Dia Bukan Kak Ros

Hai semua. Terima kasih untuk yang sudi baca kisah Misteri Bunga Putih yang aku tulis. Untuk pengetahuan semua, Wafa dah tak berani mengikuti apa-apa aktiviti yang melibatkan hutan. Mungkin dia takut atau mungkin rasa bersalah.

Disebabkan aku cuti sekarang, kali ini aku nak cerita pasal seorang wanita yang aku kenal sejak kecil. Rozita namanya atau aku panggil Kak Ros. Kak Ros menjual nasi lemak di sebelah pagi dan rojak buah di sebelah petang. Dia akan menjual berhampiran kawasan taman perumahan aku.

Mula-mula aku kenal Kak Ros, aku masih darjah empat. Ketika itu aku balik sekolah jalan kaki. Aku ternampak Kak Ros duduk di bangku kayu merenung jualannya yang masih banyak. Buah-buahan segar masih elok tidak berusik. Aku mendekati meja jualan Kak Ros.

“Ye dik, nak beli rojak?” Kak Ros terus berdiri sebaik sahaja ternampak aku datang. Wajahnya kelihatan ceria.

Aku mengangguk. Aku seluk kocek baju sekolah lalu aku keluarkan not satu ringgit. Kak Ros terus p****g buah jambu air, buah nanas, sengkuang dan mangga. Dicampur serba sedikit lalu dimasukkan ke dalam plastik kecil dan dicucuk lidi. Serbuk asam ditabur sebelum plastik itu bertukar tangan.

“Sedapnya!” aku mengunyah buah jambu sambil tangan kiriku menunjukkan thumbs up.

“Terima kasih. Adik orang pertama yang beli rojak akak tau. Apa nama adik?” Kak Ros ramah bertanya.

Aku pantas menunjukkan name tag di baju sekolahku. Kak Ros mengangguk sambil tersenyum.

“Iris Imtiaz. Sedap nama tu. Pandai mak adik bagi nama.” puji Kak Ros dengan wajah yang masih kelihatan ceria.

“Kenapa tak pernah nampak akak pun?” mulutku becok bertanya.

“Akak baru je pindah sini, duduk rumah mak cik akak. Hari ni hari pertama akak jual rojak. Esok pagi akak jual nasi lemak.” kata Kak Ros. Tangannya sibuk menyusun buah-buah di dalam bekas.

“Iris balik dulu. Nanti Iris datang lagi dengan ibu.” kataku lalu berlari pulang.

Petangnya, aku datang lagi. Esok pagi pun aku beli nasi lemak Kak Ros. Lama kelamaan Kak Ros jadi rapat dengan keluarga aku. Dia selalu menemani aku buat kerja sekolah kalau ada masa lapang. Kebetulan mak cik Kak Ros merupakan kawan ibu aku.

Habis darjah enam, aku dapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh di Melaka. Jadi, aku hanya akan pulang ke rumah ketika cuti panjang. Kalau hujung minggu aku akan pulang ke rumah nenek di Alor Gajah. Memang aku sudah jarang bertemu Kak Ros. Tapi hampir setiap minggu Kak Ros akan kirimkan kerepek pisang untuk aku membuatkan aku makin sayang padanya.

“Iris, Kak Ros sakit. Barah otak…” masih aku ingat kata-kata ibu ketika melawatku di asrama. Aku sudah di tingkatan tiga waktu tu.

Air mata aku automatik jatuh. Perempuan yang aku anggap kakak (jarak umur aku dan Kak Ros hanya lima belas tahun) kini sakit. Kak Ros tak pernah mengadu tentang sakitnya. Dia sentiasa ceria. Tak pernah dia mengeluh untuk siapkan kerepek pisang buatku setiap minggu.

“Iris sihat?” suatu malam Kak Ros menelefon guna telefon ibu. Suaranya lemah.

“Sihat, Kak Ros. Kak Ros kuat tau. Kak Ros kena sihat. Kak Ros tunggu Iris balik ya? Lepas exam, Iris balik teman Kak Ros.” aku cuba mengawal rasa hiba.

“Jangan fikir pasal Kak Ros. Kalau dah tertulis hidup Kak Ros cuma setakat ni je, kena la redha. Iris belajar rajin-rajin. Besar nanti boleh kerja bagus. Boleh bantu orang.” pesan Kak Ros. Dia seperti sudah tahu ‘masa’nya akan tiba.

Disebabkan tarikh peperiksaan makin dekat, aku semakin sibuk. Khabar terakhir yang aku dengar, Kak Ros akan buat operation di Perak. Aku berharap akan ada keajaiban yang berlaku. Aku nak balik jumpa Kak Ros. Aku nak peluk dia erat-erat.

