Fatamorgana – Pengenalan (Bahagian 1)

“Bismillahhirrahmanirrahim…
Saya harap semua Jemaah sihat walafiat dan sentiasa di bawah naungan rahmatNya. Saya mohon maaf kerana tak dapat menyampaikan kuliah dalam sepekan ini sebab sibuk dengan urusan keluarga di Muar.” Imam Sulaiman memulakan kuliah Maghribnya di Masjid Sungai Sarang Buaya selepas seminggu berada di rumah Allahyarham sepupunya, Penghulu Salleh.

“Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan bersama semasa saya berada di Muar. Kisah ini berkait dengan tajuk yang sedang kita kupas sebelum ini, kisah mahluk ghaib. Agak termasuk dalam persoalan kupasan tajuk kita.” Sambungnya Imam Sulaiman, dengan suaranya yang sederhana kuat sesuai dengan umurnya yang akan mencapai 72 tahun minggu hadapan.

“Semasa di Muar, ada seorang pemuda datang merujuk kepada saya. Saya namakan dia Mad. Kisah Mad bagus kita jadikan pengajaran.” Sambungnya.

“Mad ni anak tunggal dibela ayahnya, Hassan. Ibunya, Minah meninggal masa melahirkan dia. Hassan tak berkahwin lain selepas kematian Minah. Walaupun hanya Hassan seorang yang jaga Mad, kehidupan Mad teratur dan sederhana. Hassan dan Allahyarhamah Minah bukanlah anak jati kampung tu, tapi mereka sangat rapat dengan penduduk kampung. Orang pandai membawa diri, memang mudah menyesuaikan diri kat tempat orang. Hassan ni buat kerja kampung lepas hantar Mad ke sekolah. Lepas ambil Mad balik sekolah, Hassan buat kerja kat rumah pula, membasuh, memasak, mengemas dan macam-macam lagi. Pendek kata, semua Hassan buat sorang jaga dan besarkan Mad. Yang peliknya, walaupun Hassan buat kerja kampung masa Mad ke sekolah ja, hidup diorang serba cukup, cukup makan, cukup pakai. Semua yang Mad perlu, Hassan sediakan. Memang agak sedikit pelik, tapi tulah kehidupan diorang, dah ditentukan Allah.” Ujar Imam Sulaiman sambal tersenyum.

“Baik, masalah bermula lepas Hassan meninggal sebab kemalangan tahun lepas. Lepas Hassan meninggal, kehidupan Mad agak terumbang-ambing. Dulu Hassan ada teman, jaga dan uruskan Mad, ada tempat untuk dia cerita masalah, mengadu dan bermanja. Tiba-tiba, Mad terus hilang semuanya. Mad bagai hilang arah, hilang punca. Hampir setiap malam Mad akan menangis, merintih memanggil-manggil Hassan sehingga tertidur. Malam ketujuh selepas permergian Hasssan, Mad mimpi jumpa Hassan. Hassan pakai jubah putih bersih bersama Minah, muka kedua mereka putih bersih, tersenyum ceria. Mereka nasihatkan Mad agar jangan berduka lagi sebab mereka akan sentiasa menemaninya. Seru saja mereka sekiranya mempunyai apa-apa masalah, mereka akan membantu. Semenjak dari hari itu, hidup Mad kembali teratur. Hampir setiap malam Mad ditemani Hassan dan kadang-kala Minah datang bersama di dalam mimpi.” Imam Sulaiman berhenti sekejap memandang jemaah yang khusyuk mendengar kuliahnya.

“Genap sebulan lepas itu, Hassan dan Minah buka rahsia. Mereka cerita asal usul mereka. Mereka sebenarnya anak orang berada dari utara. Keluarga berada, berharta tapi selalu berantem pasal duit dan harta. Mereka membawa diri ke selatan dengan berbekalkan duit dan barang kemas yang agak banyak. Mereka mulakan kehidupan sederhana dan nak membesarkan anak-anak mereka secara sederhana. Duit simpanan dan barang kemas diguna sedikit demi sedikit menampung belanja kehidupan mereka. Duit dan barang kemas tu disimpan dalam kotak di rumah mereka. Hassan tak sempat nak cerita pasal ni sebelum kemalangan. Dalam mimpi, Hassan bagitau Mad kat mana dia simpan kotak tu. Bangun dari tidur, Mad terus mencari kotak tu. Mad jumpa kotak tu, bila dia buka, memang ada banyak barang kemas dan duit di dalam kotak tu.” Imam Sulaiman tersenyum. “Jadi orang kaya la terpijak Mad ni. Siapa nak kaya macam Mad ni? Cuba tanya mak ayah, kot kot sama cerita macam si Mad ni.” Seloroh Imam Sulaiman.

