Entiti-entiti di tengah Bandaraya Kota Kinabalu

Entiti-entiti di tengah Bandaraya Kota Kinabalu By Borneo Loner

Lama sungguh rasanya tidak menulis kisah seram untuk dihantar ke Fiksyen Shasha. Kali terakhir adalah pada tahun lepas. Masihkah kalian ingat pada cerita “ Penghuni Banglo di Kingfisher, Likas” Part I (https://fiksyenshasha.com/penghuni-banglo-di-kingfisher-likas/) dan Part 2 Akhir (https://fiksyenshasha.com/penghuni-banglo-di-kingfisher-likas-akhir/) ? Jika belum pernah baca, aku cadangkan kalian bolehlah cuba baca dua kisah yang aku pernah submit sebelum ni.

Sebelum ini aku pernah menyuarakan hasrat untuk menyuruh ayah menjual banglo tersebut, tapi dalam keadaan market yang kurang baik sekarang, mungkin itu bukanlah tindakan yang sesuai untuk dilakukan. Menurut ayah, dia juga sayang untuk menjual rumah tersebut kerana terlalu banyak memori dan kenangan indah yang pernah berlaku dalam rumah tersebut. Lagi-lagi rumah itu juga pernah menjadi saksi kepada kegemilangan ayah sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam dunia politik, ramai VVIP Sabah, Sarawak dan Labuan pernah berkunjung ke rumah itu, kerabat-kerabat diraja, TYT, menteri-menteri besar bahkan ketua menteri sendiri pernah duduk menjamu selera bersama kami di ruangan makan VVIP. Aku hormati keputusan ayah itu.

Namun ayah memberi aku pilihan, dia berjanji ingin membelikan aku sebuah rumah Penthouse yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu supaya aku tidak lagi perlu duduk di Banglo Kingfisher Likas, banglo 12 bilik yang bagi aku terlalu besar untuk dihuni seorang perempuan berusia 26 tahun seperti aku. Riak wajah ayah kelihatan sedih saat aku suarakan hasratku ingin berpindah keluar dan ingin hidup berdikari sendiri, ya lah, sayang sahaja jika ayah membeli rumah sebesar itu tapi tiada orang yang mahu tinggal disana.

Awal tahun 2020, aku berpindah dari Kingfisher Likas ke rumah ku yang baharu. Meski hasrat ku ingin memiliki rumah di Harrington Suite tidak tercapai, tetapi rumah ku yang baru ini pun tidak kurang cantiknya walaupun tidak secanggih dan semewah Harrington. Penthouse dua tingkat ini memiliki rooftop area, ada 1 bilik di tingkat bawah dan 3 bilik lagi di tingkat atas. Pemandangan dari rumah aku memang sangat cantik, hampir seluruh bandaraya KK dapat ku lihat dengan jelas, di satu sudut pula pemandangan terus ke pantai Sutera Harbour.

Kali ini, pertama kali dalam hidupku, aku tinggal bersendirian tanpa pembantu rumah dan pemandu peribadi. Bibik Cuma akan datang dua kali seminggu untuk mengemas rumah dan membasuh pakaian. Ini bermakna semua kerja-kerja rumah yang basic aku harus lakukan sendiri, termasuklah memasak. Aku akan buktikan pada ibu dan ayah bahawa aku juga boleh hidup berdikari sendiri. Manakala Bibik, Om Pardey dan Pak Suharto masih lagi tinggal di Kingfisher, ayah pula masih dengan rutinnya yang sama, hanya akan pulang ke Kota Kinabalu sebulan sekali sahaja.

