#ESTODANIA: Suara Ghaib

SELAMAT DATANG SEKALI LAGI KE ESTODANIA. Kota manusia dan jin hidup bersama. Kisah Estodania, saya muatkan beberapa kisah yang ada dalam Al-Quran, sedikit Israiliyat, sedikit juga daripada kisah dongeng dan mitos rakyat. Sedikit lagi daripada kisah sejarah yang ada. Kadang-kadang, sumber saya akan kongsi di ruangan page saya. Fakta mungkin sedikit tersasar. Kalau ada pembaca yang perasan kesilapan saya lakukan, jangan segan-segan tegur di ruang komen. After all, Estodania ini sekadar fiksyen acah-acah epik, acah-acah thriller.

Pengembaraan yang ada setakat ini dalam dunia Estodania… sekadar refreshment kerana kita sudah sebulan empat hari melancong dalam dunia Estodania ini..
2018 : 1. Ayyan, Delustar dan Tim Timmy ke Tanah Emas
2. Faris, Medicakk dan Cilinaya di Kepulauan Gili
2014 : 1. Permaisuri Isabella vs Farihah (Nilakendra) di Estodania
2. Sultan Aminuddin ke Kepulauan Gili

Tahun 2017 sudah berakhir… begitu juga tahun 2014. Bahagian ini diteruskan dengan Januari 2015. Kelak akan bersambung dengan tahun 2016.. (Petaka Estodania berlaku tahun ini)… Jom sambung mengembara di Alam Estodania.

.
ESTODANIA (BAHAGIAN 8) : Suara Ghaib
.
Awal Januari 2018, Esramudra.
.
“TASIKNYA bukan di daratan, tetapi pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah jauh ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya. Singgahsananya Pentala Naga. Kalau si lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa. Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur.”

Ayyan membuka matanya yang terpejam. Telinganya menangkap alunan lagu gemersik saat dirinya sedang tenggelam di dalam laut. Gemersik lagu seperti dilagukan oleh seorang nenek tua. Sebentar tadi, tubuhnya terhempas jatuh dari udara ke dalam laut. Kali terakhir, dia merasakan badannya disedut masuk ke dalam pusaran hijau selepas tubuhnya ditarik oleh Penjaga Pintu Utara Esramudra.

“Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah jauh ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya. Singgahsananya Pentala Naga,”

Lagu itu kembali kedengaran. Lenggok alunan lagunya terasa gemalai. Ayyan tertoleh-toleh ke kiri dan kanan. Cuba mencari empunya suara tersebut. Namun, sekelilingnya terlihat kosong dan kelam. Hanya buih-buih kecil yang terhasil daripada deruan ombak itu. Ayyan segera menolakkan badannya ke permukaan laut tatkala merasakan nafasnya semakin tersekat. Dia menimbulkan diri untuk menggantikan oksigen dalam paru-parunya.

Tercungap-cungap Ayyan tatkala kepalanya timbul di permukaan laut. Bentangan laut yang luas rupanya tidak setenang bahagian dalamnya. Tubuh Ayyan terumbang-ambing mengikut rentak ombak. Teroleng-oleng tubuhnya di tolak ke arah barat.

“Delustar!!!”

Ayyan memekik sekuat hati memanggil sahabat jin yang ghaib bersamanya dari Esramudra apabila dia menyedari hanya dia sendiri yang sedang terapung di luat yang luas itu.

“Delustar!!” panggil Ayyan lagi.

“Penjaga!” Ayyan tidak sempat bertanya siapa gerangan nama Penjaga Pintu Utara Esramudra yang telah membawanya ke permukaan laut itu. Dia menoleh ke kiri dan kanan dengan penuh pengharapan dia akan melihat tubuh rakan-rakannya itu. Tetapi, hampa. Hanya gulungan-gulungan ombak yang tinggi mencemari pandangan. Gulung-gulung ombak yag setiap hujungnya ada buih putih. Tinggi dan terlihat ganas. Jika dilihat dari jauh, pasti jasad Ayyan tidak kelihatan.

