Genderowo di Rumah Uncle Tan

Kebelakangan ni ekonomi merundum membuatkan job load jadi kurang. Kebanyakan masa aku di office dihabiskan dengan membaca fiksyenshasha hahahaha. Jadi rasa teringin pula nak berkongsi kisah seram & misteri yang julung-julung kalinya berlaku dalam hidup aku. Mungkin ada memori yang kurang jelas, tetapi inilah sedikit sebanyak apa yang aku ingat tentang pengalaman mistik aku, lebih 10 tahun yang lalu.

2012

Aku duduk di rumah sewa berdekatan universiti di bandar Melaka. Rumah teres lama yang kebanyakan suisnya masih guna suis hitam zaman dahulu. Housemate aku ada 8 orang, perempuan kesemuanya.

Rumah pertama di lorong rumah kami pada ketika itu ada pekerja-pekerja construction negara jiran yang duduk. Rumah itu betul-betul di simpang jalan besar. Jadi untuk keluar ke mana-mana, memang perlu lalu di hadapan rumah mereka.

Sejak kebelakangan itu, banyak kali kami terperasan ada lelaki lalu-lalang di hadapan & belakang rumah sambil meninjau-ninjau ke dalam rumah. Kebetulan pula rumah pelajar perempuan lain yang selorong dengan rumah kami ada kes pecah masuk. Jadi salah seorang housemate aku membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga. Niatnya hanya mahu polis membuat rondaan. Lagipun dia pernah diganggu ketika balik dari part time catering di hotel berdekatan. Hotel ni dekat dengan rumah sewa kami jadi dia pergi & balik part time memang berjalan kaki sahaja.

Mungkin polis membuat rondaan & ada menegur pekerja-pekerja construction tersebut, kami tak pasti. Tetapi selepas itulah keadaan menjadi bertambah teruk.

Sejak laporan polis dibuat, kadang-kadang kami ternampak kelibat orang di dalam kawasan rumah. Sekilas. Bunyi gergaji di atas siling menjelang maghrib bawa ke tengah malam. Bunyi orang berjalan di atas siling. Sekejap ada sekejap hilang. Rumah terasa seram walaupun bukan berseorangan.

Kemuncaknya pada suatu malam minggu, aku keluar menonton wayang midnight bersama dua lagi housemateku Radhi & Kak Hafi (bukan nama sebenar). Masa kami keluar dalam pukul 9 malam, Nora & Syazwa (bukan nama sebenar) tiada di rumah, mungkin ada discussion di luar. Housemate yang lain takde, pulang ke kampung.

Aku, Radhi & Kak Hafi keluar berjalan kaki dari rumah, singgah ke Jonker Street, kemudian sambung berjalan ke Dataran Pahlawan. Kami pulang dalam pukul 2 pagi menaiki teksi. Kami tengok cerita Al-Hijab masa tu. Jadi seramnya terbawa-bawa sampai ke rumah.
Masa sampai rumah, kami terserempak dengan Nora, Syazwa & beberapa classmate lelaki di hadapan rumah. Kami ingatkan mereka baru balik tapi rupanya mereka nak sambung melepak di mamak Subaidah. Kami iyakan sahaja sebab mamak tu memang bukak 24/7 & dekat sahaja, betul-betul dekat jalan besar sebelum lorong rumah kami. Jadi mereka keluar pun berjalan kaki sahaja.

Balik tu Radhi terus mandi sementara aku dan kak Hafi berehat di dalam bilik masing-masing. Sedang aku ralit melayari Facebook, tiba-tiba kak Hafi muncul di pintu bilik dengan cota di tangan. Aku pun tak tahu bila masa dia bawa cota balik ke rumah sewa ni. Sebagai langkah berjaga-jaga katanya.

Aku pandang muka kak Hafi yang pada masa tu masih bersahaja, tapi cota tetap digenggam erat di tangan kanannya. Aku tanya kenapa. Dia kata dia macam dengar & nampak kelibat orang dalam rumah, padahal masa tu cuma ada aku & dia. Radhi kan tengah mandi. Kalau Radhi dah keluar dari bilik air, mestilah dia masuk ke dalam biliknya yang dikongsi bersama kak Hafi. Jadi semestinya bukan Radhi.

Aku bangun menemani kak Hafi memeriksa di dalam rumah. Kami check pintu & tingkap, semua sudah berkunci. Kak Hafi berani, dia keluar dari pintu dapur yang terletak di sisi rumah, meninjau ke belakang. Namun tiada sesiapa.

Kami masuk semula, duduk berdua di dalam bilik cuba meredakan perasaan seram yang melanda. Sempat lagi aku bergurau dengan kak Hafi, elok-elok kami balik dari tengok wayang cerita hantu laa benda ni nak jadi.

