Gangguan Pocong Part 2

Assalamualaikum admin dan pembaca FS. Sebelum aku teruskan menaip kisah ini, ingin aku jelaskan bahawa kisah ini aku ambil dari pencerita yang bernama Ikin. Untuk kesahihan cerita ini benar atau tidak, aku tak ada jawapan untuk soalan itu.

“Naz! Naz! Bangun Naz! Solat Subuh. Kamu menghadap benda alah (laptop) tu sampai tertido. Solat Isyak semalam solat tak? Bangun cepat! dah nak habis waktu.” Seperti biasa Opah mulakan rutin hariannya membebel padaku. Sebenarnya, bukanlah ‘membebel’ sebab aku dah biasa, aku pun tidaklah memberontak atau tidak suka cuma aku tak tahu nak guna istilah apa selain ‘membebel’.

Aku : Solatlah opah, opah juga pesan sesibuk macam mana pun kita jangan pernah tinggal solat. Naz buat kerja ni selepas solat Isyak.

Opah : Haa.. bagus tapi pesanan lain Naz lupa.

Aku : Pesanan apa?

Opah : Solat diawal waktu.

Opah berkata sambil tersenyum kecil. Kadang kala terdetik juga hati aku, sampai bila aku dapat melihat senyuman Opah. Usia Opah pun sudah meningkat 70.

Opah : Haa.. tu berangan apa pula. Solat cepat.

Aku : Yelah.. yelah.. baiklah Opahku.. kesayangan Naz dunia akhirat.

Aku bangkit dari sofa dan menuju ke bilik air. Sempat lagi aku menghadiahkan satu kucupan ke pipi Opah. Opah bagaikan seorang ibu dan ayah kepada aku.

Opah : Ohhh! Sebelum Opah lupa. Tok Aki suruh Naz jumpa dia. Kamu pun Opah nampak macam tak sihat sejak balik hari tu, alang-alang tu boleh minta tolong Tok Aki tengokkan keadaan kamu.

Aku : Baik, Nanti Naz jumpa Tok Aki.

Ya, dugaan sikit kali ini untuk aku habiskan penulisan aku. Entah kenapa, aku kerap demam dan kerap sakit-sakit badan. Tok Aki merupakan imam masjid dikampung aku dan boleh merawat penyakit misteri dengan izin Allah swt. Jika ubat hospital tidak memberi kesan, aku akan jumpa Tok Aki untuk diberikan air penawar. Semuanya dengan izin Allah. Jangan sampai kita syirikkan Dia Yang Agung.

Seusai solat subuh dan melakukan rutin harianku yang lain, aku minta izin pada Opah untuk ke rumah Tok Aki. Rumah Tok Aki tidaklah jauh dari rumah Opah.

Aku : Assalamualaikum Tok!

Tok Aki : Waalaikummussalam. Basuh kaki kamu dan masuk rumah dengan memberikan salam dan baca Ummul Kitab.

Aku turuti kehendak Tok Aki sebagai menghormati permintaan tuan rumah. Lagipun, Tok Aki tidak akan menyuruh lakukan sesuatu tanpa sebab. Belum sempat aku hendak bertanya, Tok Aki sudah berbicara.

Tok Aki : Kamu ada buat sesuatu yang boleh menyeru ‘dia’. Itu sebab badan kamu asyik lemah dan sakit.

Aku tergumam, seumur hidup aku, aku tak pernah lakukan perbuatan khurafat atau syirik. InshaAllah, aku cuba pelihara perbuatanku tapi kenapa Tok Aki kata aku menyeru dia? Siapakah ‘dia’ itu?

Aku : Seru? Dia? Siapa ‘dia’ tu?

Tok Aki : Kamu sedang tulis kisah dia seumpama kamu seru dia. Tok tahu kamu suka kisah misteri dan hantu tetapi hobi kamu itu boleh datangkan mudarat. Kalau kamu tak kuat, ralat hidup kamu nanti.

Aku : Maksud Tok, cerita pasal….