Sebaik sahaja menyedari dirinya bersendirian, rasa takut mula mengembang dalam benak Ayyan. Otaknya ligat membayangkan perkara bukan-bukan. Bagaimana kalau nanti kelaknya dia akan dibaham oleh ikan jerung? Laut China Selatan itu amat berbahaya dalam pengamatan Ayyan. Saat itu, mindanya segera dipasakkan agar berserah dengan takdir Allah. Dia mula bersedia sekiranya ajal menemuinya di dada Laut China Selatan itu. Terselamat daripada serangan ular bertanduk di Esramudra nampaknya masih tidak menjauhkan dirinya daripada ajal. Maka benarlah yang dicatatkan dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 16:

“Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja.”

Ayyan pasrah lalu memejamkan matanya. Dia membiarkan dirinya terapung, tanpa melawan gulungan ombak. Dia membiarkan dirinya hanyut mengikut arah pukulan ombak. Dia mensyukuri kesempatan yang Allah berikan untuk dia bertaubat daripada kelalaiannya di Esramudra sebulan yang lalu. Dia bersyukur jika Allah mentakdirkan dirinya m**i saat dia masih menganuti Islam. Sesungguhnya, itu adalah salah satu nikmat yang Allah berikan. Perlahan-lahan, Ayyan melafazkan syahadah dan tasbih memuji keesaan Allah. Mindanya diarahkan untuk memainkan rakaman ayat-ayat Al-Quran yang masih tersisa dalam ingatannya. Sungguh tajwidnya dia ragui, tetapi itu lebih baik daripada tidak mengingati Al-Quran langsung. Sekali lagi dia mensyukuri nikmat Allah kerana membenarkannya menghafaz beberapa surah sebelum Al-Quran itu diangkat ke langit melalui kehancuran teknologi Estodania.

‘Estodania! Mengapa lalai jadi Islam?’ gumam Ayyan di dalam hati. Dia sedikit rasa pilu apabila mengenangkan bangsa-bangsa seagamanya itu telah tenggelam dalam pemodenan yang dicanangkan oleh kerajaan Estodania. Bukanlah mereka bercadang menyesatkan manusia, cuma rakyat Estodania sahaja yang lalai mengemudi pemodenan yang disajikan. Memanglah sifat manusia itu tidak sempurna. Buktinya, sudah ramai Nabi dan Rasul yang Allah utuskan untuk membetulkan kembali tauhid manusia. Manusia kini, enggan berkorban demi agamanya. Tidak seperti Nabi Ibrahim A.S. yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail A.S. demi memenuhi firman Allah. Sedangkan kelahiran Nabi Ismail itu sangat dinantikan oleh Ibrahim.

“Astaghfirullah!” Ayyan segera membukakan matanya lalu terpandang kepulan awan putih di langit. Muhasabah tentang pengorbanan Nabi Ibrahim itu segera mengingatkan dia kepada Surah Al-Hijr, Ayat 56.

“Nabi Ibrahim berkata: ‘Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat’.”

Terselamat daripada kematian di Esramudra sebenarnya salah satu rahmat Allah! Dan dia hampir berputus asa menyelamatkan diri apabila Allah mengujinya, terkandas seorang diri di atas laut ini. Segera, istighfar Ayyan lanjutkan di dalam hati. Dia enggan menggolongkan dirinya ke dalam golongan yang sesat seperti yang disabdakan oleh Nabi Ibrahim dalam Surah Al-Hijr itu. Matanya dengan cekap dipicingkan memerhatikan persekitarannya. Andai benar, terselamat dari Esramudra itu salah satu rahmat Allah, pasti Allah akan menurunkan bantuan. Cuma, dia pada awalnya tidak perasan dengan kewujudan bantuan Allah itu.

“Alhamdulillah,” munajat Ayyan sebaik sahaja matanya terpandang sebatang tiang kuning sedang terlambung-lambung mengelak daripada dihanyutkan ombak. Boya Tsunami!. Ayyan mengenali struktur tiang itu. Dia pernah menemukan salah satu boya seperti itu di Laut Sulawesi dulu. Pada pengamatan Ayyan, dia hanya perlu berenang lebih kurang seratus meter untuk sampai ke boya kuning tersebut. Namun, keadaan permukaan laut yang bergelora, pasti akan menyukarkannya. Bawah permukaan laut! Sedikit tenang berbanding permukaannya. Ayyan akhirnya nekad menyelam ke dalam laut kembali lalu alunan lagu gemalai menyeru Pentala Naga kedengaran kembali. Ayyan mengabaikannya kerana dia yakin, Allah sedang bersamanya saat itu. Sesungguhnya, Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya. Hanya manusia yang sering terlupa bahawa Allah selalu bersama mereka tidak kira masa dan waktu.
.
.
.
.
Awal Januari 2018, Kepulauan Gili.
.
MEREKA menyusuri semak-samun dalam barisan. Payung-payung alam daripada rimbunan dedaunan pokok gergasi meneduhi perjalanan belantara mereka. Sesekali, langkah mereka terhenti dek halangan urat-urat hutan yang menjalar membataskan laluan. Agas-agas dan nyamuk tidak pernah sunyi menemani mereka. Kadang-kadang, sahutan beburung hutan saling bertingkah menjadi muzik alam yang menghiburkan tetapi sedikit menyeramkan.