Tiba-tiba kami dengar derap kaki orang berjalan di atas siling, berderau d***h. Tak fikir banyak kami terus keluar dari bilik, duduk di ruang tamu. Terus aku telefon Nora dan minta dia balik sekarang juga. Ajak sekali classmate lelaki yang keluar dengan mereka tadi, tolong tengok-tengokkan rumah. Kami perempuan ni, kalau betul hantu yang mengganggu, boleh laa kami baca ayat-ayat suci Al-Quran. Kalau orang yang berniat jahat, manalah kuat kudrat kami nak melawan. Kalau apa-apa nak jadi, biarlah ramai-ramai jadi saksi.

5 minit kemudian Nora, Syazwa & kawan-kawan lelaki itu sampai di rumah kami. Siap ada abang MPP sekali yang singgah. Kecoh betul malam tu. Mereka periksa sekeliling rumah. Dalam & luar. Mereka suluh merata-rata. Ada yang lompat pagar belakang & periksa di sepanjang lorong belakang rumah. Pintu pagar belakang tu dah jem & kami pun tak pernah keluar ke lorong belakang tu.
Tapi selepas diperiksa, tetap tak jumpa apa-apa yang pelik.
Jadi kami semua berkumpul di ruang tamu, ada yang di garaj kereta masih meninjau-ninjau. Tapi semua sudah berada di depan, tiada siapa yang berada dibelakang rumah.

Sedang kami bercerita kejadian yang berlaku di rumah hari ini & beberapa minggu kebelakangan ini, tak semena-mena terdengar bunyi orang berlari di atas siling. Laju dan kuat derap langkahnya menuju ke belakang rumah & dumm ! Bunyi pintu dapur dihempas. Pintu dapur tu pintu kayu, jadi bila dihempas memang bingit bunyinya.

Kami semua sempat berpandangan sebelum kawan-kawan lelaki yang ada di dalam rumah berkejaran ke belakang mencari pelaku. Sampai ke belakang rumah mereka mencari tetapi, tidak ada sesiapa. Kalau manusia, takkan boleh hilang tanpa jejak secepat itu? Tidak ada kelibat tidak ada apa. Mustahil.

Jadi malam itu kami tawakkal sahaja. Hendak tidur di mana lagi kalau bukan di rumah sendiri. Kami pasang ayat-ayat suci Al-Quran & pastikan pintu tingkap semua berkunci sebelum melelapkan mata.

Hari Isnin ketika aku, Nora, Zawa & Nurhi baru pulang dari kelas, housemateku yang lain sedang menonton TV. Semua ada di rumah pada ketika itu. Kemudian kak Fari yang baru pulang dari kampung bersuara.

“Korang dah solat Asar belum? Kalau belum, solatlah dulu. Akak ada benda nak cerita. Nanti awak takut pulak.”

Ada vibe-vibe seram dalam nada kak Fari walaupun dia sedang senyum mengusik. Kami semua tak jadi nak masuk bilik, terus bukak beg & letakkan buku di atas meja ruang tamu. Masing masing duduk berhimpit di atas lantai. Aku duduk paling dekat dengan kak Fari.

Kak Fari membuka cerita. Minggu lepas masa dia pulang ke kampung halamannya di Kluang. Kebetulan pada masa tu anak sedaranya tak sihat, asyik menangis merengek. Jadi mereka bawa dia pergi jumpa orang bijak pandai yang boleh melihat secara ghaib, seorang ustaz aku kira. Jadi dah kebetulan ke sana tu, kak Fari minta tolong ustaz tu untuk tengok-tengokkan gangguan di rumah sewa kami ni.

Kak Fari cerita, ustaz tu kata ada orang hantar genderowo di rumah kami ni. Benda tu duduk di atas siling rumah. Niatnya untuk menakut-nakutkan kerana marah dituduh mengganggu kami.
Kami tanya kak Fari, siapa yang hantar, walaupun sebenarnya kami semua sudah dapat mengagak siapa gerangan orangnya.
Kak Fari senyum dan jawab, “orang yang kita semua suspect’.

Jadi ustaz tu pesan, biarkan sejadah terbuka dalam rumah, sekurang-kurangnya tiga. Sebab sejadah mengeluarkan cahaya, biar silau yg duduk atas siling tu. Ustaz tu dah buangkan laa. Tapi mana tahu datang lagi kan. Sebagai berjaga-jaga.

Lepas tu dia pesan jaga solat, banyakkan baca al Quran & berzikir.
Alhamdulillah, lepas tu dah takde gangguan. Kami semua hidup tenang & aman sehingga ke semester akhir. Sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 30 Average: 4.2]
Laara Bella

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.