Dia ‘Balik’ Menjenguk Anaknya…

Masa PKP tahun 2020, aku habiskan banyak masa dengan ibu di rumah. Macam-macam cerita ibu kongsi dengan aku, antaranya pengalaman seram yang pernah ibu alami masa dia kecil dulu.

Tahun 1970 – an, umur ibu 9 tahun. Ibu ada seorang sepupu yang di panggil Kak Niah. Dia anak Pak Ngah. Keluarga ibu dan keluarga Kak Niah sangat rapat. Rumah mereka berada dalam suatu daerah yang sama. Ibu rapat dengan Kak Niah. Ibu selalu bermalam di rumah Kak Niah, begitu juga sebaliknya. Kak Niah cantik orangnya. Usianya pada ketika itu, 18 tahun. Rambutnya kerinting halus, Panjang sampai pinggang. Dia suka bersolek. Kalau dia sedang bersolek, ibu akan sibuk menempel di cermin. Kadang-kadang Kak Niah calitkan gincu merah ke bibir ibu, maskara dan celak di mata ibu. Ibu sangat suka.

Kak Niah dipinang orang tak lama selepas ibu Kak Niah meninggal dunia. Dia berkahwin dengan Adi, pemuda sekampung. Ibu selalu temankan Kak Niah ber ‘dating’ dengan Adi sebelum ini. Perkahwinan Kak Niah memang meriah. Semua orang gembira. Kak Niah kelihatan cantik sangat di atas pelamin. Tak lama lepas tu, Kak Niah mengandung. Cucu pertama dalam keluarga Pak Ngah bakal lahir.

Suatu malam, cukup 9 bulan, Kak Niah mula mengerang sakit. Adi panggil Bidan Simah. Lama Kak Niah mengerang. Bayi masih belum keluar. Semua orang cemas. Akhir sekali Bidan Simah suruh Adi cari kereta untuk hantar Kak Niah ke hospital. Bidan Simah cakap, bayi masih tak keluar sebab terbelit tali pusat.

Pukul 11 malam, Bidan Simah, Adi dan Kak Niah naik kereta Pak Jali untuk ke hospital. Ibu lihat kereta Pak Jali membawa Kak Niah pergi. Dari pintu rumah, ibu nampak ada sesuatu terbang di sisi kereta Pak Jali. Bulat, hitam dengan juraian merah. Ibu terpegun. Apa tu? Ibu tak beritahu sesiapa. Makhluk itu terbang terawang-awang mengikut kereta Pak Jali.

Tidak sampai sejam, kereta Pak Jali memasuki laman rumah Pak Ngah semula. Semua ahli keluarga menyerbu ke kereta. Sebaik sahaja pintu di buka, bau hanyir yang cukup meloyakan mula terbit. Ibu pun sibuk mengintai. Keadaan sangat kelam kabut. Bila lampu pada bahagian dalam kereta dinyalakan, ibu nampak cairan hitam pekat memenuhi bahagian tempat duduk belakang. Adi sedang memangku Kak Niah yang sedang ‘tidur’. Bidan Simah menggendong sesuatu di dadanya. Adi meraung berjuraian air mata. Pak Jali menggeleng-gelengkan kepala. Kesal. Tak lama lepas tu, adik beradik Kak Niah pula meraung. Pak Ngah terduduk ke tanah. Dalam keributan itu, sayup-sayup ibu terdengar suara halus bayi menangis dari dalam dakapan Bidan Simah.

Tiga hari sudah jenazah Kak Niah selamat disemadikan. Orang kampung mula berbunyi. Membuatkan Pak Ngah tak senang duduk dan mudah naik angin. Cerita mula tersebar. Ada pontianak yang mula mengganggu. Dia terbang dari pokok-ke pokok sambil ketawa mengilai-ngilai menyebabkan semua kutu rayau kampung yang sedang bermesyuarat di hujung jambatan bertempiaran lari. Semua orang kampung menjadi takut. Kanak-kanak seusia ibu pula dilarang keluar selepas maghrib. Semua aktiviti selepas Maghrib telah ditiadakan. Mereka berkumpul dan bersembunyi di dalam rumah. Pak Ngah pula panas hati bila ada suara sumbang yang mendakwa pontianak itu seperti rupa arwah Kak Niah. Beberapa kali jugalah Pak Ngah mengamuk, menghambat orang kampung yang mengaitkan Kak Niah dengan pontianak yang tiba-tiba mengganggu kampung. Sesuatu yang sangat mengguris hati ibu sekeluarga.