Medicakk acap kali hilang dari pandangan mata meninggalkan mereka berdua, lalu kemudiannya muncul semula di barisan hadapan untuk memberi laporan kepada Faris. Cilinaya hanya memerhatikan mereka berdua. Faris yang berjalan di hadapannya kurang minat untuk berbual-bual dengannya. Kotak berwarna emas telah dimasukkan ke dalam beg galas lelaki itu. Sungguhpun tidak mengetahui isi kotak tersebut, tetapi Cilinaya pernah dimaklumkan bahawa kotak emas itu akan menamatkan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah baharu Estodania.

“Kita sebenarnya hendak ke mana?” tanya Cilinaya. Dia mula muak berjalan lambat mengikuti langkah Faris. Ditambah lagi dengan rasa rimas dengan gigitan nyamuk.

Faris berhenti melangkah. Dia memalingkan badannya ke belakang, memandang Cilinaya. Perempuan berambut perang itu kelihatan penat. Wajahnya yang putih tampak comot dek tanah.
“Entah,” jawab Faris, sepatah. Kemudian dia berpaling ke hadapan semula lalu kembali meneruskan langkah. Cilinaya melepaskan keluhan nafas. Dia sangat hampa dengan jawapan Faris itu. Adakah lelaki yang dia ikuti ini tahu hala tujunya atau tidak? Atau mungkin dia juga sesat sama seperti beberapa hari yang lalu.
“Memang benar. Faris tidak tahu hendak menuju ke mana,” ujar Medicakk yang tiba-tiba muncul di sebelah kirinya. Jin biru itu sedang bertiarap dalam keadaan terapung. Cilinaya sedikit terkejut akan kehadirannya. Lebih mengejutkan apabila jin biru itu dapat mendengari getusan hatinya.

“Kamu boleh terbang?” tanya Cilinaya. Dia memandang Medicakk yang sedang terapung di sebelahnya. Medicakk menganggukkan kepalanya laju-laju sehingga balung panjang di kepalanya beralun-alun.

“Lalu mengapa kamu tidak terbangkan kami sahaja? Agar kita segera keluar dari hutan ini?!” ujar Cilinaya. Suaranya sedikit meninggi kerana perasan teruja. Dia mula membayangkan dirinya terbang di udara.

“Medicakk hanya mampu terbang dengan bantuan angin. Medicakk tidak tahu bagaimana jadikan manusia terbang,” ujar Medicakk. Wajahnya masih terlihat polos. Pada pengamatan Cilinaya, jin itu agak dungu. Atau mungkin kerana jin itu masih mentah dan tidak tahu menggunakan kuasanya lagi.

“Kamu pasti boleh. Apa kata kita cuba?” desak Cilinaya.

“Tidak perlu!” Faris tiba-tiba membantah. Entah sejak bila lelaki itu berpaling ke belakang memandang mereka. Cilinaya tersentak mendengar suara kasar lelaki itu. Mata mereka saling berpandangan. Faris sedang memandangnya dengan tajam.

“Kita bukan Solomon yang sesuka hati memberi arahan kepada jin,” sambung Faris. Kali ini nada suaranya dilembutkan. Kemudian Faris kembali meneruskan langkahnya meranduk semak-samun, membiarkan Cilinaya terpinga-pinga. Medicakk hanya mengangkat bahunya lalu meluru laju mendekati Faris.

“Solomon? Raja Solomon ke?” ujar Cilinaya. Dia segera berlari mengejar mereka.

“Faris! Macam mana kamu tahu tentang Raja Solomon?” tanya Cilinaya sebaik sahaja dia menghampiri Faris. Dia memegang bahu Faris. Dengan pantas menguiskan bahunya untuk meleraikan pegangan Cilinaya.

