SAMBUNGAN
Hai pembaca setia FS. Terima kasih sudi baca kisah saya. Sebenarnya cerita Harisah tu tergantung sebab saya tak berani nak sambung. Tiap kali nak sambung, mesti terbayang-bayang sampai nak pergi tandas sengsorang pun takut. Dalam seminggu dua ni memang susah nak tidur.. -_-”
Tapi ada yang tanya ada sambungan ke? Jadi saya gagahi juga untuk tulis bahagian akhir. Selamat membaca..
*****
Dalam kesamaran cahaya aku dapat lihat bayangan tubuh Harisah sedang duduk di birai katil sambil berpeluk tubuh. Suasana ketika itu hening sekali. Hatta cengkerik pun tidak berani untuk berbunyi.
“Masih bermimpikah aku? Atau aku sememangnya bukan bermimpi?” aku berdolak dalik sendiri.
“Ri..risa…” aku cuba memanggilnya. Sedangkan saat itu jantungku sudahpun berdetak laju.
“Sejuk….” lirih Harisah perlahan.
Naik bulu romaku. Dah kenapa dengan Harisah ni? Nak kata sejuk tak juga. Kipas dipasang pada kuasa satu. Penghawa dingin pula tidak dipasang. Demam kah dia?
Lagi satu, sejak bila pula rambut Harisah panjang mengurai sehingga ke pinggang? Serta-merta bayangan perempuan tadi terlayar di tubir mata. Sebiji Harisah! Tapi itu kan hanya mimpi. Atau bukan?
Satu demi satu persoalan berlegar dibenakku. Namun aku sendiri tiada kekuatan untuk bertanya. Masih juga aku kaku di posisi sama. Lama kami begitu.
KLAK.
Tanpa amaran, pintu tingkap terkuak. Aku terkejut. Begitu juga Harisah. Dalam sesaat itu jelas aku lihat Harisah memandang ke arah tingkap dan tika itu juga kelibat Harisah hilang.
Aku toleh ke kanan dan ke kiri. Tiada. Bagaimana seorang wanita dewasa boleh ghaib dalam sekelip mata? Gila! Mungkin aku sebenarnya diganggu syaitan kerana aku sedang dalam keadaan kotor. Tanpa menghiraukan tingkap yang terbuka, aku bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri.
Namun dari ekor mata jelas kelihatan sesuatu yang sungguh menakutkan. Ada empat orang perempuan sedang berdiri di luar tingkap memerhatikan aku. Sah! Cik Pon!
Bergetar tanganku mengunci pintu tandas. Aku tarik nafas sedalam-dalamnya dan berisyhtifar. Tiba-tiba, ada bau busuk yang sangat meloyakan. Bangkai binatang pun tidak sebusuk ini.
“Busuknya. Bau apa ni?” tegurku. Tapi serta-merta juga aku menyesali keceluparanku itu. “Ya Allah, kenapa lah aku pergi tegur?” aku menampar bibir sendiri.
Tanpa berlengah aku buka baju yang diliputi d***h itu dan aku cuci. Menggigil tubuhku ketika membasuh. Tidak pernah lagi aku ke’bocor’an seperti ini.
Sepanjang aku mandi, hidungku tidak henti-henti dari menghidu bau yang busuk itu. Namun tidak dapat dipastikan dari mana punca bau itu datang.
Usai mandi dan memakai baju, aku pulas tombol pintu perlahan. “Janganlah ada yang menunggu pula kat depan ni.”
KREEKKK…
Aku lihat keadaan bilik masih seperti tadi. Tingkap pula terbuka luas. Angin sepoi-sepoi menembusi ruang dan mengalun lembut tabir yang dibiar lepas.
Aku sudah berkira-kira mahu keluar sahaja dari rumah ini. Kemana aku tidak pasti. Yang pasti aku sudah tidak betah berlama-lamaan seorang diri. Masih juga aku memikirkan keberadaan Harisah.
“Mungkin dia pergi kedai kut.” aku meneka sendiri. Lalu tanpa membuang masa, aku capai kunci kereta dan menuju ke pintu utama.
Keluar sahaja dari bilik, bahuku tiba-tiba terasa berat. “Kenapa tiba-tiba aku rasa lenguh sangat ni?”
“Rina…” sayup-sayup suara itu memanggilku dari dalam bilik. Spontan aku menoleh.
“Ri..Risa.. Kau ke tu?” tanyaku. Padahal aku hampir pasti bahawa itu bukanlah Harisah. Gangguan apa pula kali ni?
“Rina.. tolong aku..”
“Kau ok ke? Tadi aku cari kau dalam bilik, aku tak nampak kau pun.” aku masih mahukan kepastian.
“Rina.. aku sakit.. tolong aku Rina..” lolongan itu benar-benar meragut ketenteramanku. Bukan kerana aku simpati. Tapi lebih kepada perasaan takut.
