Cerita Kak R

Pada tahun 2011, aku telah mendaftarkan diri di sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di selatan tanah air. Untuk orang yang tahu, ya ada lima je SMKA di selatan tanah air kita ni. Pandai-pandailah teka sekolah yang mana satu 😉

Nak dijadikan cerita, aku ditempatkan di sebuah dorm yang terletak dihujung bangunan, tingkat satu. Bangunan asrama kami ni tiga tingkat je, aras bawah, tingkat satu dan tingkat dua. Dorm tersebut merupakan antara dorm yang paling ramai penghuni, disebabkan saiznya yang agak besar jika nak dibandingkan dengan dorm-dorm yang lain. Dorm-dorm di hujung bangunan asrama kami memang besar, Dorm Asma’, Khadijah, dan Ummu Salamah. Ha pilihlah nak guna nama dorm yang mana satu untuk dijadikan sebagai panduan cerita ini.

Ketika minggu pertama dan kedua aku berada di situ, tiada apa-apa kejadian aneh yang telah berlaku kepada aku, mahupun rakan-rakan aspuriku yang lain. Kami menjalani kehidupan macam biasa, bangun mandi pukul empat sebab nak berebut shower punya pasal, serta nak elakkan ketiadaan air kalua mandi lambat. Maklumlah, tangka asrama kecil, yang mandi pula ramai. Baru pukul berapa, dah tiada air.

Lepas mandi, duduklah di surau aspuri (Surau Ainul Mardhiah Namanya), sementara tunggu azan Subuh. Ha masa form one je awal macamtu. Itu pun kalua tak silap aku bertahan sampai bulan tiga 2011. Lepastu dah buat perangai bangun lambat, mandi lambat, tapi wajib siap sebelum akak dorm bangun, kalua tak nak kena liqa’ (liqa’ tu macam rollcall lah budak asrama lain panggil. Kami kan sekolah agama, so istilah tu ha haruslah yizlumik gituh even sebenarnya kau nak bebel je kat junior pasal adab, perangai, tingkahlaku dan sebagainya).

Keadaan tenang sahaja. Tidak lama kemudian, dalam bulan tiga ke empat entah aku tak ingat, dah start dengar cerita batchmate dengar bunyi itu, bunyi ini, Nampak itu, Nampak ini. Aku tak percaya, ingat member sengaja nak buat cerita kasi kami semua takut. Eh tersilap langkah rupanya aku bila satu malam tu, aku terdengar bunyi tingkap pecah betul-betul sebelah telinga aku. Ingatkan tingkap yang jatuh, sebab katil aku selang sebuah je daripada tingkap dorm. Bila pusing, nah tu diaaa terkejut nak nampak gula-gula kat tingkap.

Mula dari kejadian tu, biasanya kalau sebelum ini, aku terjaga nak pergi tandas malam-malam boleh je aku nak pergi sendirian, tapi aku dah start ajak kawan teman. Tapi lepastu dengar cerita kononnya kalau kita ajak orang teman pergi tandas malam-malam, yang teman kita tu bukannya kawan kita tapi hantu. Ha terus pergi tandas sendiri je maleh aku nak ajak berteman.

Tak lama lepas tu, mulalah budak-budak dorm masing-masing ada cerita hantu sendiri. Rupa-rupanya masing-masing dah banyak kali terkena, tapi tak nak cerita sebab akak dorm pesan, jangan cerita, nanti dia join dengar sekali. Kalau nak bercerita pasal ‘dia’, jangan buat bulatan, nanti dia join sekali. So, kalau kami nak bercerita hantu, kami akan duduk di atas katil masing-masing, supaya tak membentuk bulatan.

Beberapa minggu kemudian, akak-akak tingkatan enam pun mendaftarkan diri mereka ke asrama. Ada empat orang akak form six masuk dorm kami. Bersyukur juga sebab akak form six baik, tak sombong. Tapi mereka tak berapa rapat dengan akak form five dorm kami. Mereka semua merupakan bekas pelajar sekolah itu juga, kiranya habis form five, sambung form six di sekolah yang sama juga.

