FOBIA: FAKE ACCOUNT

FOBIA : FAKE ACCOUNT
Karya: DeeFen DF

TING! TING! TING! TING! TING! TING!

Menderu bunyi notifikasi menandakan banyak pesanan yang masuk ke dalam telefon bimbit Firdaus. Semuanya notifikasi daripada aplikasi Whatsapp. Baru sebentar sahaja talian telefon tiba-tiba ketiadaan gelombang, sudah beratus-ratus mesej yang masuk. 99% daripada notifikasi adalah daripada “group” yang bergelar ‘Penulis Cinta Membawang’. Rancak sekali “group” ini.

Firdaus membaca satu persatu perbualan di dalam “group” tersebut, sesekali dia tersenyum apabila ada sesuatu perkara yang lucu yang menggeletek hatinya. Sejak dia menjadi salah seorang ahli dalam “group” tersebut, langsung tak pernah sunyi. Ada sahaja yang dibual dan digosipkan. Sudah nama pun “Penulis Cinta Membawang”, maka ada sahaja topik untuk diketengahkan.

Dalam “group” ini, terdapat 8 orang ahli yang mana setiap orang merupakan penulis cerita cinta romantik. Ada yang masih amatur, semi-pro dan ada juga yang sudah boleh digelar penulis prolifik. Semuanya bergabung dalam satu “group” aplikasi Whatsapp dengan harapan untuk meningkatkan mutu penulisan masing-masing dan bertukar-tukar idea.

Mereka adalah Ummi Karmila, Firdaus Safi, Hazira Halim, Thasif Haizad, Cik Alina, Wardah Alami, Diana Shakira dan Wan Jameela. Semuanya menggunakan nama pena yang “catchy”, sesuai dengan tema penulisan mereka iaitu penulis cerita cinta.

Pada malam itu ada satu topik menarik yang mereka bincangkan. Iaitu membuat perjumpaan pertama setelah “group” ini diwujudkan selama hampir 1 tahun. Selama ini mereka hanya kenal melalui media sosial Facebook. Gambar pun dilihat melalui album di profil Facebook masing-masing. Entah gambar betul atau entah hanya dicedok daripada gambar orang lain. Malahan ada antara mereka yang masih belum menunjukkan wajah masing-masing. Penuh rahsia. Hanya tuan diri sahaja yang tahu akan motif menyembunyikan identiti sebenar masing-masing.

[Wan Jameela] : Aku cadangkan kita buat gathering weh… Macam camping ke… Atau sleep over kat memana… Tak pun sewa homestay lepas tu kita borak lepak sampai lebam…

[Ummi Karmila] : Cantek idea tu… Bila?

[Cik Alina] : Aku on… Korang onxon lantak korang… Aku nak join… Bila? Bila? Set date…

[Wan Jameela] : Sabar… Sabar… Jangan gelojoh… Kita tanya yang lain…

[Wardah Alami] : Wardah pun nak join… Macam best je…

[Hazira Halim] : Emmmmmm… Hazira malu la… Tapi kalau semua orang join… Hazira try la join…

[Diana Shakira] : Nanti aku tanya hubby aku dulu. Korang set tarikh dulu. Kalau free, aku join.

[Thasif Haizad] : Aku pun rasa nak join gathering ni. Oiii @Firdaus Safi, ko nak join tak?

Firdaus Safi : Haaa aku follow je la memana. Tapi kalau Thasif tak join, aku pun taknak join la. Dah kami dua orang je jantan dalam “group” ni. Kah kah kah.

[Thasif Haizad] : Betul tu. Kalau salah sorang je daripada kami jejaka hensem yang join, mesti dia akan jadi kuli batak. Semua korang suruh dia buat. Hahaha.

[Wan Jameela] : Firdaus dengan Thasif wajib join… Kita akan buat makan-makan, bakar-bakar, korang la yang jadi tukang bakar… Haha… Nanti aku uruskan semua rancangan kita ni… Korang semua chill ja…


“Weh Thasif, aku rasa kita tak berapa jauh dah nak sampai ni. Dah nak exit highway dah ni. Kau buka Waze, set location,” arah Firdaus kepada Thasif. Perjalanan hampir 2 jam mereka daripada pusat bandaraya kini telah hampir ke destinasi. Thasif menekan-nekan telefon bimbitnya dan menetapkan destinasi seperti koordinat yang diberi oleh Wan Jameela.

