#ESTODANIA: Pulau Mistik

SELAMAT DATANG KE ESTODANIA. Kota manusia dan jin hidup bersama. Kisah Estodania, saya muatkan beberapa kisah yang ada dalam Al-Quran, sedikit Israiliyat, sedikit juga daripada kisah dongeng dan mitos rakyat. Sedikit lagi daripada kisah sejarah yang ada. Kadang-kadang, sumber saya akan kongsi di ruangan page saya. Fakta mungkin sedikit tersasar. Kalau ada pembaca yang perasan kesilapan saya lakukan, jangan segan-segan tegur di ruang komen. After all, Estodania ini sekadar fiksyen acah-acah epik, acah-acah thriller.

Agak lama menyepi. Jujurnya, saya tidak menyangka hidup akan terlalu sibuk saat ini. Memandang serious kepada rezeki sehingga korbankan masa sendiri. Kali ini kita cuba kembali. Pengembaraan yang ada setakat ini dalam dunia Estodania… sekadar refreshment kerana kita sudah lama sepi..

2018 : 1. Ayyan dan Pales dipulau misteri. Delustar dan Tim Timmy masih hilang.

Faris dan Cilinaya diserang Niyang Ropek di Kepulauan Gili.
Apokalips Esramudra.
2015 : 1. Farihah (Nilakendra) berusaha menjatuhkan Estodania.

Sultan Aminuddin ke Kepulauan Gili menyiasat kisah Mandalika.
… Jom sambung mengembara di Alam Estodania.

.

ESTODANIA (BAHAGIAN 10) : Pulau Mistik.

.

Awal Januari 2015, Estodania.

.

MATA Farihah terbuntang sedikit. Tersedak perempuan itu sehingga terbatuk-batuk. Jantungnya berdegup kencang seperti hendak terkeluar dari dalam tubuhnya. Peluh dingin mula memenuhi segenap tubuh. Apakah Sultan Iltizam sudah mengetahui identiti sebenarnya?.

“Siapa, tuanku?” Farihah bertanya.

“Nilakendra,” jawab Sultan Iltizam sambil memandang tepat ke anak mata Farihah.

“Dari mana tuanku dengar nama itu?” tanya Farihah lagi.

“Apakah kamu sedang berdalih daripada menjawab soalan beta?!” Sultan Iltizam meninggikan suaranya.

“Bukan begitu maksud patik, tuanku. Nama itu sepertinya patik pernah mendengarnya. Dek kerana itulah patik bertanya lagi. Sekadar meminta kepastian,” Farihah masih berusaha keras cuba menutup kebenaran dirinya.

“Nama itu tercatat dalam kotak hitam kamu itu,” jawab Sultan Iltizam sambil memuncungkan bibirnya ke arah kiri Farihah.

Farihah menoleh ke arah kirinya. Matanya menangkap tampak kotak pandora pemberian Bentara Lukhas sedang terkuak di atas katilnya. Bunga putih yang berduri itu terpampang jelas. Pada penutup kotak pandora tersebut, kata NILAKENDRA terukir kemas daripada dakwat berwarna emas. Terkejut bukan kepalang Farihah apabila melihat tulisan nama itu. Seingatnya, sebelum ini tidak ada langsung ukiran-ukiran huruf pada penutup kotak tersebut. Apa maksud ukiran nama ini? Adakah ini petanda daripada Bentara Lukhas yang cuba untuk menghubunginya? Lebih malang, ukiran nama itu muncul ketika Sultan Iltizam sedang bertemu dengannya. Malang!

“Farihah, beta sedang bertanya kepada kamu ini? Apa yang kamu menungkan?” tanya Sultan Iltizam apabila melihat Farihah hanya mendiamkan diri sambil memandang kotak hitam di atas katilnya itu.

“Err.. maaf tuanku. Patik juga tidak tahu siapa Nilakendra,” bohong Farihah.

“Jika kamu tidak tahu. Bagaimana nama itu boleh tercatat dalam kotak kamu? Kotak hitam itu kepunyaan kamu bukan??” asak Sultan Iltizam lagi dengan soalan. Keningnya diangkatkan sedikit, tanda tidak berpuas hati.

“Ya., kotak ini milik patik. Tetapi sebelum ini nama itu tidak ada di situ, tuanku. Atau mungkin patik yang tidak perasan kewujudannya,” kali ini Farihah berkata jujur tanpa memuntahkan keseluruhan kisah sebenar. Sultan Iltizam hanya mampu menarik nafas panjang sambil berpeluk tubuh mendengar jawapan Farihah itu. Sudah sering kali jawapan yang dia berikan tidak dapat memuaskan hatinya.

