BUNIAN

Tajuk : Bunian
Penulis : Mad Pi

Assalamualaikum selamat sejahtera. Okay kali ini aku ingin bercerita tentang kisah pengalaman kenalan aku, biar aku namakan di sini sebagai Ali…

Ali seorang malim gunung, merata gunung sudah dijejakinya dan ini adalah cerita perkongsiannya mengenai bunian.

Sebelum tu aku pasti ada di kalangan kita yang tidak berapa tahu mengenai bunian ni.Apakah bunian?? Jadi di sini ada sedikit keterangan mengenai bunian…

Dalam ajaran Islam sememangnya kita dituntut beriman pada alam ghaib. Memanglah alam ghaib tidak dapat kita lihat secara zahirnya tapi kita kena percaya, ia memang wujud.

Alam ghaib ni adalah tempat untuk golongan-golongan seperti malaikat, iblis, syaitan, jin dan dari golongan jin inilah yang kita biasa panggil orang bunian…

Nama bunian ini tercipta bersandarkan cakap-cakap orang Melayu lama yang menyebutnya dan jika pergi ke negara-negara lain, istilah bunian ini mungkin tidak pernah didengari mereka.

Biasanya bangsa jin ini lebih gemar menetap di dalam hutan yang jauh dari perkampungan manusia. Lagi jauh ke dalam hutan, adalah lebih sesuai kerana mereka boleh bercucuk tanam, menternak, memburu dan sebagainya.

Tentu kita pernah mendengar kisah yang diceritakan di mana pemburu menemui ayam hutan yang banyak di dalam hutan dan bila ayam itu ditembak, ia dibalas dengan nyawa orang yang terdekat seperti anak.

Ini kerana kita menceroboh hak bunian-bunian ini dan mengambil tanpa izin mereka. Pernahkah kamu bila masuk hutan terjumpa rumpun buluh berbentuk atap?

Ia dipercayai pintu masuk ke alam ghaib. Andai bertemu begini dan sekelilingnya juga bersih dari sampah sarap, ini adalah pintu masuk ke alam bunian.

Golongan lelaki biasanya menjadi pilihan golongan jin. Puteri-puteri diraja jin biasanya amat tertarik dengan manusia terutama lelaki yang mereka anggap sangat luar biasa.

Jin ini juga biasanya amat menyukai kanak-kanak yang belum baligh atau belum disunatkan kerana pada pandangan mereka, “Usia ini belum kotor.” Sama juga bayi dalam kandungan turut menjadi pilihan jin-jin ini.

Kita terbiasa dengan amalan orang tua dulu-dulu, apabila masuk ke hutan, kita seringkali mengucapkan “Tok, Nek… cucu tumpang lalu…” Siapa Tok?? Siapa Nek?

Mereka itu merujuk kepada bunian ataupun jin. Sebenarnya adalah lebih baik kita mengucapkan Bismillah serta doa-doa.

Tiada tempat untuk kita bergantung harap selain daripada yang Esa. Semoga kita dilindungi dari perkara yang memudaratkan.

Ali adalah kenalan aku yang bekerja sebagai malim gunung secara sambilan. Andai ada permintaan untuk Ali mengetuai ekpedisi mendaki gunung atau bukit Ali akan beraksi.

Pengalamannya dan ilmunya tentang hutan membuatkan dia antara orang yang pertama dicari untuk mengetuai ekpedisi, kebiasaan nya dari pihak universiti, pelancong asing dan juga orang awam.

Sudah banyak bukit sana gunung sini Ali teroka. Kadang-kadang dia pergi sendirian je, bermalam di sana dan pasti Ali telah melalui pelbagai pengalaman termasuk lah tentang bunian.

Ali ni bagi aku bukan kaleng-kaleng, ilmu penuh di dada kalau bersembang dengan dia pasti ada saja ilmu baru yang ku peroleh dan pastinya hatinya kering. Tak mampu aku nak follow.

Ayuh kita susuri satu persatu perkongsian pengalamannya. Jika di sini ada kaki jungle tracking dan hiking pasti pernah melalui pengalaman yang sama dan ini adalah cerita mistik dan bunian di sebuah gunung yang terletak di negeri Kelantan.

Untuk pengetahuan semua, gunung tersebut ada terdapat kira-kira 69 buah gua dan setiap gua mempunyai namanya yang tersendiri. Antaranya Gua Silat, Gua Bunga, Gua Akar, Gua Gajah, Gua Harimau dan sebagainya.

Setiap gua tersebut wujudnya berpasangan kecuali gua yang nama dari haiwan hanya satu untuk setiap gua. Setiap gua mempunyai tarikan yang tersendiri contohnya di Gua Akar. Di dalamnya dipenuhi akar berjuntaian dari atas.

Kalau dilihat seakan-akan lokasi pengambaran filem-filem fantasi hollywood seperti ‘The Hobbit’ dan sebagainya. Memang lawa terasa bagai berada di dunia lain.

Ya, bila aku berada di kaki gunung tempoh hari pun terasa aura luar biasa gunung tersebut. Menurut Ali, di Gua Bunga lain pula ceritanya.

Nama gua bunga diberi bukan kerana ada bunga di dalamnya, tetapi… bila berada di gua tersebut, ada bau aroma bunga-bungaan yang begitu wangi sedangkan tiada satu pun pokok bunga di situ.

Aneh, kan?? Dari manakah datangnya aroma bunga itu? Pasti ada misteri di sebaliknya yang belum dirungkai. Kalau berada sendirian situ.

Seram jugak rasanya. Tapi berbeza pulak dengan si Ali ni tengah-tengah malam selamba ja dia buat kerja seorang diri memasang tali untuk kegunaan semasa hiking di sekitar situ.

Jika diteroka sekeliling gunung, dipercayai akan melalui dua buah kampung. Ya kampung bunian. Di sekitar kawasan tersebut, memang kita akan rasa sendiri kelainan suasana dari tempat lain.

Apabila kita sampai di kawasan tu, tiba-tiba suasana jadi sejuk macam ada penghawa dingin. Mana yang dah biasa lalui akan tahu bagaimana keadaannya.

Sejuknya lain macam bukan kerana angin, kena merasai sendiri baru tahu. Aku berpeluang merasainya sendiri, terkejut juga aku pada mulanya.

Aku teruja dan berasa ingin tahu, tapi setelah Ali menerangkan hal tersebut, aku faham yang aku ketika tu berada di tempat bunian. Sekitar kawasan memang bersih tiada semak-semak tiada daun-daun kering.

Bersih sangat di satu bahagian ada longgokan najis kambing. Kambing belaan penduduk kampung memang takkan sampai di kawasan tu.

Jadi apa kamu semua rasa? Kambing siapakah itu? Ali pernah cuba bergurau dengan penghuni di situ. Ali buat sepah dengan menabur kulit kuaci.

Memang bertaburanlah. Keesokannya bila Ali balik ke sana, kulit kuaci yang bertaburan tu dah tak ada. Cari punya cari ada dilonggokkan di satu sudut. Mustahil ada yang datang sapu.

Takkan orang datang kemas kutip satu-satu kut kulit kuaci tu? Jadi aku nak pesan kat sini. Bila masuk hutan, tolong jangan buang sampah merata rata. Bawak balik sampah anda.

Tolong jaga kebersihan kawasan dan alam sekitar tambahan pula penghuni di situ bukan main cermat. Bimbang dimarahnya akibat buang sampah merata.

Di keliling gunung tu jugak, akan jumpa satu kawasan yang dipenuhi tumbuhan herba. Pokok-pokok ubat. Di situ ada satu pokok renek yang tidak dapat dikenal pasti, macam bayam tapi bukan bayam.

Apabila disentuh pokok tu akan menguncup macam pokok semalu. Kewujudan taman herba itu juga menjadi tanda tanya. Siapakah pemiliknya? Memang kawasan gunung ni boleh dikatakan tempat bunian. Macam-macam yang aneh-aneh dijumpai.

