Cincin Cendana Retak Seribu

Ribuan terima kasih tak terhingga kepada admin FS sekiranya menyiarkan cerpen Mat yang panjang berjela. Ampon maaf kalau Mat gagal memenuhi cita rasa pembaca, dan ampon maaf juga kalau ayat Mat berbelit-belit . Semoga semuanya baik-baik, tanpa flower-flower:

Diluar rumah, guruh berdentum, kilat silang-menyilang, bagaikan langit menanti retak. Air di tempayan tumpah berjurai dilantai tanah liat, gayung hanyut entah kemana. Rintik-rintik hujan yang bernyanyi kini bagai hujung keris menikam atap rumah. Pokok pisang belakang rumah melentok dibadai angin kuat, ada yang rebah mencium tanah.
“Hish, aku tak mahulah Ayob, kalau hang nak bagi, bagi sahaja kepada Muzir,” aku menolak pemberian Ayob dengan cara baik. Takut-takut hati dia tersinggung. “Hang ni, aku ikhlas nak bagi, hang ambillah, susah-susah aku nak dapatkan batu cincin ni kat hang,” Ayob memujukku bersungguh-sungguh. Aku jadi serba-salah. Sememangnya aku tak lekat dek cincin.

Pernah dulu ada 3 bentuk, namun 3 bentuk hilang entah kemana. Ayah cakap aku tak pandai menjaga barang, namun Pak Long cakap aku jenis “panas”. “Hemm, baiklah Ayob, aku ni takut hilang sahaja cincin ini, itu yang aku segan nak terima, tambah-tambah barang bernilai,” aku meluahkan rasa bersalah aku. “Tak apalah, benda kalau nak hilang, apa boleh buat,” Ayob tersengeh sambil menjenguk hujan diluar daun pintu. Tak ada tanda hujan akan berlalu.

Selang beberapa hari dikampung, aku pulang ke Kampar bersama isteriku. Penuh bonet kereta dengan buah tangan dari kebun. Aku bahagi-bahagikan kepada jiran-jiran terdekat, sama-sama merasa. “Wahh, Mat, makin berseri-seri muka hang, wahhh cantik cincin hang, mana beli?,” Sameon kawanku merenung cincin dijari manis. “Kawan aku dari kampung yang hadiahkan,” ujarku. “Ooo..cantik, retak seribu, pandai kawang hang pilih,” Sameon memuji.

Hari demi hari berlalu dengan amat pantas. Lewat petang, ketika bunga-bunga senja berguguran, aku bersiap-siap mengambil wudhuk hendak ke surau. Aku menanggalkan cincin retak seribu itu diatas para luar rumah. Dan aku benar-benar terlupa dan usai solat Isyak barulah aku sedar, ada sesuatu yang kurang dijariku. Aku tidaklah bergegas balik kerumah. Aku singgah di warung Leman dahulu dengan Lebai Ali berbual kosong. Biasalah.
“Aisyah? Ada nampak cincin abang di atas para tak?,” pertanyaan pertamaku sewaktu tiba dirumah. “Tak nampak, abang letak ditempat lain kot,” ujar isteriku. “Hemmm.., mana aku letak pulak,” aku merungut seorang diri sambil keluar masuk rumah. Di atas katil tak nampak, di dalam almari tak ada, di luar rumah tak jumpa, aku mulai redha. Memang betul cakap ayah, aku tak pandai menjaga pemberian orang.

Sehingga hari ketiga, aku didatangi sekilas mimpi. Mimpinya seekor ular. Aku tidak mengambil endah apatah mengambil berat akan mimpi yang hanya mainan tidur. Selang beberapa hari, aku bernasib baik, aku terjumpa kembali cincinku diatas meja solek. Cukup terletak tidak diusik. Aku berfikir, mungkin aku sendiri yang tidak cermat dan pelupa, meski, meja solek ditepi katil.
Sewaktu tengah hari, dari pejabat aku pulang ke rumah seperti biasa. Sewaktu itu, Aisyah sudah 5 bulan hamil.