“Jika kamu ingin bertanya sesuatu, tidak perlu menyentuh tubuh seperti itu!” ujar Faris dengan nada yang keras.

“Maaf,” Cilinaya sedar akan kesilapannya itu. Sungguhpun dia sudah terbiasa hidup dalam lingkungan orang Islam, namun dia masih gagal memahami norma muslim itu.

“Kenapa?” tanya Faris.

“Kamu kenal Raja Solomon?” tanya Cilinaya.

“Tidak,” Faris menjawab sepatah. Sekali lagi jawapannya menyebabkan Cilinaya hampa.

“Jadi, tadi kamu menyebut namanya kenapa?” Cilinaya meminta kepastian.

“Tidak ada apa-apa,” jawab Faris lagi lalu meneruskan langkahnya. Medicakk yang dari tadi hanya memerhatikan mereka mengikuti Faris.

“Faris! Mengapa kamu dingin sangat?!” bentak Cilinaya. Dia geram melihat sikap Faris yang acuh tak acuh dan semacam tidak menyenangi kehadirannya di situ. Jika benar Faris tidak menyenanginya, mengapa Faris mempelawanya menyertai mereka.

“Diam!” ujar Faris kasar. Faris berhenti melangkah. Jari telunjuk kanannya diletakkan di tengah bibir.

“Aku tanya soalan pun kamu arahkan diam? Kamu tak suka aku mengikuti kamu ke?!” asak Cilinaya lagi dengan soalan.

“Diam aku kata!” ujar Faris lagi. Suaranya dikecilkan dengan nada yang masih kasar.

“Baiklah. Aku faham kamu memang tidak suka aku mengikuti kamu. Good bye!” ujar Cilinaya lalu menoleh ke belakang. Hajatnya, dia ingin meninggalkan Faris dan sahabat jinnia itu. Tiada guna dia menyertai mereka jika Faris sendiri tidak menyenangi kehadirannya. Namun, langkahnya terhenti apabila Medicakk menjelma di hadapannya.

“Jangan pergi. Jangan banyak bunyi. Cuba diam dan pasang telinga,” ujaran Medicakk itu kedengaran menyeramkan. Sikap Medicakk sangat kontra dengan dirinya sebelum ini yang kelihatan dungu. Kali ini dia tampak matang sikit. Balung biru di bahagian belakang dan kepalanya juga bertukar kepada warna hitam.

“Kembali dan diam!” sambung Medicakk. Kali ini anak mata jin biru itu turut bertukar hitam. Cilinaya yang agak ketakutan segera mendapatkan Faris yang sedang berdiri tegak memasang telinga. Sebenarnya, sejak tadi lagi Faris dan Medicakk terdengar suara perempuan yang sedang bersenandung dalam bahasa yang mereka tidak fahami.

Medicakk turut menghampiri Faris. Jin biru itu segera mendarat di bahu kanan Faris. Duduk bertenggek. Balung dan anak matanya masih berwarna hitam tanda pengamatannya semakin ditajamkan.

“Dengar,” ujar Faris dengan nada perlahan sebaik sahaja Cilinaya tiba di sampingnya. Sayup-sayup kedengaran suara nyanyian seorang perempuan. Lagu yang didendangkan oleh perempuan itu tidak difahami langsung oleh mereka.

“Lingsir wengi sliramu tumeking sirno
Ojo tangi nggonmu guling
Awas jo ngetoro
Aku lagi bang wingo wingo
Jin setan kang tak utusi
Dadyo sebarang
Wojo lelayu sebet”

“Faris, siapa itu?” Cilinaya berbisik, takut. Dia mendekatkan dirinya kepada Faris. Tidak mempedulikan sama ada lelaki itu marah atau tidak. Yang pasti dia cuba mengurangkan rasa takutnya itu. Faris hanya mendekatkan jari telunjuknya ke bibirnya, tanda isyarat meminta dia diam.

Suara nyanyian itu pada awalnya kedengaran agak jauh lalu kemudiannya mula mendekat. Medicakk mula menggeram seperti seekor kucing yang sedang marah. Terpacak-pacak balung jin itu yang sudah bertukar kepada warna hitam.

