Bukan sekadar mimpi

Jam menunjukkan tepat 9 malam, maka berakhirlah kelas tambahan untuk hari ini. Aku dan kawan-kawanku yang lain mula mengemas barang untuk pulang ke rumah. Kami tinggal di kuarters guru (anak-anak cikgu belaka), bersebelahan sahaja dengan sekolah (kanan). Kelas tambahan terletak di kawasan perumah bahagian kiri sekolah. Memandangkan jarak yang tak seberapa nak jauh, kami selalu ulang alik jalan kaki sahaja. Masih ada lagi kenderaan di jalanraya waktu itu, lampu jalan pon berfungsi dengan baik.

Malam tu tiada apa yang aneh, kami semua berborak dan bergurau senda seperti biasa. Semasa melalui kawasan sekolah, aku ternampak seorang ‘kakak’ yang berbaju serba putih ala-ala baju kelawar di sebalik tiang lampu jalan. Berdiri tegak tanpa pergerakan. Bila ‘dia’ nampak aku pandang, ‘dia’ sedaya upaya mencuba untuk menyorokkan badannya di sebalik tiang lampu tersebut. Hairan. Aku buat tak endah dan teruskan berbual dengan kawan-kawan aku. Bermula dari saat itu, aku terasa seperti ada yang mengekori dari belakang.

Kuarters ni ada 4 blok utama. Blok A (2 blok), B (3 blok), C (4 blok) dan D (4 blok). Masuk je pagar kuarters, ada pondok keselamatan di bahagian kiri. Terus kedepan sikit ada dewan serbaguna di sebelah kiri, diikuti blok A dan blok B yang dipisahkan dengan laluan bersimen. Laluan ni menghubungkan penduduk dengan taman permainan dan blok C dan D. Selepas pondok keselamatan ada rumah sampah di sebelah kanan bertentangan dengan dewan serbaguna.

Masuk sahaja ke perkarangan kuarters, aku dah tak sedap hati. Mata mula melilau ke sana-sini. Dalam group tu aku di belakang sekali. Aku mula senyap tidak lagi berbicara dengan kawan-kawan aku. Mereka anggap itu perkara biasa sebab aku ni asalnya memang pendiam. Sesekali aku toleh ke belakang dan aku nampak ‘kakak’ tu sekali lagi. Dia bersembunyi di sebalik rumah sampah. Baju warna putih yang dikenakan jelas membezakan ‘dia’ dengan barang-barang yang dibuang di situ.

Aku alihkan pandangan ke hadapan. Dengan segera aku membuang segala perkara negatif yang hinggap di fikiran. Selang beberapa langkah aku berjalan, kali ni ‘dia’ berada di sebalik batu konkrit dewan serbaguna pula. Separuh badan’nya’ tersorok. Lama aku tenung ‘kakak’ tu, mungkin tenungan aku terlalu lama, ‘dia’ mulai perasan dan menghilangkan diri. “Dia siapa? Dia nak apa?” aku berdialog sendiri dalam hati. Cepat-cepat aku alihkan pandangan. Kawan-kawan aku bersembang seperti biasa, seakan aku seorang saja yang boleh melihat ‘kakak’ tu.

Selang beberapa saat, ‘kakak’ kini berada di blok A pula. “Argghh lain macam ‘kakak’ ni” fikirku. Tenang sahaja berdiri, memerhatikan kami dari jauh tapi masih lagi menyembunyikan separuh badannya. Bila langkah kami semakin hampir, dia menghilangkan diri. Aku makin tak sedap hati. Anak mataku ligat memandang ke kiri dan ke kanan berulang kali, seakan mencari bayang‘nya’. Namun tidak kelihatan, ku fikir ianya berakhir di situ sahaja, tapi tidak.

Kami semua berpisah di lorong antara blok A dan B kerana masing-masing tinggal di blok yang berbeza. Aku pula mengikuti kawan aku yang tinggal di blok B ke rumahnya. Katanya ingin memulangkan barang yang dipinjam. Alang-alang dah dekat aku turutkan saja. Dari ekor mata, aku nampak ‘kakak’ mengekori dari belakang. Perlahan tiada bunyi. Tapi jelas kelihatan. Bila aku toleh belakang, ‘dia’ bersembunyi di balik pokok pula.

