CINTA M**I

CINTA M**I
Karya & Facebook Penulis: DeeFen DF

====================================

“Faris, petang nanti habis kerja teman Sufiya pi beli barang kat hypermarket boleh?”

“Faris… Sufiya nak minta tolong boleh? Tolong transfer jap duit kat seller jual baju. Baju tu cantik sangat tapi duit gaji Sufiya dah tinggal ciput. Sufiya pinjam duit Faris dulu boleh?”

“Sufiya teringin nak makan ais kepal milo. Tengah viral makanan tu. Faris tolong belikan boleh? Sufiya nak buat overtime, tak sempat la nak keluar beli. Boleh laa…”

“Hello Faris. Tolong Sufiya, Faris. Sufiya takut. Kereta Sufiya rosak on the way balik ke kampung ni. Jalan gelap sangat ni Faris. Please Faris… Cepat datang.”

“Faris… Esok pagi tolong ambil Sufiya kat rumah boleh? Petang ni Sufiya nak hantar kereta ke bengkel. So, esok Sufiya takda kereta nak datang kerja. Tumpang? Hehehe.”

“Faris, ambil Sufiya kat mall. Nak balik. Sufiya gaduh dengan Zaiful.”

———————-

FARIS

Aku berkerja di sebuah syarikat insurans sebagai seorang akauntan. Sudah hampir tiga tahun aku bekerja di sini. Ini merupakan syarikat pertama dan satu-satunya syarikat aku bekerja selepas tamat pengajian degree di universiti.

Aku agak gembira bekerja di sini. Suasana kerja yang baik. Bos yang memahami. Rakan sekerja yang sekepala. Dan yang paling penting, aku bekerja satu pejabat dengan Nur Sufiya.

Setiap kali aku menyebut nama Nur Sufiya, pasti hati aku terasa berbunga-bunga. Kadangkala berdebar pun ada. Bermacam perasaan dalam diri aku bila memikirkan tentang dia. Kelakarkan?

Sufiya, pada pandangan mataku dia seorang yang cantik dan bersifat lembut; juga penyayang. Namun dalam kelembutan dan sifat penyayangnya, dia sangat tegas tatkala mempertahankan sesuatu isu. Kadangkala dia boleh jadi keras kepala. Kuat merajuk pun satu hal. Tapi aku rela je. Tak susah pun nak pujuk dia.

Aku dengan Sufiya dah kenal agak lama. Sejak mula belajar diploma lagi. Kami sama-sama sekelas sepanjang diploma. Manakala semasa pengajian degree, kami berbeza kelas.

Aku tak nafikan yang aku ada menaruh perasaan sayang pada Sufiya sejak hari pertama aku memandangnya.

Aku sanggup lakukan apa sahaja demi Sufiya. Aku tak kisah bersusah payah. Apa sahaja yang diminta olehnya, aku pasti usahakan. Walaupun akhirnya aku sendiri yang terpaksa menanggung kepayahan, terpaksa mengikat perut. Aku lakukan semuanya kerana kasih dan sayang aku padanya.

Namun perasaan sayang dan cinta itu tak pernah aku luahkan kepadanya. Kerana apa? Kerana dia sudah mempunyai teman lelaki. Teman lelaki yang sudah dikenalinya sejak dari zaman persekolahan lagi. Zaiful; lelaki inilah yang menjadi teman lelakinya sehingga sekarang.

Walaupun begitu, aku tetap menyimpan hasrat yang suatu hari nanti aku akan memilikinya sebagai teman hidup yang sah. Aku berjanji yang aku akan temaninya sehingga hujung nyawa aku…

***

“Faris tak nak keluar lunch ke?” tanya Sufiya ketika dia datang ke tempat aku untuk mengajak aku keluar makan tengahari.

“Emmm… Tak nak la,” jawab aku ringkas.

“Kenapa ni Faris? Tak selera? Tak sihat? Tak larat?” Bertubi-tubi soalan Sufiya ditujukan pada aku.

“Sakit kepala la.”

“Laaa yeke. Dah letak minyak?”

“Belum.”

“Jap lagi Sufiya ambilkan. Takpa la, nanti Sufiya tolong bungkuskan makanan untuk Faris ye.”

“Terima kasih Sufiya.”

Kadangkala aku sengaja membuat seperti tak sihat. Sakit kepalalah; nak demamlah; sakit kakilah, macam-macam lagilah. Aku sekadar nakkan perhatian dari Sufiya saja. Bukan sakit betul sangat pun. Sengaja nak uji yang dia betul ambil berat tentang aku atau tidak. Mengada-ngadakan aku ni?