“Tenang Medicakk,” pujuk Faris. Dia memahami Medicakk yang sedang dalam keadaan siaga. Setelah dua tahun berkelana bersama jin itu, dia semakin mahir memahami bahasa tubuhnya. Jin itu memiliki iman yang sangat rapuh. Kelak jika tanpa pengawasan, kelak dia akan terjerumus ke kancah kejahatan.

Tiba-tiba, kedengaran suara hilai tawa perempuan mengitari mereka. Hilai tawa itu kedengaran bergerak mengelilingi mereka. Medicakk semakin agresif. Dia yang tadinya bertenggek di bahu Faris, mula memasang kekuda tanda bersedia untuk melompat. Kepala Medicakk terpusing-pusing memandang sekeliling mengikut arah hilai tawa itu.

“Ingat Allah, Medi. Tenang!” Faris mula mengeraskan suaranya. Dia menyedari keralatan dalam tingkah Medicakk itu. Dua tahun bersamanya, ini kali pertama dia melihat Medicakk marah sedemikian rupa.

Medicakk tidak mempedulikannya. Sebaliknya, Medicakk mula mengaum ganas. Bahagian mulutnya mula memuncung membentuk mulut serigala. Sewaktu dengan itu, suara hilai tawa tadi semakin galak dan berhenti di atas mereka. Faris mendongak ke atas. Cilinaya pula menundukkan kepalanya. Cilinaya sudah sangat rapat dengan tubuh Faris. Lengan baju lelaki tersebut digenggam erat.

“Anakanda sudah dewasa. Sudah bijak menyebar kelana,” kedengaran bergema suara ghaib diikuti dengan bunyi kucupan dan hilai tawa. Usai lesapnya suara itu, tubuh Medicakk terjelopok jatuh dari pundak Faris lalu terhempas ke tanah.

Medicakk mengerang kesakitan. Balung dan anak matanya kembali bertukar biru. Faris segera menundukkan dirinya dan diikuti oleh Cilinaya. Faris mengangkat tubuh Medicakk.

“Medicakk sakit,” rengek Medicakk sambil memegang dahinya. Faris cuba menenangkan Medicakk. Dia mengalihkan tangan Medicak dari dahinya kerana dia bercadang untuk meniup dahi jin itu. Alangkah terkejutnya Faris apabila melihat ada kesan bibir berwarna merah tepat di tengah-tengah dahi Medicakk. Faris cuba memadam kesan bibir tersebut, tetapi gagal.

“Andai kamu sayang nyawa kamu, serahkan kotak itu!” kembali kedengaran suara ghaib dari atas mereka. Seolah-olah empunya suara itu sedang bertenggek di atas pokok.

“Faris, Medicakk sakit!” ujar Medicakk sambil menangis. Tangan kanannya kembali memegang dahinya. Melihat keadaan itu, peluh-peluh halus mula membasahi dahi Faris. Bulu roma tengkuknya yang dari tadi sudah merinding diusap-usap.

“Itu Cinunuk ke Faris?” Cilinaya bertanya dalam bisikan.

“Jangan rapat sangat, Cilinaya!” Faris tidak menjawab soalan Cilinaya, tetapi sebaliknya memberi peringatan kepada Cilinaya untuk menjaga batasnya. Walaupun dalam keadaan seperti itu, Faris tetap teguh menjaga ikhtilat antara mereka berdua. Kelak jika dibiarkan, bimbang mereka tenggelam dalam buaian syaitan.

“Aku takut,” ujar Cilinaya tanpa mempedulikan amaran Faris.

“Ingat Tuhan kamu!” bentak Faris dengan suara yang rendah.

“Hoi! Aku masih di sini! Apakah kau sudah bersedia untuk m**i? Berani kau tidak menjawab persoalan aku?!”suara ghaib itu bertempik kuat. Kali ini suaranya kedengaran dekat dengan mereka. Ada kemungkinan pemilik suara itu sedang berdiri di hadapan mereka.

“Tunjukkan siapa dirimu. Jangan jadi pengecut, wahai makhluk Allah!” balas Faris dengan berani. Kepalanya diangkat memandang hadapan.

“Aku pengecut? Bukan aku yang pengecut wahai Faris. Tetapi kamu! Melarikan diri jauh ke sini. Jangan berlagak berani!” ujar suara ghaib tersebut. Suara itu kembali kedengaran mengelilingi mereka.

