Salam sejahtera semuanya. Hari ini aku nak berkisah tentang satu individu yang namakan sebagai Watok, mungkin salah seorang daripada barisan nenek-nenek saudara jauh yang aku tak berapa kenal. Aku cuma bertemu dengan Watok pada hari selepas arwah Nenda aku meninggal dunia kerana dia datang menumpang tidur di rumah. Cerita ini dah lama berlalu dan aku masih lagi merasa aneh setiap kali aku teringatkan Watok.
Ibu aku kerap mengambil cuti dan membawa kami adik-beradik pulang ke kampung untuk menjaga Nenda yang makin uzur. Baik di hospital atau selepas doktor telah memberi izin untuk Nenda dibawa pulang ke rumah untuk mencuba rawatan tradisional pula. Oleh kerana aku masih kecil, aku hanya menganggap ini sebagai percutian di kampung yang seronok. Tetapi sebaliknya berlaku.
Sebagai latar belakang, rumah Nenda aku terletak hanya di tepi jalan utama kampung itu. Dibina 2 tingkat, tetapi hanya bahagian bawah yang digunakan. Ini kerana bahagian atas yang dibina dengan kayu telahpun reput dan dimakan anai-anai. Tetapi ada cakap-cakap dari sepupu aku yang lain bahawa bahagian atas rumah itu berhantu. Ada yang pernah melihat harimau menjaga tangga untuk naik ke atas. Aku iya kan saja kerana mungkin untuk menakutkan kami yang buas ini supaya behave.
Susun atur rumah itu ringkas sekali. Hanya ada 1 lorong panjang dari ruang depan ke dapur. Mula-mula bertemu dengan ruang TV di sebelah kanan dan bilik tidur di sebelah kiri. Ke depan sedikit ada bilik tidur no 2 di sebelah kanan dan tangga harimau sebelah kiri. Depan lagi, ada pangkin di sebelah kanan dan bilik air di sebelah kiri. Terus lagi, akan bertemu ruang dapur.
Rupanya kepulangan aku ke kampung pada minggu itu agak berlainan daripada kunjungan sebelum ini. Adik beradik ibu aku sepakat untuk memanggil Ustaz untuk membantu proses pembuangan ‘saka’ yang mendamping arwah Nenda aku. Prosesnya panjang dan berlanjutan selama beberapa hari. Alhamdulillah urusan dipermudah, Nenda aku meninggal tidak lama selepas itu. Kejadian van jenazah (dalam cerita sebelum ini) yang membuatkan aku sedikit takut tetapi bila aku bertemu dengan Watok, ketakutan aku menjadi-jadi.
Watok berasal dari kawasan pedalaman jadi loghatnya agak pekat dan sukar difahami oleh aku. Jadi aku akan memberi fokus penuh ketika dia bercakap. Malam berikutnya, setelah selesai majlis bacaan Yassin dan tahlil, aku dan sepupu sepapat mulalah bising bermain di laman depan. Watok berada di kerusi rotan dan memanggil kami semua mendekat dengannya. Tangannya dilambai-lambai memanggil kami. Akur, kami semua pun pergi mendekat. Lambat-lambat Watok membuka mulut, “ Anak semua nak dengar cerita ayam berkokok dari syurga” dengan loghatnya yang pekat.
Fokus aku tergendala, aneh. Apa benda tu Watok? Seperti cerita-cerita seram cliché yang ada, apabila ada orang tua menyerigai lucu dan tertawa, itu yang dilakukan oleh Watok. Ahh sudah.. Ada sepupu aku yang lambat pick up berkata, mestilah sama bunyinya macam kokok-an ayam-ayam Datuk. Apa bezanya? Aku bertanya pula, macam mana Watok boleh tahu cerita ayam berkokok dari syurga? Watok kan masih hidup. Watok kembali tertawa dan berkata “Kalau anak nak tahu, Watok boleh bagi dengarkan, nak? *masuk bunyi hihihi yang seram*”
Terus aku cuit badan sepupu di sebelah untuk terus lari. Jika ada pengajaran yang boleh aku ambil daripada Majalah Mastika, ia adalah jangan sewenangnya menerima sesuatu dari orang. Benda yang Watok offer ni sangatlah aneh dan pelik. Aku berlari mendapatkan ibu aku dan menceritakan apa yang Watok pelawa kami untuk dengar. Langsung aku dimarahi dan ditegah untuk mengganggu Watok. Setiap kali aku bertemu Watok di ruang tamu, setiap kali itu dia akan memanggil dan mengulangi dialog “Anak nak dengar cerita ayam berkokok?”.
Malam itu kami semua tidur berselerakkan di ruang tamu. Toto kami hamparkan dan bergoleklah kami semua di situ. Tepat pukul 12, lampu ruang depan dimatikan. Cuma tinggal lampu di lorong utama. Gelap semuanya. Malam itu aku bermimpi buruk, aku dikejar oleh pelbagai entiti halus sehingga aku berasa sangat penat dan lelah hingga aku terjaga dari tidur sambil termengah-mengah. Terduduk aku sambil cuba mengambil nafas.
