Imam Sulaiman memberi masa untuk jemaah mengambil wudhu’ bagi yang dah terbatal. Satu kebiasaan Imam Sulaiman, sekiranya kuliahnya panjang, solat lebih diutamakan. Bagi Imam Sulaiman, fungsi utama masjid ialah tempat solat jadi solat lebih diutamakan dari kuliah atau ceramah. Selain itu, dapat menghormati jemaah yang mempunyai urusan lain dan mereka yang musafir.
Sebelum mula solat, Imam Sulaiman memerhati jemaahnya, meminta mereka merapat dan meluruskan saf, supaya mereka mudah mendapat solat yang tenang dan khusyu’. Kadangkala, dua tiga minit juga diperuntukkan untuk menunggu jemaah membetulkan saf. Setelah berpuas hati baru Imam Sulaiman memulakan solat. Surah pilihan Imam Sulaiman bergantung kepada keadaan jemaahnya. Kalau ada jemaah yang kurang berkemampuan, Imam Sulaiman akan membaca surah-surah yang pendek sebailiknya kalau nampak jemaah bersemangat dan bertenaga, surah panjang jadi pilihan.
Selesai wirid dan doa. Imam Sulaiman mula menyambung kuliahnya semula.
“Bismillahhirrahmanirrahim, Alhamdulillah selesai sudah solat wajib kita malam ni. Baik, kita sambung terus kuliah kita. Pengenalan dan masalah dah kita dengar. Sebelum kita masuk kepada bantu Mad dan keadaan Mad sekarang. Kita cuba kupas dulu apa yang ada dalam masalah Mad.”
“Setiap makhluk yang hidup pasti akan m**i. M**i itu pasti bagi makhluk. Itulah perbezaan antara makhluk dengan Sang Khaliq. Saya sering kali ulang, kita sebagai makhluk perlu sedar, apa yang kita miliki ini adalah pinjamanNya, bukan milik kita sepenuhnya. Tanamkan fahaman ni dalam diri tuan puan semua. Tuan puan keluar masjid ni kehilangan selipar, nak balik susah, saya bagi pinjam selipar saya. Esok lusa saya datang tuntut semula selipar saya. Tuan puan rasa apa ya? Marah? Sedih? Tidak kan? Kalau ada pun mungkin sikit saja, mungkin kalau boleh nak pinjam lama sikit lagi.” Imam Sulaiman tersenyum.
“Ada juga yang bila saya minta semula selipar saya, dia tak rasa apa, nah imam, ambil la balik. Ada juga yang hebat, dia pulang semula dengan ucapan terima kasih sebab memudahkan dia balik rumah. Ada yang lebih hebat, pulangkan semula dengan ucapan terima kasih dan dia berasa lega sebab dah pulangkan semula barang pinjamnan kepada pemilik sebenar sebelum barang rosak atau hilang.” Imam Sulaiman tersenyum lagi.
“Itulah fahaman yang patut kita tanam atas apa jua barang yang kita ada. Bukan takat barangan ja, ahli keluarga kita ni pun pinjaman Allah juga. Nyawa kita, ruh kita, jasad kita, semuanya hanya pinjaman. Jadi, sekiranya pemilik asal mengambil semula barang pinjamannya, hadapi dengan sebaiknya. Sedih memang pasti, tapi kalau kita dah tanamkan dan faham tentang pinjaman ini, In Sha Allah perasaan sedih itu tidak keterlaluan. Sebab itu dalam Islam tidak melarang kita menangis bila kehilangan yang tersayang tapi dilarang meraung, merintih dan sebagainya. Mad ada melakukan kesilapan di sini mungkin atas kekurang ilmu agama dia. Kita faham situasi dia, dia kehilangan satu-satunya insan yang dia sayang, tempat bergantung sepanjang hidup dia. Di sini sepatutnya jiran dan kawan-kawan dia mainkan peranan. Bantu dia, beri semangat, dorongan kat dia. Ada atau tidak bantuan dari jiran dan kawan saya tak pasti, Wallahu a’lam.”