“Medicakk sakit. Faris tolonglah Medicakk!” rengekan dan tangisan Medicakk semakin kuat. Kesan bibir yang berwarna merah di dahinya sangat meninggalkan kesan yang sakit kepada jin berwarna biru itu.

“Tenang, sayang. Sakit itu bagus untuk kamu,” suara ghaib itu mengambil alih tugas Faris menenangkan Medicakk.

Cilinaya yang dari tadi menikuskan diri mula menangis teresak-esak. Dia dapat merasakan rambutnya yang tertocang sedang ditarik-tarik. Ketakutan mula bersarang lebat di dalam hatinya. Dia cuba mematuhi nasihat Faris untuk mengingati tuhannya. Dengan jari yang terketar-ketar, dia mengeluarkan ibu rantainya yang berwarna putih dari dalam baju. Ibu rantai itu membentuk dua tanda palang yang saling bersilang. Kepercayaan agamanya, disitulah tuhan mereka sanggup berkorban dengan anak-anak yang dia kasihi. Cilinaya mencium ibu rantainya itu. Meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada tuhan.

Tiba-tiba, Medicakk memukul-mukul dada Faris dengan cemas. Mata jin itu terbuntang memandang ke atas. Ada riak ketakutan pada wajahnya. Selalunya, apabila takut seperti ini, balung Medicakk akan beralun laju, tetapi kali ini tidak. Mungkin disebabkan balungnya yang tertahan dek tangan Faris. Medicakk menunjukkan jari ke atas.

“Ni..Niyang…,” ujar Medicakk tersekat-sekat kerana ketakutan. Walaupun butir bicaranya tidak habis, Faris dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan oleh Medicakk. Sebagai jin, tentulah mudah bagi Medicakk melihat jin-jin yang lain. Cuma mungkin Medicakk masih mentah untuk mengenali alam jin yang lain.

Faris menelan air liur jauh-jauh ke dalam tekak. Dia tidak menyangka, setelah lama melarikan diri, akhirnya mereka berjaya menemuinya di sini. Sepatutnya dia sudah memahami siapa yang sedang mempermainkan mereka sejak awal, saat makhluk ghaib itu meminta dia menyerahkan kotak Nadi Estodania. Malangnya, fokusnya agak terganggu melihat kesakitan Medicakk. Ditambah lagi dengan Cilinaya yang terlalu rapat dengan dirinya kerana ketakutan.

“Lari,” bisik Faris kepada Cilinaya. Selajur, Faris mengatur langkah seribu laju disusuli oleh Cilinaya. Medicakk masih utuh dalam dukungannya. Entah kali keberapa dia melarikan diri daripada musuh dari alam ghaib ini sejak Estodania jatuh ke tangan mereka.

“Kau tidak akan terlepas, wahai anak muda! Kelak kotak itu akan jadi milik kami. Kamu akan kami habisi!” ugut suara ghaib itu. Kali ini barulah Faris menggenali suara itu kerana dia telah menggunakan nada suaranya yang sebenar.

Cilinaya yang sedang mengekorinya tiba-tiba tersadung jatuh kerana tersepak akar pokok. Faris yang tidak menyedari hal itu terus berlari laju. Cilinaya cuba melaung nama Faris, tetapi suaranya seperti tersekat di dalam anak tekak. Terasa sukar pernafasan. Seperti ada sesuatu sedang menyempit di dalam rongga paru-parunya. Akar yang tadi tersepak, mula membelit kakinya. Cilinaya menjerit sekuat hati. Tetapi sekali lagi, tidak ada suara yang kedengaran. Seolah-olah peti suaranya telah dikunci.

Akar yang membelit kakinya mula menjulang tubuhnya ke udara. Cilinaya dalam keadaan tergantung di udara dengan kepala menghadap ke bumi. Rantai Cilinaya akhirnya terlurut jatuh ke tanah tanpa sempat dia menyambutnya. Kemudian, akar itu mula menghayun-hayunkan dirinya. Semakin lama, semakin laju sehingga akhirnya tubuh Cilinaya terhempas melanggar pokok. Berkali-kali Cilinaya meraung kesakitan dan menjerit nama Faris. Tetapi, semakin kuat dia menjerit, semakin kuat akar itu menghempas tubuhnya ke pokok-pokok yang berdekatan sehingga akhirnya Cilinaya berlumuran d***h.

