Dendam Si Tokak

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Admin FS dan rakan-rakan seperjuangan. Mat memohon maaf kalau cerpen ini tidak sehorror seperti yang diharapkan. Mat cuba berkongsi serba-sedikit cerita yang berlalu dan harap tidak menghampakan. Maka without flower-flower:

“Hang sudah siap Amin?,” Pak Long melihat aku atas bawah. “Sudah Pak Long,” spontan jawabku. Di dalam bas aku banyak berdiam diri, melemparkan pandanganku diluar tingkap melihat sawah padi yang luas terbentang. Kelihatan peraih-peraih Cina berkumpul dipinggir batas, menghulurkan cengkeram kepada tuan tanah sambil bermuka-muka gembira.
Pak Long hanya membisu, matanya berlari-lari khuatir terlepas tempat yang hendak dituju. Niat kami berdua datang dari jauh untuk menjengah kenalan Pak Long yang sudah 3 tahun tidak berjumpa. Kematu punggungku 1 jam lamanya diatas bas yang bergoyang-goyang meredah tanah merah yang belum siap diturap.

“Hah, tekan loceng merah tu Amin,” Pak Long bingkas memberiku arahan. “Terima kasih bang, jalan baik-baik” inspektor bas menyapa kami. “Wahhhhh, Pak Long, ramainya orang disini,” aku gembira melihat ramai orang berpusu-pusu dipasar tani. Betul-betul ditepi kunci air. Suasananya hiruk-pikuk dengan suara anak-anak kecil menjerit-jerit. “Pak Long, lajulah sedikit, aku nak beli satay,” aku menarik bucu baju Melayu Pak Long.

Pak Long tersengeh sambil meraba dompetnya dibelakang seluar. “Perhhh, sedapnya Pak Long,”aku menghayati satay ayam dicucuk lidi buluh. “Mari..mari..pak long, mak long, adik kakak, tua, muda, mari sini,” satu suara dialek asing datang dari celahan orang ramai. “Ayuh Pak Long tengok, apa yang dikerumun orang tu?,” aku mengheret lengan Pak Long. Muka Pak Long masam mencuka. “Minyak ini bukan sembarang minyak, lihat tangan saya, dihiris, ditetak, d******g, huh tidak lut,” sambil dia menunjukkan lagak dan aksi ngeri bersama pembantunya.

Pak Long bercekak pinggang diantara ramai. “Hei orang muda, jangan bercekak pinggang dihadapan aku,” Pak Long tersentak kerana ditegur pemuka lalu Pak Long melarikan tangannya kedalam kocek. “Huh, dasar cetek akal dan sopan,”pemuka itu masih menyerang Pak Long yang serba-salah jadinya. “Mari kita keluar dari sini Amin,” Pak Long lantas mencuit pinggangku. “Sekejap,” Pak Long mengeluarkan sejengkal kain daripada kocek lalu disimpul m**i. “Huh, rasakan tipu daya hang,” Pak Long memijak simpulan kain yang dilempar diatas tanah. “Marilah Amin, jangan ambil peduli,” Pak Long tangkas memisahkan diri daripada asakan orang ramai.

Kami berjalan sehinggalah memasuki kampung yang dipenuhi deretan getah tua. Jalannya terpelihara, selang beberapa rantai kelihatan rumah orang kampung kiri dan kanan. Pak Long tersenyum melihat sebuah rumah yang dipagari buluh temiang. “Sudah sampai rumah kenalan aku, tidak berubah seperti dahulu,” Pak Long mengusap kepalaku.

“Assalamualaikum tuan rumah,” Pak Long memberi salam sebanyak 3 kali. “Emm..kita silap langkah ini Amin,” Pak Long sugul kira kenalannya itu tiada dirumah. “Tak mengapalah Amin, lain hari kita datang balik,” sekian lama menunggu Pak Long memutuskan untuk pulang. Tidak guna hendak menunggu lagi kalau orangnya tidak ada. Tiba-tiba,”Assalamualaikum, sahabatku Mat Noh,” muncul kelibat lelaki separuh umur, memikul pucuk paku dan ruas tebu dibahu. “Hahaha, antuma datang sini cari ana? Masyaallah,” lelaki itu memeluk Pak Long girang.

“Hahaha, apa khabar hang Ali?,” Pak Long memegang kejap tangan sahabatnya. “Alhamdulillah, ana sihat walafiat, baru tadi ana ke tali air, jual sedikit hasil kebun, apa khabar Mat Den dikampung?,” Ali bertanyakan ayahku. “Alhamdulillah semuanya baik-baik, ini Amin, anaknya Mat Den,” Pak Long memperkenalkanku. “MasyaAllah, Amin, baik namamu InsyaAllah baik sifatmu, emm..ada sedikit iras guruku, iaitu atokmu,” Ali merenung keningku. “Marilah naik rumahku, aku hidangkan kopi dan ubi kayu,” Ali menjemput kami ke rumahnya.

“Hemm..wanginya aroma ubi kayu dan sambal ikan bilis, tapi tak menang dengan kopinya ni Ali,” Pak Long bersila disampingku. “Jemputlah, ini sahaja yang ada dirumah, maklum orang bujang,” Ali ketawa kecil. “Maaflah, aku lama di pasar nat tadi, sepatutnya sekejap sahaja hantar hasil kebun, tapi ada kekecohan,” sambil Ali membetulkan silanya. “Ada penjual disana tiba-tiba kemalangan,”tambah Ali. “Kemalangan yang bagaimana Ali?,” Pak Long meminta jawapan.

“Oh, ada penjual minyak hendak melariskan jualannya, entah bagaimana semasa pertunjukkan, parang yang digunakan penjual tidak sengaja membelah lengan pembantunya, terkulai,” Ali merungut. Pak Long memandangku, aku pula memandang ubi yang terhidang. “Tapi silap pemukanya juga, tidak pandang-pandang orang disekeliling, m**i ilmunya, huh,” Ali tersenyum melihat Pak Long. “Hahaha, biarkan dia, jemputlah makan,” Ali mematikan suasana.

Selang sehari ketika muncul malam, rumah Ali didatangi orang kampung. Agak kelam-kabut orangnya memanggil Ali yang ketika itu sedang mengaji bersama Pak Long. “Hah, kenapa Basir?,” sapa Ali dimuka pintu. “Pak Bilal suruh jemput lebai ke rumahnya Deris,” tercungap-cungap Basir dikaki tangga. “Ada rewangkah?, sekejap lagi aku sampai,” Ali mengajukan soalan. “Memang rewang, tapi kak Suri tu meracau nak lari rumah dan Pak Deris tiba-tiba melarat sakitnya,” Basir menjawab sambil mengurut dadanya yang berombak. “Nak lari kemana pula, esok kendurinya, hang balik dulu, kang aku datang,” Ali menyuruh Basir kembali ke rumah Deris. “Kenapa Ali? Ada masalahkah?,” Pak Long menyapa sambil melipat sejadah. “Mat Noh, kalau hang tak keberatan, mari kita ke rumah Deris,” Ali meminta Pak Long menemaninya. “Baiklah, Amin, hang nak ikut atau lebih baik duduk dirumah sahaja?,” Pak Long memandangku. “Ikut!,” jawabku pantas.

“Maafkan aku, mengganggu hang,” Ali sambil berjalan. “Hish, sudah dijemput, bukanlah masalah besar membantu rewang ini, Amin ni pun rajin budaknya,” Pak Long tersengeh. Cahaya bulan menyuluh tanah merah membantu kami mempercepatkan langkah. Dari jauh, kelihatan sebuah rumah yang dipenuhi khemah kanvas biru dilaman. “Assalamualaikum Lebai,” sapa salah seorang penduduk kampung.

“Patutlah lebai tak datang surau semalam, ada tetamu ya,”sambil dia menghulurkan salam kepada kami bertiga. Suasana rewang dikampung ini sama sahaja dikampungku, namun aku agak tuan rumah ini orang berada. Empat kepala kerbau jantan kelihatan tergantung ditiang alang, lazimnya seekor dua kerbau sudah mencukupi buat majlis satu kampung. “Hah lebai, mari lebai, mari kita masuk dulu ke dalam rumah,” seorang lelaki tua menghampiri kami. “Lahhh, Allahuakhbar, apa yang terjadi ni Deris?,” Ali menghampiri Deris iaitu tuan rumah yang sedang terlentang diatas tikar. “Aduh, lebai, sakitnya perut aku ni lebai, aduh,” Deris separuh nyawa memegang perutnya yang busung.

“Ambilkan aku tempurung kelapa, tebuk matanya, lekas,” Ali meminta arahanya cepat dipenuhi. Terkejar-kejar anak lelaki Deris ke penanggar mendapatkan tempurung kelapa. “Mat Noh mari,” Ali memandang Pak Long. “Minta abang-abang bagi sedikit ruang pada Deris, dan saya minta bawakan daun sireh dan kain pelikat yang Deris selalu pakai,” Pak Long bersimpuh diantara Deris dan Ali. “Lebai ini tempurung,” anak lelaki Deris menghulurkan tempurung yang ditebuk matanya. “Minta yang bukan ahli keluarga menjauhkan dari kami,” sambil Ali meminta orang kampung keluar dari bilik. “Sihir ini Mat Noh,”sambil Ali meletakkan tempurung di perut Deris yang membusung. Malahan, ruas betis dan peha Deris juga seakan membenjol sebesar telur ayam. “Bismillah,” lantas Ali menjentik tempurung yang dialas kain pelikat tiga kali.

“Huhhh..kroookk..krokkk..krookk,” Nauzubillahiminzalik, katak melompat-lompat didalam tempurung. “Bungkuskan, simpul kuat-kuat, jangan terlepas!,” pinta Ali memberikan aku katak yang diikat kemas kain pelikat. “Disini Ali,” Pak Long menunjukkan benjolan di betis keding Deris. “Ehh, dia bergerak ke pusat,” tercenggang aku melihat benjolan beralih. “Ini kerja sia-sia, berikan aku sireh dan sedikit beras,” Pak Long meminta anak lelaki Deris memberinya sedikit beras.

“Hei yang menjalar, pulang atau hang aku tidak persiakan,” Pak Long mengucapkan tiga kali sambil menutup pusat Deris bersama daun sireh dan kain pelikat. “Hah, pulanglah hang kepada muasal!,” seketika itu kain pelikat bergerak-gerak seperti ada sesuatu dibawahnya. “Amin, nah, pegang dan kumpulkan didalam besen,” aku menyambut kain pelikat yang berlendir. Sah ikan keli dengan sesungutnya. “Fuhh, panas rumah ni Ali, jangankan pengantin, aku pun nak lari dari rumah ni,” Pak Long bersandar didinding sambil memandang Ali.

“Lebai, ini airnya,” anak lelaki Deris menghuluran Ali dan Pak Long air kopi suam dan roti kering. Aku pula mengurut betis Deris yang semakin surut. Pak Longlah yang banyak mengajarkan aku mengurut, dimana tersimpulnya urat, dimana terkehelnya sendi dan seringkali aku menjadi batu loncatan dirumah nenek. “Dari siang tadi ayah demam, namun semakin melarat ke malam, tambah pula kak Suri menjerit-jerit nak keluar rumah, katanya panas,” anak lelaki Deris pening kepala menghadapi situasi sebegini. “Pergi ke hospital tiada apa-apa masalah, hanya demam ringan, saya fikir ayah sibuk dengan kenduri kakak,” ujarnya sambil melihat kakaknya yang bersidai diberanda. “Bagaimanalah esok jadinya, malu kami sekeluarga, tok penghulu,” anak lelaki Deris meminta pandangan orang lama dikampung.

“Hoi, apa yang lama sangat ni,” tiba-tiba suara datang dari penanggar. Tok Penghulu cepat-cepat ke beranda. “Apa yang lambat Sani?,” ujar Tok Penghulu. “Sekawah gulai darat sudah 2 jam tak masak ni Tok,buntu kami,” Sani menjawab. “Aku rasa kita dah kena main ni Lebai,” Tok Penghulu melihat Ali yang tersipu-sipu. “Biarkan aku dengan urusan dibawah, hang biarlah diatas Ali,” Pak Long menepuk bahu Ali. “Sabar abang-abang, kita sedia maklum tuan rumah tengah berduka dan kita sedang diuji, janganlah ditambah cuka,” Pak Long menenangkan orang di penanggar.

“Itulah, hidup hanya mementingkan harta sahaja,” suara-suara jahat kedengaran. Pak Long hanya tersenyum. “Boleh ambilkan saya umbut pisang belum tumbuh jantung, tak kisah pokok pisang apapun,” Pak Long menepuk periuk kawah yang sejuk walaupun sudah 2 jam ditungku. “Baiklah, ada yang bergurau,” lantas Pak Long melemparkan umbut pisang ditengah kawah dan bakinya dibuang ke dalam kayu api yang marak. “Ehmm..gunakan kayu api yang sama untuk kawah yang lain, tambahkan kayu sahaja,” pinta Pak Long agar kerja-kerja dipenanggar berjalan baik.

“Tengah hari tadi lagilah mencabar bang, kerbau-kerbau yang disembelih Tok Penghulu berdiri semula selepas rebah, siap makan rumput lagi, macam tiada apa-apa,” seorang penduduk menjuih mulut kearah kepala kerbau yang disangkut dialang tiang. “Selepas Tok Penghulu ketuk dengan belakang parang, barulah masing-masing rebah tak bertangguh,” keluhnya. “Sabarlah, Allah swt tengah menguji orang-orang kampung,” pujuk Pak Long. Sementara mereka kelihatan berbual-bual, aku mencuri masuk ke atas rumah mencari kudapan malam. Lapar. “Amin mari ke sini,” aduhai, Ali memanggilku sambil memberikan gelas kosong. “Hang lapar ya? Sekejap lagi selesai makanlah,” Ali macam tahu apa yang aku fikirkan. “Hang nampak tu?atas dinding kayu bilik, betul-betul atas kepala pintu bilik ada belalang, hang ambil gelas ni serkup, kalau terbang hang kejar sampai dapat, faham?,” Ali menjelingku. “Baiklah pak cik,” ujarku. Hah..hah, belalang hijau terbang dari pintu bilik ke ruang tamu. Kaum ibu yang sedang menjalin bunga manggar melihat keanak-anakkanku. Malu aku dibuatnya. “Pak cik, huh penatnya, ini dia belalang tu,” aku menunjukkan gelas yang terdapat belalang hijau yang sedang meronta-ronta. “Bagus, hang memang pantas macam ayah hang,” Ali memujiku. Aku perhatikan Ali dari jauh mencabut kepala belalang lalu dibuang keluar rumah.

Keesokkannya, majlis sambut menantu berjalan seperti biasa walaupun terdapat sedikit kekecohan daripada pengantin perempuan. Sebelum pulang, tuan rumah, sempat membungkuskan kami lauk “berkat” malah Zubir diminta membeli sedikit keperluan dirumah namun ditolak Ali dengan baik. “Deris tu penjual daging didaerah ini Mat Noh, perniagaan kecil-kecilan dan menjadi maju. Di sini Deris dikenali sebagai Deris Daging dan rata-rata orang mengenalinya sebagai orang berada.

Tapi, resam orang, cemburu tidak menentu,huh,” Ali merungut mengenang sikap dendam dan iri hati didalam segelintir masyarakat. “Begitulah, bisikan daripada syaitan Ali,” Pak Long memandangku di pelantar basikal. “Esok aku nak ke pasar tani awal pagi, hang nak ikut tak?,” Ali bertanyakan Pak Long dikaki rumah. “Boleh juga, lusa aku nak balik, Amin pun dah lama bercuti,” Pak Long tersenyum mengusikku. Pak Long dan Ali tidak lama diatas rumah, meninggalkan aku dan ke kebun. Katanya hendak memunggah hasil kebun untuk dijual. Aku menghabiskan masa dengan membaca kitab-kitab lama yang disimpan rapi. Santak petang barulah Pak Long dan Ali muncul dengan seberkas pucuk paku dan sayur keladi.

“Wahhhh nikmatnya masak lemak pucuk paku dan labu ni Ali, teringat waktu kita sama-sama di pondok dahulu,” Pak Long memuji masakan Ali. “Hahaha, aku pandai masak ini saja Mat Noh,” sambil Ali menghulurkan pekasam ikan sepat. “Esok, selepas Subuh kita sama-sama ke pasar nat Amin ya, ramai kawan-kawan disana,” Ali menghiburkan aku yang menyulam nasi ke mulut. Ketika fajar meyinsing jantan berselang-seli bersama kokokkan ayam, kami bertiga dah terpacak di pasar tani. Riuh-rendah keadaan di pasar tani dengan suara tawar-menawar peniaga. Anak-anak sebaya aku berkejaran menggamitkan lagi suasana pasar.

“Assalamualaikum lebai,” tiba-tiba anak lelaki Deris menyapa dari sebelah sisi. “Hah waalaikumsalam Zubir, hang meniaga ke hari ni?, ayah bagaimana?,” Ali menyahut salam. “Meniaga lebai macam biasa, ayah Alhamdulillah lebai, dah bersemangat macam dulu, Alhamdulillah, dah boleh bangun Subuh tadi minta nasi,” Zubir tersenyum. “Baguslah macam tu,” ujar Pak Long.

Tiba-tiba Zubir menarik lengan Pak Long dan Ali ke sudut pasar tani. Kelihatan mereka bercakap dalam nada yang rendah. Aku termanggu-manggu. “Hemm..kita lihat dahulu Zubir,” ujar Ali sambil kami berempat mempercepatkan langkah masuk kedalam pasar tani. “Ini lebai,” ujar Zubir menuding jari ke gerainya. “Apa ni?,” Ali membelek beras kuning yang bertaburan disudut lantai gerai milik Zubir. “Entah lebai, pagi tadi saya nak hantar daging dah ada beras ni, tu ada bangkai gagak atas bumbung dan atas gerai saya dah buang ke parit,” keluh Zubir. “ Hemm, beginilah, hang dapatkan aku cuka makan dahulu, beras ini sapu dan buang,” Pak Long mengarahkan Zubir memenuhi permintaannya.

Sementara Zubir ke kedai membeli cuka, kelihatan Pak Long mengelilingi gerai itu sebanyak 3 pusingan lawan jam dan mulutnya berkumat-kamit. “Cuka ini hang gunakan untuk lap kesan d***h bangkai gagak dan cuci bagi bersih jangan ada kesan,” Pak Long menunjukkan Zubir cara-caranya. “Mat Noh, ke sini,” Ali memanggil Pak Long. Nah, bangkai katak dibungkus dengan lilitan 7 benang warna dijumpai tertanam di belakang gerai. “Hang undur Ali,” Pak Long menyisihkan diri. Sesuatu yang Pak Long bacakan mengikut bibirnya yang bergerak-gerak. Lama juga Pak Long berdiam diri.

Tiba-tiba bauan nipis belerang menusuk hidung kami sehinggakan ada peniaga berdekatan mengadu ada terbau sesuatu terbakar. “Pak Long mendapatkan Ali yang sedang membantu Zubir membersihkan beras yang bertaburan. “Pekerjaan sia-sia,” rungut Pak Long. Ali hanya tersenyum. “Baiklah Zubir, kami pulang dahulu ya,” Ali meminta izin untuk pulang setelah dia menghantar hasil kebunnya. “Lebai dan ayah Long datanglah rumah malam ni, ayah berpesan kalau jumpa lebai dipasar minta datang rumah,” Zubir menyambut salam Ali. “InsyaAllah,” kami menghayun kaki menuju ke surau.