“Tidak mengapalah Farihah. Kami pergilah berehat. Jangan difikirkan sangat masalah suami kamu itu. Anggap sahajalah jodoh kamu dengan dia sudah selesai. Kelak kamu dah sihat, jangan lupa laksanakan tanggungjawab kamu di sini sebagai Fuqaha. Kalau tidak, kamu beta akan hantar kembali ke Kampung Pagung,” ujar Sultan Iltizam akhirnya.

“Boleh patik melawat Tuanku Permaisuri sekarang?” tanya Farihah. Terkebil-kebil matanya mengharapkan jawapan Sultan Iltizam.

“Usai zohor kamu pergilah melawat Permaisuri. Medicakk sedang menjaga permaisuri di sana. Sedekahkan Al-Fatihah untuk adinda beta. Semoga dia segera sihat.” Sultan Iltizam memberi kebenaran. Dalam kotak mindanya, dia sudah menyusun strategi untuk merungkai rahsia yang disembunyikan oleh Farihah itu.

“Terima kasih, tuanku. Patik mohon untuk beransur,” ujar Farihah dengan nada yang riang. Lagaknya sedikit terkinja keseronokan. Sungguh, lagak Farihah sangat berbeza dengan fuqaha-fuqaha wanita sebelum ini. Padahal dia adalah cucu Imam Syahriyan. Sepatutnya, lagaknya lebih muslimah berbanding yang lain. Apakah Imam Syahriyan tersalah mendidik Farihah? Apa mungkin Imam Syahriyan berat sebelah dalam memberi kasih sayangnya kepada kedua-dua cucunya? Tidak mengapa, kelak apabila cucu lelaki Imam Syahriyan bertugas di sini, dia akan bertanya tentang kisah lalu Farihah.

Sultan Iltizam kembali ke ruangan rahsia istana. Mod Labirin Istana telah dimatikan. Kamar Farihah juga telah diletakkan kembali ke tempatnya. Sultan Iltizam sedang duduk memandang hologram istana yang terpusing-pusing di atas meja maya ruang tengah bilik tersebut.

Jari-jemarinya dihayunkan di udara untuk menekan butang-butang halimunan. Setiap kali jemarinya menyentuh butang ghaib tersebut, cahaya biru kelihatan terpercik di udara. Usai menekan butang-butang yang perlu, meja maya di hadapannya berubah wujud. Replika istana segera lesap. Ruang tengah meja itu terbuka dua. Bunyi-bunyi mesin terputar-putar kedengaran dari ruang meja yang terbuka. Dari bukaan tersebut, timbullah kotak berwarna emas yang diletakkan rapi di atas rihal emas.

Sultan Iltizam mencapai kotak tersebut, seraya membuka isinya. Jilidan buku kitab suci terpampang. Satu-satunya objek konkrit yang disimpan dalam istana. Isi-isinya sudah diterbitkan dalam bentuk maya dan dimuatkan ke dalam tablet-tablet pintar. Isinya juga dimuatnaik ke dalam aksesori-aksesori manusia untuk memudahkan mereka membaca isinya. Agar tidak ada alasan lagi batasan masa menjadi punca manusia jarang membaca isinya. Buku dalam kotak emas ini, hanyalah simpanan untuk semakan jika berlaku apa-apa kemungkinan.

“Assalamualaikum, tuanku,” suara NASA kedengaran.

“Wa alaikumussalam. Ada apa NASA,” tanya Sultan Iltizam. Dia sedikit pelik apabila NASA bersuara tanpa dia memanggilnya.

“Ada musibah apa yang melanda sehingga Nadi Estodania dikeluarkan, tuanku?” tanya NASA. Tersentak kecil Sultan Iltizam. Barulah dia menyedari bahawa NASA telah diprogramkan untuk menjaga Nadi Estodania ini. Tidak hairanlah mengapa NASA bersuara tanpa sebarang panggilan. Amanah utamanya beranomali. NASA telah diperintahkan untuk melindungi Nadi Estodania ini jika berlaku bencana di Estodania. NASA bukanlah selama-lamanya hanya wujud dalam bentuk suara. Ada jasad yang sudah diprogram untuk NASA jika berlaku detik-detik getir di Estodania.