“Bila Mad kerap merintih, memanggil, menyeru ayah dia yang dah meninggal, jin dan syaitan nampak peluang untuk menyesatkan anak adam. Semua yang datang dalam mimpi Mad tu semuanya kerja jin dan syaitan. Jin dan syaitan ni licik, dia masuk dengan menyamar orang yang paling Mad sayang dan percaya. Mad rindu ayah dia. Jin tu merupa ayah dia dalam mimpi, terlepas lah rindu dia. Kenapa dalam mimpi? Sebab ini jalan halus, perancangan lengkap dan padat. Kalau jin tu merupa ayah Mad dalam alam kita, pasti Mad tau tu tak mungkin ayah dia. Lagipun mimpi ini sesuatu yang orang biasa tak dapat pastikan samada itu petunjuk Allah, mainan tidur atau mainan syaitan. Bukan semua orang ada keistimewaan menakwil mimpi. Jadi, tuan puan, sekali lagi saya nak pesan, jangan terlalu percaya pada mimpi, boleh jadi mimpi tu termasuk dalam perancangan syaitan menyesatkan anak adam.”
“Baik. Kita sambung. Kita imbas semula pelajaran tahun lepas, tentang alam yang akan kita lalui. Bermula alam ruh, masuk ke alam dunia, lepas tu kita ke mana? Ya, alam barzakh. Sudah saya jelaskan dulu, barzakh ni umpama satu dinding yang tidak mungkin ditembusi dari mana-mana arah.”
“Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.” (QS 55 (Ar Rahman): 20).
Imam Sulaiman spontan membaca ayat 22 dari Surah Ar Rahman. Dengan suara yang merdu, terang dan jelas. Mungkin kerana Imam Sulaiman mempunyai keturunan campuran Arab – Jawa, bila membaca ayat suci Al Quran terdengar merdu dan mengasyikkan. Mungkin juga sebab dapat berguru dengan guru yang baik, Haji Hussein.
“Ingat ya. Barzakh ni umpama dinding yang tidak mungkin ditembusi dari mana-mana arah. Jadi, bila orang dah meninggalkan alam dunia dan masuk ke alam barzakh, bermakna dia tidak mungkin kembali ke alam dunia. Kita dah kupas dulu, kalau ada jumpa orang yang dah meninggal, ada orang meninggal balik rumah, itu pasti kerja jin menyamar jadi si m**i. Dah faham mereka takkan kembali kan? Jadi, jangan sesekali menyeru orang yang dah meninggal dunia tu. Kalau datang nanti, tuan puan sendiri yang terkejut. Lagipun yang datang nanti pasti jin yang menyamar. Mak dan ayah Mad dalam mimpi tu jin yang menyamar. Macam mana jin tu tau dekat mana kotak harta tu dan salasilah Mad kalau yang Mad mimpi tu bukan ayah dia?”
“Baik, ini tambahan kepada tajuk alam ghaib kita. Dalam pecahan tajuk jin. Setiap manusia yang lahir ke dunia ni akan ditemani qarin. Qarin ni dalam kumpulan jin. Qarin akan sentiasa mengajak manusia membuat kejahatan. Qarin ni yang selalu bagi bisikan jahat kat hati kita. Jin yang mendorong kita ke arah kejahatan, kita selalu panggil syaitan. Semua tahukan syaitan dibelenggu semasa bulan Ramadhan? Ada ulama mengatakan qarin antara syaitan yang dirantai, jin-jin yang tidak mencapai tahapan syaitan masih bebas. Sebab tu dalam bulan Ramadhan masih ada penampakan dan gangguan jin. Semasa di akhirat nanti, qarin membela diri mengatakan bukan salah mereka saja manusia membuat kejahatan, buktinya semasa Ramadhan, qarin dibelenggu tapi maksiat masih berlaku.”
Imam Sulaiman membaca Hadith dari Riwayat Muslim dan ayat 27 dari Surah Qaaf.
“Daripada Abdillah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”
“Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.” (QS 50 (Qaaf): 27).
“Baik, Qarin bersama manusia sepanjang hidup mereka, bila manusia meninggal qarin terus hidup. Semua rahsia manusia dampingannya dia tahu. Lebih hebat, segala ilmu manusia dampingannya dia tahu dan dia boleh tambah lebih banyak ilmu dari jin dan syaitan yang dah hidup lebih lama dari dia. Sekarang dah terjawab ya persoalan kenapa jin menyamar tu boleh tahu kat mana Allahyarham Hassan simpan kotak tu dan juga latar belakang keluarga Mad.”