Sedang aku menyantuni hidangan diatas meja, tiba-tiba bunyi deringan telefon diruang tamu, Aisyah menyambutnya lalu diberikan kepadaku. “Assalamualaikum Amin,” suara ayah garau dihujung talian. “Hemm..hang ada ambil barang orang kan? Pulangkan balik kalau barang orang,” ayah bersuara keras ditalian. “Barang yang lepas jangan dikenang, eh..barang apa ayah? Mana ada aku ambil barang orang,” aku buntu sambil meletak ganggang telefon. “Abang, ayah suruh kita balik kampungkah?,” Aisyah bersuara didapur. “Hemm, entahlah, , mungkin cuti nanti kita balik ya, abang rasa kurang selesa” ujarku. “Ok, abang, saya nak kerumah Bibah belajar kait benang, abang tolong hantarkan saya sebelum ke pejabat boleh? Petang nanti saya balik dengan Bibah ya,” Aisyah tersenyum. “Baiklah,” ujarku sambil bersiap-siap ke pejabat.

Aku di pejabat sudah tidak tenteram, tidak senang duduk dengan apa yang ayah cakapkan tadi. Gundah-gulana, tak keruan semuanya bercampur-aduk sekali. Ayah. Pertanyaannya pendek dan berkias, namun cukup tajam dan sinis. Buatkan aku tertanya-tanya. Jam didinding sudah menunjukkan waktu pulang. Aku mencapai telefon pejabat untuk menghubungi Aisyah dirumah. “Assalamualaikum, oh, Aisyah dah balik rumah, nak abang belikan apa-apa sebelum balik?,” ujarku. “Tak mahu, nyam bai” ujar Aisyah ditalian. “Apa tu?, baiklah,” aku meletakkan kembali telefon. Sebelum pulang aku sempat menunaikan solat Asar di surau terlebih dahulu. Memohon sedikit petunjuk dari Allah swt.

Setibanya aku di depan pintu pagar, aku sudah menduga, ada yang tidak kena. “Abang dah pulang?”, Aisyah dan Bibah berpimpin tangan. “Errr..terima kasih ya Bibah, temankan Aisyah pulang ,” aku mengukir sekuntum senyuman. Senyuman yang sengaja dicipta.
“Aisyah, kita pulang ke kampung pagi esok ya, kita pulang sekejap sahaja,” ujarku sambil mengunci daun pintu. “Boleh juga, Aisyah pun nak berurut dikampung, kaki Aisyah asyik kebas-kebas,” rungut Aisyah. Aku sempat menjeling betis Aisyah, kesan lebam sebesar telur ayam kampung hingga paras lutut. “Dah lama ke lebam ni?,” aku dihambat rasa bersalah. “Emmm..baru-baru ni je, kepala pun asyik pening-pening,” Aisyah memicit dahinya yang luas. “Emmm..Aisyah, kita balik malam ini sahaja, tak payahlah tunggu esok,” aku terus meletakkan noktah.Aisyah termanggu melihat aku terus ke bilik mengemas baju buat sehari dua dikampung.

“Assalamualaikum emak,” Aisyah yang pertama memberi salam di anak tangga. Ketika itu sudah lewat malam. Kemungkinan ayah dan emak sedang nyenyak tidur di atas rumah. “Waalaikumsalam, sekejap!,” emak membuka lampu diserambi. “Lah, Aisyah, Amin, kenapa tak pulang esok sahaja?, jangan berembun malam-malam ni, nanti jatuh sakit,” emak membebel sambil memimpin Aisyah. “Hahaha, esok takut tak sempat ke kebun emak, ayah mana?,” ujarku. “Hemmm, ayah di atas, baru sahaja nak lelap mata,” ujar emak. “Hang pi lah mandi dan tidur, kalau nak makan, ada di dapur,” emak menggagahi menyiapkan tempat tidur buat kami.

“Hah!, awal hang sampai, patut esok,” ayah tiba-tiba muncul di sebalik pintu bilik. “Hahaha, terasa nak balik awal hari ini lepas kerja,” aku melabuhkan p******g dikerusi. “Betulkah?,” ayah meninggalkan aku dengan nada menyindir. Seketika ayah muncul, “Ayah, hishh, jangan susah-susah buatkan air,” sambil aku menyambut hidangan lewat malam. Ayah. Dahulu tangannya cukup pejal, angkuh melibas semak kebun, kini hanya tinggal garis-garis kedut dimamah usia. “Tak apa, aku pun belum boleh tidur lagi,” ayah menjawab lembut.

