HANTU KEDAI MAKAN

Waktu itu, aku baru saja mengenali Yunus. Budak lelaki gempal tingkatan satu yang sama bersekolah denganku, perangainya sangat menjengkelkan aku. Soalannya bertubi-tubi yang merimaskan aku kerana aku tidak mempunyai jawapan kepada soalan-soalannya yang aneh.

Ke mana sahaja aku pergi bersendirian, Yunus tahu. Mulalah dia bertanya apa yang aku buat di sana, tetapi jawapan kepada soalan-soalannya dijawabnya sendiri. Hatiku berkata, sudah gaharu, cendana pula. Siapa yang tidak akan merasa jengkel? Mahu sahaja aku menampar mukanya kerana sabarku telah menipis.

Namun, aku pernah melihat Yunus bersilat di satu raptai yang diadakan di sekolah. Persembahan teater dan ada adegan Yunus ditikam ketika mengamuk. Keris asli namun tumpul yang digunakan, bengkok apabila tertikam di dada Yunus. Guru-guru, tambahan murid yang membawa keris itu ketakutan serta kehairanan. Kalau murid lain atau aku sendiri yang tertikam, mahu terburai d***h terkena tikaman itu. Yunus kemudian menarik diri dari persembahan itu.

Menurut kata pelajar yang membawa keris itu, ia bergerak sendiri. Budak itu tidak dapat mengawalnya lalu tertikamlah Yunus. Aku yang dilahirkan di negara orang putih sudah tentu tidak percaya, apatah lagi untuk menelannya bulat-bulat. Semua itu karut. Manusia semua akan m**i. Manusia yang kebal dan tidak lut dengan senjata? Karut semua itu. Namun itulah yang terjadi dan pihak sekolah yang merasa bertanggungjawab telah pergi ke rumah Tok Ngah dan meminta maaf.

Yunus tetap dengan perangainya. Membayangi ke mana sahaja aku pergi. Menyampah sungguh aku dengan budak gempal yang suka tersengih itu. Siapalah sangka yang dia akan menjadi sahabatku dunia akhirat.

Seperti remaja lain, kadang-kadang Yunus akan memberontak. Permusuhan antara sekolah adalah sesuatu yang biasa. Sekolah menengah ada tiga waktu itu dan ada sebuah maktab rendah sains. Kami sangat tidak sukakan pelajar-pelajar dari maktab rendah sains yang pada kami, semuanya berlagak pandai dan angkuh. Mereka semuanya lembik pada mata kami. Maka, akan bertikam lidahlah selalunya semasa kami terserempak dengan gerombalan mereka ketika solat Jumaat.

Pernah sekali terjadi kejadian pergaduhan antara sekolah kami dengan maktab rendah sains itu.
Waktu itu ada perlawanan persahabatan antara sekolah-sekolah menengah di daerah kami dan maktab rendah itu turut serta. Bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan badminton adalah antara acara sukan yang dipertandingkan. Kata orang, biar kalah bersabung asal menang sorak.

Sewaktu perlawanan bola sepak, sorakan mereka kuat dan nyaring sehingga menyakitkan hati pelajar-pelajar sekolah yang lain, termasuk kami yang menjadi penonton. Mana dengan sepanduknya, mana dengan baju sedondonnya, mana dengan gadis sorakan mereka lagi terkinja-kinja memberi semangat di tepi padang sangat menyakitkan menyakitkan hati.

Suatu ketika, pergaduhan tercetus apabila pelajar maktab rendah itu bermain kasar sehingga pelajar sekolah lain berguling tunggang-langgang semasa mengejar bola. Kacau-bilau jadinya dan walaupun wisel ditiup berulang kali oleh guru pengadil, perlajar-pelajar lelaki maktab rendah sains itu menyerbu pasukan bola sepak sekolah lain itu. Kami tidak masuk campur sehingga ia berlarutan ke tepi padang.

Kami yang menjadi penonton tidak terlepas dari dilanda kumpulan yang bergaduh itu sehingga kepala Yunus yang duduk mencangkung di tepi padang itu disepak dengan kuat. Hanya dengan sekali tampar, budak yang menyepak kepala Yunus itu tumbang dan tidak sedarkan sehingga Yunus sendiri yang mengapasnya dengan air dan daun senduduk yang hidup di kawasan lombong pasir.

Sejak itu, sedikit demi sedikit aku mula belajar mengenali kelebihan Yunus yang terkenal itu. Aku menasihati diri sendiri, jangan berkasar dengan si gempal itu. Nampak sahaja dia begitu, namun apabila tiba perihal agama dan Quran, dialah juara. Buah dan tari silatnya cantik, bak melihat orang dewasa yang kecimpungnya dalam seni itu berlarutan lamanya.

Aku yang sekelas dengan Madi dan Pak Lah tidak sering bersama kecuali di sekolah kerana Madi tinggal agak jauh dari kampungku. Kami bertiga memang akrab. Madi dengan perangai mat bunganya. Pak Lah pula dengan dunianya sendiri. Kuat berangan dan ingin menjadi jutawan adalah perangai Pak Lah yang selalu menjadi bahan usikan aku dan Madi.

Suatu petang selepas Asar, kami bertiga berpakat untuk mengail gelama di kawasan berbatu di laut yang tidak jauh dari kampung nelayan Cina di situ. Musim gelama kata yang mahir tentang ilmu laut dan apa musimnya. Ramai pemancing berkata di situ banyak ikan gelama. Kalau bernasib baik, dapatlah ikan kerapu bunga atau kerapu batu. Kupang juga banyak di celah batu di situ.

Jadi kami bertiga berbasikal ke laut dan singgah di sebuah kedai Cina untuk membeli minuman air pala yang sangat sedap.
Dari kedai itu kami meneruskan perjalanan melalui rumah-rumah Cina di situ dan kemudian ternampaklah puing runtuhan sebuah kedai makan orang Melayu. Pemiliknya sudah lama meninggal dunia dan kedai kecil itu yang dahulunya meriah dengan pelanggan siang dan malam, telah runtuh menyembah bumi. Kedai itu tidak terletak di tepi jalan dan sekali lihat, pemandangan bangunan kedai yang menyembah bumi nampak menyedihkan.

Kata orang, makanan yang dijual di situ semuanya sedap-sedap belaka. Dulu di tepinya ada tandas dan tidak jauh di situ ada surau kecil yang semuanya telah akur kepada masa yang berlalu. Semuanya sudah runtuh kecuali tandas ringkas yang dindingnya masih berdiri. Di sebelah kiri adalah tanah lapang yang hanya ditumbuhi rumput sambau, lalang yang tinggi-tinggi dan pokok-pokok ubi kayu gajah. Tanah lapang itu menganjur sehingga bertemu dengan laut.

Menurut cerita, perniagaan kedai makan itu kemudian disambung oleh anaknya yang sulung. Ia hanya bertahan selama beberapa bulan. Hari demi hari, pemilik baru kedai itu hanya mengira rugi kerana semakin lama, semakin kedai itu tidak disinggah orang.
Kami meletakkan basikal dan menyandarkannya di bawah pokok ubi gajah yang agak banyak di kawasan itu. Air sudah mulai hendak pasang petang itu dan kami tergesa-gesa ke tempat pemancing yang memancing di situ saban hari dan malam.

Namun pada hari itu, hanya kami bertiga yang berhajat memancing di situ. Jika selalu di tanah lapang itu banyak basikal serta motorsikal pemancing bersepah, hari itu ia kosong.
Belum lagi melangkah, Madi berkata dia sudah tidak boleh menahan kencing. Pak Lah memarahi Madi, kenapa tidak kencing di kedai Cina itu tadi. Madi memberi alasan yang dia geli dengan tandas kedai Cina itu.

“Aku dah tak tahan. Dah nak teghamboq (terhambur) dah ni” kata Madi dengan mimik wajah yang seakan menahan kesakitan.
“Aku kencing tepi tu lah” kata Madi yang terus berlari ke arah dinding zink yang masih berdiri yang dahulunya ialah tandas kedai makan itu.
Aku sudah merasa tidak sedap hati kerana julung-julung kalinya, ubun-ubunku berdenyut dan rasa bergerak-gerak. Mulalah telingaku juga mula berdesing. Aku hanya dapat merenung Pak Lah yang tidak tahu apa yang bakal terjadi.

