DITARIK LEMBAGA BAWAH KATIL

“Alamak!! Malam-malam macam ni lah nak buat hal, dah laa ‘exam’ tak habis lagi, macam mana la nak ‘study’ gelap-gelap macam ni..” aku mengomel seorang penuh kejelakkan mengisi ruang hati. Ini bukan kali pertama ‘blackout’ di sini tetapi bulan ini sahaja telah berkali-kali. Tanganku galak meraba-raba isi laci, aku mencari batang-batang lilin untuk menerangi kami dari kegelapan bilik ini.

Dalam bilik yang memuatkan dua buah katil dua tingkat ini dihuni empat orang siswi. Aku siswi yang paling senior, Anie dan Nora junior sekursus manakala Julia siswi Sains Asasi.
Kami masih di sini menunggu subjek-subjek terakhir ujian pertengahan semester yang harus diduduki.

Suasana asrama agak sunyi, ada di kalangan kami telah selesai kertas ujiannya lebih awal. Masing-masing berbondong-bondong pulang ke rumah yang berbulan lama ditinggalkan. Esok merupakan hari terakhir kertas ujian bagi kursus kami, tak sabar rasanya menghabiskan 2 subjek terakhir kertas ujian esok. Kami juga ingin mengubat kerinduan pada wajah-wajah kesayangan kami di rumah. Kami rindukan bilik kami, bantal busuk kami dan paling utama masakan terlazat di dunia dari air tangan ibu-ibu kami.

Sedang leka menghidupkan lilin di atas meja ‘study’ tiba-tiba pintu bilik kami diketuk, aku memandang pintu seraya melirik jam di atas meja, jarum jam menunjukkan tepat pukul 8.45 malam. Waktu Isyak telah 15 minit berlalu, nasib menyebelahiku yang diberi cuti solat hari ini. Tidak perlulah aku menapak ke tandas yang letaknya di hujung blok asrama ini semata-mata untuk mengambil wudhuk. Lamunan dan senyum legaku tersentak ke alam realiti, pintu yang tadinya diketuk telah dibuka oleh Nora. Humairah yang mesra dengan panggilan Maira rakan sekelasku terjengul di sebalik daun pintu. Maira masuk tanpa dijemput, sememangnya dia tetamu tetap bilik ini.

Sambil tersengeh-sengeh Maira melabuhkan p******g di katilku. Melihat dari senyumannya, aku tahu dia berhajatkan sesuatu. “Na.. boleh tak malam ni aku tumpang tidur bilik kau? ‘Roomate’ aku semua tak ada. Auni dah balik kampung, Siha tidur bilik Linda, katanya nak ‘study’ sama-sama. Noli pulak mak dia baru je jemput balik petang tadi.” Rautku bersahaja mendengar penjelasan Maira satu persatu, adik-adik yang lain sekadar memasang telinga.

“Aku takut lah tinggal seorang kat bilik, tambah-tambah gelap-gelap macam ni” Aku tersenyum. Tak kan lah sampai hati aku nak kata tidak boleh, dia salah seorang sahabat baikku di kampus ini. Wajahku yang serius meraut senyuman. “Adoii kau ni, macam tak biasa pulak dengan kami, aku okey je, tapi kau nak tido kat mana? Katil tak ada yang kosong macam bilik kau.” Aku menduga fikiran Maira. “Alaa, kau dengan Nora bawak turun lah tilam kau orang. Kita bertiga tidur kat tengah-tengah bilik ni, jadi x ada lah sempit sangat.” Ntah kenapa hatiku tidak berapa sedap dengan cadangan yang diutarakan Maira, namun bagi mencapai kata sepakat aku ikuti sahaja.

“Na, jom teman aku ambil bantal kat bilik, tapi sebelum tu aku nak ke ‘toilet’ dulu.. tak tahan dah ni.” Aduh.. tempat yang ingin kuelak dari tadi diajaknya pula buat lawatan. Terasa bagai ingin kutepuk telapak tangan ke dahi. Maira mencangkuk lenganku sambil berlenggang ke tandas yang letaknya di hujung sayap kanan bangunan aspuri ini. Bilik kami memang berdekatan, cuma berbeza sayap. Bilik Maira dalam deretan sayap kanan manakala bilikku dalam deretan sayap kiri. Tiada bilik dari sayap kiri lain di hadapan bilikku melainkan berhadapan dengan bilik dari bangunan sayap kanan yang disambungkan melalui koridor menegak ke sayap kiri bangunan ini.

