Hampir Terkena Ilmu Pengasih

Assalamualaikum peminat Fiksyen Shasha. Pertama sekali, aku nak berterima kasih atas sambutan yang sangat menggalakkan untuk kisah yang aku kongsikan sebelum ini iaitu Rumah Sewa RM200. Maaf sebab aku lupa nak letak ending untuk beritahu bahawa aku dan keluarga dah tak duduk di rumah itu lagi. Itu pun sebab rumah Mama yang dibina sudah siap pada tahun 2011, bukan sebab tak tahan dengan gangguan ke apa. Bagi kitorang, semua gangguan itu tak beri kesan sangat sebab kitorang dah biasa. Mama pun selalu cakap kat kitorang, “Ini rumah kita, kita yang duduk. Kenapa nak takut? Kita tuan rumah.” Disebabkan Mama selalu cakap macam tu, sedikit sebanyak memberikan keberanian kepada aku.

Kalau bercakap pasal rumah, boleh dikatakan mana-mana rumah yang aku duduk, pasti ada gangguan. Malah, rumah yang aku duduk sekarang ni pun ada. Paling terbaru, tengah tidur tiba-tiba tersedar sebab ada bau bangkai yang kuat dalam bilik. Dan aku tahu, itu mungkin pontianak. Cuma aku tak tahu dia ada kat mana dan apa dia nak. Aku pun tak tahu kenapa aku selalu diganggu. Mungkin sebab aku ada sixth sense, aku boleh rasakan kehadiran makhluk halus tetapi aku tak dapat nampak. Macam yang aku cakap dalam cerita sebelum ini, hijab aku tak terbuka. Aku pernah cuba cari cara untuk buka hijab (hahahaha gila tak?) tapi rasanya aku tak sanggup nak teruskan. Ada yang kata jangan makan daging merah selama 44 hari, ada yang suruh amal bacaan tertentu, tapi nasib baiklah aku ni jenis tak istiqamah nak buat semua benda tu. Sedangkan baru dapat rasa kehadiran pun dah kena ganggu macam-macam, inikan pula kalau dapat nampak? Memang lari tak cukup tanah lah agaknya. Tapi korang pun jangan lah nak cuba-cuba buka pulak sebab orang kata, sekali terbuka, selamanya akan terbuka dan tak boleh ditutup. Betulkan kalau aku salah ya.

Aku tak nak kongsi lagi kisah rumah-rumah lain yang aku kena gangguan sebab nanti bosan pula asyik cerita pasal rumah. Kali ni aku nak kongsi kisah tentang aku hampir terkena ilmu pengasih! Nasib baik Allah masih selamatkan aku. Macam biasa, aku akan gunakan nama samaran.

Masa belajar kat UiTM, aku suka sangat keluar shopping. Kena pula ada kawan macam Asiah yang sekepala dengan aku. Kitorang berdua sanggup turun naik bas, LRT, monorel, dari Shah Alam ke KL, lepas tu boleh lagi pergi Klang, semua kitorang naik public transport dalam masa sehari je (masa tu student, takde kereta lagi). Gila tak gila kitorang punya berjalan. Cari kasut raya sampai Mid Valley, Sogo, Masjid Jamek, tak jumpa yang berkenan. Balik ke Shah Alam, pergi Plaza Alam Sentral, PKNS, SACC pun masih tak jumpa kasut apa yang kitorang cari. Akhir sekali balik dengan tangan kosong tapi kitorang okey je sebab seronok dapat keluar sama-sama.

Nak dijadikan cerita, masa aku Semester 3, kelas aku ditukarkan ke UiTM Puncak Perdana. Asiah pulak, dia still kat UiTM induk Shah Alam sebab dia course lain. Tapi pertukaran tu tak menghentikan aku untuk selalu turun ke Shah Alam untuk keluar dengan Asiah. Jarak dari Puncak Perdana lebih kurang 40 minit je naik bas. So, ada satu hari tu, hujung minggu, aku keluar dengan Asiah. Lepas balik dari berjalan-jalan, tiba masa untuk kami berpisah di depan PKNS sebab Asiah kena naik bas kat seberang sana, aku nak naik bas sebelah sini. Masa tu dah lewat, boleh kata kitorang akan naik bas yang terakhir.