“Seterusnya, ingat tadi saya katakan perancangan syaitan licik, halus, perancangan yang lengkap dan padat? Sekejap lagi saya bagikan ayat Al Quran menerangkan hal ini. Tengok betapa halusnya perancangan dia. Mula-mula nak dapatkan kepercayaan Mad, dia menyamar jadi Hassan. Dia tahu Mad ni budak baik, dinasihatkan Mad supaya menggunakan harta ke jalan kebaikan, dia gambarkan kat Mad, Hassan dan Minah bahagia, ceria bila Mad ikut nasihat dia. Lepas tu dia masuk sikit-sikit benda menyesatkan tanpa Mad sedar. Tuan puan rasa kalau dia terus suruh Mad buat benda tak betul Mad boleh senang terpengaruh? Mungkin nanti Mad akan tanya orang lain. Lain pula caranya syaitan ni untuk merosakkan orang lain yang mungkin lemah iman. Datang dalam mimpi, bagi tawaran nak kaya, suruh menurun kat kubur sekian sekian. Orang lemah iman. Mudah ja terpedaya, dia buat. Syaitan ni musuh kita yang nyata, dia akan cuba pengaruh kita tak kira siapa kita, dekat mana tahapan kita. Sampai bila? Sampai kita dah m**i, bila dah m**i, syaitan baru berhenti menghasut. Buat apa nak pengaruh orang dah m**i, orang dah m**i tak boleh buat apa-apa lagi. Orang kafir pun akan dipengaruh juga, jangan ingat orang kafir tak dipengaruhi. Manusia ni lebih hebat dari syaitan. Iblis, syaitan dia tahu tahapan dia, dia kenal siapa Rab dia, dia mohon dengan Allah supaya panjangkan usia dia. Manusia? Hebat, ada yang mengaku tuhan. Kita ambil contoh, Firaun. Mengaku tuhan tu. Orang kafir akan dipengaruhi supaya kekal tidak kembali pada Islam. Orang berilmu pun syaitan akan pengaruhi juga, cuma kalau betul dia beramal dengan ilmu dia, mungkin dia sedar perangkap syaitan tu. Nanti la kita bincang dalam tajuk jin nanti. Kalau terus ni, sampai subuh pula kita.”
“Baik, ayat yang saya katakan tadi ayat 21 dari Surah An Nur.” Imam Sulaiman membacakan ayat tersebut. Mungkin sebab menyayangi dan menyintai Al Quran, dengan lancar ayat-ayat yang berkenaan diingati dan dibacakan.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” (QS 24(An Nur): 21)
“Baik, perhatikan perkataan khutuwati dalam ayat tu. Dalam bahasa arab, khutuwati membawa maksud antaranya, perancangan yang lengkap dan padat. Nanti kita huraikan di tajuk jin ya. Kita balik semula kat kisah Mad. Sampai mana dah ya?” Imam Sulaiman berhenti sejenak.
“Baik kesilapan Mad yang besar ialah berguru dalam mimpi tanpa rujuk mana-mana guru yang ahli. Kalau kita dapat satu-satu ilmu, penting kita pastikan kesahihan ilmu tu dulu. Ingat ya. Kita dah belajar ni perlu sedar, perancangan syaitan tu lengkap dan padat. Kita kena ada perasaan bimbang kalau-kalau ilmu yang kita dapat ni merupakan salah satu jalan masuk ke perangkap syaitan. Jadi, selalu beringat dan hati-hati. Mungkin ada yang perasan tadi, Mad cerita katanya zikir tu dari kalimah tauhid dan ayat Al Quran. Kalau guna kalimah tauhid dan ayat Al Quran tak kan tak boleh? Jangan salah faham. Setiap amalan bergantung pada niat dan cara mengerjakan. Saya tanya, baca Al Quran dapat pahala atau dosa. Pahala kan. Baik, baca Al Quran dalam tandas dapat pahala atau dosa? Ya, dosa. Kita solat dapat pahala atau dosa? Pahala. Kalu solat tanpa wudhu’ atau dalam hadas? Solat waktu tahrim? Solat dengan niat nak tunjuk kat orang? Puasa dapat pahala atau dosa? Puasa tapi nak buka waktu isyak atau puasa 1 syawal dapat pahala atau dosa? Macam tu jugak kes Mad ni. Dia guna kalimah tauhid, tapi niat dia bukan kerana mengagungkan Allah. Niat untuk membuka hijab, niat nak jadi hebat, amalan ikut-ikutan bukan dengan ilmu. Bahkan bacaan ayat Al Quran yang Mad amalkan pun ada satu dua ayat yang tertukar huruf. Dari makna yang baik, jadi makna yang buruk. Sebab dia tak semak betul dan takda guru yang nak membetulkan bacaan dia. Tu yang datang syaitan berdamping tu. Yang ni saya cerita lebih lanjut masa masuk cerita mengubat Mad.”
