Damping Puaka

DAMPING PUAKA

Kali ini aku ingin bercerita mengenai pengalaman seram kenalan rapat aku, sepasang suami isteri. Cukup aku namakan mereka Kit dan isterinya Kat. Bila dia sekeluarga balik kampung baru-baru ini, aku teringat akan kisah mereka.

Sempat aku menemubual Kit. Untuk pengetahuan semua, Kit dan Kat lambat mendapat zuriat jadi pada masa itu, mereka hanya berdua sahaja. Mereka terpaksa menunggu sepuluh tahun, baru mereka dikurniakan zuriat.

Lima belas tahun dahulu, Kit dan Kat bukan seperti sekarang. Mereka pasangan muda yang baru habis sekolah. Mereka berkawin lalu merantau mencari rezeki. Ilmu agama sangat kurang. Solat memang ke laut.

Hanyut dengan arus kehidupan kesibukan bandar. Jadi keadaan ini mungkin salah satu penyebab kenapa mereka sering diganggu dengan kemunculan penampakan makhluk halus.

Sering di damping sehingga mengganggu kehidupan mereka. Apetah lagi apabila Kat sering berseorangan di rumah kerana Kit sibuk bekerja. Rezeki mereka suami isteri, tidak lama kemudian Kit berjaya menjadi seorang anggota polis.

“Bergerak wahai demi untuk negara,
Melawan siapakah musuh durjana,
tak kira pangkat darjat pun harta,
Mendaulatkan maruah bangsa,
Gerak gerak khas,gerak gerak khas oooOooo” …

Demi tugas membuatkan Kit tidak sentiasa bersama dengan isterinya, Kat. Jadual kerja yang tidak menentu menambahkan lagi kesibukannya. Hal ini membuatkan isterinya sering berseorangan di rumah memandangkan Kat suri rumah sepenuh masa.

Ketika itu mereka menyewa rumah di sekitar Paya Jaras. Pada suatu malam Kat sedang menanti Kit pulang dari kerja. Tunggu punya tunggu tidak juga muncul.
Niat di hati hendak makan malam bersama lalu setelah Kat menelefon Kit, rupanya Kit ada operasi.

Mungkin tengah malam baru balik Kit memaklumkan pada isterinya yangg tercinta. Kit menyuruh Kat makan terlebih dahulu dan tidak perlu menunggu dia. Selepas selesai makan, Kat terlena tanpa suami di sisi. Tiba-tiba, Kat tersedar.

Kedengaran pintu rumah dibuka. Kat bingkas bangun dari katil dengan girang hatinya untuk menyambut suaminya yang tercinta, Kit yang pulang dari kerja.

“Abang nak air?” tanya Kat pada suaminya.

“Erm”, Kit menjawab ringkas.

“Penat agaknya suami aku ni, buat kopi tongkat ali lah kasi bertenaga sikit,” Kat bermonolog di dalam hati.

Kat perasan suaminya tidak banyak bercakap. Selepas selesai minum mereka tidur. Tidak lama kemudian belum sempat Kat lelap, kedengaran bunyi enjin motorsikal buruk.

” Eh macam kenal bunyi motor tu. Tu bunyi moto laki aku,” Kat mula cuak.

“Aaaah sudahhh” .

“Dugaan apekah ini,” Kat mula berteka teki.

Kedengaran pintu rumah dibuka. Tidak lama kemudian pintu bilik pula dibuka.

“Eh, sayang belum tidur lagi?

” Eh abang baru balik ke???

“Iya, penat sangat tadi ada operasi.”

Kat memandang jam di dinding. Pukul empat pagi. Kit perasan Kat menggelabah semacam lalu dia bertanya pada isterinya. Lalu Kat menceritanya kejadian yang terjadi tadi. Isterinya tidak berani tinggal berseorangan lagi apatah lagi di waktu malam.

Namun apakan daya tanggungjawab Kit pada tugasnya tidak dapat dielakkan. Akhirnya Kat akur. Tidak lama lepas kejadian itu, sedang Kit dan Kat dibuai mimpi, tiba tiba Kit menjerit akibat terasa sakit teramat sangat seperti digigit sesuatu di lengannya.

Sepantas kilat Kit bingkas bangun membuka lampu lalu mencari apa yang menggigitnya sebentar tadi. Kat melihat pada lengan suaminya. Kelihatan ada kesan merah gelap berbentuk lipan melekat di lengan Kit. Macam tatu rupanya.

Mereka berdua kehairanan. Bagaimana semua ini terjadi. Aneh. Perasaan seram mula menyelubungi. Malam itu mereka tidak dapat tidur. Lalu mereka mengemas rumah lagipun rasa mengantuk sudah menghilang.