“Iris, kau bawa buku aku kejap. Aku nak pergi toilet. Nanti kita jumpa kat sana.” kata Musfirah sambil menghulurkan beberapa buah buku kepadaku.

Aku berjalan ke blok dua. Entah kenapa malam tu aku rasa sejuk sangat. Lain sejuknya dari biasa. Sepanjang berjalan, aku berselisih dengan beberapa orang pelajar yang turun prep. Tetapi sampai sahaja di selekoh bangunan kedua, suasana bertukar sunyi. Tiada kelibat pelajar lain.

Zzzssss… Tiba-tiba sahaja muncul angin. Mungkin hari nak hujan, fikirku. Aku teruskan berjalan. Aku terasa jauh betul perjalanan malam itu, seolah-olah tiada penghujung. Di fikiran aku memang tidak terfikir hantu atau cerita seram, tapi aku pelik sebab malam itu agak pelik.

Sampai di anak tangga pertama, langkah aku terhenti. Mataku tertancap pada sesusuk tubuh yang duduk di tangga. Aku amati lama perempuan berbaju kurung putih dan bertudung hitam itu. Wajahnya ditundukkan. Jelas terdengar esakannya.

“Kenapa menangis?” aku pantas bertanya. Mungkin salah seorang pelajar senior yang baru putus cinta atau ada masalah pribadi.

Perempuan itu perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Aku terperanjat. Buku-buku di tangan aku semua jatuh bertaburan di lantai.

“Kak Ros?” aku menggeletar. Aku bukan takut tapi aku macam tak percaya Kak Ros ada di depan mataku sekarang.

Kak Ros memandang aku penuh sayu. Matanya bengkak kerana menangis. Aku terus mendekati Kak Ros dan memeluknya. Air mata aku menitis. Betapa aku rindunya pada Kak Ros.

“Ustazah, Iris dah bangun.” aku terdengar suara Musfirah. Perlahan-lahan aku buka mata.

“Kat mana ni?” aku pandang sekeliling. Kepalaku masih pening.

“Kat biliklah. Kitorang jumpa kau terbaring kat tangga. Mujurlah ada Ustazah Ain tau tadi.” kata Musfirah.

Aku mengerutkan dahi. Bila masa aku pengsan? Baru tadi aku bersama dengan Kak Ros. Aku menangis sambil peluk Kak Ros.

“Mana Kak Ros?” aku mencari kelibat Kak Ros. Takkan Kak Ros dah balik?

“Siapa Kak Ros?” Musfirah bertanya pelik.

Tiba-tiba Ustazah Ain masuk ke bilik dengan wajah sugul. Dia datang menghampiri katilku. Telefon bimbit di tangannya dihulurkan kepada aku.

“Ibu awak nak cakap.” kata Ustazah Ain.

Aku menyambut huluran telefon lalu ditekapkan ke telinga. Aku dengar ibu menangis tersedu-sedan. Aku yakin Ustazah Ain memberitahu ibu tentang keadaan aku.

“Ibu, Iris okay je la. Tak cedera pun.” aku cuba menenangkan ibu.

“Iris, Kak Ros dah takde…” kata ibu dengan suara bercampur tangisan.

Aku tergamam. Lidah aku kelu. Antara percaya dan tidak sebab aku baru saja jumpa Kak Ros di tangga sekolah. Mustahil Kak Ros dah meninggal!

“Dia meninggal masa operation dijalankan.” sambung ibu.

“Ibu tipu…” aku terus letak telefon lalu aku menangis sepuasnya. Ustazah Ain memeluk bahuku.

“Ustazah, ibu kata Kak Ros dah meninggal. Tapi tadi Iris jumpa Kak Ros!” aku menangis semahunya. Aku berharap apa yang ibu cakap tu tak betul.

“Iris, banyakkan bersabar. Istighfar. Kadang-kadang memang ada benda yang kita tak dapat terima dengan akal fikiran. InsyaAllah ada hikmah.” pujuk Ustazah Ain.

Aku diberi kebenaran untuk pulang esok harinya atas sebab ada kematian keluarga. Ya, Kak Ros dah macam keluarga aku. Lepas ni dah tak ada orang nak buat kerepek pisang untuk aku. Dah tak ada orang nak gurau dengan aku. Dah tak ada orang yang boleh layan teka-teki aku.

“Kak Ros selalu cakap dia sayang Iris, dia rindu Iris. Dia tahu dia dah tak lama…” kata ibu selepas selesai pengebumian Kak Ros. Aku hanya diam. Kalau ibu tak cakap pun, aku tahu Kak Ros sayangkan aku macam adik dia.