“Esok malamnya, Mad mimpi Hassan dengan Minah nasihat dia, suruh guna duit tu jimat cermat, gunakan hanya untuk ke kebaikan dan jangan membazir, membazir amalan syaitan katanya. Sempat juga Hassan dengan Minah minta Mad buat kenduri doa selamat. Aih, mak ayah dah tinggalkan harta, belanja sikit untuk mak ayah apalah sangat. Mad cepat ja buat apa yang mereka minta. Lusanya dibuat kenduri doa selamat. Segala harta digunakan untuk kebaikan, sedekah dan membantu orang. Bagus budak Mad ni.” Imam Sulaiman berhenti sekejap mengatur nafas. Maklumlah orang dah 70 tahun, nak banyak bercakap, nafas kena atur dengan betul.

“Baik. Panjang dah cerita ni. Anak yatim, mimpi orang tua dia, dapat harta, dia guna buat kenduri dan kebaikan. Jadi kat mana masalah dia? Masalah dia belum sampai lagi, ni baru mukadimah je. Baik, kita teruskan.” Kata Imam Sulaiman dengan semangat.

“Lepas beberapa bulan, Mad masih lagi kerap bermimpi Hassan dan Minah. Bila mana Mad ada masalah atau ada hal yang dia nak mengadu, dia menyeru nama Hassan dan Minah. Ada satu malam ni, Mad bermimpi Hassan dan Minah bawa seorang tua, berpakaian lusuh, muka agak suram dan takda seri. Mereka perkenalkan kepada Mad. Katanya itu atuk Mad. Hassan minta Mad membuat kenduri doa selamat untuk atuknya agar dapat membantu atuknya di alam sana. Mad, seperti biasa tanpa berlengah terus buat kenduri keesokan harinya. Lusa malamnya, Mad bermimpi Hassan, Minah dan atuknya. Pakaian atuknya telah berganti, berjubah putih dan bersih tapi mukanya masih suram dan kusam. Hassan minta Mad mencari kemenyan arab dan membakarnya setiap malam jumaat agar dapat membantu atuk Mad memberi wangi-wangian dan menaikkan seri muka atuknya. Si Mad, anak yang baik, turutkan apa yang diminta bapanya. Sehari selepas tu, Mad bermimpi semua mereka berjubah putih, bersih, muka diorang putih, bersih, berseri-seri, senyum dan ceria. Mad gembira mendapat mimpi tu, dia gembira dapat membantu mak ayah dan atuknya.”

“Menurut kata Hassan, atuk Mad seorang guru agama dan meminta Mad menuntut ilmu dengan atuknya supaya Mad dapat ke syurga bersama mereka nanti. Selama beberapa bulan Mad sering belajar dari atuknya di dalam mimpi. Pelbagai jenis zikir yang diajarkan kepada Mad. Zikir-zikir yang diajarkan kepada Mad semuanya menggunakan kalimah tauhid dan ayat al Quran. Mad tekun membuat amalan-amalan dan zikir-zikir yang dipelajari. Selepas 40 hari beramal, Mad perasan, deria dia semakin tajam. Tajam macam mana ya? Kadang-kadang ada kawan atau jiran Mad yang mengadu sakit-sakit badan. Mad boleh nampak makhluk yang bertenggek kat orang tu. Kadang-kadang Mad boleh dengar suara hati kawan dia mengumpat dia. Nak jumpa mak ayah dia pun dah boleh nampak terus, bukan melalui mimpi lagi. Kata atuk Mad, hijabnya dah terbuka kerana hatinya dah bersih sering berzikir dan anugerah Allah kerana dekat dengan Dia. Katanya, itu amalan para wali Allah.” Imam Sulaiman berhenti sejenak. “Ada sesiapa berminat nak belajar zikir yang Mad amalkan tu? Hebat kan? Suara hati orang pun dapat kita dengar. Yang berminat boleh jumpa saya selepas ini.” Beberapa jemaah teruja, tersenyum.

