Assalamualaikum para pembaca FS. Nama aku, Ila. Aku dari JB. Aku nak share kisah aku yang diganggu oleh pocong.
Sebagai memudahkan cerita, suka aku jelaskan bahawa aku nie jenis orang yang “sakit”. Maksud sakit kat sini ialah, aku memang dah bertahun-tahun diganggu dek kerana saka nenek moyang aku dulu. Walau dah berubat, gangguan masih datang dan pergi. Kalau aku tak “kuat”, maka aku akan diganggu.
Berbalik kepada cerita aku. Aku pulang ke kampung orang tua aku. Orang tua aku ada sebuah homestay yang bersambung dengan rumah mereka. Selalu kalau aku balik dan tidur di kampung, kalau tiada orang booking homestay, aku dan anak-anak akan tidur di master bedroom homestay sebab biliknya ada air-cond. Anak-anak memang jenis air-cond tegar. Kebiasaannya aku balik kampung dengan anak-anak saja sebab suami aku sibuk bekerja.
Siang hari tu, mak dan ayah ajak kami pergi ke Rengit. Nak beli barang terpakai. Setelah selesai membeli-belah, kami pun bercadang untuk balik. Semasa perjalanan balik, mak aku ajak pekena cendol dan makan. Sebab perut dah berbunyi-bunyi, kami pun singgah satu kedai yang bersebelahan dengan parit yang agak besar. Waktu tu dalam pukul 6.15 petang. Habis makan semua, nak mencecah pukul 7.00 malam. Dalam remang-remang maghrib, kami terpaksa berjalan kaki melalui parit yang besar tu untuk menuju ke kereta.
Aku pun memandu, melalui hutan-hutan, kebun dan sebagainya. Kami sampai ke rumah jam 7.20 malam dan kami bergegas membersihkan diri untuk solat maghrib. Usai solat, badan aku terasa sangat letih dan penat. Aku ajak anak-anak tidur sebaik sahaja selepas waktu Isyak sebab badan aku rasa lesu sekali dan terlalu mengantuk.
Di homestay tu, hanya kami je tidur di situ dan lagi 2 bilik kosong. Aku tidur di atas katil bersama dengan anak perempuan aku manakala anak yang lagi sorang tidur dengan neneknya. Tengah nyenyak tidur, tiba-tiba aku terjaga dalam pukul 1.30 pagi. Aku tak tahu kenapa tapi tiba-tiba mataku segar dan dadaku berdebar. Tiba-tiba aku dapat bayangan pocong dalam minda aku. Aku abaikan dan memusing badan ke arah anak aku (anak aku tidur belah dalam katil, aku tidur di belah luar). Sedang aku mencuba untuk menyambung tidur, antara jaga dan tidak, aku dapat rasa ada suam-suam badan yang berbaring kat belakang aku. Waktu tu aku masih tutup mata tapi dalam minda aku, aku dapat nampak yang di belakang aku adalah pocong yang sedang berbaring.
Aku kuatkan diri, aku tolak badan aku perlahan-lahan. Aku nak tolak pocong tu jatuh dari katil dan tiba-tiba aku dengar bunyi “bedebuk”. Seperti bunyi orang jatuh dari katil. Antara tidur dan jaga tulah aku cuba pusing untuk tengok dan aku nampak pocong tu sedang cuba bangun dan berdiri. Wajah pocong tu warna merah kehitam-hitaman dan mata terbeliak. Aku cuba zikir lailahaillallah banyak kali dan entah macam mana, aku dapat kekuatan untuk koyak-koyakkan kepala pocong tu. Macam mana aku nak explain eh? Kira tangan aku nie pergi kat kepala pocong tu seumpama kepala pocong tu macam kertas. Aku pun koyak-koyakkan dengan geramnya. Tengah aku koyak-koyakkan, dua-dua biji matanya terkeluar. Aku ambil biji mata tu dan aku penyek-penyekkan pakai tangan aku. Sejurus lepas itu aku terus terjaga dengan keadaan tangan aku tengah memenyek-menyek sesuatu.
Aku zikir berulang kali dan mata masih mengantuk. Aku cuba tidur semula dan bermimpi hantu raya pula. Tapi hantu raya nie menyerupai seorang lelaki yang sangatlah handsome. Aku tau tu hantu raya mengikut firasat aku. Aku cuba untuk bangun. Badan aku terasa berat, nafas terasa sesak. Aku taknak bermimpi panjang dengan hantu raya tu. Akhirnya aku terjaga dengan keadaan badan tersentak.
Aku tengok jam, baru pukul 3.45 pagi. Selepas tu aku langsung tak boleh tidur dan aku berjaga sampai ke pagi. Tapi aku bersyukur anak aku tidak diganggu. Alhamdulillah. Aku ceritakan pada mak dan ayah. Mak dan ayah bagitahu aku, kawasan rumah tu memang dah beberapa kali orang kampung jumpa pocong. Mungkin pocong yang sama atau pocong yang mengikut kami dari kami balik berjalan. Wallahualam.
Follow Whatsapp FS KLIK SINI