Ali menceritakan pengalamannya sendiri, ketika dia hiking pada waktu malam untuk selenggara trek hiking, pernah dia dengar ada suara memanggil namanya.

Ali! Ali! berulang kali. Memang tiada orang lain di situ, hanya Ali seorang. Dia pakai earfone di telinga dan pasang lagu kuat-kuat.

Namun, suara itu tetap kedengaran. Ali! Ali! Memanggilnya. Ali abaikan semua tu. Kadang-kadang tu Ali terdengar bacaan surah Yaasin semasa dia berada di sebuah gua.

Merdu sangat katanya buat dia khusyuk mendengarnya. Puas mencari namun tidak dijumpai dari mana datangnya suara itu. Sememangnya bunian pun ada yang baik, alim dan sebaliknya sebagaimana kita manusia.

Apabila kita masuk ke hutan, bukit ataupun gunung, tingkah laku, adab dan sopan perlulah dijaga. Jangan terlalu melampaui batas nanti buruk padahnya bimbang bila kelakuan kita tidak disenangi penghuni di tempat tersebut.

Menurut Ali pernah terjadi pada sekumpulan anak muda. Mereka tidak menjaga tingkah laku dengan membuat bising gelak ketawa, bercampur gaul lelaki dan perempuan.

Sampai waktu Maghrib pun mereka masih belum pulang dan bergelak ketawa di gunung tersebut. Akhirnya mereka terpaksa menerima akibatnya.

Apabila mereka hendak keluar dari situ, mereka tersesat. Puas berkeliling namun tidak jumpa juga jalan keluar.

Kalau nak diikutkan tidaklah terlalu sukar untuk keluar sebab memang telah tersedia petunjuk arah berupa tali yang diikat pada pokok.

Akhirnya mereka menelefon Ali lalu Ali pergi mencari mereka. Nasib baik jumpa. Mereka tidak sesat pun sebenarnya memang mereka dah berada di trek yang betul.

Mungkin mata mereka telah dikaburi akibat dari tingkah laku sendiri. Kata Ali bunian di situ bunian yang baik, yang alim.

Jadi mereka tidak akan suka pada tingkah laku yang melampaui batas. Makhluk tersebut tidak akan mengganggu dan menyusahkan kita.

Di sisi gunung terdapat satu batu yang melekat di dinding gunung berbentuk paip rokok popeye yang dinamakan batu berlian paling.

Suatu ketika dulu dipercayai digunakan oleh Puteri Saadong sebagai isyarat ketika darurat atau perang oleh kerana asalnya batu tersebut boleh bertukar kedudukan. Wallahua’lam..

Sesuai dengan nama dan salah satu benda yang berkait rapat dengan Puteri Saadong, batu tersebut dikatakan berpenunggu.

Kita sebagai manusia biasa tidak dapat menghampiri batu tersebut dan jika kita berkeras maka datang ribut menghalang pergerakan kita di sana.

Ali pernah mencuba ke sana. Tapi ditahan oleh satu makhluk hitam berbulu berwajah manusia dengan bermata bulat.

Ada yang berjaya menghampiri batu tersebut jika makhluk hitam berbulu tu izinkan dan sudah tentu orang itu bukan calang-calang orang.

Pada yang berminat dengan harta karun, harta bunian, pemburu harta kartun, di gunung tersebut tidak kalah dengan harta yang bernilai seperti batu permata, barang perhiasan, juga senjata seperti keris dan lembing.

Kalau bernasib baik memang akan jumpa harta-harta tersebut. Tapi kena ingat tidak semudah itu untuk mengambilnya.

Semua harta tu ada penjaganya. Kalau diizinkan pun tetap bersyarat. Pada yang nak ambil harta tu perlu ikut syaratnya iaitu kena amalkan zikir atau juga dipanggil sebagai ‘pitih’ dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Zikir apa yang dimaksudkannya aku pun tak pasti sebab Ali enggan memberitahu. Bila sudah cukup tempoh berzikir tu, baru pergi semula ke lokasi harta tu untuk ambil harta tersebut.