Meski pun berada tengah kesibukan bandaraya, kawasan perumahan rumah aku ni boleh dikatakan agak sunyi. Malam itu, lebih kurang pukul 11 malam, aku naik ke ruangan rooftop untuk bersantai sambil menikmati pemandangan. Aku berbaring di atas recliner memandang langit. Cuaca pada malam itu sangat tenang, angin bertiup sepo-sepoi, bintang-bintang bertaburan di atas langit, cahaya bulan dan lampu menerangi setiap genap. Aku memejamkan mataku sambil mengenang memori-memori indah ku bersama arwah Mummy Katie. Tiba-tiba aku merasakan angin bertiup lebih kencang dari biasa, sehingga swing chair ku di sebelah kanan bagai dibuai laju, meremang bulu romaku kerana disapa angin sejuk. Langsir putih di pintu masuk yg ku biarkan terbuka sebentar tadi juga berterbangan bagai dibadai ribut.

Dari kejauhan aku dengar bunyi seperti bakul plastic yang direnyukkan. Hairan dengan bunyi tersebut, aku segera bungkas bangun dan memandang ke bawah cuba untuk mencari sumber bunyi tersebut. Tiada apa-apa yang mencurigakan, bahkan tiada sesiapa pun berada di kawasan parking. Aku duduk semula di atas recliner dan sebaik sahaja aku alihkan padangan ku ke atas, aku lihat ada “sesuatu” yang sedang terbang dari arah Sutera Harbour menuju ke Kampung Sembulan, ia terbang betul-betul di atas aku. Pergerakannya perlahan, tidak laju. Sukar untuk aku gambarkan fizikal makhluk tersebut, tapi ia umpama kain lusuh yang berwarna hitam, saiz seperti selimut, tiada badan mahupun kepala, Cuma kain sahaja. Perlahan ia melimpasi aku yang sedang terpana. Apa sebenarnya mahkluk tersebut ? Sila kongsikan pendapat kalian di ruangan komen.

Sebaik sahaja makhluk itu hilang dari pandangan, aku segera berlari meninggalkan ruangan rooftop di tingkat 2 dan berlari masuk ke dalam rumah. Aku sebenarnya pernah melihat makhluk yang hampir sama sewaktu aku menginap di rumah lama ibu di Taman Sempelang. Seiingat aku, kejadian itu berlaku sewaktu aku berumur dalam lingkungan 12 tahun, malam itu aku tidur sendiri di bilik utama. Aku dengar seperti bunyi burung sedang melibas-libaskan sayapnya di dalam bilik , aku segera bangun dari katil untuk menyalakan lampu, sebaik itu juga aku lihat makhluk tersebut terbang dari ruangan closet menuju terus ke dinding dan terus ghaib begitu sahaja .

Aku yang sedang menangis ketakutan segera berlari ke luar mendapatkan Mummy Katie di bilik sebelah. Mustahil makhluk tersebut adalah burung, kerana bilik tertutup rapat dan tiada ruang langsung untuk apa-apa binatang keluar masuk. Apa yang berbeza ialah makhluk yang aku lihat di penthouse adalah besar berbanding yang aku lihat di rumah Taman Sempelang yang mana saiznya adalah lebih kecil, seperti saiz handkerchief sahaja.

Banyak lagi sebenarnya kisah mistik yang aku pernah alami sewaktu tinggal di Taman Sampelang, rumah ibu di Taman ini terletak betul-betul dihadapan jalan raya utama yang menuju ke Tanjung Aru, tidak jauh dari rumah ini adalah kawasan perkuburan Islam manakala di lot sebelah kanan rumah pula adalah banglo tinggal yang dipenuhi semak samun, telah ditinggalkan kosong lebih daripada 13 tahun, sebenarnya banglo tinggal ini bukan sahaja menjadi sarang penagih tetapi juga menjadi tempat tinggal kepada pelbagai makhluk lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, jika ada peluang aku akan kongsikan kisah misteri yang aku dan pekerja pernah alami di rumah ini pada entry yang lain pula.

