Daging Pun Sedap Bahagian 4

BAHAGIAN 4

“L..lima hari lepas, saya ada beri makan daging mentah dekat kucing hitam belakang rumah, ustaz. S..saya tak tahu kucing tu dari mana, tapi dia yang datang kat saya.” tergagap-gagap aku menceritakan kisah itu kepada ustaz Shafiq.

“Kamu jemput dia masuk ke dalam rumah?” wajah ustaz Shafiq tampak serius.

“Ya, tadi lepas magrib saya panggil kucing tu masuk ke dalam rumah. T..tapi takde apa-apa yang berlaku, ustaz. Kucing tu cuma jalan-jalan je kat dalam. Lepas tu saya masuk dalam bilik. Tak lama lepas tu, barulah gangguan tu datang.” sumpah kalau aku tahu kucing itu jelmaan jin, sudah pasti aku tidak akan menjemputnya masuk ke dalam rumah.

“Dalam dunia ni, bukan hanya kita manusia yang mendiaminya. Ada lagi makhluk-mahkluk Allah yang berpeleseran. Kamu tidak boleh sesuka hati membawa masuk benda yang kamu tidak kenal ke dalam rumah. Lagi-lagi kucing hitam. Waktu magrib pula tu. Entah betul kucing pun kita tidak tahu.”

Tersentak hatiku mendengarkan teguran daripada ustaz Shafiq. Benar. Memang aku alpa soal itu. Entah kenapa aku lupa akan nasihat ibuku yang selalu mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan bicara dan tindakan kita.

“Maafkan saya ustaz. Semua ni salah saya.” bahuku terjungkit-jungkit menahan sendu. Kalau bukan kerana kekhilafanku, pasti Sue tidak diganggu sebegini.

“Takpe, ini bukan salah kamu. Tapi jadikan ini sebagai pengajaran. Jangan risau, kita sama-sama bantu Sue. Apa yang saya nak kamu buat sekarang, teruskan baca surah Yasin dan ayat-ayat yang kamu tahu. Ingat, apa pun yang terjadi, jangan sekali-kali hentikan bacaan. Dan jangan pandang muka Sue sehinggalah saya selesai. Faham?”

“Faham ustaz.” jawab aku dan Tina serentak. Saat itu juga kami memulakan bacaan.

“Hoi! Kan aku cakap jangan baca! Kau tak faham ke hah?!”

“Kalau kau taknak rasa sakit, kau keluar dari badan budak ni sekarang!” arah ustaz Shafiq.

“Aku taknak! Aku suka dekat budak ni. Dia pun sama macam aku…Hahahah!”

“Sama macam mana?” umpan ustaz Shafiq. Dia mahu tahu alasan ‘benda’ itu mengganggu pelajarnya.

“Dia pun ada sikap yang sama macam aku. Kejam! Tiada hati perut! Pembunuh! Aku suka…”

“Apa maksud kau?!”

“Korang tak tahu ke? Hihihihi…” ejek makhluk itu. Lima hari lepas, selepas maghrib, Aku nampak budak ni sedang korek sesuatu dekat belakang rumah. Hihihih…”

“Lima hari lepas? Kat belakang rumah?” hatiku tiba-tiba berdegup kencang. Adakah dia maksudkan hari aku bertemu dengan Mimi? Longgokan tanah yang baru dikorek tu… Apa yang ditanam di dalam??

“Jangan berhenti baca!” sergahan dari ustaz Shafiq menyedarkanku. Kalut aku menyambung bacaan.

“Kau tahu dia sedang tanam apa?”

“Apa yang dia tanam?” tanya ustaz Shafiq lagi.

“Hmmmm.. Haaaa… sedapnya bau d***h hanyir tu. Manis!!! Hahahaha…” air liur Sue jatuh meleleh. Dia tersenyum menyeringai.

“Jawab apa yang aku tanya!” herdik ustaz Shafiq keras. Panas hatinya melihat jin yang cuba menyesatkan manusia.