Faris yang sudah jauh berlari meninggalkan Cilinaya segera berhenti berlari apabila dia menyedari Cilinaya tidak ada di belakangnya. Dia segera menoleh ke belakang lalu memanggil nama Cilinaya. Tidak ada sahutan kedengaran. Medicakk pula sudah tidak sedarkan diri, sedangkan gangguan daripada makhluk halus tadi juga sudah berhenti.

“Medi! Medi!” Faris mengejutkan Medicakk. Tiada jawapan. Medicakk masih tidak sedarkan diri. Mata tertutup seperti tidur ataupun m**i.

“Medi! Bangun Medi! Kita dah selamat. Niyang sudah tidak ada,” ujar Faris lagi. Medicakk masih seperti tadi. Diam membatu. Perlahan-lahan, tubuh Medicakk itu kabur. Kemudian, hadir Medicakk hilang dari kendongan Faris. Faris terpinga-pinga melihat tubuh Medicakk yang menghilang itu. Dia bingung sama ada Medicakk itu sudah m**i, atau hanya kembali ke dimensi alamnya sendiri.

“Faris!!” dari jauh kedengaran suara Cilinaya memanggil namanya. Faris segera tersedar dari kesenduan yang dia alami kerana keghaiban Medicakk.

“Cilinaya!” Faris membalas panggilan Cilinaya. Dia berlari ke arah laluannya tadi. Tidak beberapa lama kemudian, Cilinaya muncul di hadapannya dalam keadaan tercungap-cungap. Kepala perempuan berambut perang itu berlumuran d***h.

“Masya-Allah! Apa yang berlaku kepada kamu?” tanya Faris sebaik sahaja Cilinaya berhenti di hadapannya.

“Pokok…”tidak sempat Cilinaya menghabiskan jawapannya, dia rebah, pengsan tidak sedarkan diri. Tubuhnya terjatuh menyembah bumi di hadapan Faris. Sekali lagi Faris menjadi kaget kerana seorang lagi rakannya tidak sedarkan diri.
.
.
Awal Januari 2015, Estodania.
.
SULTAN Iltizam menghentikan ratiban zikirnya. Kepalanya ditolehkan ke kanan, memandang isterinya yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Sudah dua minggu isterinya itu tertidur seperti tidak bernyawa. Sekembalinya dari Esramudra, dia dimaklumkan NASA bahawa isterinya itu tidak sedarkan diri. Syak wasangkanya terhadap Farihah semakin tebal sebaik sahaja dimaklumkan berita walang itu. Namun, dia cuba menepis jauh-jauh bisikan syaitan itu selagi dia belum menemui bukti kecurangan tauhid Farihah. Sungguhpun tidak berjaya bertemu dengan suami Farihah, tetapi dia masih belum galak menuduh cucu Imam Syahriyan itu menjadi dalang isterinya tidak sedarkan diri. Tambahan pula, cadangan Farihah bahawa keselamatan isterinya lebih penting menjemput suami Farihah terdengar rasional dalam pengamatannya.

Dia sudah mencuba menghubungi sahabatnya Sultan Aminuddin untuk memaklumkan keadaan Permaisuri Isabella itu. Namun, selepas perpisahan mereka di Kepulauan Karimata, sahabatnya itu tidak dapat dihubungi. Mungkin kerana Sultan Aminuddin sudah memasuki kawasan Kepulauan Gili. Sebagai syarat perjanjian dengan kerajaan jin di kawasan kepulauan itu, mereka telah bersetuju agar teknologi Estodania dibataskan tidak memasuki kawasan kepulauan itu. Sungguh, misteri yang satu ini terasa sukar untuk dirungkaikan tanpa bantuan Sultan Aminuddin. NASA, mesin cerdas ciptaan mereka juga tidak mampu merungkaikan asbab Permaisuri Isabella tidak sedarkan diri. Sultan Iltizam pula ragu meminta bantuan jin-jin yang lain kerana dia hanya mempercayai Sultan Aminuddin seorang.

“Lahaula Wala Quwata Illa Billahil Aliyil Adzim”


Maaf.
Bersambung lagi.
Kelak kita teruskan kembara.
Terima kasih sudi baca.
Jemput singgah di page saya.
#Estodania #epikthiller #fiksyensahaja #share jika bermanfaat.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

dhaifullahazzayyani

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

4 thoughts on “#ESTODANIA: Suara Ghaib”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.