Makhluk berwarna hitam itu adalah antara pengalaman paranormal pertama yang aku alami di rumah baruku. Banyak lagi kisah-kisah lain. Antaranya ialah kemunculan entity wanita misteri yang sering memunculkan dirinya dari luar tingkap. Penthouse aku terletak di tingkat 3 , bangunan rumah aku ni ada 5 tingkat keseluruhannya. Ruangan makan rumah menghadap ke jalan raya utama yang menghubungkan Sembulan, Bandar KK dan juga Putatan. Selalu berlaku kemalangan maut di persimpangan empat ini, sepanjang aku tinggal di sini beberapa kali juga aku melihat kemalangan ngeri terjadi, jalan ini juga saban hari menjadi laluan utama ambulans untuk menuju ke beberapa hospital utama seperti Hospital Queen Elizabeth dan Gleanegles yang terletak tidak jauh.

Berbalik pada kisah entity misteri tadi, wanita misteri ini sering memunculkan dirinya dalam bentuk bayangan dan bukan secara penampakan terus. Maksud aku, aku Cuma boleh melihatnya melalui refleksi dari cermin seperti cermin tingkap, pintu, cermin cabinet dan juga juga cermin mekap. Pernah satu malam, ketika itu aku sedang duduk menikmati makan malam dan aku duduk berhadapan dengan tingkap yang menghadap terus ke bandar KK. Aku boleh lihat jelas bangunan Imago Mall dan KK Times Square dari situ. Sengaja aku biarkan langsir terbuka kononnya ingin menikmati pemandangan malam, bandaraya KK yang bermandikan cahaya lampu.

Sedang aku sibuk makan, aku terpandang sekilas ke arah tingkap, di situlah entity tersebut memunculkan dirinya buat pertama kali. Entiti itu menyerupai seorang wanita berbangsa cina yang rambutnya lurus panjang paras bahu, rambut hitamnya kelihatan sungguh halus tidak seperti hantu yang dimomokkan di kaca tv yang rambutnya kusut masai menggerbang. Keadaan fizikal entity wanita itu langsung tidak menakutkan, penampilannya seperti manusia biasa, dia memakai gaun tidur satin berwarna putih paras lutut, badannya kurus, kulitnya berwarna sangat pucat, bibirnya pula biru kehitaman. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang ekpressi dan aku anggarkan entiti ini berumur dalam lingkungan 20 tahun. Aku alihkan pandangan ku dari makhluk ini dan teruskan makan seperti biasa.Apabila aku pandang semula kea rah tingkap, wanita itu sudah ghaib. Sejak kejadian itu, entity itu kerap kali muncul menunjukkan dirinya pada aku.

Kejadian kedua pula agak menyeramkan, waktu itu lebih kurang jam 6 pagi aku sedang bersiap untuk pergi ke pejabat. Tiba-tiba sahaja koleksi lipsticks Chanel ku yang tersusun rapi di atas rak berguguran di atas lantai. Sedang aku tunduk mengutip lipsticks , di situlah aku terlihat entity wanita tersebut sedang berdiri memandang aku dari cermin mekap. Apabila aku pandang ke belakang, entity itu tiada pula, bila aku pandang semula ke cermin, entity itu masih berdiri. Aku abaikan sahaja, bagi aku asalkan makhluk itu tidak menggangu aku pun sudah cukup.

Ganguan entity misteri ini tidak hanya berhenti di situ. Beberapa minggu sebelum PKP dilaksanakan, lebih kurang jam 8 malam, aku sedang bersiap-siap ingin keluar dinner bersama Mathew di Sutera Harbour Resort. Aku sibuk membelek-belek kasut tumit tinggi yang tersusun rapi di atas cabinet kaca, saat itulah entity misteri tersebut muncul, kali ini ia membelakangi ku, hanya rambut panjang dan gaun putih nya sahaja yang kelihatan jelas dari cermin cabinet. Ia perlahan-lahan berlalu pergi menuju ke pintu bilik stor yang terbuka. Pergerakannya agak pelik tapi perlahan, dia bukan berjalan seperti manusia biasa, sebaliknya terawang-awang seakan terbang, kakinya langsung tidak mencecah lantai. Meremang juga bulu roma ku pada waktu itu, apa lagi teruslah aku berlari ke bawah, kebetulan Mathew memang sedang menunggu aku di dalam kereta.

