ASSALAMUALAIKUM,
Ini adalah sambungan dari kisah Hantu Kedai Makan.
Untuk mereka yang belum tahu, saya sudah menulis dua novel dan sudah dipasarkan iaitu Kisah Yunus Jilid 1 dan Niskala. Bolehlah ikut page saya yang masih bertatih iaitu Munawir Sang Yunus. Kalau berhajat hendak mendapatkan novel-novel saya, silalah ke situ.
Akan datang, novel Kisah Lot Jilid 1 dan Al Jabbar akan diterbitkan. Selepas ini, saya akan siarkan kisah saya di atas jalan berbukit di tengah malam.
******************************************
Sambungan kisah Hantu Kedai Makan.
Apa yang berlaku, tidak kami ceritakan pada orang lain. Madi juga takut menceritakan apa yang menimpanya kepada keluarganya. Dahulu, bukan simpati yang dapat. Silap-silap tali pinggang singgah di badan.
Mujur juga Madi tidak demam. Entah apa yang dibuat Yunus, esoknya Madi ke sekolah seperti biasa. Semasa waktu rehat, Yunus datang menyertai kami. Kalau hendak tahu, makanan yang paling popular di kantin waktu aku bersekolah ialah bihun goreng yang dituang kuah laksa. Rasanya sedap dan kami tidak pernah jemu menjamahhnya. Buat pertama kalinya hari itu, kami makan berlima dengan Fisol.
Itulah kali pertama Yunus masuk ke dalam ‘geng’ kami. Perlahan-lahan aku mengagumi Yunus dalam diam. Peristiwa Yunus mengimamkan solat Zohor di surau sekolahlah yang menjadi pencetus kekaguman aku kepada budak gempal itu. Bacaan surahnya sudahlah sedap didengar, taranumnya aduhai. Jika Yunus menjadi imam, alamatnya penuhlah surau itu. Bangga guru agama kami yang sifatnya seperti Yunus – suka tersengih.
Balik dari sekolah, aku berfikir mahu ke tempat rahsiaku di lombong pasir depan sekolah. Waktu itu, pondol teduhan di belakang dapur emakku belum terwujud, jadi aku banyak melepak di pangkin kayu depan rumah. Pangkin kayu yang diapit dua pokok mangga yang ditanam emakku dan dua batang pokok kelapa dara yang ditanam arwah ayahku. Di situlah tempat perjumpaan kami.
Selang beberapa hari kejadian, sedang aku melepak di pangkin kayu, datang Pak Lah dan Madi. Pak Lah seperti sudah kembali semangatnya, mula mahu rabung bercerita. Macamlah dia yang disampuk. Madi yang terkena seperti tidak pernah disampuk, namun aku nampak Madi sedikit berubah. Diajak mencari keladi atau rebung, Madi akan sentiasa menolak. Madi enggan mengikut jika kegiatan itu dekat dengan sungai atau laut.
Sedang leka bersembang, datang Yunus dengan basikalnya. Perangai Yunus nan satu ini (sehinggalah sekarang) apabila dia sampai, dia akan terjun dari basikal kononnya dia seorang pelagak ngeri. Tertungging basikal itu di tengah halaman. Dengan sengihannya, Yunus menghampiri dan duduk tanpa diajak.
“Hang la ni rasa macam mana, Madi?” tanya Yunus yang butir-butir peluh di hidungnya nampak sangat comel. Yunus mengesat peluh di hidung dan duduk di tepi Pak Lah.
“Aku masih mengigau. Takut nak tidoq. Aku tak buleh bayangkan laut. Aku jadi takut” kata Madi menggoyang-goyangkan kakinya. Pangkin itu sengaja aku bina tinggi. Menggoyang kaki sambil bersembang dengan badan disapa angin, memang mengasyikkan.
Madi menceritakan yang semasa dia masuk ke celah runtuhan bangunan dan kencing, dia mendengar bunyi seperti tangan diseret ke dinding zink itu. Madi menyangka ia kerja Pak Lah dan melaung supaya jangan diganggu. “Sat lagi aku kencing muka hang” kata Madi. Dan jawapan yang Madi dengar ialah “Kencinglah”.
Madi berang kerana suara itu ialah suara Pak Lah. Di dalam bekas tandas itu, dindingnya masih berdiri dan tidak nampak apa sebaliknya. Itulah sebabnya Madi berfikir, Pak Lah sengaja hendak mengusiknya. Namun, tercetus juga waras dari Madi yang sedang kencing. Pak Lah penakut, tidak mungkin dia akan datang mengusik.
Selesai kencing dan tiada air untuk bersuci, Madi keluar dari kepungan dinding itu. Alangkah terkejutnya Madi, di depannya berdiri seorang lelaki tua dengan kepalanya penuh uban. Kata Madi, rahang lelaki itu seolah terkehel, namun segala takut dan seram tidak pula hadir.
“Hang dah kotoqkan tempat aku!” marah lelaki tua itu. Madi terkaku, tergagap-gagap hendak berkata. Serba salah diri Madi. Kencingnya adalah di atas pokok-pokok renek yang meliar di dalam kepungan itu. Kotorkan tempat yang sudah terbiar ini?