Ketika pulang usai berjemaah Zohor di surau, sebuah motorsikal cup Yamaha menghimpit kami dari arah sisi. Aku agak terkejut dan merapati Pak Long. Berlaku sedikit kekecohan diantara Ali dan penunggang motorsikal. Daripada apa yang aku dengar, penunggang motorsikal itu memberi amaran kepada Ali jangan disibukkan hal diantara dia dengan Deris anak beranak. “Ini habuan hang kalau hang cuba memandai-mandai, ingat amaran aku,” sambil memecut motorsikal meredah batas tanah merah. “Emm..orang yang sama seperti malam lepas Ali,” Pak Long memandang Ali sugul. “Itulah masalahnya Mat Noh, sudah ditegur, sudah diberi nasihat, tapi tetap mengulangi,” Ali tidak mengendahkan perkara amaran tadi.

Ketika selesai berjemaah Isyak dan sedikit tazkirah di surau, kami menghayun kaki memenuhi permintaan Deris. Keadaannya beransur pulih, sudah boleh duduk dan makan. Tidak lagi terbaring mengharapkan bantuan anak-anak kalau lapar atau buang hadas kecil dan besar.

“Alhamdulillah lebai, aku dah semakin baik, kalau tidak, nak angkat kaki pun seksa, macam terikat,” ujarnya sambil tersenyum. “Alhamdulillah Deris, semuanya izin Allah SWT, tiada daya kecuali daripadaNya,” ucap Ali pendek. “Aku ni, bertaubat lebai, aku betul-betul insaf, aku menyesal semua kesalahan aku,” Deris mengesat air mata yang sedikit mengalir. “Depan anak-anak aku, aku mengaku keterlanjuran aku mengejar kekayaan sampai aku tidak memikirkan nasib orang lain,” Deris melarikan pandangannya daripada kami. Terpancar sebuah keinsafan yang ikhlas. “Aku nak jumpa Manap, aku nak sujud kepadanya minta ampun, Allah SWT dah tunjukkan aku betapa azab pedihnya dosa aku,” jelasnya pada Ali. “Sabarlah Deris, Manap dah tak ada, dan aku percaya dia sudah maafkan hang,” Ali cuba menenangkan Deris yang berkecamuk.

“Aku bersalah merebut tapak gerainya, aku nak jumpa anaknya Tahir, bolehkah hang panggilkan Tahir? Aku nak sangat jumpa dia lebai, tolonglah aku,”Deris lelaki separuh abad meminta Ali mendapati Tahir anak lelaki Manap yang tinggal dihujung kampung. Lewat malam itu juga, Ali dan Zubir cuba dapatkan Tahir bagi memenuhi permintaan Deris.

“Hah, apa yang hang nak lagi daripada aku orang tua?!,” Tahir dengan lantang bercekak pinggang dihadapan rumah. Kasihan aku melihat Deris, merangkak mendapatkan Tahir. Anak-anaknya ditegah membantunya. Tahir berwajah garang, namun aku lihat, dari tangan hingga ke dahinya ditumbuhi ketulan tokak sebesar biji sawi. Andaikata tidak disabarkan oleh Pak Long malam itu, nescaya Deris sudah merasai tendangan Tahir. “Oh, sudah azab baru hang nak ingat akhirat ya orang tua, dulu hang maki hamun bapak aku, sampai terbungkang dia depan gerai, hang lupakah?,” Tahir mendengus walaupun dia sendiri sudah tercungap-cungap. “Aku akan pulangkan balik hak hang dan Manap, lembu kerbau itu pun aku serahkan pada hang!,” Deris meninggikan suara seraya memaut betis Tahir. Tahir sedikit terdiam lalu melepaskan kakinya daripada cengkaman Deris.

“Dengar sini anak-anak aku, jangan dituntut lagi daripada Tahir kalau aku sudah tidak ada, ini sebahagian haknya yang aku rampas,” Deris memaut bahu Zubir. Semua sanak-saudara Deris berdiam diri termasuk Zubir. Aku bergegas mendapatkan Pak Long yang mengekori Tahir dari belakang.
“Bagaimana Tahir?,” Pak Long mendapatkan Tahir yang terbungkam diserambi. “Aku tidak mahu apa yang diberikan, aku mahu membalas apa yang dia lakukan kepada bapak aku,” Tahir mendengus. “Sampai bila? Deris sudah mengaku silapnya, hal dia dengan bapak hang biarlah Allah SWT menentukannya,” Pak Long cuba menenangkan diri Tahir.