“Sebelum datang jumpa saya minta amalan tu, kita sambung sikit lagi cerita Mad ni. Dengar cerita Mad ni, anak yatim jadi kaya, dapat pula kelebihan melihat alam ghaib, dengar isi hati orang. Habis tu kenapa dia jumpa dengan saya ya? Kenapa saya kata Mad bermasalah? Mad sendiri yang sedar dia bermasalah. Dia yang datang dengan sahabat baiknya berjumpa saya mohon bantuan.” Sambung Imam Sulaiman.

“Pada awalnya, Mad rasa gembira dengan kelebihan yang dia dapat. Mad rasa dengan kelebihan yang dia dapat ni, hidup dia lagi mudah, nak buat apa-apa semua terzahir. Nak pilih kawan senang, nak pilih kedai makan pun senang, manakan tidak, dia dapat dengar suara hati orang, kedai makan yang menggunakan jin pun dia nampak. Tapi tu cuma permulaan je. Lama-lama Mad rasa hidup dia dah jadi tak teratur. Bayangkan kadang-kadang tengah seronok berbual dengan orang kat kedai makan, orang pandang ja, ada yang tegur tanya, bercakap dengan siapa. Rupanya berbual dengan jin merupa manusia. Kadang-kadang Mad terdengar bos dia panggil, bila dia sahut satu pejabat diam sebab takda siapa panggil Mad. Jin yang rajin menyakat Mad pun banyak, jelmaan apa mak tak pernah jumpa? Pocong, langsuir, pontianak, semua Mad dah jumpa. Lagi parah, kadang-kadang dia jelma bentuk binatang, ular hitam, ular besar, buaya, macam-macam lagi la. Mad dah jadi macam orang gila, dia dah tak tahu nak bezakan mana yang zahir dan mana yang bathin. Amalan zikir dan amalan lain Mad dah tak buat. Dia perasan, semakin banyak amalan, semakin banyak gangguan dia terima.”

“Hidup Mad memang terganggu sangat. Mujur Mad ni ada sorang sahabat baik, Din dari kecil yang setia dengan dia. Din ni jiran Mad, diorang dah macam adik-beradik, diorang satu tempat kerja. Mad memang berkongsi semua cerita dengan dia. Jadi dia memang tau semua perubahan Mad, dari sederhana jadi kaya, pasal mimpi, pasal tuntut ilmu, pasal kelebihan semua dia tau. Din cakap Mad selalu mengadu ramai yang selalu mengumpat dan berniat jahat dengan dia, Mad dengar suara hati diorang. Masalahnya, kawan-kawan yang Mad kata tu, orang yang baik, yang tak tinggal solat. Jadi Mad memang jauhkan diri dengan orang macam tu. Yang bagus bagi Mad, kawan-kawan yang selalu tidur masa kerja, yang mulut celupar, selalu memaki. Mad kata, hati diorang tu bersih. Kat kedai makan pun jadi masalah juga. Kedai makan kemas, bersih, makanan sedap Mad tak nak masuk. Mad kata tuan kedai pakai jin, dia nampak ulat dalam nasi la, jin muka buruk duduk atas meja la. Din kata, Mad makan dekat kedai yang kita nampak kotor. Kadang-kadang tengah jalan, tiba-tiba Mad lari, menjerit minta tolong, katanya ular besar kejar dia. Menjerit nampak hantu lagi kerap. Dekat rumah, waktu malam, Mad selalu menjerit-jerit, katanya mak, ayah dan atuk dia datang dengan muka berulat, baju kotor, koyak, busuk.” Imam Sulaiman kembali mengatur nafas.

“Ada siapa-siapa tadi yang berminat nak ambil amalan ni? Masih ada yang berminat?” Tanya Imam Sulaiman sambil tersenyum.

“Dah nampak kenapa saya katakan Mad bermasalah? Macam mana nak bantu Mad? Boleh tak buang semua gangguan tu? Macam mana Mad sekarang? Waktu Isya’ dah masuk, kita sambung lepas solat Isya’ sekejap lagi.” Imam Sulaiman menangguhkan kuliahnya.

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]
Alfakir Yaqut

3 thoughts on “Fatamorgana – Pengenalan (Bahagian 1)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.