“Okay dah set! Let’s go!” Thasif bersuara riang sambil mengangkat kedua-dua ibu jari terhadap Firdaus yang sedang memandu.

“Aku rasa syukur gila sebab Wan Jameela sudi sponsor semua gathering kita ni. Mesti orang ada-ada dia tu. Kan?” Diana yang berada di tempat duduk belakang tiba-tiba menyampuk.

“Kau ni Diana, tadi aku tengok sedap je tidur. Tiba-tiba ja bersuara. Terkejut den!” Omel Thasif akan perlakuan Diana yang tak semena-mena muncul di tengah-tengah antara Firdaus dan Thasif. Mereka bertiga tertawa. Terpancar riak keriangan di wajah masing-masing.

“Tapi betul la kata kau Diana. Tiga hari dua malam si Wan tu sponsor kita homestay untuk ahli “group” kita semua. Siap sponsor bahan mentah untuk masak. Kita datang bawa perut ja. Untung-untung.” Firdaus meneruskan perbualan. Sesekali matanya melirik ke atas skrin telefon bimbit yang menunjukkan arah homestay yang dituju.

Kira-kira 25 minit memandu sejak keluar daripada lebuhraya, mereka bertiga tiba di inap desa (homestay) yang ingin dituju tepat pada jam 3:30 petang. Inap desa itu terletak di sebuah perkampungan yang mana disepanjang jalan kebanyakan kawasannya dikelilingi sawah padi saujana mata memandang.

Sewaktu menelusuri mini tar untuk masuk ke inap desa itu, di sebelah kiri dan kanannya merupakan dusun buah-buahan. Dan di sebelah inap desa itu terdapat sebuah anak sungai yang mengalir jernih airnya.

“Wehhhh! Ada sungai weh! Pokok durian, rambutan lagi. Ya ampun best gila tempat ni!” Galak mata Thasif mengitari sekeliling. Belum sempat Firdaus menarik brek tangan, Thasif sudah meluru keluar dan berpusing melihat seluruh kawasan inap desa ini. Tergeleng-geleng kepalanya seolah-olah masih tidak percaya akan keindahan suasana di situ.

Diana dan Firdaus terkekek-kekek ketawa melihat lagak Thasif. “Orang bandar masuk kampung macam gitu la. Jadi jakun terus.”

Rumah inap desa satu tingkat itu tersergam besar. Rumah batu. Tetapi senireka arkitekturnya mengikut rekaan rumah-rumah tradisional zaman dahulu. Kelihatan moden namun masih terserlah keindahan rekaan tradisi Melayu.

Ketibaan mereka bertiga disambut oleh Wan Jameela di muka pintu. Terukir senyuman lebar di wajahnya sebaik melihat Firdaus, Thasif dan Diana. Ceria. Setelah berbulan-bulan berkomunikasi di alam maya, kini mereka muncul secara nyata di depan mata, hati mana yang tidak gembira.

“Mari masuk rumah Kak Wan.” Sopan pelawaan Wan Jameela.

“Eh ini rumah Kak Wan ke?” Soal Thasif.

“Ye, ini rumah peninggalan arwah ayah Kak Wan. Dibuat homestay.” Balas Wan Jameela terhadap pertanyaan Thasif sambil tersenyum.

“Korang lapar tak? Kak Wan dah masak siap dah sejak tengahari tadi. Kak Wan jam 10 pagi dah sampai kat sini.”

Pelawaan itu ditolak sopan oleh Thasif dan Diana.

“Saya nak makan kak. Lapar. Saya makan pagi tadi ja. Hehehehe.” Sengih Firdaus sambil membuat simbol “peace” pada Wan Jameela.

Selepas ditunjukkan bilik masing-masing oleh Wan Jameela, Diana dan Thasif terus berehat di ruang tamu. Manakala Firdaus terus membontoti Wan Jameela ke arah dapur untuk makan.

“Kak Wan, cukup ke lauk ni? Ramai lagi geng kita yang belum sampai lagi kan?” Pertanyaan diajukan oleh Firdaus sebaik dia melihat kari ayam yang ada hanya beberapa ketul sahaja. Pada hematnya, lauk itu tidak cukup untuk dimakan mereka berlapan nanti.