“Kerana hang sudah berbuat perjanjian? Itu yang hang takutkan?,” Pak Long mengajukan soalan. “Daripada siapa hang minta lakukan ini?,” Pak Long menambah. Seketika suasana diam. Hanya bunyi unggas hutan menyelubungi malam gelap. “Orang itu membantu aku ketika dia mendapati bapak aku dianiaya Deris, dia orang luar,” keluh Tahir menundukkan muka. “Dia membuat perjanjian dengan aku dan akan membantuku menghapuskan Deris dan perniagaannya,” Tahir membuka pekung didada. “Perjanjian dengan jin tanah,” gerutu Pak Long. “Ya, dan aku sudah tidak boleh berpatah balik,” ujarnya menekup muka yang berkudis. Zassssss…zassssss..burrrr..burrr..bunyi paluan angin menggegarkan pucuk atap.

Entah dari mana datang angin kuat yang menderu-menderu. Melentok pokok pinang merah dibadai bertalu-talu. “Tengok..tengok..dia melangkah rumah ni, tengok tu,” Tahir memaut lengan Pak Long kejap. “Hah, m**i aku malam ini, m**i aku, dia marah aku khianat,” kecut Tahir menyedari dia sudah berlaku khianat.
Tiba-tiba Tahir berubah sikap. “Ini salah hang!, semua ini salah hang menolong Deris, tengok muka aku ni penuh tokak busuk!,” Deris menendang tiang tangga. Sanak-saudara Deris berhimpun diserambi apabila dikejutkan dengan tempikan Tahir.

“Sabar Tahir, sabar,” Ali muncul menyelamatkan keadaan yang keruh. Hati aku pula gundah-gulana memikirkan rumah yang bergegar tadi, seakan hendak tercabut atap tumah. “Hah tangkap dia, tangkap, nanti dia lari ke hutan,” Ali meyuruh Zubir dan adik-beradiknya yang lain menangkap Tahir yang cuba untuk lari ke hutan belakang. Bunyi kerbau dan lembu mendengus saling sahut-menyahut. Seakan-akan ada yang mengganggu mereka dikandang. “Lepaskan anak ubat aku, lepaskan sebelum semua aku pijak,” ratap Tahir yang sudah hilang waras. Keadaan menjadi genting disambut pula angin kencang yang berpusu-pusu ditengah laman.

Diperhatikan ditengah pusaran jelas kelihatan ruas betis setinggi pokok pinang condong tengah terkangkang. Pak Long cepat-cepat membuat bulatan kecil diantara pusaran dan Tahir. Ali pula bergegas ke dapur mendapatkan lada hitam dan garam. Suara esakan dan tangisan orang perempuan menjadi-jadi diatas rumah apabila Deris sendiri jatuh pengsan tiba-tiba.
“Dengan Tahir hang boleh cuba permainkan, dengan aku, pulang buah keras,” Pak Long mencebik.

Pak Long berdiri kukuh seakan berpasak dibumi walaupun paluan angin berpusu ditengah laman. Pak Long membacakan sesuatu Wa ing kuntum fī raibim mimmā nazzalnā ‘alā ‘abdinā fatụ bisụratim mim miṡlihī wad'ụ syuhadāakum min dụnillāhi ing kuntum ṣādiqīn, ayat 23, Surat Al-Baqarah.Sambil Ali mengalunkan azan ditengah malam pekat. “Laqad jaakum rasoolun min anfusikum AAazeezun AAalayhi ma AAanittum hareesun AAlaykum bilmu’ mi neena raoofu raheem” “Fa-in tawallaw faqul hasbiya Allahu la ilaha illa huw AAalayhi tawakkaltu wahuwa rabbu alAAarshi alAAzeem” ayat 128-129 di dalam Surah At-Taubah. Seketika, Pak Long menghentak tanah sambil diselang pekikan kuat Tahir berkali-kali. Deruman angin beransur lemah dan hilang.