Akak-akak form six ni peramah belaka. Lepastu bila dah mula rapat, mulalah kami meminta cerita-cerita seram yang ada dan pernah berlaku di sekolah kami tu. Banyak dan boleh tahan seram cerita mereka. Bukan cerita tipikal asrama-asrama Malaysia iaitu cerita makcik karipap, member teman kat library lepastu pemadam jatuh nak kutip balik lah hantu tiada kaki rupanya dan macam macam lagi cerita.

Cerita Kak R ialah cerita yang paling aku ingat sampai sekarang. Masa aku menaip cerita ni pun, aku dah terbayang cerita dia dan kejadian yang membuatkann aku yakin yang Kak R tak menipu ketika bercerita kepada kami semua. Muka Kak R pun aku dah tak ingat, tapi cerita dia masih tersangatlah segar dalam ingatan aku ni.

Kak R semasa dia berada di tingkatan lima, iaitu pada tahun sebelum dia bercerita ni, dia merupakan ketua dorm F, dorm sebalah dorm kami semua. Ya cerita pasal dorm sebelah je sis. Seram kau tahu! Cerita Kak R simple je, dia tak boleh nak tidur, dan kemudian ternampak satu lembaga tinggi dan besar, berpakaian askar sedang merangkak dengan sangat laju dari pintu dorm ke hujung dorm. Berulang kali. Tiba-tiba, lembaga tersebut berhenti dan memandang tepat ke mata Kak R. Kak R yang ketakutan dengan segera menutup matanya. Ketika merasakan keadaan sudah kembali tenang, Kak R pun membuka matanya dan macam cerita hantu yang kita takut, benda tu ada di sebelahnya. Kak R takingat apa jadi, tapi dia rasa dia pengsan selepas itu.

Memang macamtu je cerita Kak R. Jadinya aku rasa macam hmm kureng kick lah cerita ni. Ada beberapa lagi cerita yang diceritakan, tapi mungkin aku boleh ceritakan di penulisan aku yang seterusnya (kalau ada dan kalau aku rajin).

Beberapa bulan kemudian, semakin banyak penampakan gula-gula di aspuri, ada yang nampak cikpon, ada yang nampak nenek dan macam-macam lagi. Ustaz kami pun panggil semua yang pernah terdengar atau ternampak benda-benda tu semua di surau aspuri selepas isyak. Sepatutnya lepas isyak kan kami ada prep, so siapa yang terlibat takperlu pergi ke kelas untuk prep (memang seronok, tapi kejap jelah seronok dia. Lepastu haru-biru jadinya).

Sebelum ustaz mulakan ‘aktiviti’ kami pada malam itu, ustaz maklumkan kepada kami yang kami dikumpulkan ni sebab untuk siapa yang ada ternampak ke terdengar ke, maknanya benda tu telah berkongsi deria dengan kita. Tu yang ustaz kumpulkan semua yang terlibat. Kira nak ubatkan semua sekaligus lah.

Aku takberapa ingat apa yang ustaz buat, tapi ustaz ada suruh baca Alfatihah, tiga qul dan beberapa ayat lain termasuk ada sepotong ayat surah Yasin tapi aku tak ingat ayat berapa. Tiba-tiba Kak F, akak form two yang duduk berdekatan dengan aku mengatakan bahawa dia berasa mengantuk yang amat sangat. Dia terus berbaring. Ustaz perasan, ustaz takbenarkan dia baring tapi Kak F terus juga. Tiba-tiba Kak F pengsan. Kelam kabut semua, termasuk aku. Kami cuba untuk mengangkat Kak F, tapi takberjaya. Bayangkan, Kak F yang sangat kurus dan confirm ringan gila tu takdapat diangkat oleh beberapa orang pelajar. Pembantu ustaz tersebut membacakan beberapa ayat, tak lama kemudian Kak F pun tersedar.

Tapi dalam masa yang sama, keadaan makin tak terkawal. Ramai yang telah mengalami kerasukan. Keadaan di dalam surau sangat kelam kabut. Kami yang tak kena apa-apa ni yang ketakutan. Duduk berkumpul di depan, lah ada orang kena rasuk kat depan. Lari pergi tengah. Tiba-tiba, lah ada lagi orang kena rasuk. Pindah belakang, Tak jalan jugak. Serba takkena tempat yang kami pilih. Sedang sibuk mencari tempat ‘selamat’, aku tiba-tiba terasa seperti hendak muntah. Menggigil ketakutan aku dibuatnya, sebab ustaz ada pesan, kalau nak muntah, muntah je. Ada kemungkinan benda tu nak keluar dari badan.