“Tuan puan, niat kita penting masa nak buat sesuatu perkara. Kalau nak buat baik, niat kena betul, cara pun kena betul. Sebab tu perlu berguru. Kalau nak buat jahat, syaitan memang kerjanya menunggu masa nak menyesatkan, nak merosakkan anak adam. Kita berzikir, niat dan bacaan salah, cara pun salah, datanglah syaitan menyamar wali kononnya bagi kelebihan kebal, kasyaf, telus hati dan macam-macam lagi. Kita ingat anugerah Allah, rupanya tipu daya syaitan. Jadi hati-hati ya. Nak beramal, biar dari ilmu. Nak dapat ilmu, kena berguru. Kalau ada dapat mana-mana ilmu dari orang yang kita tak tahu tahap keilmuan dia, rujuk pada guru sebelum amalkan. Sekiranya sahih baik, amalkan kalau sebaliknya, tinggalkan.”
“Kita lencong sikit ya, saya cerita masa saya muda dulu-dulu. Dulu ada sorang kawan sama belajar silat dengan saya, Usop nak akalkan sorang lagi kawan kitorang, Berahim. Si Berahim ni teringin sangat jumpa puteri bunian. Ayah Usop ni bomoh. Usop ajar Berahim cara nak jumpa puteri bunian. Kononnya ayah dia turunkan ilmu, padahal dia saja buat sendiri. Dia suruh Berahim cari barang sekian, bunga sekian, pergi tempat sekian, malam sekian, baca mentera sekian-sekian. Berahim, nak sangat jumpa, dia cari semua barang, ikut semua cara, buat. Tuan puan rasa dapat tak Berahim jumpa? Dapat tuan puan. Bila balik, Berahim cerita, jumpa puteri bunian cantik la, masuk alam bunian la, bawak balik puteri bunian la, nak kahwin dengan dia la. Malam tu masa silat, Berahim kena ketuk kepala dengan guru silat. Guru silat kata Berahim bawa balik jin pendamping nenek tua kerepot.” Imam Sulaiman tertawa. “Nasib baik ada guru silat perasan. Usop pon kena denda juga masa tu.” Sambungnya.
“Satu lagi kisah guru silat saya cerita. Ada dua orang sahabat baik, sorang ni belajar dari bomoh seberang, menuntut cara menurun. Dia buat dapatlah duit dengan emas. Sahabat dia dapat tau, minta dia ajar. Dia ajar tapi mentera dia bagi separuh ja. Dia takut nanti kawan dia dapat sama macam dia. Padahal dia dah keluar modal dengan masa untuk menuntut. Tapi, bila sahabat dia balik, bawa lagi banyak duit dengan emas dari dia. Dia tak puashati, dia buat lagi upacara tu sambil tanya jin tu kenapa kawan dia dapat lagi banyak, jin tu kata kawan dia bawak korban sebab tu dapat lagi banyak.” Imam Sulaiman tersenyum.
“Dalam dua kisah ni, siapa yang pandai? Usop ke Berahim, Polan atau sahabat dia? Syaitan yang pandai. Dia tipu semua orang, Usop, Berahim, Polan dengan sahabat dia semua masuk dalam perangkap syaitan. Sebab tu saya katakan, kalau dapat apa-apa ilmu, rujuk pada guru yang ahli. Jangan terus terpesona dengan hasil yang dijanjikan. Kalau ada yang niat nak bergurau dengan kawan pun hati-hati, takut niat nak bergurau ja, tapi jadi beban pula kat kawan yang kena tu. Imam, saya main-main je buat mentera tu, takkan jadi pula? Jangan lupa, syaitan sentiasa mengintai peluang nak menyesatkan anak cucu adam. Dia bukan nak sangat mentera, ayat seru semua tu. Dia nak kita buat dosa ja, syirik khususnya. Masa sakaratul maut nanti pun, dia tak minta kita baca atau jawab apa semua. Cukup dengan jawapan hati kita ja boleh buat kita terkeluar Islam.”