Deretan pokok pinang kelihatan condong dengan gugurnya mayang-mayang menyembah bumi. Tahir dipimpin menaiki atas rumah dan dibaringkan bersebelahan Deris yang pengsan. Sementara itu sanak-saudara Deris tidak putus-putus membaca ayat suci disamping mereka berdua.

“Sudah aman Mat Noh,” Ali mengeliat di jendela kayu sambil melihat kandang lembu dan kerbau yang terbengkalai. Zubir dan adik-adiknya kelihatan bertungkus-lumus dalam gelap membawa pulang lembu-lembu yang terlepas sewaktu ribut tadi. “Esok baiklah semua, dan esok aku akan pulang selepas Zohor,” Pak Long mencelah. “Emm kalau begitu rehatlah sementara belum fajar, biar aku awasi mereka, harap-harapnya tiadalah lagi,” Ali menghirup kopi dingin. Usai solat Subuh, Pak Long, Ali, Zubir dan sanak saudara lelaki memimpin Deris dan Tahir ke bilik air.

Mereka dimandikan daripada air kolah surau ketika cahaya matahari betul-betul menyimbah tanah. Seluruh tubuh mereka dilumurkan dengan daun kayu yang Pak Long dapatkan dari hutan belakang. Berguguran pecah tokak yang mengangkut nanah dibadan Tahir bersama titis-titis dendam kesumat yang bersarang. Tercungap-cungap Deris dan Tahir apabila dimandikan, sejuknya menikam sum-sum tulang.

Setelah dihidangkan sedikit sarapan, Pak Long merapati Deris dan Tahir sambil menyuapkan mereka sedikit roti benggali cecah kopi suam. Mereka tersenyum tanda sudah aman daripada persengketaan. Mengalir deras air mata Deris apabila Tahir memaafkan kesilapannya yang menipu bapaknya sewaktu mereka menjalankan perniagaan. Malah Deris berjanji akan membawa Tahir menunaikan umrah seperti mana perjanjian Deris dan arwah Manap sewaktu mereka mula-mula berniaga daging.

Selang beberapa bulan selepas kembalinya kami ke kampung, Ali datang ke rumah nenek dengan wajah gembira. Ada perkhabaran selepas Deris dan Tahir balik menunaikan umrah, Deris akan melangsungkan perkahwinan anaknya dengan Tahir memandangkan Tahir seorang yatim piatu dan juga merupakan rakan kongsinya. Malahan Deris juga tidak segan mendapatkan Tahir satu ruang gerai dipasar tani apabila salah seorang daripada peniaga disitu menemui kemalangan akibat kebakaran. Khabarnya orang luar. Wallahualam

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Mat Tepos

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.6]

15 thoughts on “Dendam Si Tokak”

    • Ni memamg siri bercakap dgn jin, tulisan tamar jalis…..jalan cerita sebiji. xpaham ape motif penulis masukkan cerita ni tanpa kredit Arwah Tamar Jalis.

      Reply
  1. Teman plg minat cerita dr abg Mat Tepos…mmg best…boleh gantikan arwah Tamar Jalis…layan betul…pasni byk lg yer cerita2 yg best mcm ni…terbaik Mat Tepos

    Reply
    • Ni memamg siri bercakap dgn jin, tulisan tamar jalis…..jalan cerita sebiji. xpaham ape motif penulis masukkan cerita ni tanpa kredit Arwah Tamar Jalis.

      Reply
      • Sy penulis dan pengarang..boleh sy tahu jilid Tamar Jalis yg manakah Zuzu Zaza mengatakan sy ambil dr jilid SBDJ arwah Tamar Jalis?

        Reply
        • zuzu zaza xde modal nak bercakap…sebenarnya ini lah contoh manusia yang hidup dengan mengata orang..dengan tujuan nak bagitau orang lain yang dia dah khatam baca buku SBDJ..nak menunjukkan diri penuh dengan ilmu.Kesian….abaikan saja MAT TEPOS orang macam nie..bukan level kita nak cakap dengan orang macam ini..

          Reply
        • Saya baca beberapa jilid siri bercakap dengan jin. Gaya penulisan tak sama dan jalan cerita pun tak sama. Junur sy katakan, sy lebih suka penulisan mat tepos.

          Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.