak melepaskan pandangan matanya dari aku. Mungkin ralat bagi dia sebab aku pura-pura tak nampak.

Setelah melepasi budak dan tong sampah itu. Hatiku lega. Keadaan aku dan anak-anak pun tiada siapa yang bersimpati. Kali ini aku keringkan hati. Biarkan ianya berlalu.

Entah kenapa aku ingin melihat reaksi budak perempuan tadi dari cermin pandang belakang. Mungkin dia sudah berlalu pergi.

Aku menjeling.
Tersentak aku waktu itu. Motorsikalku terhenti. Datang perasaan menyesal yang tak tergambarkan.

Budak itu hanya ada satu kaki? Tergamaknya aku, apa lah yang dia mengerti tentang kesusahan orang tuanya.

Aku patah balik ke belakang. Mendekati budak perempuan comot berbaju putih dan merah.

“Adik nak aiskrim perisa apa? Coklat, vanilla, jagung, durian…yang warna pink pun ada. Pilih lah. Pakcik belanja,” aku cuba sorokkan mata yang berkaca.

Wajah comotnya terlukis sebaris keriangan. Mungkin seronok nak dapat aiskrim percuma. Budak mana yang tak seronok?

Aku kesat mata yang mula basah. Terbayangkan Nana anak bungsuku yang berusia enam tahun.

“Nak aiskrim kon, boleh?” Soalnya tanpa berganjak dari tong sampah tempat dia berpaut. Aku angguk dan senyum.

“Coklat campur vanilla boleh?” Soalku.

“Boleh boleh.. Nani suka dua tu, yeayyy!!!” Manisnya bila dia tersenyum. Nani namanya.

“Kenapa Nani berdiri seorang kat sini? Mak ayah tak marah?”

“Nani tak ada mak ayah,” ringkas jawabannya. Hati aku bagai dijentik. Kasihannya anak ini. Hanya mengharapkan simpati orang yang lalu lalang di lorong belakang ini.

Aku berikan aiskrim kon besar dan extra aiskrim dua perisa kesukaannya. Nani menyambut dengan senyum yang sangat manis.

“Pakcik nak balik. Nani pun kena balik juga. Nak malam dah ni, Nani” nikmatnya budak comel itu dapat merasa aiskrim.

“Pakcik Kader. Esok belanja Nani lagi. Nani tunggu sini, boleh?” Tahu pula nama aku?

Aku menoleh. Matanya menggambarkan dia sangat berharap. Tak sanggup aku hampakan hati si kecil ini. Aku menggangguk.

Tiba di rumah, Puan Tracy sudah menunggu bersama anak tunggalnya, Desmond. Isteriku tersenyum memandang aku yang baru tiba dengan wajah penuh kehairanan.

“Encik Kader. Kami mau beli semua aiskrim yang awak jual. Hari ini birthday Desmond. Saya tak berani pergi mall cari makanan untuk party dia. Kawan-kawan Desmond datang 8 malam. Boleh la saya beli aiskrim dari you,”

Alhamdulillah, rezeki yang tak disangka bergolek datang ke rumah. Aku terbayangkan wajah Nani. Syukur, atas sedekah yang kecil aku diberi rezeki sebesar ini.

Keesokannya aku melalui lorong itu seawal jam 2 petang. Nani tak kelihatan. Mungkin dia akan keluar lewat petang seperti semalam.

Aku teruskan perjalanan dari satu taman perumahan ke satu taman perumahan. Hari ini hasil jualanku RM57. Alhamdulillah. Sedikit atau banyak aku tetap berterima kasih pada rezeki Allah.

Tepat jam 6.45 aku singgah membungkus kopi ais ikat tepi di kedai mamak. Sengaja aku berhenti di pintu belakang berdekatan tong sampah Majlis Perbandaran tempat Nani menunggu.

Tepat seperti apa yang aku duga. Keluar dari pintu belakang kedai mamak, Nani sudah terpacak di sebelah tong sampah. Perasaan gembira itu hadir bila melihat dia sedang tersenyum melambai ke arah ku.

Tetapi, kenapa Nani masih begitu? Sayu juga melihat keadaan dia yang masih memakai baju yang sama seperti semalam. Susah sangatkah kehidupan keluarga dia? Aku menghampiri Nani.

“Pakcik Kader. Hari ni Nani nak perisa durian campur dengan yang warna pink, boleh?” Mata bulat dan redup itu memandang aku dengan penuh pengharapan.

