Assalamualaikum, aku Sharifah. Aku adalah seorang isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata. Kisah yang aku nak kongsikan ini berlaku semasa aku dalam pantang selepas melahirkan anak aku. Waktu tu aku dan suami baru berpindah ke rumah baru, kondo yang terletak di KL. Kondo tu boleh dikatakan lama juga naik tapi belum ada ramai penghuni lagi-lagi tingkat tinggi. Sepanjang mengandung, tak pernah ada gangguan walaupun rumah agak kosong. Yalah, perabot belum ada banyak. Cuma ada yang essential saja.
Tapi semuanya berubah bila aku dah melahirkan anak aku dan berpantang di rumah itu.
Nak dijadikan cerita, aku bersalin awal 3 minggu dari tarikh EDD. Suami aku ada book confinement lady tapi kakak tu cuma akan datang pada tarikh yang dijanjikan. Disebabkan suami aku cuma cuti seminggu dan kena bekerja, mak mentua aku yang datang dari kampung untuk jaga aku. Mak mentua aku orang Melaka, pandai jugalah untuk uruskan pantang ni. Aku tak adalah berpantang tradisional sangat, ubat dan nasihat doktor pun aku pentingkan. Mak mentua aku banyak tolong masakkan makanan aku, mandikan aku dan baby, urut, tungku dan beberapa benda lain yang aku tak arif.
Selepas discaj dari hospital, mak mentua aku yang jaga sepenuhnya dan ajar suami aku juga. Dua-dua muda, walaupun dah banyak membaca, tetap tak reti juga buat sendiri. Waktu pantang ni banyak menguji mental aku. Tak cukup tidur, baby menangis tak tahu nak apa, tak boleh solat dan mengaji, luka lagi. Mungkin sebab itu juga aku kena kacau.
Gangguan bermula selepas beberapa hari aku discaj dari hospital. Tidur dengan aircond, tak pasang kipas. Jadi bilik memang sunyi bila waktu tidur, bunyi detik jam pun boleh dengar. Baby cot aku letak di sebelah aku, memudahkan aku untuk angkat baby malam-malam. Mak mentua aku pula tidur di bilik tamu.
Aku macam tidur-tidur ayam, sebab setiap beberapa jam aku bangun untuk susukan baby. Baby boy, kuat menyusu. Waktu tu aku tak pasti pukul berapa tapi mungkin dah 2-3 pagi. Suami aku dah tidur nyenyak dekat sebelah. Aku terjaga, sebab baby menangis. Waktu baby menangis kali pertama, suami aku yang angkatkan dan kejut aku untuk susukan. Dah lewat ni, akulah bangun sendiri.
Perlahan-lahan aku bangun, angkat anak aku. Bilik agak gelap, cuma ada lampu bilik air yang dibiar terbuka. Aku susukan direct, macam biasa. Aku tahan mengantuk jugalah, takut terlelap. Waktu aku susukan sambil bersenandung zikir Ya Latif, telinga aku tangkap bunyi baby merengek. Bunyi tu dekat, tapi perlahan.
Sebiji macam suara anak aku. Aku tunduk, tengok anak aku. Elok diam, menyusu. Aku dah meremang bulu roma. Dari mana datangnya suara baby ni? Aku tak berani nak pandang sekeliling. Kaki yang tadi berlunjur, aku rapatkan. Takut. Macam terkedu.
Aku berhenti berzikir. Diam. Aku tak terucap nak baca ayat kursi ke apa. Cuma doa dalam hati, minta Allah lindung aku dan anak aku. Suara tu tak hilang-hilang. Aku dah menggigil takut. Nak kejut suami pun takut. Tak nak bersuara langsung. Aku pegang anak aku kuat-kuat. Rasa macam 10 minit jugalah macam tu.
Tiba-tiba suami aku tersedar, dia tidur membelakangkan aku. Dia pusing pandang aku, gosok mata.
“Sayang?”
Suami aku ni rabun teruk jugalah. Dalam gelap, lagilah dia macam kurang nampak. Aku sahut, “Hm.”
“Adik (baby) susu ke?” tanya suami aku.