“Okay Rina, jumpa lagi. Thank you tau teman aku hari ni. Cari kasut sukan tapi dapat baju hahahaha.”

“Hahaha takde apa lah Asiah. Ko dengan aku sama je. Okay Asiah, jaga diri. Elok-elok lintas jalan.”

Tak lama lepas Asiah pergi, tiba-tiba ada seorang lelaki, dalam 20-an, datang dekat aku.

“Hai. Kawan ke tu?”

Aku pandang dia. Teragak-agak aku nak jawab sebab aku tak biasa bercakap dengan orang yang tak kenal, lebih-lebih lagi lelaki. Maklumlah, masa tu belum pernah ada boyfriend. Aku cuma angguk je.

“Saya Nabil. Nama awak?”

“Serina.” Aku jawab pendek. Tak tahu nak lari ke mana sebab kat situlah tengah tunggu bas.

“Saya nak nombor telefon awak boleh?” Orang yang baru aku kenal tu terus mintak nombor telefon dan aku tak tahu kenapa, aku boleh bagi! Padahal memang susah aku nak bagi nombor telefon pada orang lain.

“Okay awak, nanti saya contact awak ya. Hati-hati naik bas.” Nabil pun pergi lepas dapat nombor aku.

Aku fikir, ah takpelah, nombor telefon je pun. So, aku pun balik macam biasa tapi Nabil dah mula mesej dan call aku. Aku tak tahu, serius aku tak tahu kenapa aku layan si Nabil ni sebab aku ni budak skema. Aku memang tak layan budak-budak laki yang cuba nak mengorat sebab aku cuma nak fokus pada study. Tapi Nabil ni, entahlah, nak kata handsome sangat sampai aku cair, tak juga dan aku pun masih rasa ragu-ragu dengan dia. Banyak kali juga Nabil ajak aku keluar, tapi aku tolak. Aku cakap la ada kelas, nak study, dan macam-macam lagi alasan aku bagi.

Semua ni aku cerita pulak pada kawan aku yang lagi sorang, Minah. Minah ni memang jenis gedik sikit. Pantang ada lelaki nak mengorat, dia terus layan. Maybe sebab umur dia lagi tua walaupun kitorang sekelas, sebab tu dia nak cari teman lelaki cepat-cepat kot. So, bila aku cerita kat dia pasal Nabil, dia suruh aku cuba dulu keluar dengan Nabil. (Ni la pentingnya pilih kawan yang betul huhu)

“Alah Rina, ko keluar je lah dengan dia. Kenal dulu, mana tau tu jodoh ko ke.”

“Hmm…”

Masa tu baru tahun 2009, aku baru 20 tahun kot. Nak fikir pasal jodoh apa pulak? Tapi akhirnya, aku mengalah. Lepas hampir sebulan Nabil pujuk, akhirnya aku setuju untuk keluar dengan dia dan kitorang setuju untuk jumpa di PKNS, tempat mula-mula kitorang jumpa.

Aku sebenarnya takut nak keluar dengan orang asing. Sepanjang perjalanan, aku baca ayat Kursi. Sebenarnya memang itu sudah menjadi amalan aku sebagai pendinding diri. Bermula keluar dari rumah, sambil berjalan, duduk atas bas ke, LRT ke, aku akan sentiasa baca ayat Kursi. Aku berlindung dengan nama Allah. Aku yakin kalau ada orang yang berniat jahat ke atas aku, Allah akan suntik rasa takut dalam hati dia. Itu yang aku sentiasa doakan sampailah sekarang.

Mula-mula jumpa Nabil, dia happy sangat sebab dapat jumpa aku. Aku tengok muka dia pun sebenarnya boleh tahan. Tak buruk, tak handsome, sedang-sedang saja. So, takdelah rasa ralat sangat. Aku cuba tanya nama penuh dia tapi sampai ke sudah dia tak nak beritahu. Dia kata, cukuplah aku kenal dia dengan nama tu. Lepas tu, kitorang berjalan ke Plaza Alam Sentral dan dia ajak aku karaoke.

“Huh, aku paling pantang orang ajak aku karaoke!” Minta maaf buat pembaca tapi itu adalah aktiviti yang paling aku tak suka sebab aku tak pandai nyanyi hahahaha. Lagi satu, aku rasa membazir nak kena bayar hanya untuk nyanyi tapi of courselah Nabil yang akan belanja kan. So aku ikutkan aje.

“Kain putih… yang ku berikan padamu…” Itu lagu pertama yang Nabil pilih untuk nyanyi dan dia minta aku nyanyi sekali.

“Nyanyilah. Saya dah bayar ni untuk awak nyanyi sekali.”

“Tak nak. Saya tak suka nyanyi.”

So, sampai ke sudahlah aku memang takkan nyanyi. Nyanyilah ko sorang-sorang.

Dah siap karaoke, Nabil ajak makan. So, kitorang pergilah ke food court kat situ. Aku order nasi goreng. Then kitorang cari meja. Tapi kat sinilah bermulanya kesilapan aku. Nabil macam sengaja cari meja yang terlindung dari kedai yang aku order tadi. Sebenarnya aku dah perasan tapi aku ikutkan aje. Aku macam dapat rasakan yang dia ada niat tak baik.

“Awak duduk kejap ya. Saya pergi ambilkan nasi goreng awak.”

Aku cuma angguk dan tunggu kat meja.

“Apa kau dah buat ni Serina? Kenapa kau tak pilih meja yang boleh nampak kedai tu? Kau kan dah pernah baca kes-kes macam ni? Macam mana kalau dia letak ubat tidur ke dalam nasi kau? Atau apa-apalah!” Marah aku dalam hati.

Dalam masa yang sama, aku berfikir apa aku nak buat untuk elakkan makan nasi goreng tu sebab gerak hati aku dah cakap, jangan makan! Tak lama lepas tu, Nabil datang bawa nasi goreng tu. Aku pandang nasi tu tapi aku tak rasa nak makan, padahal perut aku rasa lapar sangat. Aku tak breakfast lagi dan masa tu dah tengah hari. Dalam hati, aku baca ayat Kursi buat sekian kalinya.

“Kenapa tak makan? Makanlah.” Nabil tegur aku. Tak sedar aku diperhatikan. Aku angguk dan mula menyuap. Rasa tersekat di tekak. Aku telan. Rasa berpasir.

“Ya Allah, kalau ada apa-apa yang tak elok dalam nasi ni, Kau selamatkanlah aku.”

Aku ni, sebenarnya, selain dari ada sixth sense, aku akan muntah kalau aku makan benda yang ‘tak elok’. Biasanya aku akan muntah balik kalau aku makan di kedai yang ada pelaris. Dan kali ni, aku dapat rasakan yang mungkin Nabil dah letak atau baca sesuatu pada nasi tu.

“Saya dah tak habis.”

“Eh, sikitnya awak makan.” Nabil pandang nasi goreng yang aku baru sentuh tak sampai separuh tu.

“Kenyang.”

Nampak riak wajah dia macam tak puas hati tapi nasib baiklah Nabil tak paksa aku habiskan, tapi sebahagiannya aku dah telan. Aku pasrah. Lepas makan, Nabil ajak jalan-jalan sekeliling tasik. Aku ikut je. Masa jalan tu, aku dah mula rasa badan aku lemah. Tenaga aku macam makin lama makin hilang. Ya Allah, apa yang tengah jadi ni?

“Awak, saya nak pegang tangan awak boleh?”

Tiba-tiba Nabil minta nak pegang tangan masa berjalan kat tasik tu. Aku ni, walaupun aku bukanlah alim sangat, tapi aku memang tak bagi lelaki sentuh tangan aku.

“Tak boleh.”

“Ala, bolehlah. Ya?”

Dia terus pegang tangan aku dan berlagak macam biasa. Dia terus berjalan dan aku cuma ikut. Masa ni aku tak tahu kenapa aku tak melawan dan ada sesuatu yang aku rasakan di tapak tangan. Terasa ada banyak benda tajam dan berduri yang seakan-akan mencucuk tapak tangan aku.

“Kenapa tapak tangan dia rasa berduri?”

Aku betul-betul tak faham kenapa aku rasa macam tu. Dan dalam masa yang sama, aku semakin lemah dan penat.

“Awak, jom duduk kejap. Saya penat.” Aku tak tahu dah berapa kali aku minta untuk duduk padahal tasik tu bukannya besar sangat untuk jalan sampai habis. Sesiapa yang duduk Shah Alam mesti tau besar mana tasik kat tepi PKNS tu.

“Okay, awak duduk sini, saya nak ke sana sekejap.”

Aku pun duduk dan aku tengok Nabil pergi dekat tasik. Aku tak tahu dia buat apa kat situ tapi dia cuma berdiri. Aku dah tak peduli apa dia nak buat, janji aku dapat melepaskan lelah aku. Lepas tu, Nabil datang balik.

“Sorry ya awak, mungkin saya penat sebab semalam ada event.” Aku bagi alasan walaupun sebenarnya aku hairan kenapa aku penat sangat padahal kalau berjalan keliling KL dari pagi sampai malam takde masalah pun.

“Awak nak ikut balik rumah Nabil?” Dia bertanya.

“Hah? Buat apa?” Aku dah mula rasa sangsi. Ada pulak ajak anak dara orang balik rumah. Haish! Kau nak buat apa?

“Awak boleh rehat kat sana. Awak kan penat. Rumah Nabil dekat sini je.” Nabil cuba memancing.

“Tak naklah. Saya ada kerja nak buat malam ni.” Aku bagi alasan. Dalam kepala aku dah terbayang apa yang Nabil cuba nak buat. Nabil nampak macam serba tak kena. Pancing dia belum mengena.

“Eh, awak dah solat?” Nabil tanya aku.

“Ha, tanya pun. Bila masanya aku nak solat, jumpa kau dari pukul 11 pagi,” marah aku dalam hati.

“Belum. Jomlah kita pergi surau.” Aku cepat-cepat ajak dia ke surau di PKNS. Masa sampai situ, dia kata nak pergi tempat kerja dia sekejap. Katanya dia bekerja di salah sebuah restoran di situ dan nak ambil kain pelikat. Aku iyakan sahaja dan cepat-cepat ke tandas. Boleh kata sudah sejam lebih sejak aku makan tadi, sampai sahaja di tandas, aku terus memuntahkan semua yang aku makan tadi. Aku muntah semahu-mahunya tanpa boleh ditahan. Masa tu aku dah tahu ada benda yang tak kena.

Lepas ke tandas, aku masuk ke surau. Buat kali pertama dalam hidup, aku rasa surau tu adalah tempat yang sangat selamat bagi aku. Aku tak tahu kenapa aku rasa macam tu. Aku rasa tenang. Aku rasa selamat sampai aku rasa dah tak nak keluar jumpa Nabil balik. Tapi nak tak nak, aku bersiap dan keluar dari surau setelah agak lama aku duduk kat situ.

“Awak, saya rasa saya nak balik. Saya penat, mungkin sebab event semalam.” Aku terus cakap nak balik.

“Okay, biar saya hantar awak balik.”

“Eh, takpe. Saya boleh balik sendiri.”

“Takpe, biar saya teman awak atas bas. Bahaya kalau awak sorang-sorang.”

Akhirnya, Nabil ikut aku naik bas sampai Puncak Perdana. Masa sampai tu, aku dah rasa lapar sangat-sangat.

“Saya lapar, nak makan dulu sebelum balik hostel.”

“Hahaha lah awak lapar ke? Kenapa tak cakap awal-awal. Kalau tak saya bawa makan tadi.”

“Takpe, kita boleh makan kat sini.”

So, aku bawak dia makan kat ‘kandang’. Kandang ni gelaran bagi tempat makan kat sebelah UiTM Puncak Perdana. Tak tahulah kenapa orang panggil kandang hahaha dan tak tahulah kalau tempat ni ada lagi ke tak sekarang. Masa makan kat situ, order dibawa oleh pelayan. So bukan Nabil yang ambil dan kali ni aku boleh makan sampai habis dan tak rasa apa-apa.

Lepas makan, Nabil masih berkeras nak hantar aku sampai pintu pagar. Dan dia juga berdegil nak pegang tangan aku. Tapi kali ni, aku dah tak rasa tangan dia berduri macam mula-mula pegang tadi.

“Awak, sebelum balik, boleh tak saya nak cium antara dua kening awak?”

“Hah?” Apa ke pelik sangat nak cium-cium pulak ni. Nak cium antara dua kening pulak tu.

“Boleh tak?”

“Tak boleh!” Aku berkeras tak nak bagi dan nasib baik dia tak paksa.

“Jumpa lagi ya awak.”

Aku cepat-cepat masuk ke hostel dan dia pun naik bas untuk balik ke Seksyen 2 semula. Lepas tu Nabil mesej aku macam biasa tapi aku rasa macam aku semakin tak keruan. Minda aku jadi bercelaru. Selama beberapa hari, aku tak dapat bezakan pertukaran hari. Aku asyik terbayang muka Nabil dan terbayang yang dia nak apa-apakan aku. Dalam kelas pun aku tak dapat nak fokus. Aku pun tak ingat berapa hari aku jadi macam tu tapi kawan-kawan aku tak tahu sebab semua tu hanya berlaku dalam minda aku. Aku rasa aku sentiasa di awang-awangan. Aku macam duduk dalam dunia sendiri dan asyik teringatkan dia.

“Ini tak boleh jadi! Kenapa aku jadi macam ni?”

Aku terus call Mama dan aku ceritakan semua yang berlaku. Mama ada juga marah sebab aku keluar dengan orang yang tak dikenali tetapi marah dia tak lama sebab dia lebih risau tentang keadaan aku. Mama terus minta Tina tengokkan aku. Masa itu, Tina seperti ada kebolehan untuk mengubati keluarga kitorang. Ada sesuatu yang nak berdamping dengan dia (tetapi sekarang dah tak ada, mungkin tak serasi). Bila diceritakan keadaan aku, Tina seperti mendapat petunjuk walaupun aku tak cerita semuanya pada dia.

“Kak Rina, masa keluar dengan dia tu, ada tak dia pergi jauh dari kak Rina sekejap?”

Pergi jauh? Hmm..aku cuba untuk ingat balik apa yang berlaku masa kitorang keluar dating tu.

“Hah, ada, ada. Ada sekali tu akak duduk, lepas tu dia kata nak pergi sana kejap. Tak tahulah dia buat apa.”

“Ha, kak Rina nak tau tak? Dia dah tak boleh tahan masa tu sebab ilmu dia tak menjadi pada akak. Sebab ilmu dia dengan akak macam berlawan. Sebab akak kan selalu baca ayat Kursi!”

“Ye ke ni Tina? Patutlah akak rasa lemah semacam.”

“Dia dah baca sesuatu dalam makanan kak Rina. Akak ada makan ke?”

“Ha ah, makan sikit. Tapi masa tu dah rasa macam ada something yang tak kena.”

“Adoi, kak Rina. Kenapa makan?”

“Habis tu nak buat macam mana?”

“Akak, dia ni dah buat supaya akak suka dia. Sebab tu senang je akak bagi nombor telefon. Dari mula lagi dia dah baca sesuatu. Dia nak kat akak sebab muka akak sama macam ex dia yang dulu.”

“Hah? Betul ke?” Aku tertanya-tanya juga, macam mana Tina boleh tahu semua ni? Tapi nak tak nak, aku terima jugak sebab ada logiknya. Buktinya, macam mana dia tahu Nabil ada pergi jauh dari aku sekejap sebab aku tak cerita pun yang tu?

“Tina, tolong akak. Apa akak nak buat? Akak asyik teringatkan dia. Minda akak dah bercelaru gila dah ni. Nak study pun tak dapat fokus.” Aku mula sebak. Nak menangis mengenangkan kebodohan sendiri. Tapi aku pun tak dapat kawal diri aku sebab aku dah dimandrem dari awal lagi.

“Sekarang ni, akak pergi baca Yasin 3 kali. InshaAllah kak Rina akan okay. Kalau tak okay lagi, bagitahu.” Tina mengakhiri perbualan kitorang dengan cadangan tu. Aku cepat-cepat pergi ambil wudhu’ dan buka al-Quran. Masa tu dah tengah malam, housemate aku semua dah tidur.