“Coklat memang dah habis, Nani. Lain tu kamu nak campur semua pun pakcik bagi. Asalkan kamu balik lepas dapat aiskrim nanti. Bahaya tunggu lorong gelap ni,”

Nani tersenyum gembira sambil menganggukan kepalanya. Setelah siap aiskrim kon permintaannya, aku hulurkan dengan perasaan sebak melihat keadaan kaki kirinya yang kudung.

Nani menyambut dengan senyuman semanis gula. Seronok aku tengok.
Waktu itu lah pekerja kedai mamak bernama Alias menepuk bahuku.

“Apa buat sini? Itu ada orang mau beli. Ada lagi ka?” Alias yang baru dua tahun bekerja di sini masih janggal bercakap bahasa Melayu.

Aku pandang ke pintu belakang kedai, beberapa orang gadis kilang sedang menunggu. Hampir 20 orang. Rezeki lagi. Aku menghampiri mereka dengan perasaan gembira.

Bertambah lagi RM25. Aku tersenyum sambil menghidupkan enjin motorsikal ku. Azan maghrib berkumandang. Lambat pula balik hari ni.

Ketika melewati tong sampah, aku toleh juga mencari si manis bernama Nani. Tiada lagi budak manis berkaki satu di situ. Mungkin abang atau kakaknya sudah mengajak dia balik.

Pada suatu hari yang mendung,
Aku mencari Alias waktu makan tengahari. Jarang aku makan di kedai. Tapi aku ada hajat ingin sampaikan pada Alias.

Aku minta Alias berikan nasi bungkus berlauk ayam goreng dan sebungkus air sirap bandung untuk Nani setiap hari. Budak yang tiap petang akan berdiri dan berpaut pada tong sampah di belakang restoran.

“Mana satu budak? Saya takda nampak. Awak kasi tunjuk la. Cantik ka?” Alias menjawab.

“Nanti petang kalau awak nampak itu budak tunggu belakang sana, awak bagi dia nasi dengan air. Petang saya mesti datang bayar,” ayat aku pun ikut tunggang langgang mengikut rentak Alias.

“Wokey wokey. Kalau saya nampak la,” Alias berlalu pergi dengan kesibukan kerjanya.

Lega hati ku bila dapat buat sesuatu yang lebih bermakna untuk Nani. Mungkin dia tak berduit, mungkin dia lapar tapi malu meminta-minta pada orang yang tak dikenalinya.

Setelah tujuh jam mencari rezeki, sampai waktunya aku kena pulang ke rumah. Seperti biasa, aku akan singgah kedai mamak.

Aku cari Nani di lorong belakang. Dia sudah menunggu sambil menepuk tangan. Alangkah cerianya wajah Nani. Walau pun masih comot seperti selalu, Nani tetap manis dalam pandangan mataku.

“Hari ni pakcik nak bagi Nani aiskrim special. Aiskrim mahal ni, vanilla bersalut coklat. Ada kacang lagi ni. Nak dua pun pakcik bagi,” Nani menepuk tangannya dengan menunjukan barisan gigi yang sudah rongak.

“Hari ni banyak aiskrim pakcik orang borong untuk simpan buat stok dalam peti sejuk,” macam mana lah aku boleh bercerita dengan budak sekecil ini.

“Pakcik Kader, lepas ni jangan belikan Nani nasi dengan air. Nani tak makan. Simpanlah duit untuk anak pakcik,”

Aku memandang sepasang mata bulat Nani. Tulusnya hati anak kecil ini.

“Kader! Mari sini. Apa bikin sana?” Suara Alias memanggil aku.

Aku melambaikan tangan memanggil dia ke sini. Dua batang aiskrim ku masukan ke dalam plastik dan hulurkan ke tangan Nani.

Aku menoleh ke arah Alias yang sedang mengangkat mukanya bertanyakan sesuatu yang aku tak faham.

“Halo, Kader. Mana itu budak? Saya tak nampak la. Cantik ka? Kalau cantik saya mau tengok la,” Alias berseloroh.

Aku menoleh ke semula ke arah Nani.

Ehhh, mana Nani? Cepat betul Nani pergi? Aku terdiam tidak menjawab soalaan Alias.

Sejak itulah aku tidak berjumpa lagi dengan Nani. Aku pula sudah mulai menjual aiskrim di depan kilang di Sri Serdang. Jarang singgah di kedai mamak lagi. Sebab laluan balik ke rumah lebih dekat dari sini. Syukur, rezeki anak-anak aku tak pernah putus.