Sayu hati aku sebab Kak Ros tiada keluarga lain selain mak cik Halimah. Dia datang ke sini lepas kematian ibu bapa dia. Sekarang, dia pula yang pergi tinggalkan kami semua.

Lepas Asar, aku terpaksa pulang semula ke asrama. Tapi malam tu aku tak turun prep. Mood aku masih belum pulih. Aku masih sedih dengan pemergian Kak Ros. Jadi, aku hanya duduk menelaah di bilik seorang diri.

“Iris…” satu suara menyapa.

Aku menoleh. Aku ingat Musfirah yang panggil. Tapi tak ada sesiapa. Aku letak buku di atas katil lalu berjalan ke arah kaki lima. Mungkin Musfirah memanggil dari luar. Kadang-kadang budak tu kuat menyakat.

“Iris…” suara itu memanggil lagi diiringi ketawa halus. Kali ini aku baru sedar itu bukan suara Musfirah. Bulu romaku mula naik.

“Iris sayang…” suara itu muncul lagi tapi dari dalam bilik pula.

Aku perlahan-lahan pandang ke kanan. Hampir gugur jantung aku melihat Kak Ros duduk bersimpuh di atas katil dengan wajah berlumuran d***h. Matanya tajam merenung ke arah aku. Bibirnya tersenyum. Tapi senyumannya tak seindah selalu.

“Buat apa kat situ? Mari sini… dekat dengan Kak Ros…” Kak Ros menghulurkan tangan kanannya.

Ya Allah, kukunya panjang. Tangannya hitam pucat. Aku nak lari tapi tak mampu. Kaki aku seperti dikunci. Air mata aku dah mula keluar sebab terlampau takut. Aku tak kuat nak tengok muka Kak Ros yang penuh d***h.

“Iris kan rindu Kak Ros…” tiba-tiba Kak Ros turun dari katil. Tapi aku tak tahu kenapa dia mengesot seperti orang yang tiada kaki. Bukan berjalan, bukan merangkak, jauh sekali nak terbang. Tetapi dia mengesot cukup pantas.

Sampai sahaja depan aku, Kak Ros ketawa mengilai. Nyaring dan cukup menyeramkan. Ada d***h mengalir keluar dari mulut Kak Ros. Aku pejamkan mata, baca apa yang patut tapi semua yang aku baca tak betul. Semua kelaut.

Seperti sebelum ini, buka je mata mesti aku atas katil dan dikelilingi Musfirah dan kawan-kawan yang lain. Tapi kali ini agak ekstrem sebab Musfirah kata masa balik bilik, aku tak ada. Puas cari, rupanya aku ada kat depan stor belakang sekolah. Aku terlentang kat situ.

Esoknya aku dibenarkan pulang lagi dan diberikan cuti. Aku duduk di rumah nenek di Alor Gajah. Kebetulan Tok Ngah, adik kepada nenek ni pandai berubat orang, jadi dia buatkan air ubat untuk pulihkan semangat aku. Aku cerita semua yang jadi pada Tok Ngah.

Tok Ngah pesan supaya jangan lewatkan solat. Jangan terlalu banyak mengelamun layan perasaan sedih. Dia tahu aku masih bersedih dengan kehilangan Kak Ros.

“Orang yang dah pergi, dia dah ke alam lain. Dia tak boleh muncul dalam keadaan berdarah atau fizikal buruk. Semua tu tipu helah syaitan. Dia suka bila orang sedih-sedih. Masa tulah dia cari peluang menyamar jadi orang yang kita rindu, yang kita fikir-fikirkan.” kata Tok Ngah.

“Jadi, yang menangis kat tangga tu pun bukan Kak Ros?” aku bertanya. Sebab Kak Ros muncul dalam dua watak berbeza, dalam situasi berbeza.

Tok Ngah menggeleng dengan senyuman.

“Semua yang jadi tu dengan izin Allah. Kak Ros orang yang baik. Doakan untuk arwah supaya dia tenang dan diberikan rahmat oleh Allah (S.W.T).”

Sejak itu, tiada lagi bayangan Kak Ros. Bukan aku tak ingat dia, tapi aku elakkan diri dari duduk berseorangan sambil melayan rasa sedih. Kalau sedih melampau, benda tu mula cari peluang.

Maafkan aku kalau kisah ni tak seram dan lebih kepada bercerita tentang Kak Ros tapi ingatlah bahawa orang yang telah pergi tak akan pernah kembali.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Iris

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 92 Average: 4.7]

2 thoughts on “Dia Bukan Kak Ros”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.