Derita Abah (Akhir)

Salam buat semua pembaca FS. Aku ucapkan terima kasih kepada admin FS sekiranya kisah aku ini disiarkan lagi. Kisah ini adalah pengakhiran kepada kejadian yang menimpa keluarga kecilku.

Semenjak abah aku jatuh sakit, hampir setiap malam tidur kami sering diganggu dan tidak pernah lena. Ada saja bunyi-bunyi seperti orang bertukang, suara hilaian di luar rumah, orang bermain guli dan orang berbual-bual yang semakin lama semakin kuat. Bila aku cuba dengar betul-betul bunyi itu, anehnya mereka bercakap dalam bahasa yang tidak aku ketahui. Tak cukup itu, masih ada lagi orang yang mengirim benda-benda tak elok seperti penanggal dan pelesit untuk porak-perandakan keluarga aku dan orang yang selalu menjadi mangsa semestinya mama sebab dia lemah semangat.

Di rumah kami cuma ada aku empat beradik sahaja serta mama dan abah. Rumah aku ada tiga bilik tidur dan kami tempatkan abah di bilik tidur tengah. Aku, mama dan kak lin tidur di bilik utama manakala andak dan ijam tidur di bilik dapur. Aku ni suka tidur lewat malam dan duduk di dapur seorang diri bila semua dah tidur. Satu hari tu aku duduk di meja makan seperti biasa sambil tengok youtube di komputer ribaku. Tiba-tiba terdengar suara abah memanggil aku untuk ambilkan dia segelas air. Aku menoleh dan nampak abah duduk di depan pintu biliknya.

Oh ya, abah aku lumpuh separuh badan tapi dia boleh duduk sendiri dan mengesot untuk bergerak. Aku pon pergi lah ambil segelas air dan bila aku toleh semula ke arah abah, alangkah terkejutnya aku abah tiada pon di situ. Aku memberanikan diri menjenguk abah di biliknya dan aku lihat abah sedang nyenyak tidur. Aku terus bergegas masuk ke bilik dan tidur. Kejadian itu banyak kali terjadi bukan sahaja pada aku, juga pada adik-beradikku yang lain. Ada juga yang ternampak sosok tubuh “abah” berjalan di sekitar rumah pada waktu malam. Aneh kerana abah aku tidak boleh berjalan.

Belakangan ini, semakin kerap kami diganggu oleh sosok tubuh “abah” berjalan di dalam rumah. Kesihatan abah juga semakin merosot, batuknya tak sembuh-sembuh dan setiap malam abah mengalami sesak nafas. Kak lang dan suaminya pon membawa seorang perawat ke rumah kami.

Menurut perawat tersebut, apa yang tinggal pada abah sekarang hanya saka keturunannya yang mencari tuan baru. Perawat itu memberitahu kami saka itu ibarat magnet yang menarik kehadiran makhlus halus yang lain. Disebabkan itulah, makhluk halus yang dikirim dapat memasuki rumah kami dengan mudah. Saka tersebut inginkan tuan yang baru kerana abah tak lagi mampu menjaganya atas faktor keuzuran.

Kami cuba sedaya-upaya memujuk abah untuk memutuskan perjanjiannya dengan saka tersebut namun abah enggan dan memarahi kami dengan alasan dia tak menyimpan pon makhluk itu. Sampai lah suatu hari tu, kak lang datang ziarah mama dan abah. Kak lang berborak dengan abah dan beritahu abah untuk buang segalanya jika abah masih ada menyimpan benda yang tak baik. Dengan wajah yang tenang, abah menjawab dia dah lepaskan segalanya.

Lebih kurang dua minggu selepas itu, abah tiba-tiba sesak nafas selepas makan malam. Keadaan abah semakin tenat dan abah menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa minit selepas azan isyak. Kata-kata terakhir abah yang aku ingat sampai sekarang “abah dah tak susahkan mama dan korang semua lepas ni, abah minta maaf ya”.

Akirnya derita abah selama 14 tahun telah pon berakhir. Walaupun bukan semua anak abah datang di hari pengebumian abah, aku bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusan menyemadikan abah. Semoga roh abah tenang di sana, al-fatihah.

Terima kasih sudi membaca kisah aku, assalamualaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 36 Average: 4.5]
Nasha

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.