“ Are you okay ? Why u look so pale?” Kata Mathew kepada ku. “Im okay, im fine.” Jawabku dengan nafas yang masih tercungap-cungap kerana berlari turun tangga tadi, aku Berjaya berlari turun tanpa terjatuh meski sedang memakai kasut tumit tinggi empat inci. Hahaha.

“Are u staying alone in the penthouse right? Anyone come for a visit ?”. Soal Mathew, raut wajahnya kelihatan serius.“Errrr … yes Im alone .. Bibik only come on Wednesday and Saturday. Whats wrong sayang ?” Balasku dengan nada kehairanan. Entah-entah Mathew menuduhku membawa pulang lelaki lain ke rumah.

Sebenarnya malam itu, sewaktu Mathew sedang menunggu aku di ruangan parking di tingkat bawah, dia secara tidak sengaja terpandang keatas unit penthouse ku, dari tingkap ruang tamu itu dia melihat ada seorang perempuan sedang berdiri memandang dirinya, hanya bayang-bayang wanita itu saja kelihatan di sebalik langsir .Dia tahu wanita itu bukan aku kerana badanku sedikit “chubby” sedangkan wanita itu kurus. Mathew tahu aku tinggal bersendirian, bahkan aku juga bukan jenis yang suka membawa orang lain pulang ke rumah.

Apabila dia cuma mengamati semula, wanita itu tiba-tiba sahaja hilang dari pandangannya. Aku ceritakan semua kejadian misteri yang pernah menimpa aku di penthouse ini dan dia mencadangkan agar aku buat upacara “pembersihan” . Mathew meskipun berbangsa Cina dan berasal dari Pulau Pinang, dia seorang yang “Supersitious” dan mempercayai hal-hal ghaib. Menurutnya, aku boleh cuba acara pembersihan mengikut ajaran Islam terlebih dahulu, sekiranya gagal dia bersedia untuk membawa aku berjumpa dengan seorang Sami di sebuah tokong yang dia selalu pergi untuk bersembahyang.

Tiba-tiba sahaja aku teringat akan Tok Man, perawat Islam yang pernah melakukan upacara pembersihan di Banglo Kingfisher dahulu. Mungkin aku boleh cuba hubungi dia terlebih dahulu dan cuba dapatkan pandangannya. Untuk sementara waktu, Mathew ada memberikan aku dua cermin berbentuk octagon, cermin ini dipanggil dengan nama “Bagua Mirrors”, aku kurang pasti dengan apa fungsi sebenarnya, tetapi Mathew menggantungkan cermin ini di atas pintu utama rumah dan satu lagi degantungkan di atas pintu menuju ke rooftop. Menurutnya, cermin ini digunakan dalam Feng Shui untuk menghalau tenaga negatif seperti roh-roh jahat dari memasuki kawasan rumah.

Aku rasa cukup dululah cerita yang ingin aku kongsikan kali ini. Aku akan sambung kisah-kisah misteri dan paranormal yang aku alami sepanjang aku tinggal di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu. Untuk pengetahuan para pembaca, aku tidak mempunyai deria keenam, namun aku hairan kenapa entity-entiti paranormal ini sering memunculkan dirinya di depan aku. Jika berkesempatan dan mendapat feedback yang baik dari pembaca, di entry lain nanti aku akan kongsikan kisah dimana aku telah melanggar “sesuatu” di jalanraya yang berhadapan dengan Imago Shopping Mall, penampakan kepala wanita di dasar kolam serta kisah-kisah lain lagi. Yang paling ekstrem sekali adalah ganguan paranormal yang berlaku di Penthouse milik ibu yang terletak di Tingkat 13, di sebuah apartment terkenal terletak di Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Unit apartment yang ibu beli ini memiliki sejarah ngeri, seorang wanita berbangsa Cina pernah m**i menggantung diri di ruang tamu. Selain dari itu, apartment ini juga menyaksikan banyak kes-kes kematian yang mengerikan seperti kes-kes terjun b***h diri, kanak-kanak terjatuh dari bangunan, kes b***h m**i ditembak dan sebagainya.