“Kau dah ‘study’ Maira?” Sambil menyuluh jalan suaraku memecah suasana sunyi okestra cengkerik yang bersahut-sahutan. “Belum.. itulah, aku ingat nak ajak kau orang ‘study’ sama. ‘Study’ ramai-ramai tak adalah cepat mengantuk.” Maira membalas pertanyaanku.

Sampai di tandas terdapat beberapa siswi lain di situ melakukan urusan masing-masing. Ada yang mencuci muka, menggosok gigi dan ada juga tukang pegang ‘torch light’, mungkin menemani sahabatnya juga seperti aku. “Maira kau cepat sikit ya, perut aku ‘cramp, first day period’ ni.” Lepas ni bagi aku pula masuk tandas.” alang-alang sampai, aku selesaikan urusan sebelum tidur. Lepas ni tidak perlulah aku datang lagi.

Selesai uruskan hajat, Maira singgah mengambil bantal di biliknya. Kami tidak singgah di mana-mana lagi, semangat lain macam pula nak ‘study’ gelap-gelap macam ni. Masing-masing tekun mengadap buku teks dan nota. Dalam kepanasan dan bertemankan batang-batang lilin yang melentuk-lentuk dibuai angin, insaf seketika membayangkan pelajar-pelajar lain yang terpaksa berjuang menuntut ilmu dalam kedhaifan. Betapa kita selalu lupa akan kenikmatan yang diterima hingga jarang melafazkan syukur kepada Yang Memberi.

Jarum jam melewati 11.00 malam. Sekali lagi Maira menyuarakan hasrat untuk ke tandas. “Aduh, minum apa kau ni tadi Maira, asyik nak berulang ke tandas je” Malam semakin larut, suasana semakin sunyi, mahu tidak mahu aku terpaksa juga temankan ‘BFF’ ku ini ke tandas. Tetapi, kali ini kami ke tandas sayap hujung sebelah kiri pula yang berada di deretan bilik asramaku. Tandas bukan tempat kesukaanku, aku cuma pergi bila ada keperluan mendesak sahaja. Tandas asrama tahu-tahu sahajalah, besar, luas berpintu-pintu, bila pelajar ramai memang meriah memberus baju, bersembang sambil bergelak ketawa tetapi, di waktu-waktu seperti ini, suasananya suram dan sunyi.

Sambil menunggu dan memberi cahaya suluhan di luar pintu tandas digunakan Maira, aku tiba-tiba teringat, esok hari Jumaat. Maknanya hari ini, sekarang ini malam Jumaat.
Tidak tahu kenapa bila hari Khamis malam Jumaat aku akan rasa semacam bila di asrama. Hari ini kerana ramai yang telah pulang ke rumah masing-masing ditambah pula masalah gangguan elektrik rutin bacaan Yassin tidak diadakan seperti biasa. Penghuni-penghuni asrama yang tinggal disaran membacanya di bilik masing-masing.

Nak dikatakan aku ini penakut, tidaklah juga, tetapi malam itu aku tidak sedap hati, aku tidak boleh solat apatah lagi membaca surah Yassin. Keadaan hari pertama datang bulan dengan aliran yang lebat membuatkan aku tidak selesa. Aku semakin gelisah menunggu Maira menyelesaikan hajatnya. Sebaik Maira membuka pintu bilik air, aku cepat-cepat mendorongnya keluar ke sinki dan terus laju menapak ke bilik.

Di bilik, kami menyambung lagi ‘study’ yang tergendala. Habis silibus yang dipelajari dan bermain soal menyoal soalan yang dijangkakan keluar, kami mula bersembang. Malam semakin larut dan mataku semakin layu. Julia telah meminta diri untuk tidur dan aku pula telah berkali-kali menguap. Masih cuba menahan mata mendengar perbualan rancak Maira bersama Anie dan Nora. “Weh.. aku mengantuk lar.. tido dulu.” Aku bersuara seperti orang mamai. Menarik selimut ingin mengembara ke alam mimpi.

Suara perbualan teman-teman yang masih berjaga sayup-sayup kedengaran. Tiba-tiba tubuhku terasa memberat, kaki dan tanganku tidak dapat bergerak. Aku berasa pelik dan panik. Aku yakin aku masih dalam keadaan sedar walaupun mataku tertutup seperti orang yang telah tidur. Aku tidur di sebelah kiri, betul-betul di sebelah katilku. Maira, di sebelahku, dia di tengah-tengah. Nora pula di sebelah Maira di sebelah kanan sebelah katilnya.