“Errr… Cukup kot. Ala, kalau tak cukup nanti kita masak lagi la.” Ujar Wan Jameela acuh tak acuh sambil terus berlalu ke arah ruang tamu.

[Ummi Karmila] : Kereta kami rosak tengah jalan. Sekarang ni tengah tunggu tow truck. Kalau kereta rosak teruk, maaf tau kalau kami tak dapat join gathering. Papehal nanti kami roger.

Mesej daripada Ummi Karmila mengejutkan mereka yang telah berada di inap desa tersebut. Mengikut perancangan, Ummi Karmila berkongsi kereta bersama-sama Cik Alina, Wardah Alami dan Hazira Halim.

“Alaa tak best la camni kalau dorang tak join. Tinggal kita bereempat ja.” Keluh Thasif. “Gathering” kali pertama ini sepertinya sudah kurang serinya lantaran tidak cukup korum.

“Takpa la, kita teruskan gathering ni macam plan awal la. Benda dah nak jadi kan, bukan boleh elak.” Tegas nada suara Wan Jameela. Mereka bertiga yang lain hanya mengangguk lemah tanda setuju dengan pendapatnya.


Malam itu ketika menikmati makan malam, mereka bereempat hanya berbual kosong. Sesekali berderai hilai tawa mendengar kisah lucu masing-masing. Acapkali Thasif yang menjadi tukang karut. Sifatnya memang begitu, ada-ada sahaja kisah untuk dikongsi.

“Pandai Kak Wan bajet masak untuk hari ni. Kari ayam tu memang ngam-ngam untuk kita berempat. Kalau dorang berempat yang lain jadi datang tadi, mesti kita kena pakat-pakat masak lauk yang baru,” ujar Firdaus terhadap Wan Jameela sewaktu membasuh pinggan mangkuk.

“Kak Wan teka je. Selalu gathering macam ni, mesti ada yang tak jadi datang last minute. Kak Wan dah biasa kena macam tu. Hihihi.” Kak Wan menyeka peluh di dahinya sambil menyental periuk di sinki bersebelahan dengan Firdaus. “Malam ni kita tidur awal. Esok pagi-pagi Kak Wan ada plan.”

“Plan apa Kak?”

“Ada la. Surprise untuk korang… Hihihihi.”

“Ada-ada ja Kak Wan ni tau!”

Mereka berempat berehat sebentar di ruang tamu sambil menonton drama di televisyen. Tiada aktiviti khas untuk dilakukan pada malam itu. Di ketika itu, Kak Wan banyak mendiamkan diri dan memencilkan diri jauh daripada Firdaus, Thasif dan Diana.

Sejak tiba di inap desa ini pada petang tadi, Firdaus terperasan akan perangai Kak Wan. Sekejap peramah, sekejap seperti pemalu sehinggakan hendak memandang mata pun dilarikan jauh atau terus memandang lantai sambil perlahan-lahan menjauhkan diri. Tapi Firdaus tidak terlalu mengambil pusing akan perkara itu, pada fikirannya mungkin mereka semua baru sahaja pertama kali berjumpa dan masih malu-malu.

Tak sampai 15 minit menonton televisyen, masing-masing terasa sangat mengantuk sehinggakan semua meminta diri untuk masuk ke bilik tidur masing-masing. Thasif dan Firdaus berkongsi bilik. Manakala Diana dan Wan Jameela masing-masing di bilik berasingan.

Sewaktu melangkah ke arah bilik tidur, wajah Diana kelihatan gusar bagaikan ada sesuatu yang menganggunya. Firdaus yang terperasan akan keadaan Diana, cuba menyoalnya, namun Diana hanya membuat isyarat supaya diam.


Diana created group “Perhatian Firdaus & Thasif”

Diana added @Firdaus Safi

Diana added @Thasif Haizad

[Diana Shakira] : Oit Firdaus, Thasif. Aku ada hal nak bagitau korang ni.

Firdaus Safi : Apahal? Tido la wei. Ngantok teruk dah ni. Dok create group baru apa lagi ni?

[Diana Shakira] : Penting ni.

[Thasif Haizad] : Apadia? Ko borak je la dengan Firdaus. Nanti aku baca ja. Aku mengantuk sangat ni.

[Diana Shakira] : Tadi masa ko dengan Kak Wan tengah mengemas dan membasuh kat dapur. Aku pusing-pusing kejap dalam rumah ni.

[Diana Shakira] : Aku ternampak satu bilik tidur kat sebelah tandas. Bilik tidur tu tak ada orang guna. Lampu tak buka dalam bilik tu. Gelap. Tapi aku ternampak sedikit cahaya daripada skrin laptop. Skrin laptop tu tak dilipat habis, so skrin dia still menyala la.

Firdaus Safi : OK. Macam saspen je ni. Ko nampak momok ke?

[Diana Shakira] : Disebabkan laptop tu terletak kat atas meja betul-betul di tepi pintu bilik, aku pun tertarik la untuk masuk dan terus ke laptop tu. Aku pasti yang laptop tu milik Kak Wan sebab ada sticker nama dia kat laptop tu. Aku tengok skrin. Korang tau aku nampak apa?

Firdaus Safi : Apa? Cepat sikit. Aku ngantuk. Nak terlelap teruk ni. Thasif dah berdengkur dah pun.

[Diana Shakira] : Weh jap. Dengar dulu cerita aku. Aku pun ngantuk gak. Tapi dok tahan mata je ni.

[Diana Shakira] : Kat skrin laptop tu ada terbuka aplikasi Whatsapp for PC.

[Diana Shakira] : Ko tau tak yang Ummi Karmila, Cik Alina, Wardah Alami, Hazira Halim adalah orang yang sama? Semuanya profil milik Kak Wan! Tu semua fake account Kak Wan! Kak Wan yang control semua Whatsapp nama-nama tu.

[Diana Shakira] : Firdaus? Thasif? Korang baca tak ni?

[Diana Shakira] : Aku rasa seram gila weh sekarang. Aku tak pasti apa tujuan Kak Wan buat banyak fake account macam tu. Aku rasa tak sedap hati la. Kita keluar dari rumah ni nak?

[Diana Shakira] : Weh korang!!!! Reply la!!!! Jangan tidur lagi!

[Diana Shakira] : Weh! Please reply!!


Firdaus cuba menguap namun terasa ada sesuatu yang melekat di antara bibir membuatkan pantas dia membuka matanya. Baru dia sedar mulutnya telah dilekat dengan “duct tape”. Tangan dan kakinya juga terikat membuatkannya langsung tidak dapat berdiri. Hanya terduduk melunjur di lantai.

Di hadapannya kelihatan Thasif dan Diana juga berkeadaan sepertinya. Terikat. Perlahan-lahan Thasif dan Diana mula bergerak menandakan mereka juga sudah mulai sedar daripada tidur. Thasif meronta kuat dengan suara yang tertahan di kerongkong. Diana pula merenung ke arah Firdaus dengan kelopak mata yang berair. Matanya jelas menggambarkan ketakutan yang dirasainya kala ini. Nafasnya berbunyi keras.

Firdaus cuba menenangkan dirinya dan melihat keadaan sekeliling. Mereka bertiga terkurung di sebuah bilik kecil bersaiz 6×6 kaki. Pada fikirannya, itu merupakan bilik stor. Langsung tidak bertingkap dan pintunya bertutup rapat.

Tiba-tiba kedengaran kunci dibuka di luar pintu. Mereka bertiga terdiam dan berdebar memandang. Masing-masing menunggu apakah yang akan muncul di sebalik daun pintu itu.

Sebaik pintu dibuka, berdiri tegak Wan Jameela dengan tersenyum lebar. Senyuman mesra yang sama seperti menyambut ketibaan mereka semalam. Di tangannya tergenggam kemas sebilah pisau pemotong daging. Diacukan pisau itu satu persatu ke arah mereka bertiga.

Suara tangisan Diana mula kedengaran di sebalik “duct tape”. Thasif pula semakin kuat meronta cuba membuka ikatan ditangannya. Firdaus hanya berdiam sambil mengenangkan apakah akan terjadi pada nasibnya selepas ini. Hidup atau m**i.

Thasif yang gagal untuk membuat ikatan pada tangannya mula cuba bercakap dengan Wan Jameela. Namun sebutir patah perkatan tidak dapat difahami lantaran suaranya hanya terkulum di kerongkong.

“Ye Thasif, Thasif nak cakap apa?” Suara Wan Jameela seakan mengejek Thasif yang berkeadaan begitu. “Kak Wan akan bagi Thasif cakap. Tapi, dengan syarat Thasif cakap baik-baik. Perlahan-lahan. Janji ye? Promise?”

Wan Jameela menunduk dan merentap pantas “duct tape” pada mulut Thasif. Mengerang Thasif menahan kesakitan pada bibirnya.

“Kak Wan, kenapa buat kami macam ni? Kenapa ikat kami? Kita kan family.” Bergetar setiap bait kata yang terbit daripada mulut Thasif.

“Family? Hahahaha. Sejak bila aku jadi keluarga kau?”

“Tapi, Kak Wan baik selama ni. Dalam group Whatsapp, dalam Facebook.”

“Kau percaya? Kesian. Pernah dengar kata-kata ni? – jangan percaya dengan apa yang ada di alam maya.” Wan Jameela tersengih pada Thasif. Kemudian matanya melirik tajam pada Diana dan Firdaus. Seolah-olah cuba membuat mereka semua faham akan pengertian maksud kata-kata itu.

“Apa Kak Wan nak buat kepada kami?”

“Hmmm… Aku sekarang nak beralih kepada penulisan genre thriller. Aku dah bosan dengan genre cinta. Maka, kamu bertiga adalah bahan ujikaji aku untuk genre thriller. Korang adalah plot dalam cerita aku. Korang semua akan m**i. Hahahahaha!”

“Sial! B**i! Jangan harap kau nak ambil nyawa aku. Aku tak akan…emphh erghhh agrhhh!”

Wan Jameela terus menampal kembali mulut Thasif tanpa sempat dia menghabiskan cercaannya. “Aku dah pesan kan tadi? Cakap perlahan-lahan. Baik-baik. Okay mungkin kau adalah orang pertama yang akan m**i. Hahahaha.”

“Hmmm elok juga d*****h semua kan Wan? Saya malu la dengan dorang semua.”

“Sabar la Jameela. Mereka akan m**i juga. Tapi aku nak jalankan ujikaji aku dahulu.”

“Ujikaji apa tu Wan? Saya tak tahan duk dalam bilik ni dengan dorang. Malu. Jom keluar ke depan.”

“Aku cakap sabar. Kau ni Jameela! Sabar la kejap. Ini semua aku lakukan demi profesion kita sebagai penulis. Untuk lebih berjaya dan perlahan-lahan menghapuskan semua saingan kita.”

“Baiklah. Saya cuba kawal malu saya. Tapi jangan lama-lama ye Wan. Saya dah rasa nak menggeletar ni. Anthropophobia saya makin membuak-buak sekarang.”

“Aku pun tak tahan juga nak mengawal perasaan aku di depan dorang. Pura-pura berkawan baik. Kalau dalam alam maya aku mampu mengawal lagi. Tapi bila berdepan begini, aku rasa semakin tak mampu. Tapi demi ujikaji novel thriller terulung aku, aku gagahkan jua. Segala sociophobia dalam diriku, aku cuba bendung.”

Firdaus, Thasif dan Diana terpempan melihat Wan Jameela bersembang dengan dirinya sendiri. Terbeliak mata mereka menyaksikan kejadian itu. Ada dua personaliti dalam diri Wan Jameela. “Split” yang jelas nyata.

“Aku tahu apa fobia kamu bertiga. Firdaus, kau arachnophobia iaitu fobia pada labah-labah. Thasif, kau katsaridaphobia iaitu fobia lipas. Diana, kau coulrophobia iaitu fobia pada badut. Hahahaha!”

Diana kembali meronta-ronta kuat tatkala terdengar perkataan badut. Fobianya terhadap badut begitu dahsyat sehinggakan mendengar perkataan sahaja sudah menimbulkan panik. Air matanya berjujuran deras.

“Menyesal? Korang menyesal ye bagitahu aku apa fobia korang bila aku tanya tempoh hari dalam group? Hihihihi. Padan muka! Hari ni, aku nak korang mengadap fobia korang.”

Wan Jameela berlalu keluar daripada bilik stor itu. Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Masing-masing sudah menggeletar seluruh badan terbayangkan fobia yang akan mereka hadapi. Mereka hanya mampu berdoa bahawa itu hanyalah gurauan daripada Wan Jameela.

Beberapa ketika kemudian, kedengaran bunyi-bunyian dari arah luar bilik stor itu. Seakan-akan Wan Jameela sedang sibuk melakukan sesuatu.

Sebaik pintu dibuka, kelihatan tiga patung badut, dua tong berisi lipas dan dua tong berisi labah-labah di hadapan pintu. Firdaus, Thasif dan Diana kelam-kabut mengengsot ke arah sudut bilik stor paling dalam. Nafas deras mereka kedengaran berselang-seli.

“Ohh terlupa pula. Aku nak rakam segala perlakuan korang. Hehehe.” Wan Jameela memasang dua buah telefon bimbit yang disangkut pada dinding dan dihalakan tepat pada mereka bertiga. “Ahhhh lagi satu, aku nak longgarkan sikit ikatan tangan korang. Aku nak tengok apa korang akan buat sekejap lagi. Kalau korang berani melawan, aku tetak terus dengan pisau pemotong daging ni!”

Sebaik melonggarkan ikatan tangan mereka bertiga, Wan Jameela meletakkan sebilah pisau di tengah-tengah bilik stor.

Kemudian Wan Jameela menghumban patung-patung badut, lipas dan labah-labah ke dalam bilik stor itu dan dengan pantas menutup serta mengunci pintu. Hilaian tawanya jelas kedengaran di seluruh inap desa tersebut.

Patung badut yang dihumban itu tepat terjatuh di kaki Diana. Manakala labah-labah dan lipas mula merayap di seluruh bilik stor kecil itu. Serangga yang berjumlah beribu-ribu itu mula hinggap dan melata di tubuh mereka bertiga.

Tangisan dan jeritan di sebalik “duct tape” semakin kuat. Masing-masing meronta kuat, berguling-guling dan ada yang menghantuk kepala ke lantai. Badan Firdaus dan Thasif meliang-liuk setiap kali serangga itu merayap di muka mereka. Wajah mereka bertiga kelihatan begitu terseksa dan merana.

Selepas hampir 30 minit, Diana orang yang pertama dapat membuka ikatan di tangannya. Dibuka ikatan pada kakinya dan dicabut pelekat pada bibirnya. Jeritan nyaring daripada Diana menggegarkan inap desa tersebut. Seluruh tubuhnya bergetar dahsyat. Matanya merah menyala dengan air mata mengalir tanpa henti.

Patung badut yang berhampirannya diterajang kuat sehingga terpelanting ke arah pintu. Jeritannya terus bergema sehingga tiada lagi suara yang keluar akibat kotak suaranya yang telah pecah. Dengan tubuh yang bergoncang kuat, Diana mencapai pisau yang terletak di tengah bilik lalu menikam dada dan perutnya berulang kali. Difikirannya, dia lebih rela m**i daripada berhadapan dengan fobianya itu.

Selepas berbelas kali tikaman ke arah tubuhnya sendiri, Diana terkulai layu dengan d***h penuh mengalir membasahi lantai stor. Dengan pantas lipas mula mengerumuni d***h tersebut.

Firdaus pula sudah kekejangan di seluruh badan sehingga tidak mampu bergerak. Matanya terbeliak tidak lagi berkelip. Jari-jemarinya kaku dan terdapat beberapa jari yang telah patah. Mulutnya ternganga luas sehingga air liur menitis keluar pantas umpama diperah-perah daripada kelenjar liurnya. Sesekali lipas dan labah-labah memasuki rongga mulutnya. Akalnya telah rosak, mentalnya hancur. Dia umpama orang bodoh dan gila. Hilang akal.

Manakala Thasif tersembam ke lantai dengan dahi yang berlekuk dan berdarah akibat hantukan berulang kali ke lantai sebentar tadi. Tubuhnya sudah kaku tidak bernyawa. Ketakutan yang melampau telah merenggut nyawanya keluar daripada tubuh.