“Baik, ini kupasan yang akhir sebelum kita masuk cerita pengubatan Mad. Bab nampak makhluk ghaib dan alam ghaib. Ini sebenarnya kena dengan tajuk kita, cuma saya ingat kita kupas yang lain dulu baru masuk ke pecahan tajuk jin. Tapi kebetulan cerita Mad ni ada, kita ambil serba sedikit ilmu pasal ni ya. Baik, kita orang Islam wajib beriman dengan perkara ghaib. Malaikat, iblis, syaitan, jin, alam barzakh, akhirat semua termasuk dalam perkara ghaib. Semua tertulis dalam Al Quran. Apa yang tertulis di dalam Al Quran jangan diragui, ‘La rai bafi’. Allah menjadikan malaikat, syaitan dan jin, makhluk ghaib. Itu adalah fitrah kejadian. Malaikat, syaitan dan jin fitrahnya ghaib dari pandangan manusia. Tetapi tidak tidak mustahil mereka keluar dari fitrahnya dengan izin Allah. Kita ambil contoh, semasa malaikat berjumpa Nabi Luth A.S, kaum Soddom nampak malaikat tu. Semasa malaikat Harut dan Marut diturunkan untuk mengajar ilmu silap mata, orang ramai nampak malaikat tu. Dan apabila Malaikat Jibril bertemu Rasulullah SAW, para sahabat nampak Malaikat Jibril sehingga hadith Islam, Iman dan Ihsan dikenali sebagai Hadith Jibril. Tuan puan mesti tahu cerita sahabat Abu Hurairah RA diajar syaitan yang Ayatul Kursi adalah ayat pelindung. Semua kisah tu, makhluk ghaib dinampakkan kepada manusia. Yang ini saya namakan penampakan. Penampakan ni bilamana makhluk ghaib menampakkan diri mereka. Penampakan ni boleh dilihat semua orang. Jadi tak mustahil jika si polan dan si polan kata nampak jin atau hantu, sebab mereka memang boleh keluar dari fitrah mereka dan menjelmakan diri. Penampakan ni tak jadi masalah pada kita, yang bermasalah tu jin dan syaitan tu sebab diorang keluar dari fitrah. Tapi orang yang mencari-cari nak nampak jin tu pun bermasalah juga, kenapa nak keluar dari fitrah kita. Pelikkan?”
“Satu lagi cara nampak makhluk ghaib ialah dengan kasyaf. Yang ni ada yang panggil deria keenam atau hijab terbuka. Baik, ringkasnya kasyaf ni ada 2 jenis, kasyaf Allah dan kasyaf jin. Maksud kasyaf Allah ni, kasyaf anugerah Allah untuk para nabi dan rasul dan juga untuk orang-orang yang mempunyai kedekatan dengan Allah. Kasyaf jin ni, kasyaf yang datang dari jin. Kita buka dulu kasyaf Allah. Nak dapat kasyaf ni bukan senang. Ni anugerah Allah, saya seratus peratus yakin, dalam masjid ni takda sorang pun nabi dan rasul kan? Atau ada yang nak mengaku nabi dan rasul kat sini? “La nabiya ba’dii” Hadith, Tiada nabi selepas aku (Rasulullah SAW). Baik, yang tinggal hanya mereka-mereka yang mempunyai kedekatan dengan Allah. Pernah dengar kisah Saidina Umar Al Khattab RA, Saidina Umar tengah baca khutbah di Madinah. Tentera Islam di Nahuwanda hampir kalah dengan tentera Parsi masa tu, Allah buka hijab Saidina Umar, beliau nampak keadaan perang dan sempat beliau bagi arahan dekat tentera suruh panjat bukit, dengan tu tentera Islam dapat kelebihan strategi dan akhirnya tentera Islam menang. Tentera yang beribu batu jauhnya dengar suara seakan suara Saidina Umar, diorang turut arahan tu dan akhirnya menang. Itu contoh mereka dengan dekat dengan Allah. Siapa dalam ni nak mengaku dia dekat dengan Allah? Maaf kata ya, sebenarnya bukan semua yang dekat dengan Allah dikurniakan kasyaf. Fitrah manusia tak nampak makhluk dan alam ghaib, jadi bukan satu keperluan untuk kasyaf. Dan pada saya, mereka-mereka yang dekat dengan Allah pun tak mahu kasyaf supaya hidup lagi aman dan tenang. Terus terang saya katakana saya tidak kasyaf ya. Saya tidak nampak makhluk halus ya. Saya juga tak menolak mungkin ada diantara mereka-mereka yang kasyaf ni memang anugerah Allah. Sebab kalau Allah berkehendak, maka jadi lah. Mungkin ada kebaikan yang kita sebagai makhluk tidak tahu, perancangan Allah adalah perancangan terbaik. Wallahu a’lam.”