Semenjak pencen, ayah lebih banyak menghabiskan masa dikebun. Habis terang-benderang pokok kopi tua dikerjakannya bersama Pak Long. Katanya, Pejabat Pertanian nak datang untuk meninjau permohonan ayah untuk ternakan kambing.
“Hemm..kenapa belum pulangkan cincin tu Amin?,” tiba-tiba ayah bersuara sambil melihat jari manisku. Cepat-cepat aku cuba sembunyikan rasa bimbang dengan menghirup kopi o suam. “Pemberian Ayob ayah,” aku menjelaskan perkara cincin agar ayah tidak bertanya lagi. Sudah pemberian orang, takkan hendak dipulangkan balik. Kan?
Ayah mengerutkan dahi. Kumis hitamnya turut ikut bergerak. “Berikan aku, aku belum pernah melihat cincin retak bintang ini,” ujar ayah pendek.

Seketika, aku melihat ayah menjamah bentuk cincin diantara langit lidahnya. Dibelek dan diteliti bentuk dan rotannya, sekejap digenggam, sekejap dilambung setengah tiang. “Hemmm..ini bukan kepunyaan hang Amin, pulangkan kembali pada Ayob, kalau tak mahu musibah mendatang,” sambil ayah menelungkupkan cawan kosong diatas cincin pemberian Ayob. “Kenapa ayah?,” aku masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. “Aku tidak tahu, yang aku tahu cincin ini bukan sembarangan, bentuknya bukan dari ikatan Jawa, atau Pattani, manikamnya beribu dan besi sepuhnya seribu isi,” ayah bangun lalu menuju ke daun pintu yang masih terkuak. “Amin, jangan lupa tutup pintu kereta hang,” ujar ayah disisi pintu. Aku bergegas ke bawah, sambil berfikir bagaimana pintu kereta bahagian belakang boleh terbuka, sedangkan aku dan Aisyah duduk di bahagian depan. Beg semua masih lagi dibelakang bonet. Aisyah yang pertama keluar melenggang.

Keesokkan pagi, sewaktu kokokan ayam hutan berselang-seli, ketika fajar menyinsing diantara dua bukit, aku dan ayah sudah terpacak di dangau sambil menjamah lempeng cecah nyiur dan sambal ikan bilis. “Assalamualaikum tuan tanah?,” tiba-tiba sayup suara Pak Long dari arah darat. Mengendong beg galas berisi termos air. Raut wajahnya ceria, seperti tidak pernah ada masalah. “Hah, Amin pun ada, ini sudah bagus,” Pak Long menghampiri kami. Aku menghulurkan tangan menyantuni Pak Long, abang kepada ayahku. “Hemm..panas tangan hang la ni,” Pak Long menekan jari hantunya ditengah telapak tanganku. Sekejap, berdesing telinga kiriku bagai ditampar. Berpinau kepalaku. Langsung tersandar aku di tiang dangau.

“Hahaha, itulah suka terima tanpa mengambil tahu, kan dah susah diri” Pak Long memicit-micit bahuku. Peningku beransur-ansur pulih. Tak sampai segalah matahari, rombongan Jabatan Pertanian dan JKKKKK kampung tiba menjengah kebun arwah atok yang siap dipunggah bersih. Akulah yang menjadi orang tengah. Ayah sememangnya mengharapkan aku yang bercakap. Takut-takut dia bercakap lain pula jadinya.

Usai berjemaah di rumah, Pak Long melihat-lihat cincin diatas meja. Langsung tak diusik, cuma reaksinya sahaja kelihatan terkejut. Dibukanya telungkup cawan, nahhh, tiba-tiba haruman kemboja mewangi seisi rumah. Sehinggakan emak didapur dapat mencium semerbak bauan kemboja. Seketika, “Amin, batu ini cendana pecah seribu, direbut sewaktu hujan batu, dikalung ratu dilehernya jinjang, dikambus tanah berselut malang, dipuja manusia diambil temulang,” Pak Long bercerita berkisar muasal batu cincin putih jernih. “Hemmm, batu ini diambil dari tanah perkuburan masyarakat Kemboja oleh orang yang tidak bertanggungjawab, memuja kubur dengan makrifat, untuk memenuhi tuntutan hawa dan nafsu manusia,” ujar Pak Long lebih mendalam. Ayah dan aku duduk membatu. Ayah sendiri tidak banyak menambah apa yang Pak Long katakan. Hanya mengangguk. “Pernah dengar perang orang Islam Champa?, huh, banyakkan membaca,” ujar Pak Long sedikit kecewa apabila aku menggelengkan kepala.
“Buangkan sahaja,” ujar ayah marah.

Ketika Isyak, ayah merungut perutnya amat sakit. Berpeluh-peluh mukanya menahan bisa-bisa sehingga tampak urat hijau didahi. Emak gelisah dan cepat-cepat menyediakan air tawar. Belum pernah lagi aku melihat ayah dalam keadaan seperti ini. Ayah juga tidak benarkan Aisyah menghampirinya dekat. Aku? Aku dengan pantas mendapatkan Husin MA. Aku takut ayah gastric, sebab pagi tadi ayah makan lempeng dengan sambal ikan bilis didangau. Banyak. Mujurlah Husin MA ada dirumah, dengan berkain pelikat aku usungnya dengan motorsikal.“Siap, biarkan bapak hang rehat dahulu, nah!, ini ubat tahan sakit dan ini ubat gastric, sudah, mari hantar aku ke warung Lebai, aku nak tengok wrestling,” ujar Husin MA tenang. Ayah beransur pulih dan mampu tersenyum.

Sewaktu aku pulang ke rumah, Pak Long, Lebai Naim, Haji Bahaman dan Sudin Komando sedang berbual kosong di serambi. Entah siapa yang memanggil mereka. Hemmm..ayah pun ada sedang menjamah roti benggali cecah milo suam. “Ayah dah baik? Dah tak sakit perut?,” aku memerhatikan ayah. Ayah hanya mengangguk. “Sakit orang tua, ada pasang surut,” Sudin Komando menjampuk.
“Ayah hang tak apa-apa Amin, jangan risau. Risaukan Aisyah sahaja,” Pak Long mendapati aku di dapur. “Benda itu mengekori hang sekeluarga sebagai perlindungan daripada ancaman, dan beranggapan ayah hang adalah sebagai ancaman, itu yang ayah hang kena separuh m**i,” ujar Pak Long panjang lebar. “Ayob mencari seseorang pengganti dirinya, mesti mencari pengganti sewaktu hujan membasahi tanah, kalau tidak Ayob tidak mampu melepaskan diri dari benda itu,” gerutu Pak Long marah akan sikap orang yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Kenapa pula Aisyah perlu dirisaukan Pak Long?,” ujar aku khuatir.
“Oh, aku risaukan benda itu mahukan taruhan anak pertama, itu sahaja. Dan memang kenalah Ayob mencari hang sebagai tuan baru peliharaannya, tapi sabarlah, kita berikhtiar,” Pak Long melemparkan senyuman yang menguntum memadamkan rasa risauku yang melarat. “Satu lagi, hang masih amalkan solat Tahajud dan Al-Fatihah 41?,” ujar Pak Long. “Ya, Pak Long,” jawabku pendek. “Bagus, patutlah benda itu panas,” Pak Long berlalu pergi meninggalkan aku.

Keesokkan pagi, kami empat beranak ke rumah peninggalan arwah atok (rumah Pak Long). Apa yang aku pelikkan adalah, Aisyah mesti dipayungi daun pisang sewaktu memijak tanah. Itu permintaan Pak Long. “Eton, minta hang bawakan kapur makan dibawah dapur dan Amin minta bawakan sireh temu urat dibelakang rumah,” Pak Long hanya tersengeh di ruang tamu sambil mengacip pinang kampung. Aisyah pula sedang berbaring di dalam bilik arwah nenek. “Ini cuma ikhtiar sahaja”, sambil Pak Long membuka uncang berisi cincinku. Cincin itu dicampak ke dalam gayung. Dibiarkan ditengah rumah dimamah cahaya matahari dari sebalik daun jendela.

Seketika, “Mat Den, hang pi tengok, nampak tak apa dalam bilik menantu hang?” Pak Long mula bercakap selepas berdiam diri diruang tamu. Ayah bingkas bangun mendapatkan Aisyah dan emak didalam bilik. Ayah tampak terkejut, badannya macam menggeletar menahan marah. “ Huh, benda ini yang mengikut hang balik Amin,” gerutu ayah kembali duduk. “Hahaha, sabaq, benda tu buat apa dalam bilik?” ujar Pak Long kepada ayah. “Huh, dok menari menorah, lenggang-lenggok depan katil menghadap Eton dengan Aisyah,” marah ayah apabila dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa. “Baiklah, itu sahaja yang aku mahu tahu,untuk kepastian,” ujar Pak Long sambil mengambil semula cincin dari dalam gayung. “Kita pulangkan semula malam ini, Mat Den, Amin hangpa ikut aku, kita ke kubur sebelum Zohor,” Pak Long bingkas ke dapur mendapatkan cangkul. “Sireh ini telah Mat Noh tuliskan dengan sedikit kapur, minta Aisyah makan Eton,” ujar ayah mendapatkan emak didalam bilik.

Kubur yang dimaksudkan tidaklah jauh hanya beberapa rantai sahaja dari rumah peninggalan atok. Sempat juga kami menziarahi kubur atok dan nenek yang bersebelahan. Selepas siap membersihkan kubur barulah Pak Long menyelesaikan kerjannya. Hanya segenggam tanah dibungkus kemas di dalam beg plastik.
“Abang tahu, semalam Aisyah mimpikan mengendong bayi didalam singgahsana, besar, dikelilingi dayang-dayang, macam keraian menyambut kelahiran,” Aisyah menceritakan mimpinya sewaktu didapur mengulai ayam kampung. Aku dan emak hanya tersenyum. Emak kelihatan gembira menyambut kelahiran cucu sulung, aku pun gembira juga, namun rasa khuatir terpalit. Yalah, takut jadi apa-apa. Nauzubillahiminzalik.

“Mak rasa ini anak perempuan Amin,” emak tiba-tiba bersuara. “Kenapa pula mak?,” ujar aku pendek. “Yelah, mak perasan Aisyah suka betul belek-belek mukanya dicermin, mungkin kenan anak perempuan,” emak ketawa kecil. “Hish, kesitu pula emak, bila?, Aisyah bukan macam itulah mak,” aku hairan bila Aisyah suka bersolek. Kalau setakat tipiskan bedak dimuka adalah. “Pagi tadi waktu subuh, mak nampak Aisyah dibilik nenek hang tengah bersolek,” ujar emak mempertahankan apa yang dilihatnya. “Oh yeke, betullah, mungkin anak perempuan,” aku ketawa kecil padahal pagi tadi aku tengah mengurut betis Aisyah diserambi sambil menunggu Pak Long mengambil wudhuk di kaki tangga.

Usai Isyak dan munajat, kami sekeluarga berkumpul diruang tamu termasuk Sudin Komando dan Haji Bahaman. Pak Long berpesan kepada kami semua agar mengekalkan wudhuk dan berdiam diri. Cincin cendana Pak Long letakkan di atas sejadah ditengah ruang tamu. Kedengaran ayam direban berkepak-kepak, seperti berhempas pulas melepaskan diri. Haruman setanggi dan kemboja entah dari mana memenuhi seluruh rumah. Bauannya berpusat diruang tamu. “Keluar dan duduklah disini diantara kami,” tiba-tiba Pak Long bersuara. Ayah mencebik muka. Aisyah dan emak saling berpegang tangan. Kain sejadah berbekas telapak kaki. “Duduk dihadapan aku,” ujar Pak Long. Bammm..bammm!! “Duduklah!”, ayah menepuk lantai kayu medang. Sedikit bergegar punggungku. Marah betul ayah pada susuk perempuan berkecopong 5 serangkai. Pak Long mengalih pandangan kearah ayah, mungkin kurang senang dengan tindakan melulunya.