Suatu malam ketika selesai menutup lampu kedai dan kunci semua pintu. Alias melangkah pulang ke rumah pekerja seorang diri. Pekerja lain sudah jauh meninggalkan dia. Rumah sewa mereka tidak jauh dari kawasan kedai ini.

Cuma malam itu Alias terasa bulu romanya meremang. Salakan anjing menambah perasaan seram secara tiba-tiba. Tidak setenang malam sebelum ini.

“Pakcik Alias, boleh tolong saya?” Suara halus menegurnya dari belakang.

Lorong itu memang tiada lampu jalan. Hanya cahaya bulan yang menerangi suasana sekeliling.

“Siapa punya anak malam ni macam keluar main? Deyy!!” Alias menyumpah. Dia menoleh ke belakang. Budak perempuan, bisik hatinya.

Satu sosok tubuh kanak-kanak perempuan berdiri 5 meter darinya. Wajahnya tertunduk. Ada sesuatu di dalam pelukan budak itu. Alias mendekati dengan perlahan.

“Pakcik Alias mahu tengok saya, kan? Tolong pasangkan ni dulu,”

“Pasang apa?” Alias berasa berminat pula untuk mendekati budak perempuan di depan matanya.

Dua meter di depan mata.
Alias hampir menjerit. Budak perempuan memakai gaun paras lutut rupa-rupanya cuma memiliki satu kaki. Tapi…dia berdiri tanpa bantuan apa-apa.

“Tolong pasangkan kaki saya,”

Bedebap!!!

Kaki paras peha hingga ke tapak kaki dicampakkan ke muka Alias.

Alias menjerit seperti orang diserang harimau. Dia tidak tunggu lama lagi, terus berlari menyelamatkan diri. Habis kasut ditinggalkan sebab Alias rasa lebih laju lariannya jika berkaki ayam.

Suara anak kecil ketawa terasa dekat di cuping telinganya. Alias tidak dapat menahan ketakutan diganggu hantu budak kaki sebelah. Di situ juga dia pengsan tidak sedarkan diri.

Peristiwa aku terjumpa Nani belum pernah aku ceritakan pada anak-anak dan isteriku. Pada awalnya aku tak merasa apa yang misteri tentang budak itu.

Nani seperti kanak-kanak lain, sedikit comot di sebalik kemanisan wajah yang polos. Wajah anak kecil memang suci walau secomot mana pun dia. Cuma keadaan dia yang kerap muncul dengan baju merah putih dengan rambut berdebu itu yang sesekali menjentik hati ini.

Anak siapakah keluar setiap rumah di waktu senja? Tidak risaukah abang atau kakaknya jika adik mereka diculik orang? Dengan kaki sebelahnya kudung. Wajah sugul bermata sayu. Hampir dua bulan aku tidak ke kedai mamak seperti selalu.

Suatu petang rabu.
Cuaca mendung sejak tengahari. Aku menjadi mengantuk, apa lagi dengan jualan yang tidak seberapa, bangkit perasaan rindu nak makan capati berkuah kari ikan. Kopi ais pekat manis melekat di tekak. Tiba-tiba perut lapar.

Aku pun tinggalkan gate kilang dan menuju ke kedai mamak kesukaanku. Wajah anak kecil bernama Nani melintas di fikiran. Sesudah makan aku akan mencari Nani. Lama Nani tak dapat aiskrim dari aku.

Tiba di kedai mamak tepat jam enam. Tong sampah tempat Nani bersandar masih di tempat asal. Kelibat si comel itu je aku tak nampak. Mungkin juga masih awal.

Aku cari masakan kegemaranku. Kuah kari ikan dan ekor ikan merah aku cedok ke dalam mangkuk. Bakal ku telan bersama capati. Memang pelik makan kari ikan tanpa nasi, tapi aku nak simpan ruang sedikit untuk masakan isteri di rumah.

Setelah memesan kopi ais dan capati dari mamak bernama Salim, aku duduk di meja luar. Tercari-cari juga kelibat Alias. Kebiasaannya dia akan duduk di kaunter.

“Kopi ais kaw manis lebey!! Capati daun pisang siap!!!”

“Semangat kau hari ni, Salim? Gaji ada naik ka?” Aku mengusik. Sebelum ni bila aku datang, dia tunjuk muka rindukan bini di India. Kali ni ceria pulak.

“Saya ganti itu Alias la, bos. Ada sikit naik la. Anak sama bini banyak happy,”

Ohh, patutlah dari awal aku masuk nampak gigi je. Rupa-rupanya naik pangkat dengan naik gaji.