“Baik, satu lagi kasyaf ni yang bermasalah, kasyaf jin. Kasyaf ni menggunakan jin. Yang ni, jin akan masuk dalam badan kita, dia akan guna deria kita untuk nampak atau dengar kaum mereka. Hati-hati, kalau jin dah masuk dalam badan, kalau boleh diorang tak nak keluar sampai bila-bila. Saya mohon janganlah ada tuan puan yang menjemput jin masuk dalam badan untuk apa jua tujuan. Menurun, sama memasukkan jin dalam badan. Menggunakan peralatan, batu, besi untuk buka hijab, sama juga masukkan jin dalam badan. Menggunakan atau minta tolong jin, sangat ditegah Islam. Dalilnya? Ayat 6 Surah Al Jinn.”
“Nah, sekarang macammana pula dengan orang yang tak pernah minta tolong jin tapi nampak jin, yang bukan jin tu buat penampakan ya. Pada pendapat saya, dalam badan dia ada jin. Mungkin jin tu masuk tanpa dia sedar. Ada juga jin masuk sebab amalan-amalan tertentu, contohnya berzikir. Mungkin guru dia tak tahu, mungkin juga guru dia tahu. Ada beberapa kes bila mengubat, jin masuk dari amalan berzikir dan sebenarnya guru yang mengajar tu tahu tapi tak beritahu dekat anak murid dia. Hati-hati juga pilih guru ya. Sebelum berguru, cuba perati juga kehidupan guru. Kalau ikut Al Quran dan Sunnah, boleh la berguru tapi kalau sebaliknya, carilah guru lain.”
“Baik, pada yang dikatakan hijab dah terbuka, sebaiknya jumpa dengan perukyah. Kalau boleh jumpa beberapa perukyah supaya dapat pandang kedua, ketiga. Harapnya dapatlah dikeluarkan jin dalam badan dan dapatkan amalan sunnah yang membantu mendinding diri. Sebab bila jin dan masuk dan mula bersarang, bila dikeluarkan, bekas ruangan dia duduk sebelum ni boleh jadi tarikan kepada jin lain. Selain tu, amalkan amalan sunnah lain, masuk rumah baca basmalah dan beri salam, keluar rumah baca doa, masuk tandas baca doa pelindung, hidupkan rumah dengan bacaan Al Quran dan solat sunat. Jangan buat maksiat dalam rumah dan tempat kerja. In sha Allah hidup akan aman dari ganguan jin. Kalau pelindung kita kuat, orang nak menyantau dan menyihir kita pun susah. Kalau terkena pun mungkin tidak terlalu berat untuk diubati.” Ulas Imam Sulaiman panjang lebar.
“Berbalik kepada hal Mad, jin masuk semasa dia berzikir. Seperti yang saya katakan, ada kesilapan dalam ayat yang Mad ajarkan selain tu, niat Mad tidak betul-betul lurus kerana Allah. Hati-hati dengan niat kita ya. Jin mainkan Mad, mula-mula dia bagi Mad rasa hebat, istimewa dapat nampak mahluk ghaib. Dia minta Mad terus banyak berzikir nak bagi lagi hebat. Kat situ, niat dah bertukar. Disamping tu, Mad bakar kemenyan, bagi makanan dekat jin. Memang Mad dah jadi tempat tumpangan terbaik diorang. Dah banyak sangat jin menumpang, tu yang macam-macam dah Mad terbayang. Jahatnya jin ni, dia jauhkan Mad dari manusia baik, dia menyamar kononnya orang ni ada niat jahat dengan Mad. Kedai makan yang bersih pun dia bagi Mad nampak macam kotor, yang kotor pula nampak bersih. Memang tak tenteram hidup macam ni. Syukur Mad dapat diubati sebelum keadaan lagi teruk.”
“Panjang dah ni. Nak sambung sikit lagi pasal proses rawatan Mad?” Soal imam Sulaiman.
Tiba-tiba kedengaran bunyi bising di luar masjid. Bunyi seperti pekikan orang dan basikal melanggar tangga masjid. Kemudian kedengaran bunyi lantai kayu masjid dipijak dengan cepat. Gegaran lantai masjid dapat dirasai jemaah. Tiga saat kemudian terpacul Budi, pemuda kampung. Mukanya pucat lesi, baju lencun dibasahi peluh. Terjelepuk ke lantai melepaskan lelah. Jemaah tergamam.