Aku cuba menggerakkan tangan untuk menyentuh Maira yang sedang ketawa di sebelahku. Tetapi tanganku bagaikan terkunci. Aku langsung tidak dapat bergerak. Aku cuba membuka mata tetapi mataku pula bagaikan digam. Mulutku cuba bersuara, cuba menjerit tetapi tidak boleh. Segalanya telah terkunci. Ya, aku sangat takut. Tubuhku keras kejung dari kepala ke hujung kaki. Tidak pernah kurasakan tubuhku berat seperti ini.

Dalam kekalutan memikirkan apa yang sedang berlaku, tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu menarikku ke bawah katilku yang tidak bertilam. Kuasa tarikan itu agak kuat dan memaksa. Aku dapat rasakan tubuhku yang kejung senget menghala ke bawah katil. Aku tidak akan menyerah, aku melawan dengan segala kudrat yg ada. Serabut otakku cuba membaca ayat-ayat suci di dalam hati tetapi semua ayat-ayat yang kuhafal menjadi tunggang-langgang. Aku tidak dapat menghabiskan walau satu surah pendek.

‘Allah.. bantulah aku..’ rintihku yang hilang punca dan hampir berputus asa. Pertolongan Allah itu dekat ketika kita menyerahkan segala kebergantungan kepadaNya. Di kepalaku tidak semena-mena terlintas kisah drama yang kutonton di televisyen baru-baru ini. Dalam drama itu dikatakan saat otak kita celaru dan tidak mampu dikawal secara maksimal sebutlah “Allahuakbar!!” Serentak itu aku menjerit di dalam hati “ALLAHUAKBARRR!! ALLAHUAKBARRR!!” Otomatis mataku yang bagai digam tadinya terus terbuka. Teman-teman yang tadinya masih berbual masing-masing terdiam, terkejut dengan jeritan ku menyebut Allahuakbar!

Mereka berpandangan sesama sendiri. Kemudian memfokuskan pandangan ke arahku. Tadi aku terjerit, sekarang terkulat-kulat sedaya upaya cuba untuk bersuara melafazkan sesuatu. Mulutku yang terkunci tadinya kubuka dengan susah payah kerana masih terkesan berat seperti bahagian tersebut telah dicucuk ubat bius yang mengebaskan otot rahangku. Kulafazkan surah Ayatul Qursi. Seperti orang yang baru belajar mengaji, bacaanku seakan merangkak-rangkak tanpa sempat kutelan air liur yang mula berbuih di tepi bibir. Aku memaksa mulutku melafazkannya dengan penuh kepayahan dalam keadaan mulut yang berat.

Aku ulang dan ulang sehingga bacaanku ringan dan lancar seperti sediakala. Maira dan yang lain-lain yang memerhatikan gelagatku dari tadi tahu ada yang tidak kena. Maira kelihatan gelisah dengan pelbagai persoalan. Setelah melihat keadaanku yang seakan stabil, dia berbisik meluahkan tanda tanya disimpan dari tadi, “Kenapa Na?”

Baju yang tersarung di tubuhku basah dek peluh. Aku menoleh dan memandang Maira. Tubuhku yang tadinya kejung tidak dapat bergerak telah terungkai dari kuasa kuat yang mengikatku. Kubisikkan ke telinganya, “Something.. pulling me, under the bed..”. Jelas wajah Maira kelihatan cuak. Maira dan yg lain-lain yang masih belum tidur saling memandang dengan wajah yang sama, ketakutan yang tidak mampu disembunyikan. Perlahan-lahan kubisikkan lagi, “Esok aku cerita.”.

Malam itu diteruskan dengan segala macam surah yang kami hafal. Mulut masing-masing terkumat kamit bergerak. Tidak sepicing pun mata mampu kami lelapkan di malam yang menyeramkan itu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 28 Average: 4.2]

1 thought on “DITARIK LEMBAGA BAWAH KATIL”

  1. Best story ni! entahla story ni rekaan macam watpadd ke atau real. Tapi best!! :'( nak lagi! macam penulis novel ha . baca penuh kerut-ii kat dahi menghayati! Thumbs up!!

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.