Aku terus cari baldi yang berdekatan. Aku pun muntah dengan sepuas hati. Yang menyeramkan, aku muntah benda yang orang lain muntah. Bukan sisa makanan. Seperti lendiran berwarna putih kehijauan macam kahak yang sangat busuk. Tiba-tiba salah seorang dariopada ustaz yang ada pada malam itu membacakan sesuatu. Makin banyak aku muntah. Terdengar ustaz tersebut cakap, “Alhamdulillah makin okay budak ni,”.

Risau aku dibuatnya. Aku paling takut kalau aku kerasukan tapi alhamdulillah, aku muntah sahaja pada waktu itu. Sedang aku sambung memuntahkan apa benda entah yang nak keluar tu, ada seorang senior tingkatan tiga, Kak A, memasukkan kepalanya ke dalam baldi itu. Dia pun muntah; sama banyak dengan aku. Bergilir-gilir kami muntah. Sedang turn aku nak muntah, Kak A join sekali, so kiranya ada dua kepala dalam baldi tersebut.

Aku terpaksa join sekali dalam baldi tu sebab aku pun takboleh tahan muntah tu. Ustaz pesan, jangan tahan, takut benda lain yang jadi. Sedang aku dan Kak A muntah, Kak A tiba-tiba menjerit. Sakit telinga aku sebab suara Kak A bergema dlaam baldi yang aku tengah guna tu. Kak A mengerang, menjerit tapi aku biarkan sahaja. Tujuan aku hanya satu, aku nak habiskan muntah ni cepat-cepat. Aku penat.

Tiba-tiba, tanganku ditarik oleh akak dorm sebelah, Kak W. aku palingkan kepala aku ke arah baldi tersebut dan tiba-tiba Kak A mengilai sekuat hati. Lah aku berkongsi baldi dengan orang yang tengah kerasukan. Berani sungguh aku ni ya. Lepas aku siap muntah apa semua, aku join semula geng-geng yang takkena rasuk, berpindah-randah keliling surau sebab nak lari dari orang yang kerasukan. Kelakar bila ingat balik, tapi takut pun ada.

Aku teringatkan Kak R dan akak-akak form six dormku yang lain. Aku mencari mereka. Tiba-tiba, aku ternampak kelibat Kak R di hadapan surau. Kak R sedang meniarap ketika itu. Tidak lama kemudian, seorang ustaz menghampirinya. Kak R telah merangkak ke tempat yang berlainan unguk melarikan diri daripada ustaz tersebut. Kak R merangkak dengan sangat laju, seperti dia sangat biasa merangkak dan bukan berjalan ataupun berlari.

Tersedarlah aku bahawa Kak R sedang dirasuki oleh hantu yang dia nampak di dorm F pada tahun lepasnya. Mungkin hantu yang dia nampak tu telah masuk ke dalam badannya? Tiada siapa yang tahu.

Kak R tidak berdiri langsung sepanjang dia kerasukan. Dia hanya merangkak dan menjerit kesakitan setelah ustaz tersebut membacakan ayat-ayat alQuran kepadanya. Sedang aku ralit memerhatikan Kak R (sebab dia akak dorm aku), tiba-tiba, aku ternampak Kak I, juga akak form six dorm aku, sedang bersandar pada dinding surau seorang diri sambil memeluk lututnya (dia juga sedang kerasukan, tapi aku taktahu).

Cerita Kak I mungkin aku akan ceritakan pada penulisan yang seterusnya, tapi apa yang boleh aku simpulkan ialah, malam tersebut ialah malam paling menakutkan dalam sejarah hidup aku, sampai ke hari ini. Keadaan sangat kelam kabut, sana-sini orang kerasukan; mengilai; menjerit dan sebagainya. Termasuklah beberapa orang rakanku, termasuk B dan P. Ada juga lagi sorang akak form six upper yang dirasuk oleh ‘Ketua’ jin yang berkampung di sekolah kami. Terlampau banyak benda yang berlaku, tapi mungkin aku akan ceritakan di kemudian hari.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 32 Average: 4.1]
Si Cantik

2 thoughts on “Cerita Kak R”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.