GADIS CANTIK MENEMANI DI PEJABAT

Kisah ini berlaku di tempat kerja. Aku dah lama kerja di sebuah kilang mengeluarkan cermin kereta. Di Jabatan tempat aku bekerja, macam-macam cerita yang aku dengar. Namun, aku abaikan sahaja semua kisah seram yang diceritakan padaku. Aku anggap ianya hanya untuk menakutkan aku sahaja. Hinggalah satu hari aku alami sendiri.

Setiap hari biasanya aku akan habiskan kerja-kerja pejabat selewat-lewatnya pukul 10 malam. Rutin ini sudah biasa bagiku. Oleh kerana kerja terlalu banyak, aku tidak dapat menghabiskannya mengikut waktu bekerja. Kebiasaannya pula aku akan tinggal seorang di pejabat dan menumpukan tugas yang perlu disiapkan

Satu malam, seperti biasa sebaik sahaja aku selesai memeriksa kilang, aku terus pulang ke pejabat untuk mengumpulkan semua maklumat yang aku terima. Kemudian ku susun dan olah menjadi satu laporan. Laporan ini aku harus hantar keesokan harinya, kerana aku tidak suka untuk melengahkan kerja ku. Kalau boleh aku mahu Ketua Jabatan menerima Laporan ku secepat yang mungkin.

Kerana terlalu leka dengan Laporan yang perlu ku siapkan, sedar-sedar jam telah menghampiri pukul 11.00 malam. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi tapak kaki. Aku terus menoleh ke arah bunyi tersebut. Kemudian aku tersenyum. Lebih kurang 5 meter dari jarak mejaku, berdiri seorang lelaki berbaju putih, berseluar gelap. Lelaki itu tanpa berkata apa-apa, terus beredar. Gelagatnya membuat aku sedikit rasa pelik.

Tidak mahu berfikir panjang, aku meneruskan tugasan supaya Laporan siap segera. Aku yang biasa pulang pukul 10.00 malam, namun hari itu aku pulang sekitar pukul 12.00 malam. Setelah mengemaskan meja, dan memadamkan lampu, aku segera menapak turun ke tingkat bawah. Aku sedikit hairan kerana lampu masih lagi menyala di tingkat bawah pejabat. Kebiasaannya, lampu akan ditutup lebih awal. Aku segera pergi ke suis lampu dan menekan satu persatu. Ruang pejabat jadi gelap, namum itu sudah biasa bagiku.

Setelah menutup pintu pejabat, aku mengunci dari luar. Bila pasti pintu berkunci, aku segera menapak untuk terus sampai di pondok pengawal keselamatan. Lebih kurang 10 minit berjalan, dari jarak 5 meter, aku lihat bilik pengawal keselamatan masih terang benderang. Jadi, tidak sukar untukku teruskan perjalanan ke arah tempat letak kereta.

Setibanya aku di pondok pengawal keselamatan, aku mencari lelaki yang biasa datang ke pejabatku setiap malam. Lelaki itu yang selalunya akan menunggu dan berbual denganku sehingga aku selesaikan kerja-kerja pejabat. Dan dia akan memastikan lampu dan pintu pejabat ditutup dan dikunci.

“Abang cari siapa?” sapa salah seorang pengawal keselamatan.

“Salem ade?” aku bertanya pula

“Dia sudah balik la abang…” jawabnya.

“Takpe. Esok saya jumpa dia,” aku menambah sambil berjalan menuju ke tempat parking.

Keesokannya aku tiba seawal 7.00 pagi hanya untuk bertemu Salem. Setelah memakirkan kereta, aku terus menuju ke pondok pengawal keselamatan.

“Salem!” aku memanggilnya. Tersentak dia dan memandang tajam ke arahku.

“Ya abang…” dia menyahut kemudian.

“Malam tadi kenapa you tak datang borak-borak sama saya?” soalku ingin kepastian. Dia menggaru-garu kepala. Lama dia menunduk ke lantai.

“Takde abang… malam tadi tu saya tak mau kacau abang,” dia menjawab.

“Kenapa? Bukan ker you dah biasa borak sama saya?” aku sedikit kehairanan dengan jawapannya.

“Saya bukan tak mau borak sama abang. Tapi….” ayatnya berhenti di situ.

“Kenapa?” aku menyoalnya lagi ingin tahu.

“Malam tadi tu saya ada nampak dua perempuan cantik sebelah kiri kanan abang,” dia menjawab agak gugup.

Aku menaikkan sedikit kening dan bulu romaku mula meremang.

“Perempuan?” aku menyoalnya lagi

“Ya abang.. Sangat cantik… ” dia menjawab dengan kepalanya tergeleng-geleng.

“Aishhh, you ni.. biar betul! Kat tempat abang tu mana ade perempuan! Pekerja semua lelaki!”
aku berkata. Aku merasa tidak selesa dengan cerita Salem. Mustahil ada perempuan cantik? Siapa pulak mereka itu?

“Ye abang.. itu sebab saya tak mau kacau abang. Saya terus turun,” dia berkata lagi.

“Abang.. malam tadi dia muka pucat,” sampuk Rony seorang lagi pengawal keselamatan. Aku memandang Rony kemudian beralih pada Salem. Lantas aku menundukkan muka memandang lantai. Lama aku berfikir dan tertanya-tanya. Perempuan mana yang dimaksudkan Salem.

Setelah aku siasat, rupa-rupanya yang Salem nampak itu makhluk ghaib yang tinggal dan berkampong di pejabat itu. Makhluk ghaib tersebut memang sudah lama jadikan tempat itu sebagai perkampungan mereka. Selepas kejadian itu, banyak lagi cerita yang ku dengar dari rakan-rakan sepejabat yang mengalami kejadian aneh di situ.

Namun bagiku apa yang diceritakan Salem, membuat aku tidak berani lagi untuk bekerja seorang diri. Samada aku minta ditemani Salem atau aku akan balik awal.

Sekian….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Puteri Masqara

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]

2 thoughts on “GADIS CANTIK MENEMANI DI PEJABAT”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.