“Imam, tolong Imam, kubur Pak Kamil terbakar. Pak Kamil melolong-lolong menjerit dalam kubur.” Budi memecah suasana. Jemaah mula kecoh.
“Kamu buat apa kat kubur malam-malam gini? Siapa lagi yang nampak?” Tanya Imam Sulaiman.
“Saya sorang. Saya nak pergi Parit Bali. Masa lalu kubur tu nampak api keluar dari kubur Pak Kamil, dengar suara Pak Kamil melolong-lolong. Saya pun melolong juga la bawak basikal datang sini minta tolong.” Jelas Budi.
“Kita urus yang penting dulu. Kita tangguhkan kuliah kita. Yang lelaki mana ada kesempatan ikut saya. Yang perempuan boleh balik. Esok petang jangan lupa kita ada buat bacaan Mathurat dan doa akhir tahun. Selamat tahun baru 1400H. Baik, kita tutup majlis kita dengan tasbih kifarah dan Surah Al Asr.” Kata Imam Sulaiman dengan tenang.
“Yang lelaki siapa yang nak ikut, mari kita ke kubur Pak Kamil. Husin, kamu duduk dengan Budi di sini.” Arah Imam Sulaiman.
Sambil berjalan ke kubur, Imam Sulaiman sempat menarik tangan birasnya, Mawardi.
Imam Sulaiman: Ardi, Mbok kirim salam. Assalamualaikum. Dia ucap terima kasih ole-ole haritu. Dia kirim nasi ambeng. Kejap lagi singgah rumah ambil ya.
Mawardi: Waalaikumussalam. Mbok sihat Bang? Abang bila sampai?
Imam Sulaiman: Sihat Alhamdulillah. Dekat Maghrib tadi sampai. Wazir ada cerita pasal Kamil dalam kereta petang tadi. Abang baru tau Kamil meninggal tiga lepas. Kedai kamu macam mana? Ada apa-apa pelik?
Mawardi: Kedai macam biasa ja Bang. Tapi dalam laci duit ada dua kali saya jumpa daun ketapang kering. Kenapa Abang tanya, ada dapat alamat apa-apa?
Imam Sulaiman: Nanti Abang cuba tengok. Minggu lepas, sebelum Abang balik Muar, siapa yang pakai baju hitam duduk dengan Eri dengan Fendi tu? Tak pernah nampak sebelum ni.
Mawardi: Baju hitam? Jubah putih la Bang. Bukan baju hitam. Dia kata dia kawan Kamil, datang nak melawat.
Imam Sulaiman: Kamu nampak dia pakai jubah putih? Dia ada sini lagi?
Mawardi: Semalam ada datang kedai. Duduk berbual dengan Eri dengan Fendi. Baik orangnya. Makan budak-budak tu pun dia bayarkan.
Imam Sulaiman : Esok kamu suruh Eri dengan Fendi jumpa Abang ya. Alhamdulillah dah sampai. Kita uruskan hal ni dulu.
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Ada sambungan lagi? Terasa mcm duduk dlm masjid jgk dah ni.
Berul2. Suka sangat penulisan ni. Jika cerita ni fiksyen pun sangat best bagi saya. Pandai penulis susun penceritaan
Assalamu’alaikum…sambung la lagi alfakir yaqut…tak selalu ada cerita macam ni…alhamdulillah seronok baca
srsly..?? plis jangan mcm ni…nk part 3,…ngah syok2 kacau btul la si Budi ni…
Sambungan pliss.. citer bestt
#⭐⭐⭐⭐🌟
taw xpe..mcm dok dlm masjid jgk ni..bnyk pengajaran
banyak ilmu dapat dlm cerita ni…rasa betul mcm tengah hadir ceramah. harap ada sambungan.
Syed as siddiq take note. This is an example of a brilliantly written story, not bllsht like yours. Sembang kencang apa pun tak dak. 🤭🤭🤭
Terbaik! Berdakwah dalam penulisan. Niat kerana Allah
Mohon sambung lagi writer.. Penulisan yg cukup teratur dan memberi kesan semasa membaca.. Harap da smbungan lagi dan teruskan dengan penulisan anda.. Keep it up!!