Jam menunjukkan pukul lima pagi. Sudah menghampiri waktu subuh. Kit mengumpulkan semua barang yang sudah tidak digunakan untuk dibuang ke dalam tong besar di simpang jalan depan rumahnya. Dalam perjalanan Kit buang sampah sampah tersebut dari jauh Kit terpandang seorang wanita.

Bila semakin dekat makin kelihatan rupa wanita tersebut. Cantik sekali katanya. Setelah melintasi wanita tersebut baru Kit perasan, wanita tersebut tidak berkaki. Bila Kit menoleh sekali lagi, wanita itu hilang dari pandangan.

Keesokannya, mereka berdua berjumpa dengan seorang ustaz untuk menanyakan mengenai kesan lipan di lengan Kit. Kata ustaz tersebut, mungkin itu gangguan makhluk disitu memandangkan kawasan rumah mereka memang agak keras.

Di samping itu juga, kawasan tersebut terkenal dengan wujudnya pengamal ilmu hitam terutama warga penduduk yang berasal dari Indonesia. Ustaz juga ada berpesan supaya lebih mendekatkan diri pada tuhan agar sukar di damping oleh jin dan syaitan.

Kat meminta suaminya untuk berpindah, lalu Kit akur. Tetapi mencari rumah ketika itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kuarters juga sudah penuh.Terpaksa mereka bertahan dulu di situ sementara dapat rumah baru.

Pada malam yang lain nya Kat bersendirian di rumah kerana Kit bekerja malam. Dalam ketakutan Kat cuba melelapkan mata. Di luar hujan renyai-renyai mulai turun. Kat terpandang ke tingkap. Tiba-tiba dia ternampak bayang-bayang tepat dihadapannya.

Bayang tersebut kelihatan seperti mempunyai banyak tangan dan seperti terapung-apung di luar tingkap. Melambai-lambai padanya. Dia bergegas keluar ke ruang tamu lalu menghidupkan televisyen sambil menanti hari siang.

Gangguan demi gangguan dilalui, akhirnya Kit mengambil keputusan untuk menghantar Kat pulang ke kampung sementara dia mendapatkan rumah baru. Selepas cutinya diluluskan, mereka pulang ke kampung di satu daerah di Machang,Kelantan.

Kampung Kat nun jauh masuk ke dalam. Jauh dari jalan raya. Sepanjang jalan untuk masuk ke kampungnya, dikelilingi hutan dan ladang getah. Mereka tiba di bandar Machang sudah larut malam.

“Bilaaaaaa larut malam, tarakucaca tarakucaca.”

Lebih kurang jam satu pagi. Setibanya mereka di jalan ke kampung Kat, tiba-tiba angin bertiup kencang. Perasaan mula bercampur baur. Seram mula menusuk.Dalam perjalanan menyusuri jalan kecil itu, mereka perasan pokok-pokok kecil di pinggir jalan bergerak secara bergulung gulung mengekori mereka.

Sehinggalah mereka sampai di rumah orang tua Kat, mereka bagai diekori. Aku pasti mereka ada saka atau apa sebenarnya. Berbagai kejadian mistik yang mereka alami. Dua hari kemudian, Kit balik ke Kuala Lumpur. Semasa Kat di kampung,dia diganggu lagi.

Kat terdengar bunyi air seperti ada yang sedang mandi di perigi di luar rumah. Ketika itu sudah tengah malam. Kat mengintai dari celah jendela. Ternampak susuk tubuh lelaki yang tidak dikenali. Apabila diamati, dia terkejut apabila yang dipandangnya itu hanya mempunyai separuh badan sahaja.

Hanya kepala sampai paras pinggang. Tiba-tiba susuk tubuh itu seakan tahu, Kat sedang mengintainya. Ia menoleh kearah Kat dan merenung tajam. Kat keluar bilik lalu memberitahu ayahnya. Ayahnya keluar memeriksa kawasan perigi tersebut namun negatif.Tiada sesiapa di sana.

Akhirnya, Kat menceritakan semua kejadian yang menghantui diri dan suaminya. Ayahnya menyuruh Kat dan Kit berjumpa ustaz, untuk meminta pandangan. Ketika Kit pulang ke kampung, dia dan isteri menemui seorang ustaz. Ustaz tersebut menasihati mereka supaya jangan lalai, jangan lupa pada tuhan yg Esa.

Kembalilah pada yg Esa. Jadilah hamba sebenar-benar hamba. Dekatkan diri pada tuhan, tuntutlah ilmu agama, hadirkan diri di majlis ilmu dan sesungguhnya majlis ilmu itu seperti taman-taman syurga.

Jin mahupun syaitan juga tidak suka berdamping dengan orang yang dirinya dekat dengan tuhan. Alhamdulillah Kit dan Kat berubah, patuh pada suruhan tuhan dan meninggalkan laranganNya. Ingat dan dekatkanlah diri dengan tuhan, nescaya hidup kita lebih terpelihara. In syaa Allah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mad Pi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.1]

1 thought on “Damping Puaka”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.