Tok Aki : Ya, kisah pasal seorang gadis m**i b***h diri dan menyerupai pocong yang menganggu keluarganya sendiri. Kamu tulis kisah tentang dia, jadi dia ikut kamu. Dia tertarik dengan kamu. Dari awal kamu balik dua minggu lepas, Tok dah nampak dia selalu ikut kamu kemana sahaja kamu pergi sampaikan tadi pun dia mahu masuk ke rumah Tok. Mula-mula Tok fikir ‘dia’ adalah benda dari kampung kita rupa-rupanya tidak.

Tok Aki : Bahaya kamu main dengan roh orang yang m**i b***h diri ni. Roh mereka tidak tenteram disebabkan roh dan jasad mereka tidak diterima dibumi dan dilangit. Akhirat nanti, dia kekal ahli neraka, tiada pengampunan.

Ya, aku diganggu oleh arwah Natasya tetapi bukan dengan penjelmaan di mata kasar aku. Aku cuma rasa lemah dan sakit-sakit badan. Untuk menulis satu kisah paling lama aku ambil masa tiga hari untuk aku susun atur cerita. Biasalah, pencerita kadang kala lupa ‘timeline’ cerita. Yang mana berlaku dahulu, dan yang mana patut diletakkan diakhir tetapi untuk cerita “Gangguan Pocong” ini, sudah dua minggu namun masih belum siap.

Setelah diubati dan diberikan air penawar, aku pulang ke rumah Opah. Pada mulanya, aku mahu menghentikan menulis cerita ini namun Tok Aki nasihatkan aku supaya habiskan penulisan dan selepas itu datang kepadanya semula. Aku juga dinasihatkan supaya banyakkan solat sunat dan berzikir. Tok Aki kata yang aku kena paksa diri untuk kuat, yakin semuanya bergantung kepada Allah semata-mata. Disini, aku ceritakan kisah “Gangguan Pocong” sampai akhir. Doakan aku sihat guys.

****************************************

Tajuk :- Gangguan Pocong II
Pencerita :- Ikin
Lokasi :- Dirahsiakan (atas permintaan pencerita)
Tahun :- 2006

Makcik Intan memotong bahan-bahan untuk dimasakkan lauk petang itu. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 6.30 petang. Dia tertidur, bangun sahaja dari tidur sudah melepasi pukul 6 petang. Jikalau suaminya ada, mesti ditegur perbuatannya itu. Suaminya tidak pernah marah atau mengangkat tangan padanya namun sifat tegas itu agak digeruni. Dia menyuruh anak-anaknya turun makan pada pukul 7.30 nanti. Biarlah dia melanggar peraturan rumah itu, dia juga sudah tidak bersemangat, hidup tanpa suami dan kehilangan seorang anak. Jiwanya meruntum kesedihan.

“Ibu!”

Hanya sepatah perkataan namun cukup membuatkan dirinya menggigil.

“Tap! Tap! Tap!” Bunyi locatan itu kedengaran jelas dibelakangnya.

“Ibu!” Sekali lagi namanya dipanggil. Air mata Makcik Intan mengalir laju.

“Ibu! Ibu dah tak sayang Uda ke? Uda sakit ibu, Uda terseksa. Tolong Uda, Ibu!” Suara itu menangis hiba.

Makcik Intan tidak menoleh. Dibiarkan suara itu menangis biarpun dia berasa seolah-olah Tasya berada begitu dekat dengannya.

“Kenapa Uda? Kenapa Uda bertindak macam tu kalau pengakhiran Uda lebih terseksa? Bukan ibu yang tak sayang Uda, Uda yang tak sayang ibu. Melihat dan memikirkan nasib Uda sekarang dan diakhirat kelak buat Ibu sedih. Kenapa Uda sanggup buat macam ni pada Ibu?” Makcik Intan berkata dengan suara yang menggeletar.

“Ibu! Tolong Uda, ibu. Uda takut.” Suara itu menangis lagi. Makcik Intan hanya menggelengkan kepalanya berulang kali, air matanya makin lebat membasahi pipi.

“Tolonglah! Jangan ganggu ibu dan adik beradik kamu lagi. Lemparlah hamparan emas pun, ibu dan adik beradik kamu tak mampu nak tolong kamu.”