“Haah. You, teman eh?” pintaku. Dah takut.
Dia tak tanya banyak, “Ya, I teman.”
Sampai dah sendawakan baby dan baringkan semula dalam baby cot, barulah suami aku tidur. Pagi tu, sebelum dia pergi kerja, aku cerita apa yang berlaku malam tu. Dia tahu aku ni jenis berani, semua benda buat sendiri, duduk seorang pun taka da hal. Tapi bila dia tengok aku takut macam tu, dia pun takut. Mula-mula dia anggap aku cuma salah dengar, yalah, mamai kan. Tapi aku yakin sangat suara tu betul-betul ada. 10 minit tak berhenti rasanya.
Mak mentua aku pun kata, rumah ni tak sempat baca-baca ayat masa baru pindah. Sebab kelam kabut aku tengah sarat. Mungkin ada benda yang duduk sebelum kami berdua. Jadi mak mentua aku cadang, minta ayah mentua aku pagarkan dan buat apa yang patut nanti bila datang. Aku pun setuju.
Gangguan tu tak berakhir di situ saja. Aku mula nampak-nampak kelibat. Selalunya waktu Maghrib. Paling aku ingat, aku tengah duduk dalam bilik dengan baby. Baby baru mandi, jadi tak tidur. Mak mentua aku pula mandi dan bersiap untuk solat Maghrib. Aku leka layan baby, kemudian aku nampak kelibat suami aku melintas depan pintu. Berjalan biasa, bukan sekilas. Baju kemeja warna nude, seluar slack. Memang haritu dia pakai begitu pun.
Aku pun tegur, “You, balik dah?”
Dia tak datang masuk bilik, tak pula menyahut. Dia berjalan ke arah bilik mak mentua aku. Aku pelik juga, sebab tak dengar bunyi pintu depan pun. Suami aku selalunya bagi salam bila masuk rumah. Tapi tak syak apa-apa lagi.
“You?” panggilku lagi. Tak ada.
Aku susah nak bangun dari katil sebab pakai bengkung, jadi aku panggil lagi suami aku minta tolong, “You, ambilkan napkin Adik dekat depan boleh?”
Tak menyahut.
Aku dah pelik. Tak pernah suami aku tak menyahut kalau aku panggil. Mustahil tak dengar sebab bilik mak mentua aku sebelah saja. Suara aku pun agak kuat. Aku yakin itu dia, sebab bentuk tubuh sama. Siapa lagi ada dekat rumah ni pun.
Tak lama lepas tu, mak mentua aku keluar dari bilik air. “Fafa (nickname aku), panggil Umi ke tadi?”
“Eh tak, Umi. Fafa panggil Aniq tadi. Nak minta tolong ambilkan napkin Aryan (anak aku).” jelasku.
Mak aku pandang ke ruang tamu kemudian pandang aku semula, “Aniq tak balik lagilah, Fafa.”
“Hah?”
“Mana ada Aniq.” jawab mak mentua aku.
Aku terdiam. Rasa macam nak tercabut jantung.
“Tapi Fafa nampak Aniq masuk bilik Umi tadi.” jelasku lagi, nak nangis rasa.
“Astaghfirullah, taka da orang pun bilik Umi ni hah,” jawab mak mentua aku.
Ah, sudah. Memang betul aku nampak suami aku tadi! Tinggi dia, bahu dia, cara jalan dia. Itu memang dia!
Mak mentua aku dah nampak muka aku pucat, dia pun temankan aku. Solat dalam bilik aku, temankan aku sampai suami aku balik.
Dan ya, pukul 8 lebih barulah suami aku balik. Terus datang masuk bilik, tengok aku diam membisu dengan mak mentua aku. Mak mentua aku cerita apa yang aku nampak. Suami aku pun terdiam, tak sangka. Memang 8 lebih tu ialah waktu suami aku balik pun, kalau ada financial report kena buat, 9 lebih baru sampai.
Malam tu, memang tak banyak cakap. Aku macam lemah semangat dah rasa. Asyik flashback moment nampak suami aku tadi.