Ruang itu sunyi dan jam samar-samar menunjukkan jam 3 pagi. Selepas sedikit aman, aku cuba untuk tidur semula. Tetapi mata aku tertangkap satu tubuh yang sedang mengesot di lorong utama. Ya mengesot. Perlahan-lahan tubuh itu bergerak ke arah dapur. Tiba-tiba aku dengar suara Watok bercakap. Dek kerana sunyinya rumah itu, suaranya kedengaran kuat walaupun dia seolah membisik sesuatu. Butir percakapannya tidak jelas namun beberapa saat kemudian dia memalingkan mukanya ke arah aku. Walaupun berbayang, namun aku jelas nampak dia tersenyum. Dia berpusing balik dan mengesot kembali ke ruang depan.
Aku panik dan cuba mengejutkan orang disebelah aku. Hanya bunyi dengkuran yang membalas. Aku tiba-tiba menjerit terkejut sambil menunjukkan arah tubuh itu mengesot. 2 3 kali jugak aku menjerit sampai ibu aku tersedar dari tidur. Badan aku digoncang beberapa kali. Dek mata tertutup, aku ingatkan tubuh itu yang mengganggu. Makin nyaring jeritan aku. Pang! aku di tampar. Aku menangis seraya menunjukkan lorong utama tetapi tubuh itu telah tiada. Ibu aku berkata yang aku hanya meracau kerana tidak membasuh kaki sebelum tidur. Aku memaksa diri untu pejamkan mata sehingga aku tertidur semula.
Subuh itu ibu kejutkan aku untuk bangun solat. Aku berselisih dengan Watok yang berada di pangkin. Dia menyerigai senyum seolah-olah ada benda lucu pada aku. Aku larikan pandangan dan terus ke tandas untuk mengambil wuduk. Sejuk air dari kolah terus menyegarkan mata. Setelah siap, aku bergegas ke pangkin untuk solat. Lambat-lambat kaki aku memanjat tangga pangkin itu. Watok menghalang laluan untuk aku dapatkan sejadah. Dan aku juga aneh dengan arah kiblat Watok.
Cepat-cepat aku berlari memanggil ibu. Ibu cakap biarkan saja, Watok tu dah tua dan nyanyuk. Ok lah, aku kembali ke pangkin sambil menongkat dagu di tangga. Perlahan-lahan, aku dengar semua sebutan solat Watok yang bercampur-campur bahasa Melayu dan Arab. Meremang bulu roma. Aku terus bangun dan pergi ke ruang tamu untuk solat. Setelah usai solat, aku nampak Watok mengesot ke depan. Sah, semalam yang aku nampak itu memang Watok. Tapi cepatnya dia hilang lepas aku menjerit?
Bila dah ramai orang bangun tidur dan dah siang, perasaan takut pon dah hilang. Lepas kami semua sarapan, Watok bersiap-siap untuk pulang ke rumahnya. Anak Watok akan datang jemput. Sementara menunggu di laman, Watok panggil kami semua yang sedang cuba memanjat pokok jambu. Aku masih ragu-ragu untuk mendekat, tapi Watok menyuruh sepupu aku menarik aku ke sana. Katanya masih ada cerita. Cumanya kali ini cerita dari neraka. Allahu.
Cepat-cepat aku rabat pokok jambu. Lantaklah cerita dari syurga atau neraka, aku tak mahu dekat dengan Watok lagi. Dari atas pokok, aku nampak kereta memasuki perkarangan rumah Nenda. Anak Watok dah sampai. Yess! Dia segera mengangkat segala beg masuk ke dalam kereta. Ibu yang perasan akan ketibaan anak Watok terus keluar ke laman dan bersalam-salaman dengan mereka. Sedikit bual-bual kecil, Watok pun berangkat pulang. Semua sepupu aku mengejar keluar kereta dari perkarangan sambil melambai, tetapi mata Watok mencari aku. Dikunci pandangan matanya apabila ternampak aku sambil melambai perlahan sambil menyerigai.
Lama jugak malam-malam aku ditemani kelibat Watok dalam mimpi. Dengar-dengar memang Watok ada ‘membela’ dan cuba untuk mencari waris. Aku harapkan bukanlah aku yang dia berkenan.
Oh ya, aku harap pembaca dapat bagi feedback mengenai cara penulisan aku. Baik atau buruk, harapnya dapat diperbaiki dan aku boleh berkongsi cerita dengan cara yang lebih elok.
Sekian, terima kasih..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Like👍
Jln cerita bgus2..👍
Trbaik👍..pape maju lg..
Mmg best cara anda bercerita jelas dan mudah difahami, x meleret2 mcm sesetengah cerita padahal nk explain kawasan rumah je dan saya sebagai pembaca mmg akan skip part yg panjang lebar tu dan terus ke part seramnya
Huhuhu kalau aq yang kene, jiran sebelah pun boleh terjaga (kisah benar)
Okay ja cara penulisan 👌🏻 ade salah sikit bab tatabahasa xpi xpa..