“Tiada apa-apa NASA. Maaf, beta mengeluarkan Nadi Estodania tanpa memaklumkan kamu. Beta cuma ingin memastikan keselamatannya,” jawab Sultan Iltizam.

“Tidak mengapa, tuanku. Patik cuma melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” balas NASA.

“Terima kasih NASA,” ujar Sultan Iltizam.

“NASA, tolong cari maklumat tentang Nilakendra. Siapa dia?” titah Sultan Iltizam.

“Baik, tuanku,” akur NASA Mesin cerdas itu memang sentiasa patuh dengan pemimpin-pemimpin Estodania sejak zaman peningkatan tamadun Estodania lagi.

.

.

.

Awal Februari 2018, Laut China Selatan

.

.

LANGIT malam terlihat indah malam itu dengan taburan ribuan bintang dan bulan sabit. Kedua-dua mereka terlentang baring mengadap langit. Keris dari Esramudra masih mengeluarkan cahaya. Ayyan memanjatkan syukur kepada Allah kerana mempertemukan dia dengan Pales. Terima kasih juga kepada Allah kerana membenarkan Pales hidup di pulau itu dengan roti besar dalam beg galasnya. Keperluan perut Ayyan akhirnya dapat dipenuhi. Entah berapa keeping roti yang dilahapnya sebentar tadi. Walaupun hanya memakan roti, tetapi roti itu terasa lazat saat perut kosong. Tujuh malam tanpa menjamah makanan, terlalu azab bagi Ayyan.

“Terima kasih, Pales,” ucap Ayyan, terharu.

“Terima kasih dengan Allah, pak cik! Allah yang membenarkan pakcik hidup sehingga kini,” ujar Pales. Ayyan tersenyum dalam hati. Sebelum dia mengucapkan terima kasih kepada Pales, hatinya sudah lebih dulu mensyukuri nikmat nyawa yang Allah berikan itu. Tiba-tiba dia teringat dengan Farihah, kakaknya. Nasihat berkenaaan nyawa ini pernah Farihah berikan kepadanya dan Faris.

Suatu ketika dahulu, dia dan Faris sedang asyik bermain di kawasan laut dalam. Berenang-renang dengan riang tanpa memikirkan bahaya yang ada di bawah laut. Melompat galak dari bibir perahu sehingga perahu mereka teroleng-oleng laju.

‘Nyawa adalah lambang kekuasaan Allah yang mampu menghidupkan dan mematikan. Jadi, maksudnya kita yang hidup ini akan m**i. Sebab itulah, kita perlu menjaga nyawa kita sebaik mungkin. Jangan disia-siakan!’

Pesanan yang diturunkan daripada moyang mereka, menurut Farihah. Pesanan ini diberikan pada hari dia dan Faris lahir ke dunia. Kisah kelahiran mereka berdua bukanlah kisah yang indah. Ujian paling besar yang pernah berlaku di kampung kelahiran mereka itu.

Farihah. Kakaknya itu sudah lebih lama meninggalkan Kampung Pagung dalam berbakti kepada agama di Estodania. Namun, selepas lama di Estodania, Farihah langsung mendiamkan diri tanpa berita. Sehingga kini, Ayyan masih ragu sama ada kakaknya itu masih hidup atau tidak.

“Apa yang paling berat dalam dunia ini, Pales?” tanya Ayyan. Dia sengaja bertanya sedemikian apabila dia menyedari suasana janggal mula mengitari mereka berdua. Namun, tiada balasan daripada Pales.

“Pales?” ujar Ayyan, sambil menoleh ke kanan. Rupa-rupanya, Pales sudah tertidur kekenyangan. Wajah kanak-kanak muda itu terlihat suci di mata Ayyan. Bersendirian di pulau ini, sudah pasti Pales telah melalui bermacam-macam ujian. Namun, kanak-kanak itu masih tetap kelihatan gembira. Seolah-olah tidak ada beban di mindanya.

Ayyan mengusap-usap rambut Pales. Ada debu-debu halus berterbangan dari rambut kanak-kanak itu. Ayyan duduk lalu membersihkan pipi Pales yang comot dengan debu-debu. Dalam hati, Ayyan berasa pelik akan dari mana debu-debu tersebut. Terasa kasar seperti daripada runtuhan-runtuhan batu. Apa yang kanak-kanak ini telah lalui?

Ketika sedang asyik membersihkan debu-debu di muka Pales, tidak semena-mena air mata kanak-kanak itu menitis. Pales mula menangis teresak-esak. Ayyan menjadi kaget melihat Pales.