“Ibu kena tolong Uda.. Ibu kena tolong Uda… TOLONGGG UDAAAA!!!!”

Meja dan kerusi diterbalikkan dengan kasar. Pingan mangkuk juga turut dilemparkan ke dinding. Makcik Intan memejam mata dan menekupkan telinganya dengan tapak tangannya. Dia terduduk ketakutan. Dia masih tidak menoleh ke belakang, berharap ada yang sudi membantunya ketika itu.

“Ibu! Ibu! bangun ibu. Apa yang berlaku?” Abanglong Syazwan memeluk Makcik Intan. Ikin hanya melihat situasi itu, dia yakin Makcik Intan baru sahaja diganggu oleh jelmaan pocong arwah Natasya.

***********************************

“Dap!”

Bunyi seperti buku di meja belajarnya terjatuh ke lantai. Syazwan hanya membiarkan, dia kembali sambung tidur. Malam itu agak panas menyebabkan dia tidak tidur di atas katilnya, dia bertindak untuk bentang toto kecil dan tidur dilantai. Jadi, pendengarannya akan lebih peka bila dia tidur dibawah sehinggakan bunyi titisan air dibilik air pun boleh didengarinya. Seketika kemudian, terdengar lagi sekali bunyi sesuatu jatuh ke lantai.

“Dummm!”

Kali ini bunyi itu agak kasar, seperti sesuatu yang berat. Walaupun tidak mahu berfikir, namun otaknya ligat memikirkan ‘benda’ apakah yang jatuh dan menyebabkan bunyi yang kuat yang berada dibiliknya. Bunyi itu disusuli dengan bunyi seperti sesuatu bergolek. Bergolek dan berhenti betul-betul disebelahnya. ‘Dia’ menangis.

Syazwan bangun tanpa menoleh ke sebelah kirinya, di capai botol air yang sudah dibacakan ayat pendinding dan surah Yassin. Dituangkan ditapak tangan dan diusapkan ke mukanya. Lafaz istighfar berulang kali terucap dibibirnya. Suara tangisan itu lenyap tiba-tiba.
Syazwan bangun dan terus menunaikan solat taubat. Setiap kali dia diganggu dengan kelibat yang mungkin milik arwah Natasya, dia akan menunaikan solat taubat. Kematian Natasya adalah peringatan dan teguran dari Allah untuk mereka sekeluarga. Tiada apa yang dapat mereka lakukan untuk membantu arwah Natasya.

Bagi aku lah, mungkin sebab Syazwan ni anak sulung jadi dia bersifat berani untuk lindungi keluarga dia tetapi kalau aku berada ditempat dia, pocong tidur disebelah aku, jangan kata demam mungkin terus arwah aku nanti. Aku sangat penakut dan Alhamdulillah sepanjang aku hidup, aku memang tak pernah nampak benda-benda ghaib ini. Itu sebab aku tak tahu arwah Natasya ikut aku kemana sahaja aku pergi kalau tidak diberitahu oleh Tok Aki.

******************************************

Selepas tiga bulan, Pakcik Zambri pulang ke rumah. Perwatakan tegas dan garang yang dari jauh boleh dilihat kini bertukar menjadi tenang dan lembut (bukan lembut sotong tu). Dipeluk dan dicium Makcik Intan dan anak-anak. Entah kenapa, situasi itu menimbulkan sebak dan tangisan kegembiraan di hati Ikin dan ibunya. Pakcik Zambri sudah pulang, semoga semuanya menjadi pulih seperti sediakala. Itu sahaja yang diminta Ikin setelah melihat sendiri robohnya keluarga Pakcik Zambri dan Makcik Intan.

Rupa-rupanya Pakcik Zambri adalah orang pertama yang diganggu oleh kelibat pocong itu dan kerap bermimpi benda yang sama. Bermimpi situasi dia dan Natasya sedang berbual bersama.

(MIMPI)

Pakcik Zambri : Alhamdulillah! Ayah bangga dengan kamu. InshaAllah kamu akan jadi wanita yang hebat bila besar nanti.