Suatu malam, ibu tidur di rumah Pak Ngah. Rumah Pak Ngah, rumah tradisonal bertiang tinggi dan terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian utama yang dipanggil rumah ibu, bahagian dapur dan verrandah tempat Pak Ngah berehat sambal menghisap rokok gulung pada waktu petang. Ibu tidur beramai-ramai di ruang tengah rumah. Di suatu sudut pula, Pak Ngah wujudkan ‘bilik kelamin’ kecil yang hanya dipisahkan menggunakan tirai kain.

Malam tu cuaca agak dingin dan lain dari malam-malam yang lain. Suasana agak sunyi. Tiada dengar bunyi cengkerik dan reriang. Yang ada hanya bunyi pelepah kelapa kering jatuh dan bunyi dedaun pokok bergeser di tiup angin yang jelas kedengaran. Ibu tak boleh tidur sedang semua orang sudah lena dibuai mimpi. Ibu tidur berhimpit-himpit dengan anak-anak Pak Ngah yang lain. Pak Ngah pula tidur dekat dengan pintu utama beralaskan tikar mengkuang kering. Entah pukul berapa, ibu terdengar sesuatu jatuh di atas bumbung rumah. Bunyi yang kuat itu langsung tidak mengejutkan sesiapa kecuali ibu. Ibu menarik selimut menyelimuti seluruh badan. Dari dalam selimut ibu dengar bunyi yang seakan-akan bunyi itik menguek sebelum ia berhenti dalam beberapa saat. Tak lama selepas itu terdengar pula bunyi tapak kaki berjalan meminjak lantai rumah yang diperbuat daripada kayu. Pergerakannya agak perlahan.

Pada mulanya ibu ingat Pak Ngah yang bangun tapi, bunyi tapak kaki itu datang daripada arah dapur jadi, tak mungkin itu Pak Ngah. Bunyi tapak kaki berjalan itu semakin hampir dengan ibu. walaubagaimanapun, tiada langsung perasaan takut di hati ibu kerana waktu itu ibu hanyalah seorang budak kampung yang berusia 9 tahun yang tidak mengerti apa-apa. Dari bawah selimut ibu mengintai. Dalam pandangan yang agak terhad, ibu Nampak kaki seseorang yang dilitupi kain putih yang kotor sedang bergerak perlahan menghampiri bilik kelamin kecil di hujung sudut rumah tersebut. Pergerakannya sangat perlahan seolah-olah dia tidak mahu mengejutkan seisi rumah yang sedang bergelimpangan tidur di ruang tengah rumah.

Perlahan-lahan ibu bangun dan duduk. Waktu itu, sudut pandangan ibu menjadi lebih besar. Dalam samar cahaya, ibu Nampak sesuatu yang agak besar dan tinggi berjalan perlahan menghampiri bilik kelamin kecil itu. Bahagian atas mahkluk itu dilitupi rambut yang hitam. Rambutnya kembang, kerinting halus tetapi kelihatan kasar. Bahagian bawahnya hanya kelihatan kain putih yang koyak dan dikotori tanah. Mukanya tidak kelihatan. Menghampiri bilik kelamin kecil itu, tangannya yang menggerutu seperti akar pokok kering dikeluarkan dari balik rambutnya, menyebak tirai perlahan-lahan. Kepala makhluk itu bergerak sedikit seolah-olah cuba menjenguk penghuni yang sedang tidur di balik tirai. Rengekan halus suara bayi anak arwah Kak Niah kedengaran dari dalam bilik kelamin kecil itu. Terdengar juga suara Kak Mon, adik arwah Kak Niah memujuk sikecil itu dengan penuh kasih sayang. Sedang ibu cuba menghadam adengan di hadapannya itu, tiba-tiba ibu terdengar Pak Ngah menjerit.