“Pales? Bangun Pales,” Ayyan cuba mengejutkan Pales. Namun, masih tidak ada reaksi daripada Pales.

Tubuh Pales mula bergoncang. Kanak-kanak itu sepertinya mengelepur dalam keadaan mata tertutup. Seolah-olah diserang sawan. Ayyan yang melihat keadaan itu semakin cemas. Dia cuba mengejutkan Pales sekali lagi. Namun, hasilnya masih menghampakan. Gelupur tubuh Pales semakin kuat. Ayyan hampir buntu memikirkan cara mengejutkan kanak-kanak yang baru dikenalinya itu.

Dengan tergesa-gesa, Ayyan segera mengangkat tubuh Pales. Tubuh kanak-kanak itu diletakkan dibahunya. Bahagian kepala Pales tertunduk di belakangnya. Sedaya-upaya dia cuba menahan tubuh Pales daripada terjatuh. Mujurlah anak sungai tidak jauh dari tempat mereka terbaring tadi. Ayyan tidak sempat memikirkan cara yang sesuai untuk mengejutkan Pales selain daripada menghumban kanak-kanak itu ke dalam sungai.

Sebaik sahaja mula meranduk sungai, Pales mula mencakar-cakar belakang Ayyan. Cakaran tangan Pales terasa tajam sehingga Ayyan boleh merasakan kulit belakangnya rengsa. Tanpa sengaja, Ayyan menolak tubuh Pales dan menghumban anak kecil itu ke dalam sungai.

Pales terkejut bukan kepalang. Kepalanya terpinga-pinga memandang sekeliling. Dia musykil, bagaimana dia boleh berada di dalam sungai itu. Ayyan hanya memandangnya dalam keadaan berdiri.

“Aku di mana? Aku di mana?” ujar Pales, cemas. Wajah anak kecil itu tampak ketakutan sambil meronta-ronta dalam sungai yang cetek itu.

“Pales?” Ayyan menghampiri Pales. Dia cuba memegang bahu anak kecil yang basah kuyup itu. Pales berhenti meronta sebaik sahaja Ayyan memegang bahunya. Dia memandang wajah Ayyan yang sedang duduk mencangkung di hadapannya.

“Kamu siapa?” tanya Pales. Soalan itu mengejutkan Ayyan. Pales tidak mengenalinya? Mimpi apa yang anak kecil ini alami sehingga ingatannya rosak?

“Ini pak cik, Pales. Pak Cik Ayyan,” Ayyan membahasakan dirinya sebagai Pak cik kerana Pales memanggilnya pak cik.

“Ayyan mana? Pak cik mana? Aku mana ada Pak cik! Tina mana Tina?” tingkah Pales, sekali lagi mengkagetkan Ayyan.

“Tina? Tina siapa?” kali ini Ayyan pula yang bertanya. Dia tidak pernah mendengar Pales menyebut nama Tina sebelum ini.

“Tina itu kawan aku!” Pales sudah berhenti meronta-ronta tetapi mula menangis teresak-esak. Tangisannya terasa sayu pada pendengaran Ayyan.

“Tina di mana? Sampai hati Tina tinggalkan Pales,” ujar Pales sambil menangis.

“Sabar Pales. Jangan menangis. Mari kita naik ke tebing. Tak elok jika Pales berendam lama-lama di dalam sungai. Nanti jatuh demam,” ujar Ayyan. Agak lucu bagi Ayyan menuturkan nasihat sedemikian memandangkan dia yang menghumban Pales ke dalam sungai tersebut.

Pales akur dengan kata-kata Ayyan. Tanpa dipimpin, Pales segera bangun lalu duduk di tebing sungai. Dia memeluk tubuhnya dan menggigil kesejukan. Ayyan rasa bersalah melihat Pales yang menggigil kesejukan itu. Segera Ayyan menanggalkan seragam Estodania yang dia pakai. Seragam itu diperbuat daripada kain yang agak tebal pasti mampu mengurangkan sejuk Pales. Ayyan hanya mengenakan singlet berwarna hitam. Hujung singlet itu masih dimasukkan ke dalam kepala seluar.

“Nama abang siapa?” tanya Pales. Sekali lagi Ayyan terkesima mendengar soalan tersebut. Pales kembali bertanya tentang namanya, maksudnya Pales memang betul-betul tidak ingat pertemuan mereka sebelum ini. Tetapi mujurlah Pales sudah memanggilnya dengan panggilan yang sesuai dengan umurnya.