Kuarters ni takde lif. Setiap tingkat hanya ada 2 buah rumah. Bukak pintu rumah je terus nampak tangga. Nasib baiklah rumah kawan aku ni aras bawah sekali, kalau tak memang aku suruh pulang lain hari. Nanti balik rumah nak kena panjat tangga lagi, dahlah rumah aku tinggat 4.

Aku menunggu kawan aku di hadapan rumah sementara dia mengambil barang yang ingin dipulangkan. Aku berdiri membelakangkan tangga. Dari hujung mata aku, ‘kakak’ semakin dekat. Berselindung di sebalik dinding blok rumah kawan aku. Kalau ingin keluar dari blok, aku perlu lalu melintasi dia. Itu satu-satunya jalan keluar.

Tunggu punya tunggu kawan aku masih tidak memunculkan diri. Badan aku mula menggigil, peluh mula mebasahi dahi. Aku dapat merasakan renungan mata ‘kakak’ yang tajam. Segala jenis zikir dengan surah-surah pendek meniti di bibirku. Tergagap-gagap. Tersasul semua sebutan, entah betul entah tidak. Dari posisi berdiri aku terus duduk depan pintu rumah kawanku. Bila aku pandang, bayangan ‘kakak’ tu sudah tiada. Aku menarik nafas lega. Ku sangka sudah selamat tapi sangkaan aku meleset.

‘Kakak’ tidak lagi bersembunyi. ‘Dia’ kini berada di tangga yang bertentangan dengan rumah kawan aku. Jelas kelihatan selembar kain putih yang dikenakan terapung-apung di udara, dengan muka bengis penuh ketidakpuasan hati melirik tajam kearahku. Tanpa menunggu walaupun sesaat ‘dia’ menerkam kearahku, kuku dan giginya yang panjang membuatkan aku memejamkan mata berserah takdir kepada-Nya. “ALLAHU AKHBAR” aku laungkan sekuat hati.

.
.
.
GELAP
.
.
.
Mataku ku buka perlahan. MIMPI rupanya. Nafasku laju, jantungku berdegup kencang. Kaku tidak bergerak di atas katil. Aku toleh ke sisi, kakak aku lena dibuai mimpi. Tidak ada apa-apa yang aneh di bilik tidur pada waktu itu. Aku yakinkan diri aku itu semua mainan syaiton dan sambung melelapkan mata.

Aku bangun seperti biasa dalam pukul 6 untuk bersiap ke sekolah. Ketika mandi, mukaku terasa pedih apabila terkena sabun seperti ada luka baru. Hairan. Dari mana pula datangnya luka tersebut. Cepat-cepat aku habiskan cucian dan meneliti muka aku di cermin. Ada garisan di pipi. Seperti dicakar. Teringat aku pada mimpi semalam. “Bukan mimpi agaknya” itulah yang terlintas di fikiranku. ‘Kakak’ memang ada, baik di alam mimpi mahupun nyata. Barangkali berada di sebelah katil sahaja sewaktu aku tidur.

Bermula dari sinilah, gangguan mistik seringkali menegurku di alam mimpi. Segala benda yang buruk, aku akan dapat tahu melalui mimpi. Tapi bukan selalu, ikut nasib. Sebelum dari mimpi ni lagi keluarga aku dah terbiasa dengan gangguan mistik ni. Kalau tak kerana dengki manusia, saka keturunan atau pon ‘mereka’ memang jenis yang suka mengusik.

‘Kakak’ memang wujud. Kakak aku yang hijabnya terbuka pernah melihat ‘dia’. Bersandar di kenderaan ibuku. Dia sanggup panjat tangga naik semula ke tingkat 4, menunggu kami yang masih lagi bersiap kerana ketakutan. Kuarters ni sangatlah keras sampai tiada satu penghuni pon yang tak pernah complain mengenai gangguan mistik ni. Baik dari bunyi guli bertaburan, bunyi menumbuk sambal tengah malam mahupun bunyi pergerakkan perabot. Dan dikatakan, ‘gula-gula’ pernah dilihat menaiki tangga tangki air yang terletak di belakang blok satu per satu.

Sekian sahaja perkongsian dariku. Terima kasih kerana disiarkan. Terima kasih juga kepada yang membaca

Fifa

Hantar kisah anda : fiksyenshahsa.com/submit

Fifa

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 3.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.