“ Allah hu Akhbaaarrrrrrrrr!!!!!!!!” Ibu terkejut! DUMMMMM!!!! Tingkap berhampiran ibu terbuka secara tiba-tiba. Sesuatu berdesup terbang laju keluar melalui tingkap. Semua orang terjaga. Serentak itu, bayi anak arwah Kak Niah meraung sekuat-kuatnya.

Esoknya keadaan jadi kecoh. Sangat-sangat kecoh. Orang kampung bercerita yang pontianak menyerang rumah Pak Ngah. Macam-macam versi yang keluar. Lepas Maghrib, Pak Imam kampung bersama beberapa orang kuat masjid datang rumah Pak Ngah. Ibu tak tahu apa yang mereka buat. Ibu cuma nampak 4 orang lelaki berdiri di 4 sudut rumah. Mereka melaungkan azan secara bersambung-sambung. Selepas tu mereka mengelilingi rumah Pak Ngah. Membaca sesuatu sambil menabur serbuk putih yang agak kasar bercampur biji-biji kecil yang berwarna hitam di sekeliling rumah. Pak Imam menghampiri bayi arwah Kak Niah. Dia mengusap kepala si kecil itu. Membacakan sesuatu pada ubun-ubunya. Lepas tu, dia tarik tangan Pak Ngah dan berbual agak lama di bawah pokok rambutan di halaman rumah.

Malam tu juga Pak Ngah suruh kami kumpulkan semua barang-barang arwah Kak Niah. Baju-baju, kain batik dan sebagainya. Alat solek Kak Niah pun Pak Ngah ambil. Tapi ibu sempat sembunyikan gincu merah milik Kak Niah dalam sakunya. Ibu memang suka dengan gincu merah tu. Lepas barang-barang Kak Niah di kumpulkan, Pak Ngah bungkus dengan kain dan bakar di belakang rumah. Apa yang terjadi selepas itu, ibu tak pasti sebab ibu kena pulang ke rumah. Cuti sekolah hampir tamat dan ibu kena kembali ke sekolah.

Beberapa bulan selepas itu, Pak Ngah ada datang ke rumah. Dia berbual panjang dengan bapa kepada ibu aku (datuk kepada penulis).

Pak Ngah cakap,
“Dia ada datang juga lepas tu…
Malam-malam… ketuk-ketuk pintu.
Dia tak boleh masuk sebab Imam Resat da pagar rumah tu.
Mula-mula aku takut jugak.
Tapi aku ingat apa Resat pesan.
Lepas dua tiga hari dia ketuk-ketuk pintu tu, aku bersuaralah dari dalam rumah.
Aku suruh dia ‘balik’.
Aku janji… aku jaga anak dia.
Sedih Long…
Aku dengar dia nangis lepas aku cakap macam tu.”.
Ibu nampak Pak Ngah kesat air mata.

Waktu datuk aku hantar Pak Ngah balik di muka pintu, dia bersuara,
“Sabar Ngah. Kau tahu kan ‘itu’ bukan dia.
Dia dah ‘selamat’ kat sana.
Engkau dengan Mon jagalah anak Amniah tu baik-baik.”

Itu lah pengalaman yang paling ibu tak boleh lupa. Sampai sekarang ibu tak beritahu sesiapa rupa makhluk yang menjenguk bayi Kak Niah malam tu. Ibu masih naif waktu tu. Banyak benda yang ibu tak faham. Tapi ibu yakin, Kak Niah ‘balik’ untuk jenguk anak dia pada malam tu.
Meremang bulu roma aku sepanjang ibu bercerita. Bila aku bertanya tentang gincu arwah yang ibu ambil tu, dia hanya senyum dan berkata;
“Itu pun satu hal juga… menyesal ibu ambil benda tu…”
Lepas tu ibu ketawa. Bila aku desak ibu untuk bercerita tentang gincu merah tu, ibu mengelak. Lain kali katanya. Waktu itu juga kami terdengar suara mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin mula membaca doa menjauhi wabak dari corong radio yang sedia terpasang. Serentak itu kami mengangkat tangan mengaminkan doa…

TAMAT

Eiene

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 111 Average: 4.9]

2 thoughts on “Dia ‘Balik’ Menjenguk Anaknya…”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.