“Ayyan. Ayyan Syahriyan,” jawab Ayyan. Dia cuba untuk mengikut alur perubahan personality Pales saat ini.

“Terima kasih Bang Ayyan sebab selamatkan saya tadi. Kalau tidak saya pasti m**i lemas,” ujar Pales. Ujaran itu kedengaran ironi bagi Ayyan. Hakikatnya, Paleslah yang membantunya dengan memberikan roti sebentar tadi. Ayyan cuba memahami situasi Pales yang mungkin trauma. Anak kecil itu pasti telah melalui pengalaman yang sangat pahit sehingga dia mengalami gangguan personality seperti ini.

“Sama-sama,” ujar Ayyan. Dia hanya memandang Pales yang sedang tunduk.

“Abang ada nampak Tina?” tanya Pales sambil mengangkat kepalanya, memandang Ayyan.

“Tidak. Abang tidak nampak siapa-siapa selain Pales. Siapa Tina?” ujar Ayyan. Jawapan Ayyan itu diterima dengan pasrah oleh Pales. Pales kembali menundukkan kepalanya, lalu menangis teresak-esak sekali lagi.

“Tina itu kawan saya. Hanya dia yang sudi menemani saya di sini,” jawab Pales.

“Pales di mana sekarang?” tanya Ayyan. Soalan itu sekaligus bertujuan untuk mengetahui nama pulau yang dia masuki itu.

“Sebenarnya, saya juga tidak pasti, bang. Cuma di tengah pulau sana, ada satu tasik yang sangat luas. Di tasik tersebut ada papan tanda yang bertulis Pauh Janggi. Mungkin itu nama pulau ini,” jawab Pales. Jawapan yang agak memuaskan hati Ayyan.

“Pales berasal dari mana?” tanya Ayyan lagi. Kesempatan ini dia gunakan untuk mengenali Pales lebih dalam. Dia yakin, dia akan terdampar agak lama bersama Pales di pulau itu.

“Astranean,” jawab Pales, pendek.

“Astranean? Di mana tu?” tanya Ayyan. Dia tidak pernah mendengar nama mukim tersebut di mana-mana bahagian Nusantara.

“Jauh ke tengah barat dunia,” jawab Pales.

“Bukan di Nusantara?” tanya Ayyan lagi. Pales menggeleng.

“Bagaimana Pales boleh sampai ke sini jika asal Pales jauh dari sini?” tanya Ayyan, musykil.

“Maksud abang? Kita sekarang di Nusantara?” tanya Pales pula. Dia tidak mengetahui di bahagian dunia mana dia sekarang. Ayyan mengangguk.

“Maksudnya Estodania tidak jauh dari sini. Kita mesti ke sana. Hanya Estodania yang dapat membantu Astranean,” Pales sedikit teruja selepas mendengar perkhabaran itu. Sebaliknya bagi Ayyan, gundah menyinggah kembali.

“Pales sudah berapa lama di pulau ini?” tanya Ayyan. Sekiranya Pales sudah lama di pulau ini, tidak hairan mengapa dia masih mengharapkan bantuan Estodania, sedangkan ketamadunan moden itu sudah hancur.

“Entah. Saya sendiri tidak pasti Bang Ayyan. Yang pasti, mungkin agak lama,” jawab Pales.

“Sekarang tahun berapa?” uji Ayyan.

“1993?” jawab Pales. Jawapan yang pastinya mengejutkan Ayyan.

“Subhanallah! Kamu sudah terlalu lama di sini, Pales!” ujar Ayyan. Kali ini, giliran Pales pula yang terkejut.

“Apa maksud Bang Ayyan?” tanya Pales. Tangisannya sudah berhenti.

“Sekarang tahun 2018, Pales. Sudah 25 tahun berlalu dari 1993,” jawab Ayyan. Jawapan Ayyan itu seperti tidak masuk akal bagi Pales. Segera anak kecil itu bingkas bangun.

“Abang jangan main-mainkan saya, bang! Jangan kerana saya masih kecil, abang ingat abang boleh tipu saya sesuka hati!” ujar Pales, marah. Ayyan ikut berdiri, sehingga menyebabkan Pales terpaksa mendongak ke atas.

“Betul, Pales. Abang tak tipu kamu,” jawab Ayyan.

“Betul? Abang tak tipu?,” tanya Pales.