Entah mengapa, aku turuti jua suara itu dan aku datang mendekati pintu bilik. Pintu itu separuh tertutup dan dalam kesamaran cahaya aku seperti ternampak ada seseorang sedang mengintai dari balik pintu.
TOK! TOK! TOK!
Pintu utama diketuk. Terlompat aku dibuatnya. “Siapa pula datang subuh-subuh ni?” laju tanganku mengurut dada. Sungguh aku terkejut.
“Assalamualaikum..”
“Walaikumsalam..” sahutku.
Apabila aku buka pintu, ada dua orang anggota polis dan jiranku, Puan Zaliha sedang berdiri di hadapan rumah. Mereka terkejut memandangku. Malah salah seorang anggota polis itu turut beristighfar.
Sesaat kemudian, mereka menutup hidung seperti terhidu sesuatu yang sangat busuk.
“Maaf Cik. Kami dapat aduan daripada jiran cik mengatakan ada bunyi bising daripada rumah cik. Cik okay ke?” tanya anggota polis itu.
“Bunyi bising?” tanyaku pelik.
“Dah tiga hari Kak dengar bunyi bising dari rumah kau ni. Bunyi teriak la, menangis la, ketawa la. Korang berdua buat apa dalam rumah ni? Prihatinlah sikit dekat jiran-jiran. Nak tidur pun tak senang!” marah Puan Zaliha. “Dah la rumah ni bau busuk.” gumamnya perlahan sambil menutup hidung.
“Sabar Puan..” pujuk anggota polis itu.
Aku jadi bingung. Sejak tiga hari lepas? Tapi yang lagi pelik, aku langsung tiada memori mengenai hari-hari itu. Ligat aku memikirkan apa yang aku dan Harisah lakukan sepanjang tiga hari lalu.
“Cik duduk berdua ke dalam rumah ni?” salah seorang anggota polis itu mula menyoal siasat. Dia mengeluarkan nota kecil dan pen.
“Ye. Saya dan kawan saya Harisah.”
“Oh. Mana kawan Cik?”
“Dia…” leretku. Aku sendiri tidak tahu Harisah ke mana. “Saya tak tahu Encik. Dari subuh tadi saya tak nampak dia.”
“Pukul berapa kali terakhir awak nampak dia?”
“Hmm.. dalam jam 5.30 pagi. Kami terjaga. Lepas tu kami borak-borak sekejap dan Harisah kata nak pergi tandas. Lepas tu saya langsung dah tak nampak dia. Dia hilang macam tu je. Saya risau apa-apa jadi kat dia.” jelasku panjang lebar sambil tanganku mengurut-urut bahu yang terasa sengal.
“Takpa. Jangan risau. Mungkin dia ada di sekitar perumahan ni je. Boleh kami masuk?”
“Ye. Boleh..” hatiku sedikit tenang dengan kehadiran polis itu. Gangguan juga nampaknya sudah berakhir. Tapi kenapa aku rasa lain macam?
Mereka bertiga masuk ke dalam rumah dan mula melakukan pemeriksaan. Aku pula hanya menunggu di ruang tamu.
“Arghhhhhhhh!!” bunyi teriakan Puan Zaliha memecahkan keheningan subuh. Apa yang berlaku?
Cepat-cepat aku masuk ke bilik. Aku lihat Puan Zaliha sudah terduduk di depan pintu tandas sambil tangannya menunjuk ke arah sesuatu. Salah seorang anggota polis itu pula seperti ingin termuntah.
Apa yang mereka nampak sehingga mereka bereaksi sedemikian? Adakah..? Aku mula memikirkan yang bukan-bukan.
“Encik..” aku mendekat perlahan.
Salah seorang anggota polis itu perasan kehadiranku dan segera menghalang aku dari mendekati bilik air.
“Cik.. saya rasa lebih baik awak tak payah tengok.”
“Ke..kenapa? Apa kat dalam? Apa yang Encik nampak?”
Polis itu diam. Dia serba salah. Juga bingung.
“Kau..kau pembunuh! Kau b***h Harisah!” Puan Zaliha tiba-tiba menuduhku.
“B***h? Harisah?!” merepek apa orang tua ni? Jantungku sudah berdetak laju.
Apabila aku lihat ke dalam bilik air, jelas kelihatan satu tubuh yang sudah membusuk terduduk kaku di tab mandi. Mukanya pucat. Mata terbeliak dan lidah terjelir. Di sekelilingnya penuh d***h hanyir dan ulat-ulat kecil.
Otakku mula berdenyut. Satu demi satu persoalan timbul. Kenapa aku tak nampak tubuh ni masa aku mandi tadi? Adakah aku mandi disebelah mayat tanpa aku sedar? Kalau mayat ini sudah lama, adakah aku tidur satu bilik dengan orang m**i?
Harisah? Harisah sudah tiada? Dengan perlahan cebisan-cebisan kejadian 3 hari lepas terlayar di tubir mata.