“Alias pindah mana? Cawangan baru lagi ke?” Soalku.

Riak muka Salim dari senyum menampakan gigi terus berubah menjadi kecut. Salim menarik kerusi di sebelahku.

“Abang sudah lama tak mari sini, itu Alias sudah sakit. Sudah gila,” capati yang aku sumbat ke mulut hampir tersembur ke muka Salim.

Aku terdiam bila Salim menceritakan peristiwa Alias dijumpai orang lain sedang terbaring di atas jalan di belakang lorong kedai. Apa yang memeranjatkan aku ialah bila mengetahui Alias sudah tidak waras lagi.

Selesai bayar makanan dan minuman, aku menghidupkan motor tanpa menoleh ke mana-mana. Aku tidak mahu terserempak dengan Nani.

Ya. Sebelum ini aku tak pernah risau mendekati anak kecil itu. Dia seperti gadis lain yang naif dan comel. Tidak meminta, cuma aku yang ingin memberi.

Nani! Hati ini menjerit. Pucat wajah aku ni kalau dihiris dengan pisau mungkin tak mengalir pun d***h.

Nani bersandar di tepi tong sampah sambil merenung aku dengan pandangan yang sebal. Dia masih memakai baju putih berceloreng merah seperti yang aku jumpa sebelum ini. Rambutnya masih kusut berdebu tak terurus.

Bunyi degupan jantung ini lebih laju dari bunyi enjin motor cabukku. Tangan sudah mulai menggigil. Kenapa kemunculan Nani kali ini membuat aku serba tak kena?

Dia muncul dengan wajah sedih, bukan dengan wajah terkoyak isi dan kulit. Kenapa aku harus takut? Aku memecut selaju yang boleh, walau pun motor cabuk ini sudah semput tak mampu mengikut kata hatiku.

“Pakcik Kader,”

Ahh, sudah! Menegur pulak. Peluh meleleh dari tepi dahi menitis di hujung dagu. Aku keraskan hati. Tidak menoleh atau menghiraukan panggilannya. Aku melepasi tempat Nani berdiri dengan muka berpaling ke arah lain.

Malam itu aku sukar melelapkan mata. Anak-anak dan isteri tidur bergelimpangan di depan telivisyen. Aku menyalakan rokok di luar rumah. Mata ini mengantuk tetapi sukar untukku mengikuti mereka ke alam mimpi seorang demi seorang.

“Awak tahu ka awak selalu pergi sana cakap satu orang? Alias hari-hari bagi tau saya, awak gila cakap satu orang,”

Perbualan aku dan Salim petang itu mengganggu emosi aku. Selama beberapa kali aku memberi Nani aiskrim Alias akan memanggil. Pernah dia bertanya dengan siapakah aku berbual.

Nani. Budak enam atau tujuh tahun yang menunggu aiskrim setiap petang. Alias sangkakan aku tidak waras kerana jualanku tidak laris.
Sekarang ini aku pula yang terkejut bila dapat tahu Alias sudah tidak waras.

Salim bercerita tentang keadaan Alias pada mulanya cuma demam biasa. Selepas dia mula bekerja semua seperti biasa, Alias selalu ternampak budak perempuan yamg dia lihat malam itu di tepi tong sampah. Alias bekerja dengan perasaan takut bercampur sasau, dia kerap menjenguk ke belakang seperti mencari sesuatu.

“Alias cari budak perempuan tu?” Aku menjadi ingin tahu. Salim mengiyakan.

“Alias satu orang juga nampak itu budak. Dia cakap itu budak satu kaki, saya tara nampak!” Cuak juga riak wajah Salim.

Aku menelan air liur. Teringat sewaktu Alias sihat dulu. Dia selalu menegur aku, bertanya dengan siapa aku bercakap. Aku sangkakan Alias bergurau. Tak pernah ambil serius apa yang dia tanya.

“Pakcik Kadir,”

Suara halus itu hadir bersama angin malam yang bertiup lembut. Aku memandang ke luar pagar. Gelap gelita.

“Pakcik Kadir tak suka Nani?”

Nani? Aku mendongak ke tembok di sebelah bahu kiriku. Tembok yang memisahkan rumah kami dengan rumah Sugumaren. Tembok setinggi enam kaki yang semakin berlumut.

“Nani? Buat apa datang malam macam ni?” Aku tersandar ke tembok sebelah pintu masuk.