Perlahan-lahan Wan Jameela memasuki kembali stor itu apabila tiada lagi suara yang kedengaran. Terkekek-kekek dia ketawa melihatkan keadaan mangsanya yang bergelimpangan.

“Hmmm… Ini betul-betul di luar jangkaan, tak sampai satu jam sampah tiga ekor ni dah tewas. Hebat betul penangan fobia. Yes! Ujikaji berjaya! Aku dah dapat idea untuk menulis tentang apa yang akan terjadi pada manusia jika mereka didedahkan dengan fobia tanpa ruang untuk melarikan diri.” Wan Jameela melompat riang seperti kanak-kanak mendapat gula-gula. Tiba-tiba dia terperasan yang badan Firdaus masih bergerak tanda masih bernyawa.

“Eh! Hidup lagi ke si Firdaus ni? Olololo ciannyeee ye dia ye… Meniarap dengan mata terbeliak, air liur meleleh. Macam binatang! Hahahaha.”

Wan Jameela mencabut pisau yang tercacak pada leher Diana lalu menikam belakang Firdaus. Bunyi pisau yang menembus isi serta bergesel dengan tulang telah membuatkan Wan Jameela tersenyum lebar penuh makna. Puas.


Di salah sebuah bilik tidur di inap desa tersebut, Wan Jameela sedang memuat naik “teaser” novel thriller terbaru ke akaun Facebook miliknya.

Bunyi notifikasi Facebook menandakan terdapat respon terhadap “teaser” terbarunya.

“Best gila! Tak sabar nak tunggu novel ni keluar…” – Ummi Karmila.

“Menarik garapan jalan ceritanya… Tolong cepat siapkan novel ni!” – Cik Alina.

“Berdebar baca teaser… Rasa begitu real penceritaannya… Good job penulis!” – Wardah Alami.

“Walaupun saya jarang baca novel thriller… Tapi teaser ni sangat menarik perhatian saya! – Hazira Halim.

Wan Jameela memuji dirinya sendiri dengan menggunakan pelbagai “fake” akaun Facebook. Bibirnya menguntum sinis. Matanya galak. Jarinya pantas mengetuk punat tetikus, mencari penulis thriller untuk diajak memasuki “group” Whatsapp yang baru diwujudkan. Otaknya sudah mula ligat merencanakan rancangan syaitan yang akan datang.

“Kau… Ya kau yang tengah baca ni, nak join group WhatsApp? Sila tinggalkan nombor telefon di bahagian komen. – Wan Jameela.”

-TAMAT-

nota
Anthropophobia – Fobia pada manusia.
Sociophobia – Fobia pada perhubungan sosial.
Arachnophobia – Fobia pada labah-labah.
Katsaridaphobia – Fobia pada lipas.
Coulrophobia – Fobia pada badut.

Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah seram terbaru beliau. Sila tekan link seperti berikut :-

https://www.facebook.com/deefen.df

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

#DeeFen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

15 thoughts on “FOBIA: FAKE ACCOUNT”

  1. mcm pernah baca kisah lebih kurang mcm ni di FS dulu…tp grup bujang lelaki perempuan (mrk ni kawan realiti bukan kawan alam maya) yang sewa homestay dalam kampung terpencil…homestay tu banglo 2 tingkat…salah sorang dlm grup tu niat nak b***h semua org dlm banglo tu…sebab psiko….

    Reply
  2. Salam… Jujurnyer, story ni bg den just ‘Okey’ lah, just ‘Nice’ org kata… Nak buat mcm mana kalau penulis lebih ‘minat’ genre triller… So xbrp ‘kick’ tahap seram dia bg den… Gaya penulisan mantap, boleh jadi cikgu bahasa org kata, cuma perbanyakkan cerita berunsur seram, mistik, paranormal… FS ni lebih kepada penulisan paranormal, klu hadap cerita triller, rasanya boleh dpt bnyk dkt popular bookstore ataupon MPH bookstore… Den bg 2bintang dari 5…

    Reply
  3. Plot penerimaan sedikit sebagai menyamai carekarama “Trauma” yang dibintangi oleh Janna Nick. Pengolahan penceritaan yang sangat bagus dan menarik. Menzahirkan dengan baik perasaan watak2 dalam penceritaan. Teruskan usaha.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.