Sejujurnya aku kurang bersetuju Sufiya berkawan dengan Zaiful. Seringkali Sufiya diabaikan lelaki tersebut. Bila perlu, baru lelaki tersebut datang berjumpa dia. Bila tak perlu, dibiarkan Sufiya terkontang-kanting. Apa sahaja kesusahan Sufiya, Zaiful kadangkala sahaja akan bantu. Selalunya akulah yang dihubunginya bila dia dalam kesusahan.

Zaiful ini boleh tahan juga playboy. Sudah beberapa kali Sufiya mengadu padaku yang Zaiful pernah kantoi dengannya. Gambar perempuan lain dalam telefon bimbit, bergayut berjam-jam, panggilan video dan perbualan Whatsapp dengan perempuan lain.

Tapi setiap kali mereka bergaduh, pasti Zaiful akan nafikan perkara itu. Menurutnya, itu semua hanya kawan biasa. No special feeling. Cintanya hanya pasal Sufiya seorang. Dia tak boleh hidup tanpa Sufiya. Akhirnya Sufiya pun termakan pujuk rayu Zaiful. Begitulah mereka selama ini. Gaduh, baik, gaduh, baik.

Sebenarnya aku pun dah naik muak mendengar cerita tentang pujuk rayu Zaiful. Apa jadah video call dengan perempuan lain, borak setiap hari dalam chat, tapi…tiada perasaan? Sangat kelakar jawapan Zaiful.

Pernah juga dua kali aku terserempak Zaiful bersama perempuan lain. Namun aku diamkan saja dari pengetahuan Sufiya.

Kadangkala lebam tangannya dicengkam kuat oleh Zaiful ketika mereka bergaduh. Matanya usah ditanyalah, seminggu sekali pasti akan kelihatan sembap akibat banyak menangis. Sedih aku melihat keadaan Sufiya sebegitu. Rasa mahu ditempeleng sahaja si Zaiful sampai tersidai di tepi longkang.

Aku pun tak faham kenapa Sufiya masih mahu kekal bersama Zaiful walaupun bermacam-macam dah Zaiful lakukan padanya. Sufiya layak dapat lelaki yang lebih baik…

———————-

NUR SUFIYA

Fikiran aku sering berkecamuk memikirkan masalah hidup. Aku semakin rasakan yang aku telah semakin ditelan oleh masalah-masalah yang menyelubungi hidupku. Sekarang ini kadangkala aku seperti terdengar suatu suara yang menyuruh aku melakukan sesuatu. Apakah aku berfikir terlalu berlebihan?

Aku selalu memikirkan masalah kesihatan ibu yang sejak dua tahun kebelakangan ini semakin merosot. Seminggu dua kali perlu ke hospital yang terletak agak jauh dari rumah. Wang yang banyak perlu dipakai. Ayah pula sudah terlalu tua untuk berkerja. Namun sesekali ayah tetap mengambil upah memotong rumput dengan mesin rumput uzurnya.

Adik lelaki aku pula tak boleh diharap. Tak bekerja. Asyik memberontak, membawa masalah ke rumah dan sering meminta duit. Sekarang sudah mula terjebak dengan najis dadah. Aku stress.

Di tempat kerja, aku tertekan dengan penyelia. Dia sering memberi kerja yang terlalu banyak dan rumit. Jika lambat siap, pasti aku dimarahi. Ada sahaja kesalahan aku yang dicarinya. Hari-hari aku terpaksa membuat kerja lebih masa. Aku tertekan.

Manakala Zaiful pula sering mengabaikan aku. Aku sayangkan dia, tapi bila aku perlukannya, dia seringkali hilang atau membuat seolah-olah aku seperti tidak wujud. Aku perlukannya sebagai tempat untuk meluahkan perasaan. Untuk berkongsi masalah. Untuk menenangkan aku ketika aku jatuh. Aku rasa down sangat.

Zaiful juga sering meminta wang daripada aku. Sudahlah aku perlu mengirim wang ke kampung untuk membeli ubat emak dan menyara kehidupan mereka, Zaiful pula langsung tidak membantu. Entah ke mana duit gajinya pergi. Sejak dari di universiti lagi Zaiful berperangai begitu sehingga membuatkan aku tertanya-tanya, adakah Zaiful betul-betul sayangkan aku. Aku serabut.

Tapi aku ada seorang teman. Teman yang terlalu baik. Dia sering membantu aku ketika kesusahan. Menemani aku ketika aku tertekan. Mendengar segala masalah aku. Mengangkat aku kembali ketika aku berasa sudah hilang upaya untuk berdiri. Faris namanya. Aku tenang bersamanya.

Aku tahu dia menyimpan perasaan padaku. Aku boleh nampak daripada pandangan matanya. Aku boleh rasakan perasaan sayangnya padaku. Apa sahaja yang dilakukannya untukku langsung tak pernah diminta balasan walau sekelumit.

Dia terlalu baik. Hatinya tulus. Terlalu baik sehinggakan aku takut aku menyakitinya. Dan aku juga tidak mahu orang lain melukainya. Sesiapa yang memilikinya pasti beruntung.

Ada sahaja gadis yang mahu mendekati Faris. Tapi dia selalu menolak. Bukan sekali, rasanya sudah hampir 10 kali dia menolak. Bila aku tanya mengapa, jawapan yang sama sahaja aku perolehi iaitu ‘aku dah ada orang yang aku sayang’.

Bila aku tanya siapa, mana gambar? Dia hanya tersenyum dan menjawab nantilah dia tunjuk. Sejak dari zaman kami belajar sehingga sudah bekerja sekarang, itulah sahaja jawapannya.

Tak dinafikan yang aku juga cemburu setiap kali ada gadis yang cuba mendekati Faris. Cemburu tandanya apa? Tandanya sayang. Ya, aku juga ada perasaan sayang pada Faris. Perasaan sayang itu timbul semasa kami hampir tamat belajar degree.

Aku terpesona dengan susah payah Faris membantu aku belajar semasa peperiksaan akhir. Bukan tak pernah dia bantu aku sebelum itu, tapi detik itu membuka sedikit ruang hatiku untuknya bertapak.

Tetapi, sayang aku kepada Zaiful begitu menebal. Sudah banyak susah senang yang aku lalui bersama Zaiful sejak dari zaman persekolahan. Aku sudah terbiasa dengannya. Aku tak dapat bayangkan hidup aku tanpanya di sisi. Walaupun dia kadangkala menyakiti tubuh aku, tapi aku selalu berdoa yang dia akan berubah.

***

“Sufiya tahu kan yang bos kita buka cawangan baru kat selatan?” Faris mendekati aku sambil meletakkan secawan coklat panas di atas meja kerja aku. Namun mataku tetap tak berubah daripada merenung skrin komputer sambil jari-jemari menekan papan kekunci. Setiap petang jika aku membuat overtime, Faris pasti membancuh air untukku. Aku senang dengan keadaan itu.

“Tahu. Kenapa?” Pendek jawapan dan soalan aku.

“Saja la tanya. Ingatkan Sufiya tak tahu.”

“Orang tahu la. Satu office ni dah tahu.. Hehe.”

Pejabat mulai kosong dengan staf yang berkemas balik setelah tamat waktu pejabat. Hari Jumaat sebegini semua berkejar hendak balik awal. Tinggal aku sajalah bekerja di sini dan selalunya ditemani Faris ketika aku membuat overtime. Faris sering melepak di ruangan rehat sambil bermain game dan melayari Facebook sehingga aku siapkan kerja.

“Ada satu lagi Faris nak bagitahu. Tapi yang ni satu office pun tak tahu lagi. Sufiya je yang tahu.”

“Apa tu? Okay saspen…” Aku sudah berhenti menaip. Kerusi diputar menghadap Faris. Wajah Faris menguntum senyuman manis padaku seperti selalu. Ahhh… Bibirmu itu selalu mencairkan hatiku.

“Haa apadia Faris?”

Faris mendekatkan bibirnya pada telingaku. Aku memejamkan mata dan seraya itu Faris berbisik.

“Faris naik pangkat. Dua tangga sekaligus.”

“Wah!” Terlepas jeritan daripada kerongkongku sehingga mengundang renungan beberapa mata staf yang sedang berkemas.

“Sorry sorry semua! Teruskan kemas ye. Selamat pulang. Bye! Bye!” Menggelabah aku cuba selindungkan malu. Faris tergelak kecil melihat telatahku.

“Taknak ucap tahniah kat Faris ke? Hehehe.”

“Tahniah Encik Faris. Hahahaha bongok! Bulan depan eh naik pangkat?”

“Ye. Tapi ada syarat.”

“Syarat apa?”

“Faris kena transfer ke cawangan baru, baru dapat naik pangkat tu. Kat sini position pangkat tu dah penuh diisi.” Wajah Faris berubah. Nampak sedikit sedih.

Aku terdiam. Fikiranku kosong. Walaupun aku gembira Faris dinaikkan pangkat, namun untuk berjauhan dengannnya membuatkan aku bakal kehilangan teman rapat.

“Faris setuju?”

“Faris terima… Walaupun berat hati. Ahad ni lapor diri. Ada lagi 2 hari nak siapkan barang.”

“Cepatnya. Emmm… Errr… Baguslah macam tu. Demi kerjaya Faris juga kan.” Aku cuba menguntum senyum yang kurasakan pasti kelihatan kelat.

“Tapi… Faris rasa berat hati…”

“Berat hati kenapa?”

Faris terdiam seketika. Dia menunduk memandang ke lantai.

“Faris berat hati nak tinggalkan Sufiya. Nanti tak ada orang nak tengok-tengokkan Sufiya.”

Hatiku tersentuh. Dadaku sesak. Tekak terasa perit. Tanganku genggam kuat. Aku cuba mengawal perasaan.

“Faris… Faris nak tinggalkan Sufiya?” Aku tak mampu membendung lagi apa yang ada di dalam fikiranku. Sejujurnya aku tak sanggup Faris pergi meninggalkanku. Mungkin aku kedengaran seperti mementingkan diri.

“Faris pergi pun demi Sufiya. Demi kebahagiaan Sufiya.”

Aku dapat melihat mata Faris mulai merah dan berkilau dengan air mata.

“Demi kebahagiaan Sufiya?”

“Ya… Dua minggu lepaskan Sufiya bagitahu yang Zaiful berjanji nak datang meminang Sufiya hujung tahun ini. Sufiya pun cerita yang sekarang ni korang tengah berusaha membaiki hubungan korang,” perlahan-lahan tutur kata Faris mengatur ayat.

“Tapi Faris… Jangan tinggalkan Sufiya. Sufiya tak sanggup kehilangan Faris. Sufiya nak Faris sentiasa di sisi bila Sufiya perlukan Faris. Faris… Please…” Air mataku mula menitis. Aku berasa sangat takut akan kehilangan Faris.

“Sampai bila Sufiya? Faris tak nak jadi batu penghalang kepada kebahagiaan korang berdua. Ya Faris akui yang Faris sayangkan Sufiya. Faris cintakan Sufiya. Faris nak memiliki Sufiya. Faris…” kata-kata Faris terhenti dek esakan tangisnya yang mengugu.

“Allahu…” kolam mataku tak mampu ditahan lagi. Terus mengalir deras. Tak disangka yang kami akan melalui saat-saat begini. Faris buat pertama kalinya turut meluahkan perasaan cintanya padaku dalam situasi begini. Aku sedih.

“Sufiya tak sanggup kehilangan Faris…”

Kami berdua teresak-esak menangis. Meluahkan perasaan yang terbungkam di hati melalui air mata tanpa sebarang kata-kata.

“Takpa Sufiya… Faris faham kedudukan Sufiya. Jangan lupakan Faris tau. Insha Allah ada masa kita akan berjumpa lagi nanti. Faris doakan korang bahagia.” Faris memandang sambil mengelap pipiku yang basah dengan air mata. Aku akan merindui senyuman itu. Senyuman penawar ketika aku berduka.

Tapi… Sekarang pun aku sudah berasa rindu! Bagaimanakah keadaan aku pada hari-hari mendatang???

***

Sudah sebulan berlalu sejak Faris berpindah ke cawangan baru. Aku rindukannya. Serius aku tersangat rindu.

Betul kata orang, bila seseorang dah tiada di sisi baru kita akan kenal erti kehilangan. Kenal erti rindu. Selama ini Faris sentiasa ada di sisi sewaktu aku susah. Ketika aku senang, aku pergi kepada Zaiful. Allahu, kejam juga aku terhadap Faris. Memainkan perasaan yang tulus menyayangi aku.

Aku acapkali menghantar pesanan Whatsapp kepada Faris bertanyakan khabar. Jawabnya, dia sangat sibuk sekarang. Sehingga hujung minggu pun kerja. Cawangan baru tengah merekrut ramai pekerja baru, maka banyak latihan dan persediaan perlu dilakukan.

Air mataku sentiasa mengalir setiap kali terkenangkannya.

Dia ada berkata yang hujung minggu depan dia akan pulang ke rumah keluarganya di sini. Aku sangat tak sabar untuk bertemu.

Hari ini merupakan hari jadi aku. Dia sudah ucapkan hari jadi kepada aku semalam. Aku ada minta hadiah daripadanya apabila dia pulang minggu depan. Can’t wait!

Aku mengerling jam di telefon bimbit. 6:30 petang, Jumaat. Selalunya masa begini sudah ada terhidang secawan air panas di atas meja. Faris pula berada di ruangan rehat. Dipanjangkan leher sedikit sudah boleh nampak ruangan tersebut.

Aku menjenguk. Kosong. Tiada siapa di situ. Ahhh aku rindu kau Faris!

TEETTTT!

Bunyi penggera pintu berbunyi tanda pintu pejabat dibuka. Aku tidak menghiraukan lantaran mataku tertancap pada skrin komputer.

“Sufiya…”

Gemersik suara itu sangat aku kenali. Aku memejamkan mata…

“Sufiya…”

Suara itu terasa terus menusuk dan membelai kalbuku.

Aku berpaling. Di belakangku berdiri seorang jejaka yang sangat aku rindui.

“FARIS!!!”

Air mata aku tak tertahankan lagi. Saat itu aku sudah merasakan yang Faris adalah cinta yang aku cari selama ini. Aku sudah merasakan peritnya menahan rindu. Perasaan yang tak pernah aku rasai bersama Zaiful.

Aku bertekad untuk mengejar cinta Faris. Cinta tulus yang tak akan aku lepaskan. Yang tak mungkin akan aku temui lagi sepanjang hidupku.

Faris tersenyum memandangku. Senyuman yang mendamaikan gelora hatiku.

“Happy birthday Sufiya…”

“Terima kasih Faris! Kenapa tak bagitahu nak datang? Jahat tau buat surprise macam ni!” Senyuman tak lekang daripada bibirku. Gembiranya aku saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Faris datang singgah pun saja nak wish birthday. Sebab minggu depan Faris tak jadi balik. Sebab tu Faris datang sekejap sekarang. Kejap lagi Faris balik semula.”

“What? Faris drive jauh-jauh tiga empat jam semata-mata nak wish birthday kat Sufiya? Allahu terharunya. Awak sayang sangat kan kat saya?” Aku menekup mulut. Tak sangka Faris sanggup datang sejauh ini.

“Faris… Sufiya sayangkan Faris…”

Faris menunduk ke lantai lalu berkata dengan suara yang penuh sebak. “Faris pun sayang sangat kat Sufiya. Faris terlalu rindukan Sufiya. Rinduku padamu yang menerbangkan aku ke sini…”

Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Tertera nama Haikal. Dahiku berkerut., tertanya-tanya dalam hati, kenapa? Haikal merupakan bekas rakan sekerja aku yang turut sama ditukarkan ke cawangan baru bersama-sama Faris.

Aku menunjukkan skrin telefon yang masih berdering kepada Faris.

“Angkatlah…” suruh Faris ringkas.

Belum sempat aku mengangkat, talian telah ditamatkan. Mungkin kerana terlalu lama berdering sehingga masuk voice mail.

Tiba-tiba telefon pejabat aku pula berdering. Aku menjeling ke arah Faris. Faris tersenyum kelat lalu menganggukkan kepala memberi isyarat supaya aku mengangkat telefon.

“Hello. Hello… Sufiya ke tu?”

“Ye Sufiya ni. Haikal kan?” Aku sangat mengecam suara Haikal yang sedikit garau dan serak.

“Hello. Hello. Weh.. Sufiyakan? Aku tau kau tengah overtime ni. Aku tak dengar suara kau. Tapi kalau kau dengar suara aku, aku nak bagitau yang Faris accident baru saja tadi. Aku minta maaf Sufiya. Faris dah… dah tak ada…”

Gagang telefon terlepas dari genggamanku. Aku tercari-cari kelibat Faris. Tiada?

“Tak mungkin….!! FARISSSSSS!!! Jangan tinggalkan Sufiya!”

———————-

RAKAMAN CCTV

Rakaman terakhir merekodkan hanya Sufiya berseorangan berada di ruangan kerjanya. Dia kelihatan bercakap-cakap sendirian sambil menangis teresak-esak.

Sebaik sahaja dia bercakap dalam telefon, tiba-tiba gagang telefon terlepas dari tangannya. Dia menoleh sekeliling. Mulutnya bergerak, seperti menjerit-jerit seolah-olah memanggil dan mencari seseorang. Dia terlihat gelisah.