Nani duduk di atas tembok dengan kakinya terjulur ke bawah. Senyuman Nani yang manis seperti masa mula-mula aku menemuinya tidak kelihatan lagi. Airmata d***h mengalir menitik mengotori bajunya. Esakan Nani semakin kuat.

“Nani tunggu Pakcik Kader, kenapa pakcik takut nampak Nani? Dulu pakcik baik,huhuuuuuu..” Nani menekup muka dengan kedua tangannya yang lebam dan luka.

“Ja..jangan menangis. Pakcik..pakcik cari Nani esok, ya..esok. Malam mana ada aiskrim,” suaraku terketar-ketar.

Aku cuma mahu memujuk supaya Nani pergi lah ke mana dia boleh pergi. Timbul kerisauan jika aku pula yang menjadi gila seperti Alias.
Tanpa aku sedar, aku telah berjanji untuk menemui dia esok petang di tempat biasa.

Nani hilang sekelip mata. Walau pun esakannya masih kedengaran, sayu mendengarnya. Namun, aku lega kerana Nani tidak mengganggu anak-anak dan isteriku.

Keesokan harinya aku pergi juga mencari Nani. Dalam hati yang berdegup jantung sekencang mesin tebu, aku teruskan juga niat untuk memberikan dia aiskrim. Semalaman aku berfikir, siapa pun Nani…dia tetap makhluk ciptaan Allah.

6 tepat aku memasuki kedai mamak. Basahkan tekak dan mengalas perut dengan sekeping roti telur. Salim tersenyum melihat aku melambai ke arahnya.

“Salim. Cerita lah, macam mana Alias boleh sakit?” Perkataan GILA aku gantikan degan SAKIT kerana tidak sanggup menyebutnya di depan Salim.

“Wokeyhh, ini time saya mau makan. Saya boleh cirita sama awak. Tunggu air siap,” lega mendengarkannya.

Sebab keinginan ini meluap-luap. Apa yang terjadi sebenarnya? Aku juga mula risau bila Nani sudah berani memunculkan diri di rumahku.

Salim mula membuka cerita.
Malam itu Alias dan Salim menutup kedai seperti kebiasaannya. Sejak Alias bekerja semula, Salim lah yang menemankan dia balik kerja. Alias lebih banyak berdiam diri jika dibandingkan dirinya yang peramah sejak dulu.

Ketika melewati tong sampah, Alias memalingkan mukanya ke arah tong sampah.
Entah kenapa Alias menjadi berang lalu mencapai papan yang bersandar di belakang kedai, apa yang dia buat? Salim tak sempat menegur dan melarang, satu hayunan Alias lepaskan ke tepi tong sampah. Salim hanya memerhati tanpa bersuara.

“Dia pukul tikus ka, kucing ka, saya tara nampak. Alias banyak marah. Dia bising-bising cakap satu orang,”

“Dia marah apa?”

“Saya dengar Alias cakap…pergi m**i ini budak. Lagi, dia cakap mau kasi buang itu kaki. Itu saja saya dengar,” Salim bercakap sambil laju menyuap nasi kandar ke mulutnya.

Aku seperti dapat meneka siapa yang dilihat Alias waktu itu. Semalam Salim telah menceritakan apa yang Alias jumpa sewaktu balik kerja seorang diri. Selepas sedar dari pengsan Alias terus menceritakan pengalaman diganggu budak perempuan berkaki satu.

“Alias pukul itu tong punya tepi macam orang marah banyak kuat. Saya panggil pun dia tak mau berhenti. Satu kali lagi dia pengsan situ,” aku terlopong mendengarnya.

“Masa bila dia sakit?”

“Besok dia bangun sudah gila,”

Bahuku ditepuk seseorang dari belakang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai tuan kedai. Salim mengangkat p******g meninggalkan aku berdua dengan majikannya.

“Nama saya Karim. Awak selalu nampak budak perempuan nama Nani ke? Mahu tahu cerita sebenar budak enam tahun tu?” Berulang kali aku menganggukkan kepala.

“15 tahun lepas atas kedai kami ada kedai judi. Ayah Nani hari-hari main judi. Abang dengan kakak dia duduk asrama. Tinggal dia seorang, mak sudah lama meninggal,”

Sampai situ mata aku mula berkaca. Hidung pula mula berair. Boleh bayangkan betapa malangnya hidup Nani mendapat ayah seperti itu. Karim meneruskan ceritanya.

Setiap hari Nani diabaikan ayahnya. Makan minum tidak terurus. Malah, Nani selalu berlapar menunggu ayahnya pulang membawa makanan. Selalunya Nani mendapat penampar dan sepak terajang dari ayah yang kalah judi.