“Dia….tanam janin..Hihihihi…”

“Janin?!” aku dan Tina berpandangan. Jelas terpancar kegusaran di wajah masing-masing. Antara percaya dan tidak silih berganti. Kemudian, aku teringat kejadian tempoh hari. Tompokan d***h yang aku lihat di lantai bilik air yang aku sangkakan d***h h**d rupanya…. Blurghh! Perutku terus terasa mual.

“Dari jauh lagi aku dah tercium bau d***h yang manis tu. Jadi aku datanglah dekat tingkap dapur. Dari situ aku nampak, dalam tandas, dia kutip janin tu dan cepat-cepat berlari ke belakang rumah. Aku nampak dia tanam janin tu. Hehehehe…”

“Astagfirullah.” ustaz Shafiq beristighfar. Sungguh kami terkejut dengan apa yang kami dengar. Benarkah Sue melakukan semua tu?

Tidak semena-mena, makhluk itu menangis teresak-esak. “Aku minta maaf… A..aku terpaksa buang kau…” bulu romaku meremang. “Dia cakap, kalau aku tak gugurkan, dia akan tinggalkan aku. Jadi aku terpaksa buat macam ni. Kau tak boleh salahkan aku, sebab aku tak pernah inginkan kau ada! Kau yang paksa aku buat macam ni!” sambung Sue lagi. Rintihannya sungguh menyayat hati.

Kami yang berada disitu turut berasa hiba. Tapi pada masa yang sama ada rasa marah yang menggebu. Langsung tidak tercapai dek akal apa yang sanggup dilakukan oleh manusia yang tergoda dengan pujuk rayu hawa nafsu. Apatah lagi ianya datang daripada Sue, seorang gadis yang warak, solat lima waktu, dan menutup aurat dengan sempurna. Sayangnya, tewas digoda nikmat dunia yang sementara.

Namun, aku tidak mahu meletakkan seratus peratus kesalahan dibahu Sue. Aku dan Tina tahu akan hubungan diantara Sue dan teman lelakinya, Firdaus. Mereka baru sahaja menjalin hubungan cinta enam bulan yang lepas.

Boleh dikatakan, hampir setiap hari mereka akan keluar berjumpa dan menghabiskan masa bersama. Tapi, aku langsung tidak berkenan dengan Firdaus kerana ramai tahu akan perangai kasanova lelaki itu. Sudah berbuih mulut kami menasihatkan Sue agar meninggalkan lelaki itu namun setiap kali itu juga Sue meminta agar kami tidak masuk campur dengan urusan hidupnya.

Akhirnya, kami mengalah dan diamkan saja hal itu. Tak sangka pula begini jadinya. Aku yakin, Firdaus yang menggoda Sue dan apabila mendapat tahu yang Sue mengandung, dia tidak mahu bertanggungjawab dan memaksa Sue mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan.

Ya Allah, patutlah malam itu aku lihat wajah Sue pucat. Bagaimana agaknya dia melakukan perkara itu? Ngilu memikirkannya. Sanggup dia menahan sakit sendirian daripada kehilangan Firdaus. Aku benar-benar tidak percaya.

“Kau bukannya tuhan untuk menentukan baik buruknya seorang manusia! Baik kau keluar dari badan dia sekarang!” arah ustaz Shafiq.

“Aku taknak! Aku suka kat dia. Aku nak jadi kawan dia!”

“Sini bukannya tempat kau! Kalau kau berdegil juga, aku akan guna kekerasan.”

“Arggghhhh!!”

Terperanjat kami mendengar jeritan itu. Nyaring sekali. Mungkin makhluk itu tercabar dengan kata-kata ustaz Shafiq. Berdesup ia merangkak di atas siling menuju masuk ke dalam bilik Sue.

DUMMM!!!

Bunyi pintu ditutup berdentum kuat. Suasana kembali hening. Hanya bunyi desah nafas yang kedengaran. Ku seka peluh yang merintik di dahi. Padahal malam itu sangat dingin dan sejuk.

Bersambung…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

5 thoughts on “Daging Pun Sedap Bahagian 4”

  1. Sesungguhnya keturunan jenis Adam itu diamanahkan menjaga kelemahan wanita. Sesiapa yg berani ambil kesempatan diatas kelemahan wanita pasti akan diperhitung diyaumar Mahsyar kelak.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.