“Yasiiinnnn. Wal qur’anil hakim…” Aku baca dengan niat untuk menyembuhkan diri aku. Tak sampai sepuluh ayat aku baca, tak semena-mena aku mula rasa mual dan menangis dengan sendiri. Aku tak dapat nak kawal emosi sendiri. Rasa nak muntah semakin tak tertahan. Aku ke bilik air dan aku muntah lagi semahu-mahunya tanpa boleh ditahan. Takde apa yang keluar walaupun aku baru lepas makan biskut tadi. Yang keluar cuma angin dan air. Lepas muntah tu, aku rasa lega. Aku sambung bacaan Yassin sampai kali ke-3. Habis bacaan, aku sambung menangis. Kali ni aku menangis sebab aku rasa lega. Aku rasa macam aku baru terlepas dari satu sumpahan atau ikatan. Selepas dari tu, fikiran aku dah jelas dan aku dah tak terbayang Nabil lagi.

“Awak, jom keluar dating lagi.” Nabil mesej lagi.

“Minta maaf awak. Saya nak fokus pada study dan saya tak nak ada apa-apa komitmen lagi buat masa sekarang. Terima kasih.”

Selepas tu, Nabil ada call tapi aku tak jawab. Penyudahnya aku tukar nombor telefon dan buat beberapa lama, aku dah tak pergi ke PKNS. Takut terserempak dengan dia lagi. Bila berjumpa Asiah, aku akan jumpa di Seksyen 2 dan ajak dia ke tempat lain selain dari PKNS. Bila dapat tahu tentang apa yang berlaku, Asiah menyalahkan diri dia sebab dia kata, sepatutnya dia tunggu sampai aku naik bas masa hari tu tapi aku tak salahkan dia. Alhamdulillah, aku terselamat. Aku tak tahu kalau aku terkena ilmu dia, apa yang akan jadi. Setiap kali aku dengar lagu Cinta Kain Putih-Putra, setiap kali itulah aku akan teringat kisah aku bertemu Nabil. Ingatan ini takkan terpadam sampai bila-bila. Berhati-hatilah buat gadis di luar sana. Sentiasa amalkan pendinding diri. Di zaman moden pun, masih ada yang mengamalkan ilmu pengasih.

Ini kisah benar. Terima kasih kerana sudi membaca. Sehingga ke cerita seterusnya.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Serina

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

6 thoughts on “Hampir Terkena Ilmu Pengasih”

  1. Aq pn pnh trfikir gk mcm mne nk bkk mata hijab(6th sense) dlu….sb aq Mmg jnis Blh rasa klu ada entiti asing, n kdg2 scara xsngaja aq blh nmpk bnd2 tu….n 1 lg aq Mmg rapat dgn Arwah atuk spupu, atuk aq ni ad “bela”. Time aq kecik bnd tu ad ganggu aq sampai aq nngis teruk, Alhamdulillah atuk aq dh pagarkan aq… Lpastu, after atuk aq mninggal bnd tu mcm mngamuk lhh sampai tiap mlm start pkol 12 dia dtg blkg rumah aq ( rumah atuk n rumah parents aq asing) bt bising dkt telaga( dgr mcm ad org dk sedok air telaga,mcm org dk mandi) Kdg atas bumbung dgr ad bnd golek2 jatuh tapi xdgr pula kna tanah, dgr mcm ada org tabur Pasir atas bumbung tiap dkat maghrib… And so on…

    Reply
    • Hi Fatin, sorry baru baca komen awak. Penat kan nak menghadap semua gangguan tu? Itu yg geram sampai rasa nak buka hijab, senang sikit nak marah pada dia huhu

      Reply
  2. Kalu ikot drp kata2 para ustaz dan perukyah tu bkn sixthsense atau hijab terbuka.dan kita jgn la sesekali berbangga memilikinya..itu adalah mainan tipu daya jin dan syaitan..ada jin d dlm bdn kita yg membolehkan kita nampk makhluk sesama mereka..sekali kita dah nampak akn mudah kita nmpk sebab jalan utk jin keluar masuk sudah ada..kenapa kita nk memudahkan lg jln2 utk mereka masuk..Rajin2 la dgr tgk proses rukyah yg mengikut syariah mengunakan ayt2 Alquran semata2..insyaAllah akn lebih mudah phm mengenainya..

    Reply
    • Ya betul tu, saya ada juga dengar ustaz kata macam tu. Saya selalu dengar ruqyah tetapi perasaan ni tak hilang. Saya anggap mungkin deria saya lebih sensitif terhadap ‘benda-benda’ tu sebab diorang kan cas negatif.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.