Natasya : Terima kasih pada ayah juga. Ayah mendorong semangat Uda. Uda sayang sangat kat ayah dan ibu, kalau boleh Uda sentiasa mahu banggakan ayah dan ibu untuk masa sekarang dan di masa akan datang. Cuma….

Pakcik Zambri : Cuma apa?

Natasya : Macam mana kalau takdir suatu hari nanti, walaupun Uda dah cuba yang terbaik tapi masih gagal. Contohnya, Uda dapat nombor dua dalam kelas. Ayah marah tak?

Pakcik Zambri : Kenapa? Ada yang mampu tandingi kamu ke?

Natasya : Hmmm.. awal tahun hari tu ada seorang pelajar lelaki pindah ke kelas Uda. Kami selalu bersaing bersama untuk kedudukan nombor satu. Dia bijak orangnya.

Pakcik Zambri : Hmmmm…

Natasya : Ayah marah ke kalau Uda dapat nombor dua dalam kelas?

Pakcik Zambri : Andai hari itu tiba, ayah tak akan mengaku kamu sebagai anak ayah lagi.

Natasya tersentap, hatinya pedih.

Natasya : Jikalau begitu, andai hari itu tiba. Tiada gunalah Uda hidup di muka bumi ini andai ayah dan ibu tak nak mengaku Uda sebagai anak ayah dan ibu lagi.

Pakcik Zambri bangkit dari sofa dan menuju ke arah biliknya. Ditinggalkan Natasya yang kesedihan seorang diri.

Mimpi itu kerap menganggunya tiap kali dia tidur dan selepas beberapa kali barulah Pakcik Zambri tersedar apa yang dia lalui bukanlah mimpi tetapi benar-benar terjadi pada pertengahan tahun itu. Ia seolah sebuah ‘flashback’ memori dia dan Natasya.

Tiga hari selepas pengebumian Natasya. Pakcik Zambri ‘menetap’ di tepi kubur Natasya. Pagi, petang dan malam dia mengalunkan ayat Al-Quran didepan kubur Natasya berharap agar anaknya tidak terseksa dan diberikan pengampunan. Akalnya tidak mampu berfikir waras lagi. Dia menyesal sehingga terasa sesak didadanya setiap kali dia terkenangkan anaknya itu sehinggalah anak Tok Bilal masjid menegurnya dan membawanya pulang ke rumah. Pakcik Zambri merayu untuk mengikuti Anak Tok Bilal masjid (Wan) untuk sementara waktu. Dia mahu tenangkan fikiran biarpun terpaksa tinggalkan anak dan isterinya.

Selepas tiga bulan, Pakcik Zambri mulakan azam baru dan niat yang baru. Dia mahu seluruh keluarganya dekatkan diri dengan Allah, Tuhan Sekalian Alam. Dia tidak mahu apa yang terjadi pada Natasya, merengut nasib anak-anaknya yang lain. Untuk Natasya pula, tiada apa yang mampu mereka lakukan dan kekesalan itu akan terus menghantui Pakcik Zambri sekeluarga selamanya.

Okay, habis sudah kisah Gangguan Pocong ini guys. Pendapat aku, silapnya arwah Natasya sebab terlalu hormat dan sayang ayahnya sehinggakan dia lupa Allah lah yang sepatutnya ditempatkan teratas dalam hidup kita tetapi kita tak berhak untuk berkata buruk mengenai arwah, mahu doakan untuk arwah pun aku tidak tahu hukumnya boleh atau tidak cuma yang pasti, jadikan kisah ini pengajaran. Kita tak tahu apa nasib kita di masa akan datang, tiada siapa pun yang tahu kecuali Sang Pencipta iaitu Allah SWT. InshaAllah, jika dikurniakan tubuh badan yang sihat dan tiada aral melintang, aku akan taip lagi cerita dari pencerita yang lain. Terima kasih admin sudi terbit cerita yang aku taip dan terima kasih pembaca FS sudi baca kisah ini.

#Staysafeguys
#tqfrontliners
#wecansaveourMalaysia

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Naz

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.