Hanya Kerana Rendang Maksu

“Jalan pelan-pelan, pijak tanah dengan tumit dulu.”

Bisik ayah ke telinga aku. Aku angguk tanda faham. Tapi aku bukan berjalan dah. Tahap merangkak dah ni. Betis dan paha terasa krem sebab dari tadi dok terbongkok-bongkok dalam hutan. Di tangan ayah ada selaras senapang patah sepanjang 3 depa budak besar aku. Di tangan aku pula ada selaras senapang kayu buatan Malaysia yang lebih pendek dari senapang ayah. Pelurunya dari biji getah dan pelatuknya guna gelang getah. Jangan main-main dengan senapang aku ni. Ramai dah budak kampung aku tarik mengkarung bila peluru dia hinggap tengah belakang. Senapang tu aku ikat dengan tali rapia. Bila letih nak pegang, aku gantung ja kat belakang badan.

Bila ayah kata berjalan, aku merangkak. Bila ayah kata tunduk, aku meniarap terus. Bila ayah kata berhenti, aku menyorok belakang ayah. Memang dasar prebet tak faham arahan. Dalam kepala aku sekarang ni, di depan sana ada gerombolan komunis. Hang panggung kepala ja, dahi hang bersepai.

Aku berpaling ke arah kiri. Nampak Paksu aku sedang bersembunyi di sebalik batang pokok getah tua. Di tangan Paksu juga ada selaras senapang patah yang panjangnya tak kurang hebat. Tu kalau kena kepala komunis mau berterabur otak ke tanah.

Srreeett…sreeett…sreeettt….

Ayah mengesot perlahan-lahan. Aku ikut dari belakang dengan perasaan berdebar-debar. Senapang buatan Malaysia digenggam kemas. Kemudian, ayah berhenti di sebalik sebatang tunggul kayu yang dah reput. Ayah berpaling ke arah Paksu yang berada tidak jauh dari kami. Paksu memberi isyarat tangan bahawa dia nak maju ke arah kanan. Aku membalas isyarat Paksu dengan dua jari…PEACE yo!

Ayah pula masih tak berganjak. Dia diam di belakang tunggul kayu dengan membidik senapang ke hadapan. Kat sini aku dah tahu, musuh telah dikesan. Aku pun maju selangkah dan meniarap rapat-rapat di sebelah kiri ayah. Ayah jeling tengok aku. Kemudian, dia tunjuk isyarat jari supaya aku memandang ke arah sasaran.

Aku panggung kepala sikit untuk meninjau. Haram tak nampak apa pun. Tak ada pun komunis. Nampak pokok getah dengan hutan banat ja.

Selang beberapa ketika aku terdengar bunyi siulan macam bunyi burung tiung. Berulang kali siulan tu bergema di kawasan sekitar kami bersembunyi. Aku yakin yang itu adalah isyarat dari Paksu. Tandanya musuh semakin hampir dengan kedudukan aku dan ayah.

Ayah menarik penukul peluru dengan berhati-hati….kemas dan diam agar tidak dikesan musuh. Nafas ayah begitu tenang, malah tidak terdengar ke telinga aku. Berbeza dengan aku yang dup dap dup dap menggelabah tak tentu pasal. Aku pekupkan telinga dengan dua tapak tangan. Sekejap lagi anak telinga aku akan bergegar dengan dentuman senapang ayah.

Tunggu punya tunggu….tak bunyi pun? Apa lama sangat ni???

Aku cuit pinggang ayah dan berbisik.

“Ayah. Ayaaaahh!! Bila nak tembak?”

Tanya aku, tak sabar nak dengar bunyi senapang. Ayah membalas dengan perlahan.

“Shhhhh….” Tandanya, aku kena diam. Ayait Kapten!

Tapi belum sempat aku angkat tabik spring, tiba-tiba hidung aku tercucuk dengan pucuk rumput yang berselerakan di tempat aku berlindung. Apa lagi….bersin la kuat-kuat.

‘Haaaattttcccchhiiiieeewwwww…..’

Serentak dengan itu….

‘Baaaaaammmmmm!!! Baaaaaammmmmm!!!’