*****
3 HARI LEPAS
Subuh itu Harisah bangun seperti biasa dan aku juga terjaga sekitar jam 5.30 pagi. Aku lihat Harisah sedang duduk di katil dengan pandangan yang kosong.
Apabila aku tanya keadaannya, dia sekadar mengangguk dan tersenyum. Lalu aku biarkan saja. Kemudian, dia masuk ke dalam bilik air dan aku baring semula sekadar tidur-tidur ayam.
Aku dengar bunyi paip dibuka. Lama. Mungkin dalam 30 minit Harisah di dalam tandas. Aku mula pelik. “Dia tengah membuang ke apa?” fikirku.
Aku dekati bilik air dan kupanggil nama Harisah. Namun tiada sahutan. Apabila aku buka pintu, alangkah terkejutnya apabila aku lihat Harisah di dalam tab mandi dengan tangan yang berlumuran d***h.
“Ya Allah Harisah! Kau buat apa ni?!”
“Rina.. aku minta maaf..”
“Kenapa? Kenapa kau buat macam ni? Kenapa?!” tangisanku sudah tidak dapat dibendung lagi. Sungguh aku keliru. Mengapa Harisah memilih jalan ini?
“Rina.. aku sejuk..”
Seraya itu juga aku peluk tubuh Harisah. Badannya lemah longlai dan mukanya pucat. Aku tekan jariku pada kesan hirisan di tangan Harisah.
“Aku panggil ambulan ya.”
“Taknak. Aku dah takda masa Rina. Terima kasih tau jadi kawan aku. Kau lah kawan baik aku sampai hujung nyawa. Jaga diri kau baik-baik.” habis saja ayat itu, Harisah menghembuskan nafas terakhir dipangkuanku.
Otakku tidak mampu memproses apa yang baru saja berlaku. Teman baikku m**i didepan mata sendiri. Dan aku tahu kenapa dia memilih untuk mengambil nyawa sendiri.
Status Harisah sebagai anak luar nikah sentiasa menjadi calar dalam dirinya. Orang sekeliling sentiasa memandang hina pada Harisah dan tak kurang juga yang bercakap buruk dibelakangnya.
Dari bangku sekolah lagi, hanya aku yang menjadi teman dan rakan baik Harisah. Sehinggalah ke menara gading, kami sentiasa bersama. Ibu bapaku pernah melarangku daripada rapat dengan Harisah. Kata mereka, Harisah pembawa ‘sial’. Tapi tak ku endahkan. Semua itu dangkal!
Mungkin tekanan itu sudah tidak dapat dibendung. Maka Harisah memilih untuk m******h diri. Yang aku sesalkan, aku tidak mampu untuk meringankan beban perasaan Harisah. Walaupun aku ada dengannya hampir 24 jam.
****
Aku hanya merenung tubuh Harisah semasa petugas hospital datang untuk mengangkat mayat. Pandanganku kosong. Kasihanku tumpah pada Harisah.
Aku turut menaiki ambulan untuk menjalankan pemeriksaan dengan diiringi polis.
Di hospital, doktor yang memeriksaku memberitahu bahawa, aku mengalami trauma kerana kehilangan seseorang yang aku sayang. Apatah lagi dalam keadaan tragis. Dalam waktu kejadian selama tiga hari itu, aku mungkin dalam penafian. Tidak mahu menerima realiti yang Harisah sudah tiada. Aku hanyut dalam kesesatan.
Anggota polis yang datang ke rumahku juga ada memberitahuku sesuatu yang membuatkan tubuhku meremang. Katanya, semasa aku membuka pintu, dia nampak dengan jelas ada perempuan berambut panjang bergayut dibahuku. Matanya bulat merah. Patutlah bahuku terasa berat sekali pada waktu itu.
Selepas kejadian itu, aku jatuh sakit. Aku tiada selera makan dan suka bersendiri. Aku juga sering mengadu sakit badan, terutama di bahagian bahu dan pinggangku. Kerana risau akan keadaanku, ibu bapaku menghantar aku untuk berubat. Takut kalau-kalau terkena badi mayat.
Syukur alhamdulillah. Selepas hampir dua bulan berubat, aku semakin sembuh. Cuma kadang-kadang, aku akan terasa sengal di bahu dan seperti sering diperhatikan sesuatu. Tapi aku tahu, Allah sentiasa menjaga umatnya dan aku tidak boleh alpa.
Doa dan ingatanku sentiasa bersama kau Harisah. Semoga engkau tenang disana dan diampunkan segala dosa-dosamu. Amin Ya Rabbal Alamin..
-Jenja-
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
AL fatihah untuk Harisah
Mksdnya lepas harisah tu mninggal,, 3 hari trauma untill polis dtg dgn puan zaliha tu laa ea ?
Saya rasa cerita ni hanya imaginasi penulis keran dari sudut saintifiknya, mayat yg baru meninggal 3 hari, masih belum berulat.
jika betullah kisah ni …kesian harisah …
B***h diri ….Berat dosanya …Roh tergantung …