Tengok macam senang je tapi sebenarnya hanya yang terpilih saja layak.Tak payah bermimpilah. Ada juga yang ambil harta tersebut tanpa kebenaran.

Bawa balik simpan elok-elok harta tu dengan siap kunci bagai, bangun pagi esok pasti harta tu hilang pulang ke tempat asalnya.

Kalau tidak percaya, pergi periksa balik pasti ada harta tu di tempat asalnya. Kesiannnn. Ada juga khazanah peninggalan penjajah.

Kalau yang ni tak perlu mintak izin bunian. Ada yang pernah jumpa khazanah tersebut yang berukiran ‘Made in France’ 1880.

Pernah terjadi satu kejadian pecah rumah di kampung sekitar gunung tersebut di rumah seorang anggota polis. Banyak barang yang dicuri melibatkan kerugian yang agak besar jugalah.

Lepas kejadian itu, rondaan keselamatan di kawasan sekitar dipergiatkan. Satu hari giliran polis yang jadi mangsa pecah rumah tu buat rondaan. Sampai la dia di kaki gunung tersebut.

Dia terpandang dua orang wanita berwajah sangat tua berkedut-kedut anggaran umur 100 tahun lebih, tapi tubuh badannya dan pergerakannya macam orang muda. Laju mereka berjalan.

Polis tersebut menahan dua wanita tersebut lalu bertanya nak ke mana? Salah seorang daripada wanita tersebut menunjukkan arah ke depan. Suara pun macam orang muda.

Polis tu sebenarnya nak mintak tengok kad pengenalan tapi akibat situasi pelik tersebut dia jadi bingung lalu menuju ke kereta semula.

Tiba-tiba, salah seorang wanita tu memanggilnya lalu berkata, ‘Anak kamu sendiri yang curi barang di rumah tu’. Polis tersebut terkejut dan kehairanan lalu memanggil rakan setugasnya di dalam kereta.

Tapi lepas tu tanpa sedar dua wanita tersebut hilang dari pandangan. Lepas dibelasah cukup-cukup, akhirnya anak dia mengaku dia yang curi. Betul kata wanita tu. Siapakah mereka? Mungkin bunian gunung tersebut…

Kisah ni yang paling menarik bagi aku. Pengalaman sendiri Ali berpeluang bertemu ratu bunian di situ yang dipanggil Nenda. Di sebuah gua yang aku lupa nama gua tersebut. Faktor usia nampaknya.

Nenda bersemayam di singgahsana di tempat yang tinggi. Kalau nak ke sana kena menaiki tangga. Di tepi tangga beratur lima orang dayang yang memegang pelita.

Maka bertemulah Ali dengan Nenda. Menurut Ali percakapan Nenda tersebut mirip Melayu Sunda. Bila aku tanya apa yang dibicarakan, dia enggan berkongsi. Tidak dibenarkan katanya.

Cuma sebelum balik, Nenda menawarkan pulut kuning pada Ali. Kelima-lima dayang tadi memegang dulang berpenutup. Bila Ali sampai pada dayang pertama, Ali membuka penutup talam. Penuh dengan pulut kuning.

Ali berkata pada Nenda, banyak ni… Terlalu berlebihan untuknya. Lalu Nenda menyuruh Ali buka talam di tangan dayang yang seterusnya.

Berkurang sedikit dari tadi tapi masih banyak. Sehinggalah Ali pada dayang yang kelima, pulut kuning yang ada telah dikepal-kepal jadi kecil.

Jadi Ali ambil satu lalu pulang. Ali tak makan pun pulut tu. Dia simpan selama sebulan. Yang anehnya pulut tu masih berkeadaan baik dan tak basi. Lalu Ali mengambil keputusan untuk hanyutkan pulut tu di sungai.

Baiklah, setakat ni dulu aku bercerita. Sebenarnya banyak lagi kejadian-kejadian yang menarik nanti-nantilah lain kali aku ceritakan kalau ada permintaan. Percayalah, apa yang kita tidak nampak tidak semestinya tidak wujud dan apa yang kita nampak tidak semestinya wujud.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

2 thoughts on “BUNIAN”

Leave a Comment