Dua das tembakan dilepaskan ayah. Berasap hujung senapang tu, sekali dengan telinga aku berasap, tak sempat nak pekup balik akibat terbersin tadi.

Selang beberapa saat, aku terdengar bunyi nafas berhambur dengan laju dari mangsa yang tumbang di depan.

‘Bbrrrrrrrr…bbrrrrrrrrrrr….’ Bunyinya meminta nyawa. Sepantas kilat ayah berlari ke depan dan menghunuskan parangnya yang sejak tadi terselit di pinggang. Naya lagu ni. Dah kena tembak, nak kena pancung pula.

Aku yang sedang terpinga-pinga terus bangun membuntuti langkah ayah. Dua tiga kali aku tergolek ke tanah sebab tersadung akar kayu. Bila sampai di belakang ayah, Paksu dah siap sedia di situ. Paksu pegang pinggul musuh kuat-kuat dan ayah hunuskan parang ke leher mangsa yang semakin tidak bermaya itu. Sekali tekan ja, mata parang tenggelam ke dalam memutuskan dua urat marih yang menjadi penyambung nyawa bagi setiap makhluk berdarah ciptaan Tuhan. Terkulai layulah jasad itu di saat nyawanya direnggut keluar.
“Alhamdulillah. Rezeki kita. Esok kita makan rendang rusa.” Kata Paksu.
Ayah bangun menyapu d***h di mata parang ke kulit seekor rusa jantan sebesar anak lembu yang terkulai di depan kami. Badannya dipenuhi lubang-lubang kecil akibat bedilan peluru tabur. Aku tanya ayah.

“Pasaipa kita kena sembelih dia? Kan dah tembak tadi.”

“Kita orang Islam. Dah tembak pun kena sembelih jugak sebelum dia m**i. Bagi dia m**i lagi cepat, d***h pun keluar habis. Baru la daging dia jadi bersih dan halal.”

Ohh…termangu-mangu aku mendengar jawapan ayah. Walaupun tak faham sangat tapi angguk pi lah. Paksu menepuk-nepuk bahu aku.

“Suka tak? Dah teringin sangat rendang daging, Tuhan tak bagi kita lembu tapi Dia bagi rusa.”

Begitulah ungkapan Paksu pada aku. Walaupun hajat ke sini bukan semata-mata nak makan rendang Maksu yang sedap gila tu. Hasrat ayah cuma nak berziarah adik dia, tapi bila sampai sini secara tak sengaja aku tertanya Maksu….ada rendang daging tak? Maksu yang tak bersedia dengan permintaan aku berasa tak gamak hati. Dia berbisik pada Paksu suruh cari daging lembu. Tapi Paksu ada idea lain. Dari nak beli daging lembu yang mahal, baik masuk hutan cari pelanduk. Rupa-rupanya rusa yang jadi habuan.

“Kita nak lapah sini ka bawak balik terus bang?” Soal Paksu kepada Ayah.
Ayah dongak ke langit, memerhati keadaan sekeliling. Hari dah semakin petang.

“Kalau tak lapah susah nak pikoi (pikul) balik. Kita lapah dulu. Semayang Asaq lepas tu balik.” Jawab ayah.

Lalu, Paksu bergegas mencari daun pisang hutan yang sememangnya banyak tumbuh di pinggir kebun getah tua tu. Pelepah pisang dihamparkan atas tanah buat lapik untuk acara melapah rusa. Part ni yang aku suka. Nanti ayah akan tunjuk yang mana jantung yang mana hati yang mana buah pinggang. Semua benda dalam tu ayah tak bawa balik. Ayah tanam sekali dengan kulit, kepala dan telapak kaki. Daging sahaja yang akan menjadi santapan kami. Tanduk pula d******g Paksu dan disimpan untuk dibuat ubat katanya. Ubat apa aku pun tak tahu.
Dah selesai melapah rusa, dagingnya dimasukkan ke dalam 2 bekas guni plastik. Tadi sebelum lapah, aku terfikir juga macam mana nak bawa balik rusa sebesar tu? Mau ranap pinggang sementara nak sampai rumah yang berjarak 1 jam perjalanan dari tempat kami berburu. Bila dah lapah, tinggal tak banyak mana pun nak pikul. Patutlah ayah suruh lapah kat situ juga.
Usai solat Asar, ayah minta berehat sekejap. Nak minum kopi dan makan pulut udang yang dibekalkan Maksu tadi. Sambil menjamah bekal yang dibawa, ayah berborak dengan Paksu tentang macam-macam hal. Dari hal duniawi hingga ukhrawi. Aku yang tak faham sangat hanya duduk di perdu pokok dan melayan perasaan sendiri.

Dah 2 hari aku dan ayah bermusafir di kampung Paksu. Esok kami nak balik. Walaupun baru 2 hari tapi aku dah rindukan mak. Mak mesti tengah masak sedap-sedap kat rumah. Bengkang ubi, lempeng nyok, bubur hitam. Tu semua makanan kegemaran aku di waktu petang macam ni. Tapi, duduk di kampung Paksu ni best juga. Boleh berburu, masuk hutan, mandi sungai besar. Kat rumah aku tak ada sungai. Ada parit ja. Kalau nak terjun tiruk, kepala boleh tenggelam dalam selut.

“Jom kita. Dah nak gelap ni.” Kata ayah lalu bangun mengibas-ngibas daun kering yang menempel di belakag seluarnya. Ayah mengangkat guni plastik lalu dipikulnya di pundak. Begitu juga dengan Paksu. Masing-masing memikul seorang sebekas guni daging rusa.

Paksu berjalan di depan, aku di tengah dan Ayah di belakang. Suasana kebun getah tua itu semakin redup. Tandanya hari semakin lewat petang. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Paksu dah mahir selok belok hutan ni. Memang tempat dia berburu sejak kecil. Ayah aku pun pernah bermain di hutan ni. Biasanya, kalau keluar berburu Paksu akan berperanan sebagai penjejak dan ayah sebagai pembidik. Bergantung kepada keadaan. Senapang yang ayah guna tu pun milik Paksu. Ayah jarang berburu, tapi sekali dia turun insyaAllah ada habuan.

Dari lembah, kami mendaki ke puncak sebuah bukit kecil berketinggian lebih kurang 200 meter. Bukit itu dipenuhi dengan pokok, durian, petai dan cempedak. Kata Paksu, bukit tu ada tuannya. Tak boleh sewenangnya ambil sumber alam di situ tanpa keizinan tuan tanah.

Di puncak bukit tu ada sebuah pondok menunggu durian, bersebelahan dengan rumpun pohon buluh yang pucuknya menjulang ke langit. Batang-batang puluh tu sebesar paha orang dewasa. Pondok tu pula dibina macam sebuah rumah. Siap ada dinding dan tingkap. Atapnya dari daun nipah. Keadaannya usang tak terjaga. Sebahagian atapnya dah hilang dihumban angin. Paksu kata pondok tu pun jarang ada yang menunggu sebab durian kat situ tak berapa menjadi. Buah mangkau lagi dah jatuh ke tanah.

Masa melintas di belakang pondok tu, ada satu benda yang aku perasan. Secara tak sengaja mata aku terpandang sepasang kaki sedang berjuntai dari lantai pondok sebelah sana. Mulanya aku ingatkan anak tangga. Tapi bila dia bergerak-gerak baru aku sedar, ada orang dalam pondok tu. Dari belakang pondok memang tak nampak, sebab terlindung dengan dinding. Nampak kakinya saja berjuntai di sebalik pintu pondok. Aku pun dengan penuh keceluparan bertanya pada Paksu. Maklumlah otak tengah suci lagi waktu tu. Kanyaq lagi….

“Paksu. Tu ada orang duduk situ.”

Paksu berpaling pandang aku.

“Mana?” Tanya Paksu.

“Tuuu alik sana. Edi nampak kaki dia.”

Paksu membongkok sikit untuk melihat dari bawah pondok.

“Tadak apa pun. Mana ada orang.”

Jawab Paksu lantas berjalan menuju ke depan pondok. Sebaik tiba di bahagian depan, nyata sekali pondok tu kosong. Yang ada hanya daun buluh kering yang berselerakan atas lantai.

“Tadak sapa haih. Hang mimpi ni.” Kata Paksu.

Ayah pula hanya memerhati keadaan sekeliling. Lalu ayah berkata…

“Tempat orang ni. Kita dah masuk sempadan. Jom balik.”

Paksu yang baru nak merebahkan p******g ke lantai pondok terus bingkas bangun.

“Ya ka?”

“Ya. Jom balik. Kita dah masuk rumah orang.” Jawab ayah lagi.

Tanpa berkata apa-apa Paksu menarik tangan aku yang sedang get ready nak celapak atas pondok. Syok kot lepak situ. Budak-budak bila jumpa pondok memang dia nak buat macam rumah sendiri. Tapi hajat aku tak kesampaian bila tangan aku direntap Paksu. Walaupun aku tak faham isi perbualan ayah dan Paksu, hasrat untuk bermain dalam pondok tu terpaksa dibatalkan. Baru ja nak seronok tiba-tiba kena balik. Cissss….

Masa berjalan keluar dari kawasan pondok tu, sekali lagi mata gatal aku terpandang sesuatu. Ada sesusuk tubuh nenek tua sedang memerhatikan kami dari sebalik pokok durian, lebih kurang 20 kaki dari pondok tu. Nampak separuh ja badannya keluar dari balik batang pokok. Yang lagi pelik, nenek tu tak pakai baju. Dengan jelas aku nampak buah dada kanannya yang melondeh hingga ke pusat. Badannya berwarna putih bagai dilumur tepung. Muka dia pun putih dan rambutnya pendek setakat bahu, penuh dengan uban. Kelopak dan alis matanya pula hitam.
Pertama kali melihat nenek tu aku naik heran. Maklumlah masa tu budak lagi. Nenek tu sakit ka gila? Dalam hutan tak pakai baju. Taktau malu ka?

Bila aku pandang kali kedua, seluruh tubuh nenek tu dah keluar dari sebalik pokok. Dia berdiri terpacak memandang aku. Waktu ni lah aku terkaget sekejap. Buah dadanya ada sebelah ja. Sebelah lagi bagai dah dirobek, berlubang dan rompong hingga tembus pandangan aku ke latar belakang. Terus aku tanya ayah.

“Ayah… tu apa?”

Serta merta ayah berhenti berjalan dan melihat ke arah yang aku tunjuk. Paksu pun sama. Kami bertiga berhenti serentak untuk melihat nenek tua tu.

“Apa dia Edi?” tanya Paksu.

“Tu…mak tok kat pokok tu.” Sebaik aku jawab macam tu, terus Paksu memekup mulut aku dengan tangannya dan menolak aku supaya terus berjalan.

“Paksu tak nampak pun. Kalau hang nampak apa-apa buat taktau dah. Jangan tunjuk, jangan tegoq.” Kata Paksu.

“Tu hantu ka Paksu?”

“Isshhh budak ni. Mulut jelabaih gak hang nuh.” Jawab Paksu dengan tegas. Ayah pula terus berjalan tanpa pedulikan kami di belakang.

Sebaik melewati kawasan pondok tu, aku berpaling lagi ke belakang untuk melihat nenek tu. Dia dah tak ada kat pokok tadi. Namun, bunyi ketawa ketawa kecil dari dalam pondok menarik perhatian aku.

‘Hihihi…hihihihi…….’

Terus mata aku terpana ke arah pondok, tepat di lubang angin antara atap dan dinding. Nenek tadi sedang berdiri di situ sambil memandang aku. Nampak separuh ja muka dia dari pangkal dahi hingga ke hidung. Tangannya sedang berpaut pada dinding pondok. Jari jemarinya kurus dan tirus terjojol keluar. Masa itu jugalah aku berasa nak demam. Belakang tengkuk aku mengembang tanpa bertangguh.

Bila aku berpaling semula ke depan, ayah dah berdiri depan aku. Dia tekup kedua-dua telinga aku kiri dan kanan lalu ditiup sesuatu ke ubun-ubun aku. Serta merta juga perasaan meremang tadi kembali tenang.

“Jalan cepat sikit. Dah nak Maghrib.” Kata ayah.

Kali ni ayah pegang tangan aku dan tarik aku ke depan. Paksu berjalan di belakang sekali. Sambil berjalan aku boleh dengar ayah berzikir apa entah, sama macam Paksu. Mulut terkumat-kamit membaca sesuatu.

Hampir setengah jam berjalan dari pondok tu, kami belum jumpa denai yang sepatutnya membawa kami turun ke jalan kampung. Kalau nak dikira, masa naik tadi 10 minit ja dah jumpa pondok durian tadi. Tapi bila nak turun jadi jauh. Aku dah mula menggelisah sebab penat berjalan.

“Jauh lagi ka ayah?”

“Tak jauh dah. Jalan ja.”

“Tapi macam lama sangat ni.”

Ayah diam. Bibirnya masih bersiul dengan zikir.

Satu jam berlalu. Hari dah mula gelap. Dari kejauhan, rumah-rumah orang kampung mula dah terpasang lampu. Tandanya Maghrib dah nak tiba. Kalau tadi ayah berjalan dengan laju, kali ni ayah berjalan perlahan lalu berhenti di tengah denai.

“Harun. Kita patah balik pi pondok. Ada benda dia tak puaih hati ni.” Kata ayah pada Paksu.
“Betoi ka nak patah balik bang? Kita jalan jauh dah. Dah nak malam ni.”
“Dekat ja kalau kita patah balik. Bawak lampu kan?”
“Ada ni torchlight. Memang selalu dok bawak.” Jawab Paksu sambil mengeluarkan lampu suluh klasik berwarna perak dari beg sandangnya. Wajah Paksu nampak letih. Dah la berjalan jauh, kena pikul daging rusa pula.

“Jom patah balik. Main kasaq dah ni.”

“Jom lah. Memang dok berasa dia nak main dari tadi. Jom pi selesai.” Jawab Paksu tanpa banyak soal. Dia menurut saja ajakan ayah.

Aku pula masih tak faham. Kenapa nak kena patah balik? Siapa nak ajak main? Nak main apa? Congkak? Toi? Batu Seremban? Main kahwin-kahwin? Orang nak balik tidur depa nak ajak main. Bebel aku dalam hati.

Benar kata ayah, 10 minit berjalan patah balik dah jumpa pondok tu. Azan Maghrib dah berkumandang dari sekitar kampung berdekatan. Ayah pilih satu tempat yang lapang jauh sikit dari pondok dan ajak kami solat Maghrib di situ. Aku solat juga, tapi tunggang langgang. Mata melilau ke sekeliling hutan. Sekejap pandang pucuk pokok, sekejap pandang ke perdu buluh, sekejap pandang ke pondok yang gelap dan kosong.

Usai solat, Ayah berwirid macam biasa. Kemudian ayah angkatkan doa panjang-panjang. Mata aku mula menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Letih kerana terlalu lama berjalan dalam hutan sejak dari pagi tadi. Dah selesai bacaan doa, ayah ambil saki baki air wuduk dari dalam botol dan direnjis air tu di sekeliling tempat kami duduk. Paksu pula ditugaskan untuk duduk di tepi aku dan berzikir Bismillahillazi Laa Yadhurru…..

Kemudian, ayah bangun dan berjalan menuju ke pondok dengan berkaki ayam.

“Jaga anak aku. Aku dah pagar tempat ni.” Kata ayah pada Paksu. Paksu mengangguk tanda faham. Di tangannya sedia terhunus parang tajam buat persediaan jika berlaku apa-apa yang diluar jangkaan.

Selang 7 Langkah, ayah berhenti dan dihentakkan kakinya ke tanah sebanyak 3 kali. Kemudian ayah jalan lagi 3 langkah dan berdiri menghadap ke pondok. Aku tak ingat sangat apa yang keluar dari bibir ayah waktu tu, tetapi bunyinya lebih kurang begini. Ayah bermonolog…..

“Hang nak apa?”

Soalan ayah tidak berjawab. Yang dengar hanya deruan lembut angin malam yang menyisir serumpun pohon buluh yang ada di sebelah pondok. Gemersik daun-daun buluh tu buat suasana jadi seram. Aku duduk rapat berlaga lutut dengan Paksu.

“Paksu. Ayah bercakap dengan sapa?” Tanya aku.

Paksu tak jawab, dia memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk ke bibir. Tandanya…diam dan lihat.

“Kami lalu ja sini. Bukan buat apa pun.” Kata ayah lagi sambil bercekak pinggang menghadap ke pondok.

“Tak. Kami lalu ja. Kami tak ambil apa pun. Kalau ada yang silap cuba bagitau elok-elok. Bukan buat naya macam ni.”

Ayah terus bermonolog dan setiap kali ayah berkata-kata, jawapannya ialah angin yang menyisir daun buluh. Kadang-kadang kuat kadang-kadang perlahan.

“La ni kami nak balik. Jangan ingat aku tak boleh balik sendiri. Tapi saja aku patah balik nak bagitau hang yang aku tak takut.” Begitu kata ayah.

“Tak. Bukan aku mintak dengan hang. Aku mintak dengan Tuhan. Tapi aku nak hang lepas cara baik. Kalau nak cara kasaq aku boleh bagi.” Kata ayah lagi yang mula mengeluarkan ungkapan ugutan. Nampaknya, di malam yang dingin tu ayah dah mula panas hati.

“Tak boleh. Tu anak aku. Dari dalam perut mak dia usung sembilan bulan, bila dah besaq aku bagi makan elok-elok pasaipa aku kena bagi kat hang? Alasan apa aku kena bagi?”

“Yaaa. Tapi kami lalu ja. Tadak pun dalam mana-mana kitab kata tak boleh lalu tempat ni tak boleh lalu tempat nu. Bukannya kami buat apa. Tumpang lalu ja. Pondok ni pun bukan hang yang buat kan? Ni tempat orang. Hang tu mai singgah ja. Bukan tuan sini.”

“Tak tak. Tu bukan masalah aku. Nak marah ka nak mintak cukai ka bukan masalah aku. Tadak pun tanda yang ni tempat hang. Yang ada di sini pondok tu ja. Pondok tu memang tanda orang kami yang buat. Bukan kami bertiga yang buat. Tapi orang lain. Pi selesai masalah tu dengan orang yang buat. Bukan dengan kami.”

Saat itu, angin semakin kuat menghembus pohon buluh. Yang peliknya, angin tu tak tempuh pun aku dan Paksu serta pokok-pokok yang lain. Kami tak terasa seperti dihembus angin macam biasa. Hanya pohon buluh, pondok tu dan ayah yang ditempuh angin. Boleh nampak bengkung di pinggang ayah terbuai-buai ke kiri ke kanan.

“Aku tak peduli. La ni aku nak balik. Cuma aku nak pesan, ini laluan manusia. Laluan orang kampung. Laluan adik aku dok berburu kat sini. Binatang-binatang kat sini pun Tuhan bagi kami makan. Bukan makanan hang. Kalau tak suka berkongsi hang jangan duduk sini. Pi cari tempat lain.” Ungkap ayah lagi. Lantas ayah hunuskan parang yang terselit di pinggang.

“Pilih….nak hidup ka nak m**i? Aku tadak masa dah nak sembang. Nak balik rumah ni.”
Ketika ayah bagi kata putus tu, satu kelibat putih yang tinggi dan kurus berlari keluar dari pondok dan menyelinap masuk ke rumpun buluh lalu hilang. Aku kaget. Terus aku ubah tempat duduk ke belakang Paksu yang masih berzikir sejak tadi.

“Baik. Tapi dengan satu tanda untuk hang ingat yang ni tempat kami lalu lalang. Bukan tempat hang sorang. Ingat tanda ni baik-baik. Dok mengacau lagi lepas ni, aku mai cari hang.” Kata ayah.

Lalu ayah melangkah ke rumpun buluh. Ayah berdiri tegap di situ membaca sesuatu lantas menebas sebatang buluh muda sebesar lengannya. 3 kali cantas buluh tu tumbang ke tanah. Serentak dengan itu sayup-sayup terdengar suara meraung dari jauh.

“AAAaaaaaaaa………aaaaauuuuuwwwww…..” lalu hilang dipuput bayu.

Ayah capai buluh yang tumbang tu lalu dicantas menjadi 5. Setiap satunya dilurut menjadi tajam lalu ditancapkan ke celah-celah perdu di sekeliling rumpun buluh. Ayah tekan batang-batang buluh dengan kaki hingga tenggelam separuh ke dalam rumpun.

“Ini tanda yang kami tak takut. Dengan kuasa Allah Ta’ala hang terkunci dalam tu sampai bila-bila. Selagi ada manusia dok lalu sini, dok cari makan kat sini hang takkan kacau. Duduk situ diam-diam.” Kata ayah dengan tegas. Dan aku masih tak faham ayah ber ‘hang aku’ dengan siapa.

Ayah kembali ke tempat kami duduk.

“Dah. Jom balik. Awat tak bagitau awai-awai yang sini dia dok main?” Kata ayah pada Paksu.

“Aku pun dok dengaq orang cakap ja bang. Tak pernah kena pun. Tu yang tak peduli sangat.” Jawab Paksu menggaru-garu kepalanya yang aku yakin tak gatal, tapi bingung.

“Takpalah. Dia nak main ja tu. Kalau kita turut dia lagi suka. Kena buat keras dari awal.”

Lalu kami berjalan menyusuri denai tadi. Tak sampai 10 minit dah jumpa sempadan ke kampung Paksu. Dari situ kami berjalan pula lebih kurang setengah jam menuju ke rumah Paksu. Sebaik tiba di rumah, Maksu Bedah dan sepupu aku Nafi dah tercongok atas beranda.

“Lewatnya hari ni. Selalu sebelum Maghrib dah sampai.” Tegur Maksu sebaik nampak kelibat kami di anak tangga.

“Haaa. Pasai rezeki lebih sikit hari ni. Tu yang lewat. Tuhan nak uji.” Jawab Paksu.
Dua guni berisi daging rusa diletakkan di depan Maksu.

“Rebus siap-siap malam ni. Esok pagi masak terus. Nak kirim bagi anak-anak bang Khatib. Depa dok makan ikan ja. Kali ni kita jamu daging rusa dari jauh.” Kata Paksu lagi.

Ayah senyum memandang Maksu lantas mengajak aku masuk ke dalam untuk mandi dan berehat. Esok kami nak balik dengan bekal rendang rusa untuk Mak dan adik beradik aku yang lain. Rendang Maksu memang terbaik. Sama power dengan rendang Mak aku. Cuma rendang Maksu ni bukan semata-mata daging lembu. Boleh jadi daging rusa, pelanduk, kancil, landak atau apa saja yang jarang nak dapat kat tempat aku. Kalau boleh tiap-tiap minggu nak ajak ayah datang sini. Boleh makan benda-benda dari hutan. Kerana rendang maksu jugalah, Tuhan nak tunjuk kat aku yang tanah kita bukan hanya dihuni manusia, ada ciptaan lain yang sedang mengintai di sebalik hijab yang tak terpandang di mata.

Dan percaturan Tuhan dah termaktub. Selepas kejadian tu ayah tak pernah lagi ke rumah Paksu. Bukan marah, tapi ayah sibuk. Rumah Paksu bukan dekat. Hang kena naik bas lompat-lompat 3 jam baru sampai sana. Dah tu kena naik teksi sapu pula masuk ke kampung. Tu pasal ayah jarang ke rumah Paksu kecuali kalau ada hal penting atau teringin nak pegang senapang. Biasanya setahun sekali ja ayah akan ziarah adiknya itu.

Setelah 2 tahun tak bertandang ke sana, di suatu pagi tu ayah berikan aku kejutan. Jom ke rumah Paksu katanya. Melompat aku dari beranda rumah menuju ke dapur. Minta Mak buat bekal siap-siap. Nanti aku bawa balik kat Mak rendang rusa lagi. Tapi aku silap. Kali ni bukan sebab nak berburu atau sebab nak makan rendang Maksu. Kali ni sebab nak mencari Maksu. Mencari Maksu yang hilang….kisahnya ada pada pautan di bawah. Selamat mengulang baca.

#Edi – Di mana Maksu?

Terima kasih.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Edi Arjuna

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 4.1]

7 thoughts on “Hanya Kerana Rendang Maksu”

  1. Pasai ni la aku takmau bawak budaq2 pi hutan, mulut lancang yakmat. Tak pasai2 kena kacau makhluk lucknut. By the way, sate kajang sucks

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.