Beberapa detik kemudian, keluarlah Madi dan berjalan ke basikalnya mengambil joran dan terus berjalan ke arah laut. Sepatah pun tidak diucapkannya. Terpinga-pinga aku dan Pak Lah. Takkanlah Madi terasa dengan kata-kata Pak Lah tadi.
Madi berjalan menonong ke arah tempat pemancing selalu berkumpul dengan joran di tangannya. Tiada lagu asmaradana seperti yang sering didendangkannya seperti selalu. Madi memang suka menyanyi dan berjiwa penyayang serta romantis. Bila bercakap dengan perempuan, alahai lembutnya. Lembut gigi dari lidah kata orang. Madi yang berjalan di depan kami petang itu, sangat berlainan fiilnya. Berjalan laju namun kepalanya banyak melewah menunduk ke bawah.

“Awat Madi tu, Ku? Takkan dia marah kot apa aku kata tadi. Betui la, kedai Cina tu bukan tak dak tandas” kata Pak Lah yang masam mencuka wajahnya.
“Tak tau la aku, Pak Lah. Biaq pi la dulu. Kot-kot dapat ikan sat lagi, berubahlah dia” kataku yang tiada modal untuk memujuk Pak Lah yang masih masam mencuka.

Kami terburu-buru mengejar Madi yang semakin lama semakin laju meninggalkan kami. Aneh sekali, kami ini berlari dan Madi berjalan, namun semakin laju kami mengejarnya, Madi nampak semakin jauh meninggalkan kami. Aku tidak mahu Pak Lah takut kerana antara kami bertiga, Pak Lahlah yang paling penakut serta paling lemah semangatnya.

Madi mula memasuki kawasan berpokok dan di bawahnya ialah jurang berbatu yang di bawahnya laut. Bukitnya tidaklah tinggi dan dari jauh boleh dilihat lorong tikus yang dilatam kaki pemancing. Madi yang memakai baju biru muda (baju sukan sekolah) hilang di sebalik semak. Gementar aku melihat Madi yang sangat berubah kelakuannya petang itu.

Kami tiba di permulaan jalan tikus yang menganjur ke bawah sampailah ke kawasan berbatu di mana pemancing akan bertenggek di situ. Batunya besar dan kawasan itu seperti tanjung yang kecil, semuanya berbatu. Di situlah terjadinya kisah Mercun di mana Lot yang nakal bermain mercun tiba-tiba senyap dan meminta maaf pada sesuatu yang tidak ternampak di mataku.

Kami berlari di dalam semak mencari-cari kelibat Madi yang sudah tidak kelihatan. Jalannya pula sekarang menurun dan tibalah kami kepada bongkah-bongkah batu yang masih berada di darat dan batu yang menganjur ke dalam laut. Madi tiada di situ. Melilau mataku melingas mencari kelibat Madi. Rasa risau mula membuak di dada, takut Madi terjun ke laut.

Pak Lah yang sudah pucat wajahnya menarik lengan bajuku. “Macam mana ni, Ku. Takkan Madi buleh hilang macam tu saja” katanya dengan riak wajah yang ketakutan. “Jangan-jangan…” kata Madi yang tidak mampu menghabiskan ayatnya.
Sedang kami meninjau-ninjau ombak dan batu, di atas terdengar bunyi ranting dipijak. Madi! Itu yang aku dan mungkin Pak Lah fikirkan, namun sangkaan kami meleset.
Yunus muncul tersengih-sengih. Dia ini lagi? Apa yang dia mahu? Kami tidak memberitahu sesiapa tentang hasrat kami memancing di situ. Tiba-tiba sahaja si gempal ini muncul tanpa diundang. Menyampahlah aku!

“Tu bukan kawan hang pa. Tu hantu kedai makan tu” kata Yunus dengan suara yang agak kuat berganding dengan bunyi angin dan hempasan ombak di batu.
Walaupun Yunus disayangi guru dan terkenal di kalangan pelajar sekolah kami, ada yang akan mengelak berkawan dengannya. Kata mereka, Yunus itu sewel, salah ajaran sehingga gila dan banyak lagi tohmahan yang mengguris hatinya. Aku waktu itu, memang tidak sukakan Yunus. Termakan juga aku dengan bisikan-bisikan yang tidak enak mengenainya.

“Hang jangan main-main, Yunuih” marahku.
“Tak percaya jom ikut aku” kata Yunus seraya berpaling dan mula mendaki bukit keluar dari kawasan berbatu itu.
Aku masih ragu-ragu. Tentu Madi sedang menyorok, fikirku. Tidak mahu aku melulu mahu mengikut Yunus. Biar aku yang mencari Madi kerana mataku dan mata Pak Lah memang nampak Madi lenyap di dalam semak itu.

Aku masih berdiri di atas batu besar dan masih lagi melingas mencari-cari kelibat Madi. Sedang aku menelitu mencari-cari, nun di bawah di balik batu di dalam hempasan ombak, aku nampak ‘Madi’ sedang menyorok namun sedang memandangku. Ubun-ubun semakin berdenyut dan desingan telinga mula nyaring.
“Madi! Hang buat kat situ. Bahaya woi!” laungku cemas ke arah sosok Madi yang menyorok-nyorok di belakang batu.

Madi!!” laungku lagu namun Madi lenyap di sebalik batu. Aku mengaku, aku tidak berani hendak turun ke laut. Batunya curam dan tajam dengan teritip yang akan melukakan jika tidak berhati-hati. Terlintas di fikiran, bagaimana Madi turun ke situ? Apakah yang hendak dibuatnya turun ke laut?

Aku masih berdiri di situ. Pak Lah telah hilang mengikut Yunus. Degilnya aku memang tidak bertepi.Aku melaung nama Madi berulang kali, namun sosok Madi tidak muncul di sebalik batu tempat dia menyorok tadi.

Aku masih tidak berputus asa, berdiri dengan pandangan tidak beralih dari batu yang aku nampak Madi tadi. Tiba-tiba di batu yang agak jauh dari situ yang juga berada di dalam laut, aku nampak kepala ‘Madi’. Memang Madilah itu fikirku, kerana nama pasukan sukan kami aku dapat baca dari belakang bajunya. Namun setelah itu, Madi yang muncul di situ menunjukkan wajahnya.

Matanya bulat seperti bola golf dan di atas kepalanya, rambut Madi seperti gombak, panjang dan menghitamkan air di sekeliling batu-batu itu. Sepintas sahaja aku nampak sosok itu sehingga namaku dilaung Yunus.
Mungkin benar apa yang Yunus katakan. Tidak membuang masa aku bingkas mendaki dan nampaklah Yunus dan Pak Lah yang sedang menunggu aku di muka semak belukar itu. Aku segera mendapatkan mereka.

“Macam mana hang tau kami mai sini?” tanyaku mahu mendapatkan kepastian. Sia-sia sahaja soalanku kerana apa yang terbit dari mulut Yunus ialah “Aku taulah”
Matahari petang semakin pijar namun angin laut yang menderu sedikit sebanyak menyejukkan hatiku yang risau tentang Madi. Laut yang semakin pasang airnya itu berkelip-kelipan dipanah cahaya matahari. Waktu itu, tiada bot yang keluar dari kuala atau ada bot yang masuk. Sunyi sahaja suasana dan sekarang, kami sudah berada di tanah lapang dekat dengan runtuhan kedai itu.

Yunus terus meluru ke arah kedai dan hilang di sebaliknya. Aku menjadi cuak, Pak Lah terkaku di jalannya. Apalah budak gempal ini akan lakukan? Menunjukkan kejantantannyakah? Tak habis-habis dia menjengkelkan aku. Seketika kemudian, Yunus menggamit kami dari belakang puing itu.
Aku teragak-agak. Paklah sudah menggeleng-gelengkan kepalanya tanda jadi apa pun dia tidak akan pergi ke puing itu.

“Mai cepat. Kawan hang pa ada sini” kata Yunus tidak tersengih seperti selalu.
Dengan hati yang berat dan berdebar, aku melangkah menuju ke arah puing kedai. Kerusi plastik dan kayu yang sudah reput berlonggok di satu tempat sudah ditutup rimbunan renek yang menjalar. Entah kenapa, aku seperti sangat ingin tahu walaupun sosok gempal di depan itu, sangat aku tidak suka. Aku meredah semak yang meninggi dan mendekati Yunus.

Sampai sahaja, Yunus menundingkan jari ke arah bawah bumbung asbestos yang nampak sudah reput. Aku nampak kaki yang berselipar dengan seluar sukan berwarna hitam berbelang kuning. Ya Allah, Madi!
Aku bergegas cuba hendak mengangkat bumbung yang runtuh itu, tapi terlalu berat. “Madi!! Madi!!” jeritku yang sudah seperti orang gila kerana kaki Madi tidak bergerak. Aku mencari-cari jalan apakah yang boleh aku buat untuk mengeluarkan Madi yang berada di bawah bumbung yang rapat dengan tanah. Ia begitu rapat, tidak mungkin Madi merangkak masuk ke bawah bumbung. Sudahlah panas, takkan Madi mahu duduk berbaring di bawah bumbung. Entah apa binatang berbisa yang ada kerana ia telah lama begitu.

Aku panik. Aku cuba mencari jalan dan berpusing ke arah belakang, mencari alat yang boleh aku umpil untuk mengeluarkan Madi. Aku nampak Pak Lah sudah duduk bertinggung menutup telinganya dan menunduk ke bawah. Aku tahu, Pak Lah ketakutan.
Baru sahaja aku sampai, aku nampak Yunus duduk melutut di depan Madi yang nampak kebingungan. Apakah ini? Baru beberapa saat, Yunus sudah berjaya mengeluarkan Madi yang seolah terperangkap di bawah bumbung kedai itu. Ilmu apakah yang si gempal itu pakai? Dia masih seorang budak, baru tingkatan satu di sekolah.

Aku lantas meluru mendapatkan mereka. Madi duduk terjelepuk seperti baru bangun dari lena yang panjang. Kepala dan seluruh badan Madi ladung dengan peluh. Mana tidaknya, di bawah bumbung itu sangat panas hawanya.
Yunus selamba menuang air mineral yang dibawanya ke kepala Madi dengan mulutnya yang terkumat kamit. Sahlah kata mereka, Yunus ini gila. Terkumat-kamit menuang air ke kepala kawanku yang seperti kebingungan. Seketika kemudian, Madi bersin dengan kuat. Terkejut aku dibuatnya.

“Aduh..” Madi mengeluh kesakitan. Dirabanya bahu, belakang, siku dan lututnya.
“Madi, hang kenapa Madi. Awat hang pi duduk bawah bumbung ni?” tanyaku yang masih lagi tidak dapat berfikir dengan waras. Ia nyata soalan yang bodoh yang tidak patut ditanya.
Madi memandangku dengan raut wajah yang bingung. Madi hanya memandang Yunus dengan pandangan kosong dan kemudian renungannya beralih kepadaku. Aku juga melutut seperti Yunus, memangang bahu kanan Madi yang sudah basah dengan peluh dan air yang dituang Yunus.

“Baik hang pa balik saja” kata Yunus yang berupa perintah.
“Hang buleh jalan ka, Madi?” tanyaku. Madi cuba bangun namun menyeringai kesakitan. Dia terjelepuk kembali seperti tadi, sambil mengurut-urut kedua-dua lututnya.
“Buleh ni, dia ni kuat semangat” kata Yunus seraya menepuk belikat Madi tiga kali. Tiba-tiba Madi berbunyi seperti ingin muntah, namun tiada apa yang keluar dari mulutnya. Kami membiarkan air liur Madi jujuh dan Yunus kemudian menyua botol air yang masih berbaki airnya. Yunus menyuruh Madi membaca Bismillah dan doa makan. Madi buah apa yang disuruh. Selesai, Madi sendawa dengan kuat. Yunus hanya tersengih. Aku terkejut kerana sendawa itu bunyinya aneh. Kuat dan panjang sendawa Madi.

“Dah, hang pa pi balik, lekaih” perintah Yunus lagi. Aku menarik tangan Madi dan menyangga beratnya. Madi boleh berdiri namun masih kebingungan.
“Jom Madi. Hari ni kita tak dak rezeki. Kita cuba hari lain naa’ kataku memujuk Madi yang berjalan perlahan-lahan keluar dari kawasan semak ke kawasan tanah lapang.
Telingaku mendengar Yunus berkata “Nanti hang. Aku mai lain kali. Aku ajaq hang sungguh-sungguh”
Kami sampai di basikal masing-masing. Redupnya naungan pokok ubi kayu gajah dan hembusan angin laut yang menderu mencairkan resah dan risau tadi. Pak Lah yang penakut tidak mahu memandang Madi dan sudah bersedia di atas basikalnya. Aku menunggu Madi bersedia.

“Yunuih! Kami balik dulu naa” laungku ke arah runtuhan kedai itu. Aku tidak nampak Yunus namun aku dapat mendengar dia membalas “Haaa (ya)”

Kami bertiga mengayuh basikal melepasi rumah-rumah Cina yang rapat-rapat di situ dan sampailah pada tempat menunggu bas berbumbung selepas kedai Cina tadi. Madi berhenti dan lantas berkata “Ku, aku dah rasa okey. Aku ngan Pak Lah buleh balik dah. Hang pi tulong budak Yunuih tu. Risau aku dia sorang-sorang. Nanti aku cerita apa yang aku nampak” kata Madi yang nampak sudah seperti biasa.
“Betoi ni? Aku malaih (malas) la nak dekat dengan Yunuih tu. Beban rasa” kataku tidak menyembunyikan rasa.
“Pi lah, dia dah tulong aku” kata Madi penuh pengertian.

Aku cuba mencari helah supaya aku tidak perlu bersama dengan Yunus. “Rumah hang jauh Pak Lah. Biaqlah aku teman” kataku supaya Madi memahami.
“Aku bukan apa, aku risau kita tinggai dia sorang-sorang sana. Dia dah tulong kita, tulong aku” kata Pak Lah. “Aku tak dapat balaih, tapi nak kata aku nak pi sana lagi, aku tak berani. Antara kita, hang yang paling berani” tingkah Madi.
Terdiam aku sejenak. Betul kata Madi. Budi telah tercurah, moleklah dibalas dengan apa gaya sekali pun.

“Hang bukan penakutkan, Ku?” kata yang sengaja membakar semangatku yang terbit dari mulut Madi.
“Hang jalan elok-elok. Aku pi kat dia. Assalamualaikum” kataku sambil melihat mereka mengayuh basikal beriringan di jalan kuala sungai yang sunyi itu.
Aku segera berpatah balik, mengayuh selaju semampuku. Entah mengapa, aku tidak tahu namun itulah yang aku buat. Mengayuh dengan laju ke arah runtuhan itu. Aku hanya menurut kata hati, pergi mendapatkan Yunus yang fikirku mungkin dalam kesusahan.

Sampai sahaja, aku nampak Yunus berdiri di depan adangan zink yang mengepung tandas. Zinknya juga sudah karat dan berwarna seperti kopi susu. Yunus duduk merenung sesuatu dan hanya menggamitku tanpa berpaling melihatku.
“Aku tau hang akan patah balik” kata Yunus ringkas namun masih berdiri dan tidak berpaling memandangku yang sedang mara berjalan ke arahnya.

Desingan telingaku kembali nyaring. Perasaan inilah yang paling tidak aku suka. Tanpa amaran, Yunus berpaling dan memandang ke puncak bumbung yang ranap.
“Tu dia dok berdiri dok perati hang” kata Yunus. Hilang sengihannya, matanya tepat memandang ke arah puncak bumbung.
“Hang kacau budak tu buleh la. Awat hang tak mau kacau aku?” tiba-tiba sahaja Yunus bersuara. Gementar ada, rasa takut pun ada kerana aku tahu, kami tidak berdua di situ. Di dalam hati, lalulah siapa-siapa. Pemancingkah, penduduk di situkah, namun tiada kelibat siapa yang lalu. Jika tidak, jalan itu sentiasa ada yang melaluinya kerana ia berhampiran dengan pasar basah di mana nelayan yang baru naik ke darat akan menjual hasil tangkapan mereka kepada pembeli dan peraih.

Yunus mara beberapa langkah. Aku pula berundur ke belakang. Yunus menghentak kakinya ke tanah dan bunyi seperti benda terjatuh jelas kedenngaran dari runtuhan bumbung itu. Yunus kemudian mematahkan batang sebatang pokok renek dan mencucukkannya ke tanah. Entah betul entah tidak, aku mendengar raungan kesakitan dari arah runtuhan itu. Siapa yang mengeluarkan suara itu, tidaklah aku tahu.
Aku terasa seperti m**i akal. Hendak melarikan diri, aku hendak lari ke mana? Hendak duduk melangut di situ, terasa takut dan seram. Fikir! Fikir apa yang afdal benakku berkata. Akhirnya aku tetap berdiri di situ dan melihat Yunus yang semakin kuat mencucukkan batang renek itu ke tanah.

“Hang tak buleh pi mana selagi pokok ni tak berbunga dan berbuah” bentak Yunus keras. Aku hanya mampu terkelip-kelip memandang.
Yunus kemudian membacakan beberapa surah. Usai satu surah, Yunus menghentakkan kakinya. Lebih kurang tujuh kali membaca surah dan menghentakkan kakinya, akhirnya Yunus berhenti.
“Dia dah tak buleh lari dah, aku dah pasung dia di situ. Nanti aku panggey Ayah Ngah mai tengok” kata Yunus seraya berpaling dan tersengih memandangku.
“Hang cakap ngan sapa, Yunuih?” mulut celoparku sudah mula memainkan peranannya.
“Mai sini kalau hang nak tengok” kata Yunus. Aku sudah tentu teragak-agak. Benarlah bisikan-bisikan di sekolah. Yunus ini sewel.
Kerana hendak membuktikan fikiranku benar, kakiku melangkah menghampiri Yunus yang tersengih-sengih.
“Izin aku pegang kepala hang” kata Yunus dan dengan segera tapak tangannya sudah berada di atas ubun-ubunku.

Dengan segera pandanganku berpinar. Rasa mual yang tidak tertahan kerana dunia di sekelilingku terasa laju berputar. Mataku pedih dan air mataku jujai mengalir. Dan nampaklah aku, buat pertama kali dalam hidupku, melihat makhluk tidak terlihat mata.
Makhluk itu berwarna hitam, badannya panjang terjelepok memandang kami dengan mata merahnya yang luar biasa besarnya. Bukaan mulutnya luas dengan lidah runcing tergantung-gantung. Tangannya yang kurus dengan kuku panjangnya yang gait bergigi-gigi berwarna hitam mengusap-usap perutnya. Tanduk pendek di sudut kepala dengan cuping atas telinga tajam dan berbulu seperti kerbau. Rambutnya panjang kusut masai dan dia melenguh seperti bunyi lembu. Makhluk itu nampak kesakitan namun tidak mahu mengaku kalah dengan cuba bangun namun tidak berdaya.

Terketar-ketar aku melihat dan dengan segera aku memalingkan pandangan. Tidak sanggup aku melihat makhluk yang menakutkan itu. Terasa seperti hendak demam, rasa tidak sedap badan menyerang ragaku. Tiba-tiba terasa tangan Yunus menepuk belakang leherku. Makhluk yang terbaring sudah tidak kelihatan dan rasa tidak enak badan lenyap.
“Jom kita balik. Sat lagi Maghrib” kata Yunus yang selamba berjalan ke arah basikalnya.

Aku yang ketakutan tidak mahu jauh dari Yunus yang hanya tersenyum memandangku.
“Dia tak buleh buat apa dah. Robek dah perut dia. Binasa dah dia. Mai hujan, mai panaih, mai petiaq (petir), mai lintaq (halilintar) situlah dia akan terbaring. Apa yang Ayah Ngah akan buat pada dia, wallahualam” kata Yunus yang sudah bersedia dengan basikalnya. Aku sudah bersedia di atas basikal, menunggu masa sahaja untuk beredar.

Kami mengayuh pulang. Jarak kuala sungai dengan kampung kami lebih kurang lima kilometer, namun bagi kami, jarak itu sangat dekat. Kami berpisah di depan rumahku dan hari itu, hari pertama aku mula pergi ke masjid berteman. Teman sejatiku, Ahmad Yunus si gempal yang pernah aku benci satu ketika dulu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 43 Average: 4.9]
Pak Engku

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.