Kemudian dia menarik-narik tudung yang melilit kepalanya. Memukul-mukul dadanya, lantas menghentak kepalanya di meja kerja. Perbuatannya terhenti. Dia kelihatan menyelongkar tas tangannya di sudut meja. Dia seperti terjumpa sesuatu.

Ubat!

Dia menelan kesemua ubat Risperidone dan Fluvoxamine serta ubat tidurnya. Beberapa ketika dia tersandar di dinding kubikel sebelum dia terhuyung-hayang lalu jatuh terjelepok ke lantai. Pengsan. Dada Sufiya masih bergerak sehinggalah kira-kira 2 jam kemudian ketika dia diserang sawan lalu dia terus tidak bergerak lagi…

Sufiya telah disahkan meninggal dunia akibat keracunan melalui dos ubat yang berlebihan.

————————–

ZAIFUL

Setelah selesai upacara pengebumian jenazah Sufiya di tanah perkuburan, aku menuju ke arah seorang pemuda yang kelihatan sugul dan duduk berteleku di tangga masjid.

“Bro…” Aku menyapa pemuda itu. “Kau Faris kan?”

“Ye saya. Eh…errr… Zaiful.” Pemuda yang bernama Faris itu kelihatan sedikit tercengang dengan kehadiranku. Diseka air mata yang mengalir di pipinya.

“Kau yang rapat dengan Sufiya kan? Aku masih cam muka kau.”

“Emm ye la kot…”

“Aku tau kau ada hati dengan Sufiya. Sebab tu aku nak cepat-cepat masuk meminang dia.”

Faris diam dan membuang pandang pada kawasan kubur di belakang masjid.

“Aku rasa kau penyebab Sufiya m**i! Kalau kau tak hadir dalam hidup dia, dia tak akan b***h diri!” Perasaan marahku meluap. Aku percaya yang Faris adalah punca kematian Sufiya.

“Maaf…”

“Kau pembunuh!”

Faris mengetap gigi lalu memandang tepat ke arah ku dengan mata yang merah. “Kau tak tahu apa yang Sufiya lalui. Kau hanya pentingkan diri. Selama bertahun-tahun dia menyayangi kau, bersabar dengan kau. Tapi kau anggap dia umpama boneka. Datang dan pergi sesuka hati kau. Langsung tak pernah menghargai kasih sayang dia pada kau.”

Aku terkelu.

“Kau tahu dia ada masalah kemurungan sejak setahun ini? Kau tahu dia ada masalah keluarga? Kau tahu dia ada masalah kerja? Kau tahu dia sangat letih bersabar dengan perangai kau? Kau tahu dia ada masalah delusi daripada kemurungan dia? Pernah kau ambil tahu? Pernah? Sudahlah Zaiful. Aku tak ada apa lagi nak bicara dengan kau…”

Faris terus bangun dan berlalu pergi.

Manakala aku… Aku terus termangu di situ. Dadaku seolah dihempap dengan persoalan yang ditinggalkan oleh Faris.

“Ahhhh! Ini semua tetap salah si celaka Faris! Kalau kau tak muncul dalam hidup Sufiya, pasti semuanya tak akan jadi macam ni! Kau jaga Faris! KAU JAGA!!!”

————————–

SUFIYA

2 Minggu sebelum kejadian..

Setiap malam aku terganggu… Bisikan itu makin kerap. Malah ia lebih teruk bila sampai tahap aku sudah mula cenderung menyakiti tubuhku. Aku mahukan Faris untuk mendengar. Aku mahu dia di sisiku seperti biasa. Aku sunyi. Aku hilang tempat berpaut.

“KAU TAK GUNA SUFIYA!”

“KAU MEMANG PEREMPUAN MALANG!”

“FARIS BENCI KAU!!”

“ZAIFUL PERMAINKAN KAU!!”

Aku tak tahan mendengar suara-suara ghaib itu. Aku tekup telinga aku. Aku hantuk kepala aku pada dinding. Tidak cukup, aku lari pula ke dapur. Aku cari pisau, lalu aku k***r-k***r pehaku. D***h mula terbit. Ironinya aku tidak merasa sakit dan pedih kerana jiwaku lebih parah.

“Sufiya…jangan buat macam ni!”

Aku terkedu mendengarkan suara itu. Aku toleh ke muka pintu.

“Faris?”

“Ya..aku datang. Aku dengar kau panggil aku…”

-TAMAT-

Karya & Facebook Penulis: DeeFen DF

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
DeeFen DF

5 thoughts on “CINTA M**I”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.