“Betul,” jawab Ayyan.

“Abang bersumpah atas nama Allah, abang tak tipu?” tanya Pales lagi. Soalan itu kedengaran agak keanak-anakan bagi Ayyan. Ayyan hanya menganggukkan kepalanya.

“Kalau abang tipu, esok gigi abang akan patah!” ugut Pales. Mendengar sahaja ugutan itu, Ayyan tidak dapat menahan tawanya. Akhirnya, Ayyan tergelak mendengar ujaran dan melihat ulah Pales. Sungguhpun Pales terlihat agak matang, namun sifat keanak-anakannya masih bersisa.

“Abang kenapa ketawa?! Saya bukan buat lawaklah!” ujar Pales. Dia menolak-nolak badan Ayyan.

“Baik. Baik. Abang minta maaf. Silap abang. Cuma, reaksi kamu lucu bagi abang. Tetapi abang berkata benar. Sekarang dah 2018,” jawab Ayyan sambil menahan tolakan Pales. Pales akhirnya membungkamkan diri lalu duduk semula.

.

.

.

Awal Februari 2015, Estodania.

.

PINTU kamar dikuak perlahan-lahan. Tubuh Permaisuri Isabella masih terbujur kaku di atas katil. Medicakk pula sedang tertidur di riba permaisuri itu. Farihah melangkahkan kakinya masuk. Dia mengejutkan Medicakk.

“Medicakk,” bisik Farihah ke telinga Medicakk. Medicakk terjaga dalam keadaan mamai.

“Kamu siapa?” tanya Medicakk sambil memisat-misatkan matanya.

“Kakak kamu. Nilakendra!”ujar Farihah, membuntangkan matanya. Ujaran itu mengejutkan Medicakk. Serta-merta mata jin biru itu menjadi segar. Termundur-mundur jin tersebut sehingga terlanggar lampu meja yang terletak di hujung katil.

“Bagaimana Nilakendra boleh jumpa Medicakk di sini? Bagaimana Nilakendra boleh masuk ke Estodania?” terketar-ketar Medicakk menuturkan soalan tersebut. Farihah tergelak melihat reaksi kalut Medicakk itu.

“Ke tepi kamu! Aku tidak ada urusan dengan kamu di sini!” Farihah menghayunkan tangannya kea rah Medicak. Seperti ditolak angin, tubuh Medicak terhumban ke luar kamar. Pintu kamar itu ditutup dengan kasar. Kini, hanya dia dan Permaisuri Isabella sahaja yang berada di kamar tersebut. Akhirnya, rancangan Bentara Lukhas akan masuk ke fasa seterusnya.

Medicakk yang terjelupuk jatuh jatuh ke atas lantai menggagahkan dirinya untuk bangun. Perutnya yang sedikit memboyot ke hadapan membataskan pergerakannya. Dia menjadi takut apabila memikirkan nasib Permaisuri Isabella di dalam kamar bersama anak kesayangan pemimpin Ekrandia itu.

Tanpa berfikir panjang, Medicakk segera berlari mendapatkan Sultan Iltizam. Sultan itu harus dimaklumkan segera tentang bahana tersebut. Namun, kakinya yang pendek menyebabkan langkah Medicakk perlahan. Walaupun sudah memaksa seluruh kudratnya untuk berlari laju, langkahnya masih perlahan.

“Ahhhh!” Medicakk menjerit geram. Geram dengan keterbatasan dirinya yang berbadan pendek dan gempal. Medicak melompat-lompatkan dirinya, berusaha untuk menggunakan kelebihan apungan badan yang sudah lama dia tidak gunakan. Selepas mencuba berkali-kali, akhirnya Medicakk berjaya mengapungkan badannya. Dengan pantas Medicakk melurukan badan, mengelilingi segenap Istana untuk mencari Sultan Iltizam. Namun, sultan tersebut tidak ditemui. Medicakk akhirnya menangis ketakutan.

.

.


Saya tahu, bahagian ini sangat pendek.

Maaf.

Bahagian seterusnya, saya akan cuba panjangkan.

Bersambung lagi.

Kelak kita teruskan kembara.

Terima kasih sudi baca.

Jemput singgah di page saya. Berilah apa-apa komen dan maklum balas agar kita dapat memperbaiki penulisan ini.

#Estodania #epikthiller #fiksyensahaja #share jika bermanfaat.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

dhaifullahazzayyani

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

5 thoughts on “#ESTODANIA: Pulau Mistik”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.