Waktu itu Karim masih muda dan baru bekerja di kedai itu. Karim diantara pekerja kedai yang akan hulurkan makanan dan minuman pada Nani setiap kali Nani menunggu ayahnya turun dari kedai judi.

Suatu hari kedai mereka terpaksa ditutup atas sebab kerja-kerja membaik pulih tandas dan kerja membesarkan kedai. Bapa saudara Karim memberi cuti kepada semua pekerja termasuklah Karim.

Masuk cuti hari ketiga, Karim mendapat berita bahawa Nani dilanggar lori yang menghantar pasir ke kedai itu. Sewaktu lori mengundur ke belakang, pemandunya tidak nampak ada tubuh kecil keluar dari belakang tong sampah.

Sebelah kakinya digilis tayar lori. Tempurung kepalanya retak setelah terhantuk pada tong sampah besi tempat dia menunggu ayahnya.

“Nani meninggal tepi tong sampah besi itu lah. Saya tak sangka awak dengan Alias boleh nampak dia. Tapi, itulah saya mahu cerita. Ok, saya ada kerja,” Karim menepuk lagi bahu kananku.

Lama aku termenung. Alangkah peritnya hidupmu, Nani. Anak secomel kamu tidak mendapat kasih sayang dari seoramg ayah. Airmata jantan ini jatuh tanpa aku sedari.

Selepas membayar, aku terus keluar ikut pintu belakang. Tuan kedai bernama Karim melambaikan tangan sambil memberi ucapan salam. Aku membalas salamnya sambil berlalu lergi.

6.50 p.m
Jam buruk beli di pasar malam tidak pernah mengecewakan. Sentiasa tepat dan menemani aku selama dua tahun ini. Kecuali bila kehabisan kuasa baterinya.

Tiba di atas motor, aku nampak Nani berpaut sambil menyorokkan separuh dari wajahnya. Hidung dan bibirnya tersorok, mata bulat Nani memandang aku tanpa berkelip. Pandangannya tidak lagi semesra dulu.

Aku mendekatinya dengan senyum bercampur debar yang cuba ku kawal. Enjin motorsikal ku matikan. Nani mula memandang aku dengan mata berkaca.

“Nani pilih nak makan aiskrim perisa apa? Nak berapa banyak pun pakcik bagi. Pakcik anggap Nani macam anak pakcik. Pilih lah,”

Aku bukakan penutup tong aiskrim dengan senyum yang paling manis untuk anak ini.

Disebalik senyuman ini ada perasaan sebak yang aku sorok dari Nani. Matanya berkaca memandang aku tanpa bersuara.

“Nani nak perisa apa? Pakcik buatkan,”

“Pakcik Kader dah tahu?”

Aku angguk.

Suaraku terkunci tanpa mampu membalas soalannya. Nani melepaskan kedua tangannya yang selama ini berpaut pada tong sampah lalu berdiri tegak menghadap ke arahku.

Selama ini aku sangkakan Nani tidak mampu berdiri tanpa sokongan tong sampah itu. Matanya yang berkaca tadi dikesat dengan lengan baju yang bercapuk.

“Terima kasih. Pakcik Kader baik. Tak hina Nani. Lepas ni pakcik tak jumpa Nani lagi,”

“Kenapa? Pakcik ikhlas ni, nak. Kamu juga ciptaan Allah yang menumpang di bumi Allah macam pakcik,”

“Nani nak pergi. Terima kasih sebab pakcik anggap Nani macam anak pakcik. Nani rasa…Nani seronok dapat ayah yang baik macam pakcik,”

Aiskrim kon di tanganku tidak disambut Nani seperti biasa. Dia menghadiahkan aku senyuman terakhir yang melekat sehingga hari ini.

Bersama tiupan angin senja, Nani hilang dari pandangan. Selamat tinggal, Nani. Terima kasih hadir dalam kehidupan Pakcik Penjual Aiskrim.

-TAMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Karya Panda

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 36 Average: 4.8]

8 thoughts on “Budak Kaki Sebelah”

  1. sedih nya.. aku baca pun nangis… terima kasih share cerita ni. Memang menarik. Seram tapi sedih tu lagi banyak.. serius sedih. Nani..

    Reply
  2. Sapa p****g bawang ni wehhhh?? Sedih giler part nani ckp “pakcik kader dah tahu?” tu…. bertakung juga air mata aku… betul² pengalaman seram yg menyedihkan..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.