Gangguan paling teruk dah melibatkan keselamatan aku dan anak. Selepas gangguan ni, aku terus duduk rumah nenek aku yang tak jauh dari rumah kami sementara tunggu ayah mentua aku datang KL untuk pagarkan rumah. Ayah mentua aku tak bagi aku dibiarkan seorang diri langsung. Sepanjang masa mak mentua atau suami aku temankan. Nak mandi pun tak kunci pintu bilik air macam selalu. Suami aku bacakan Quran sampai aku tertidur, sama-sama berjaga bila aku bangun untuk susukan baby.
Gangguan ni berlaku sehingga mencederakan aku, kena bentan pula tu. Mak mentua aku nampak depan mata. Waktu tu aku baru selesai mandi, jadi mak mentua aku nak ikatkan sanggul. Aku duduk depan meja mekap dan mak mentua aku berdiri dekat belakang. Suami aku main dengan baby dekat depan, tak nak bagi menangis sementara aku nak bersiap. Batu tungku ada atas meja mekap tu. Baru lepas guna sebelum mandi tadi.
Tengah mak mentua aku ikatkan rambut tu, dengan mata kepala sendiri, batu tungku tu bergolek jatuh ke bawah. Jatuh kena jari kaki aku! Menjerit sakit aku jadinya. Mengucap panjang. Batu yang berat, bergolek laju macam ditolak. Depan mata aku dan mak mentua aku. Sakitnya Allah saja tahu. Kuku jadi biru kehitaman, sakit sangat-sangat. Kena bentan, demam berhari-hari. Perit sangat. Waktu tu memang nekad, suami aku terus kemaskan baju apa semua, bawa aku duduk rumah nenek aku. Tak nak apa-apa jadi dekat aku atau baby. Mak mentua aku tak kena apa-apa langsung, tapi dia memang terkejut dengan apa yang jadi depan mata dia.
Alhamdulillah, tak lama lepas tu, ayah mentua aku pagarkan rumah tu. Ayah mentua aku ada jugalah cakap, mungkin benda tu menghuni rumah ni sebelum kami. Tingkat 13 ni memang cuma 2 3 rumah saja ada penghuni, yang lain kosong. Rumah depan, kiri dan kanan aku memang kosong. Disebabkan ada bayi baru lahir, benda tu senang datang menganggu.
Alhamdulillah, aku balik ke rumah aku semula. Badan dah kuat sikit waktu tu dan confinement lady pun dah ada. Mak mentua aku sepatutnya balik Melaka sama-sama dengan ayah mentua aku. Tapi dua-dua duduk sekali sampai sebulan macam tu. Takut apa-apa jadi, dia orang jauh. Mak ayah aku pula bekerja, jadi sekali sekala saja boleh datang melawat. Mentua aku kedua-duanya pesara.
Nasihat aku, wanita dalam pantang ni janganlah dibiarkan seorang diri. Biarkan ada teman. Ayat Quran kena sentiasa pasang apatah lagi waktu Maghrib. Fikiran ibu dalam pantang pun tidak menentu, emosi. Memang kalau diingatkan semula, trauma rasa. Tapi alhamdulillah, anak aku dah nak masuk setahun dah pun. Tak ada apa-apa gangguan sejak peristiwa itu.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
kesian akak ye!
Bagus penulisan awak baca sekali lalu jer dah faham, tk pyh scroll atas bwh. Perkongsian yg sgt berguna 👍👍👍
sama la mase dlm pantang pon saya stress sgt sgt, prnh skali tu gaduh dgn hsbnd, saya pegang tgn saya ni kuat kuat smpai luka kene kuku lpstu saya lari keluar duduk dkt beranda luar tu ngis ngis sorg tgh mlm, skali pndg depan nampak ade org jengah dkt slingdoor umh depan ( kwsan rumah saya rumh teres 2 tingkat & rumah depan tu kosong tk berpenghuni, bnyk semak sbb corner lot) saya terus naik atas, mndi then tido. tgh pantang mmg kene jaga emosi betul betul. org sekeliling pon patut bagi positive vibes.
alaa seramnye takot pulak nak ngandung