“Hang mahukan cincin ini?ambillah, bawa pergi dan jangan kembali,” Pak Long melurut janggutnya sejengkal. Emak dan Aisyah berpaling antara satu sama lain. Emak mungkin tahu dan berpengalaman dalam situasi begini, tapi Aisyah aku yakin tidak tahu hujung pangkal. “Hang mahukan anak ini sebagai pewaris? oh,begitu maksudnya hang tak mahu berpisah,” Pak Long ketawa sambil memandang Aisyah. Perempuan itu hanya menundukkan muka. Busananya merah dan kuning. Hujung kainnya mengurai labuh duduk bersimpuh. “Maaflah, aku tak benarkan hal ini terjadi di dalam keluargaku, dan aku tidak peduli apa perjanjian hang dengan Ayob dahulu,”

Pak Long tersenyum sambil matanya terbuka luas. Misai runcingnya ikut bergerak. Ayah sudah bersila melipat kajang, bersedia melompat harimau.
“Laqad jaakum rasoolun min anfusikum AAazeezun AAalayhi ma AAanittum hareesun AAlaykum bilmu’ mi neena raoofu raheem” “Fa-in tawallaw faqul hasbiya Allahu la ilaha illa huw AAalayhi tawakkaltu wahuwa rabbu alAAarshi alAAzeem” (ayat 128-129, Surah At-Taubah)

Perempuan itu mendengus, menggelengkan kepala, air hidungnya bertali jatuh ke atas sejadah. “Apakah hang masih terus kekal dengan maksud hang?,” Pak Long menggertak. Perempuan itu masih mengangguk tetap bertahan. Pak Long mengepal tanah kubur sambil mulutnya berkumat-kamit. Serentak perempuan itu berguling-guling diruang tamu. Menjerit-jerit kepanasan. Dari gerak bibir, Pak Long sedang membacakan Surah Al- Jin dan Surah An-Nisa. Lagi kuat Pak Long mengepal tanah, lagi kuat perempuan itu mengerang. Busana yang dikenakannya berdarah dan kusam. Seperti dicemeti bertalu-talu. “Turun hang dari alang atap rumah aku,” Pak Long mendongak ke atap. “Mat Den dan Sudin, hangpa uruskan yang diluar, ada seekor atas atap nu,” Pak Long memeberi arahan kepada ayah dan Sudin Komando.

Aku tidak tahu apa yang terjadi luar, cuma ada selit bauan hancing. Seketika, ayah kembali ke atas rumah. Baju layang yang dipakainya penuh kesan tanah. “Huh, dikencingnya aku satu badan,” ayah mendengus lalu menuruni bilik air didapur. “Hang lihat sendiri, apa yang terjadi kepada Ayob?, atau hang menerima nasib yang sama,” Pak long berdiri di sisi daun jendela bersama cincin cendana. “Perbuatan hang salah, menjanjikan kemewahan, sedang Allah swt itu Maha Kaya dan luas perbendaharaannya di langit dan dibumi, menjanjikan kecantikkan, sedangkan Allah swt itu yang abadi, hang dan aku adalah makhluk Allah swt, dan aku tawarkan perdamaian, sesungguhnya hang datang dari kaum yang musyrik,” Pak Long menggenggam cincin cendana kemas.

“Sudah banyak orang hang aniaya, yang yatim hang kikis, yang lemah hang pijak, yang jernih hang keruhkan, semoga hang kembali ke pangkal jalan hendaknya,” kepulan asap nipis keluar dari celah genggaman Pak Long. Berderai butir-butir pasir Kristal dijendela. Melayang ditiup angin malam. Perempuan busana merah sudah tidak kelihatan, yang tinggal hanya sejadah. Sudin Komando pula masih dibawah tercungap-cungap, katanya penat mengejar beruk.

Lewat seminggu, ayah menelefonku bahawa Ayob sudah pulang kepada pencipta sewaktu berada di Kemboja.

Sekian….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 4.7]
Mat Tepos

11 thoughts on “Cincin Cendana Retak Seribu”

  1. Terima kasih berkongsi cerita. Saya menyukai dan menghargai penggunaan bahasa melayu yang sepenuhnya dalam perkongsian cerita pengarang.

    Reply
  2. Hebat …
    Sebaris Tamar Jalis dalam versi Budaya Melayu aliran Champa Barangkali …
    Teruskan berkarya ..
    jika mahu lebih kemas lagi boleh dijadikan buku-buku pasti laku keras …

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.