***Semua kisah yang aku tulis ini adalah kisah benar yang berlaku dalam hidup aku. Percaya atau tidak, bergantunglah kepada para pembaca untuk menilai sendiri. Siapa aku dan siapa ayah aku ? Biarlah menjadi rahsia kerana apa yang penting adalah jalan cerita yang ingin aku sampaikan dan bukan tentang siapa ahli keluarga aku. Aku juga bukanlah seorang yang kaya raya, yang berduit itu Cuma ayah dan ibuku, memang hidup kami Nampak sedikit mewah, tapi hutang di bank juga banyak begitu juga dengan komitmen-komitmen lain. Aku Cuma seorang perempuan biasa, yang menumpang kesenangan orang tua ku. Aku juga harus keluar bekerja seperti orang lain dan bukan hanya duduk goyang kaki menunggu orang tua “Bank-in” duit ke akaun setiap minggu.

Sekian, terima kasih kerana kerana sudi membaca hasil penulisan aku yang tidak seberapa.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Borneo Loner

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

10 thoughts on “Entiti-entiti di tengah Bandaraya Kota Kinabalu”

  1. Mukadimah awal terlalu panjang & meleret… intro pasai rumah terlalu panjang berserta detail2 rumah..rasanya x pyh kot..pmbaca nk baca kisah seram bkn kisah rumah mewah berserta menteri2 & ahli2 politik yg pernah pergi mkn kt rumah…😂😂😂 .. 1 lgi last prenggan pasal “siapa saya & ayah saya” tu x pyh tulis kalau x mau bagitau… adoiii…cerita pasal ko x kaya n mak bapak ko yg kaya tu pun x patut ko tulis.. cerita pasal rumah mewah,barang2 branded,apooo??? Kisah seramnya pun x sampai..ke ko nak crita pasai ko kaya?? 🤣🤣🤣…cerita mcm syok sndri ja.. sori awak,perbaiki pnulisan di masa akn datang…

    Reply
  2. Hey sis I’m Cilla… I’m like somuch jalan cerita anda..is so Good agar terang untuk memahami
    Anda karang dengan bagus… First time saya baca kisah sis
    Saya dapat nilai serba sedikit dari kisah benar sis ini… Benda halus ini mukin bukan dari rumah… Tetapi rasa saya ia ikut sejak anda kecil lagi… Hijab anda mukin terbuka pasal itu sis boleh nampak dan diganggu olehnya
    Sis Cuba pegi berubat dengan dukun .. ataupun pasang lagu DOA. Sebagai cadangan nya😇

    Reply
  3. Satu je aku nk cakap ko ni islam ke apa…main tibai je benda yang agama lain guna….kisah ko ni buat aku istigfar banyak kali je….belajar islam secara mendalam….ko kurang sgt mendalami agama…nasihat aku pelajari agama sebaiknya…sedih aku ada lagi orang yang macam ni…ingat jangan mensyirikkan Allah dengan benda yang digunakan agama lain…

    Reply
  4. Cikmook_penang, kalau awk nak tau.. Mmg penulis ni akn ulang2 cerita pak menteri, hartanah n kemewahan dia pd setiap cerita. Siap soh teka siapa bapa dia.. 🤭 Lynkn jela.. Part2 xperlu,lg byk dari isi cerita. Lg 1,sy msih la tertanya2 penulis ni beragama/bangsa ape ye..tp xperlu jwb pon, sy cuma nak baca cerita. Thanks penulis..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.