Lelaki tua itu berjalan menghampirinya dan kata Madi, jalannya seperti kakinya tempang. Kepala orang tua itu menurut kata Madi, ada benjol di sudut kepalanya dan dia cuba menyembunyikan tangannya daripada pandangan Madi. Namun kata Madi, apabila jelmaan orang tua itu berpusing selepas mengajaknya, Madi melihat kuku-kuku tangannya panjang berjela dan berwarna hitam. Mata jelmaan orang tua itu buntang tidak berkedip-kedip. Kemudian Madi rasa wajahnya seperti dihembus, dan selepas itu, dunianya gelap. Madi berkata, dia seolah tidur dan mengigau. Aku tahu perasaan Madi kerana aku telah mengalami perkara yang sama di dalam hutan di Gerik (kisah Haloba dalam novel Kisah Yunus Jilid 2).
Kata Madi, dia dibawa ke dalam sebuah rumah yang besar dan disuruh tidur di dalam sebuah bilik. Madi berkata dia nampak sangat banyak tempayan tanah di sudut bilik yang besar yang tidak bertingkap. Kata Madi lagi, suasana di dalam bilik itu sunyi dan dingin. Hendak tidur, tiada bantal atau tilam, atau secarik selimut. Jelmaan lelaki tua beruban yang tempang itu lenyap selepas menyuruh Madi tidur.
Kemudian Madi berkata, tidak lama kemudian seluruh bilik itu bergoncang. Bilik yang tadi sunyi dan dingin, menjadi panas namun masih gelap dan suram. Kata Madi, bilik itu bergoncang dan dia hanya nampak sepasang kaki memakai seluar sekolah dan kasut sekolah dari celah daun pintu yang tertutup. Setiap kali sosok yang memakai seluar sekolah itu mengatur langkah, bilik itu bergoncang.
Kemudian Madi mendengar seolah bumbung bilik itu dihempap sesuatu yang berat dan menimpanya. Madi terus pengsan.
Selepas kembali sedar, Madi nampak wajahku dan wajah Yunus namun dia tidak mampu mengingati apa yang terjadi. Sendi-sendinya semua terasa lenguh dan sakit. Tekaknya haus, pandangannya masih berputar. Rasa mual yang seolah ribut di tekaknya membuatkan rasa mengantuknya hilang.
Semasa Yunus memberikannya minuman, Yunus berpaling dan Madi mengikut pandangan Yunus. Madi menjadi takut apabila melihat kaki dengan kuku yang panjang tersorok di balik dinding tandas. Hanya nampak kakinya sahaja, pegun tidak bergerak. Kata Madi, kaki makhluk itu seperti kaki biawak, dengan kukunya yang sangat panjang melengkung dan berwarna hitam seperti tar.
Semasa Yunus menepuk belakang tengkuknya, Madi terasa seperti semangatnya masuk ke rohnya. Sedikit demi sedikit Madi mula waras dan ingat bahawa kami datang untuk mengail gelama.
Lama Madi terdiam. Kemudian, Madi berpaling dan bertanya Yunus yang sedang menarik telinga Pak Lah.
“Yunuih, dia kata dia nak bawak aku pi jauh. Aku takkan jumpa dah keluarga aku atau hang pa. Apa maksud dia?” tanyaa Madi.
“Alah Madi, setan kalau dia nak perdaya, apa pun dia kata. Dia sajalah yang betoi. Kunun (konon) hang dah kotoqkan tempat dia, habih yang dia makan kedarah (melantak) benda kotoq dari rumah Cina, buleh pulak” kata Yunus yang sudah melepaskan tangannya dari menarik telinga Pak Lah.
“Aku ada dengaq juga orang keliling dok cakap-cakap. Orang tu membelalah, simpan hantu rayalah, macam-macam. Tak baik menuduh, dah jatuh fitnah. Tanggunglah dosa. Menatang jin tu asai dia dari tempat jauh, tak dak kena mengena dengan tuan kedai yang dah m**i tu. Kedai tu tutup mungkin banyak sebab. Ayah Ngah cerita kat aku, dulu orang tua tu berniaga sambil beramal pasai dia nak pi haji. Dia juai makanan dengan harga yang murah, sedap pulak tu. Anak dia gagal mungkinlah pasai harga dia mahai dan makanan dia tak sedap” kata Yunus sambil kakinya diayun-ayun di atas pangkin yang tinggi itu.
Bijak sungguh Yunus. Menepis pertanyaan dengan nasihat. Satu sisi Yunus yang aku mula belajar, dan mengagumi.
Pak Lah mencelah. “Sebenaqnya aku pun nampak seimbas. Aku nampak makhluk hitam tinggi dok renung aku. Tangan dia dok lambai aku. Tu yang aku bertinggung, tutup telinga pasai dia dok panggey aku, Tapi aku nampak lepaih tu, ada lubang kat perut menatang setan tu” kata Pak Lah yang sangat mengejutkan aku.
Aku pandang Yunus, Yunus pandang aku. Kami semua terdiam. Dalam hati, aku bersyukur kerana Madi dan Pak Lah baik-baik sahaja selepas kejadian. Dan peristiwa itu merapatkan kami berempat yang digelar geng sewel di sekolah kerana berkawan dengan Yunus.
“Dah, benda dah selesai. La ni kalau hang pa nak pacak khemah tidoq tepi tu pun tak dak apa akan berlaku dengan izin Allah” kata Yunus.
Sekarang, tempat itu sudah banyak dibina rumah. Kalau dahulu ia kosong, kini rumah milik orang Melayu rapat-rapat di situ. Aku kalau balik ke kampung emakku di Pulau Pinang, aku tetap akan lalu di situ kerana banyak pengalaman kami bersama di situ.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI