Hey! Kau Cari Aku Ke?

Hello geng! Salam perkenalan! Nama aku Art, ofkos bukan nama sebenar. Aku masih baru lagi berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan cerita pendek (cerpen), terutama dalam genre seram. Green horn bak kata depa. Jadi arini aku nak share satu cerita, seram atau tidak, terpulang kepada anda, pembaca-pembaca yang budiman untuk menilainya. #BroCuba. Ok, enough with introduction, without further ado, enjoy!

Tahun 1997, Melaka
“Razi, cepatlaa siap! Ko nak pergi ke tak ni?” sergah Jali, tatkala melihat Razi masih lagi terkulat-kulat di bidai katil. Petang itu, mereka pelajar-pelajar baru asrama di wajibkan menghadiri ceramah agama di masjid utama, anjuran badan agama, kebajikan dan dakwah sekolah sebagai salah satu aktiviti di minggu orientasi. Ada penceramah dari luar di undang khas untuk memberikan ceramah.

“Aku rasa tak sedap badan, rasa macam nak demam” jawab Razi. “Aku ingat aku skip lah petang ni. Kalau ade orang tanya, pandai-pandailaa ko goreng” Razi buat muka seposen seraya merebahkan badan. “Ehh? Tadi elok je aku tengok ko terkinja-kinja hujung dorm tadi” sembur Jali. Razi hanya mampu tersengih-sengih kerang busuk. “Sungguh, aku rasa nak demam nie. Homesick kot!” perlahan Razi menjawab, konfiden berbaur segan. “Haii…Anak jantan pun bole homesick! Jadah!” ujar Jali, tersenyum seraya mengeleng-gelengkan kepala. Razi tersenyum sumbing. “Okla, aku gerak dulu.” tutur Jali sambil menyarung selipar sebelum dia bergerak meninggalkan Razi.

Tinggallah Razi keseorangan, terlentang, terkebil-kebil merenung kipas siling. Ini merupakan hari ke 5, minggu pertama Razi di asrama. Razi berhasil mendapat keputusan cemerlang dalam PMR yang lalu, dan di tawarkan tempat di sebuah sekolah berasrama penuh di sebuah negeri yang lain. Sekolah berprestij. Razi tanpa ragu-ragu dan segan silu terus menerima tawaran untuk menyambung pelajaran di sana demi membina masa depan yang cemerlang, gemilang, terbilang. Tapi kegembiraan Razi tidaklah berpanjangan, kerana mengharungi minggu orientasi bukanlah satu perkara yang mudah bagi Razi. Dan bagi mereka-mereka yang baru berjinak-jinak, menjejakkan diri ke dunia asrama. Semuanya serba baru. Kawan-kawan baru, budaya baru, gaya hidup baru. Agak culture shock juga mereka pada awalnya. Dan pelbagai aktiviti yang mereka terpaksa jalani, semuanya menuntut kesabaran tahap gaban, kekuatan mental level komando dan semangat jitu lagi kental. Apakan tidaknya, tidur yang tidak mencukupi, rehat yang terhad, di tambah aktiviti-aktiviti fizikal yang mencabar daya ketahanan semuanya membuatkan mereka jadi letih lesu, bosan dan timbul perasaan tidak puas hati dan ingin memberontak. Tapi apakan daya, sebagai budak baru, semuanya ditelan dan hanya dipendamkan dalam hati.

Razi mengeluh lagi, dipusingkan badan ke kanan, pandangannya jatuh ke hujung dorm, kosong. Pusing belakang, kosong juga. Suasana sekitar sunyi sepi, bak kata omputih ‘pin drop silence’. Perlahan-lahan Razi bangkit dari katil, berkeriuk-riuk bunyi katil, dan menuju ke lokernya mencari Panadol. Di telannya dua biji dan air diteguk secukup rasa. “Aku sorang-sorang nampaknya’ getus hati Razi sambil matanya melingas ke sekitar dorm. Sesekali kepalanya terjenguk-jenguk memerhatikan katil lain. Dorm tersebut berbentuk U, ada dua wing, wing kanan dan wing kiri. Setiap wing menempatkan kira-kira 20 biji katil, single bed. Tandas di tengah-tengah, di antara dua wing, dan setiap wing mempunyai satu pintu untuk ke tandas. Dan jarak katil Razi ke pintu tandas tidaklah jauh, selang dua tiga katil. Razi merebahkan badan semula. Fikirannya melayang jauh. Entah apa yang difikirkan. Tak lama, Razi mula terasa mengantuk, matanya menjadi berat, kesan ubat barang kali. Dua tiga kali menguap akhirnya Razi terlena di dalam remang-remang senja menghampiri malam.

“Bushhhhh…!!!”

Razi tersentak, bunyi pili air terbuka dari tandas menerjah lubang telinganya, menyedarkan Razi dari lena. Razi terpisat-pisat. Otaknya menerawang sebentar ke sana sini, sebelum dia kembali ke alam realiti. Razi bingkas duduk sambil matanya meliar ke serata ceruk asrama. Kelam. Suasana sekitar kelihatan samar-samar, hanya disimbahi lampu dari kaki lima asrama. Razi menjeling jam di tangan, “Ahhh dah 7.45” keluh Razi. Dia cuba bangun tapi rasa lemau masih bersisa. Hajatnya untuk bangun mandi dan bersolat, tapi tangan dan kaki terasa kebas-kebas. Perlahan-lahan Razi merebahkan badan semula. Matanya merenung kipas yang ligat berputar di siling, sambil fikirannya melayang jauh. Dalam gelap bersendirian, entah mengapa tiba-tiba Razi terasa sayu. Feeling blues. Razi terasa sungguh rindu pada rumah. Razi mengeluh perlahan.

“Bushhhh…!!! Skrehhh!! Skrehh!!

Bunyi tadi kembali menerpa lubang telinga Razi. Jelas di pendengarannya, seperti ada manusia lain di tandas, membasuh baju barang kali. Razi berasa lega, sekurang-kurangnya ada manusia lain di dalam dorm, tidaklah dia bersendirian. Budak wing sebelah barangkali, fikir Razi. Razi menarik selimut, diselubungi badannya dari kaki hingga ke kepala dengan hasrat dapat menghangatkan badan dan mengeluarkan peluh-peluh demam di badan. Sendi-sendi badannya terasa bisa. Demamnya masih belum kebah betul. Nanti dah okay sikit, aku bangun mandi solat, bisik hati Razi. Bunyi pili air dan orang membasuh masih galak menyumbat telinganya. Puas terkebil-kebil di dalam gelap, antara sedar dan tidak, akhirnya Razi terlena semula.

Bahang yang makin terasa, membuatkan Razi tersedar dari lena. Panasnya berkuap-kuap lantas Razi membuang selimut yang membaluti tubuhnya. Badannya lencun di basahi peluh. Suasana kelam serta-merta menyerbu penglihatannya. Keadaan persekitaran sunyi-sepi. Hanya kedengaran bunyi cengkerik-cengkerik gatal di luar. Sesekali di sahut pula dengan bunyi katak memanggil hujan. Razi merenung jam di tangan, menunjukkan pukul 9.15. “Lama jugak aku tido.” bisik Razi. Bunyi dari tandas tadi sudah menyepi. “Belum balik lagi budak-budak nie.” Razi mengumam sendirian sambil mengeliatkan badan. Badannya terasa agak segar, demamnya juga seakan sudah kebah sekalipun masih bersisa. Sesekali perutnya memainkan irama keroncong, memberikan isyarat ianya perlu diisi.

Tap! Tap! Tap!

Tiba-tiba Razi terdengar bunyi tapak kaki berjalan dari hujung dorm. Walaupun perlahan, dalam keadaan yang sunyi begitu bunyi tapak kaki tersebut jelas kedengaran. Razi terkebil-kebil di dalam gelap menantikan empunya tapak kaki tersebut. Semakin lama semakin menghampirinya.
Tap! Tap! Tap!

Bunyi tapak kaki kini betul-betul berada di hadapan katilnya, lantas Razi menjengah. Serta-merta bunyi tersebut m**i. Kosong! Tiada kelibat manusia. Apa yang kelihatan hanyalah katil-katil besi yang berdiri kaku. Kepala Razi tersedut kembali, dan kali ini dia menyandarkan kepala di kepala katilnya. Dia sedikit kehairanan. Razi berasa dia berada dalam state mamai, tapi dalam masa yang sama dia yakin benar akan bunyi tapak kaki tersebut. Dalam keadaan Razi masih tertanya-tanya, bunyi tapak kaki tadi berbunyi semula tetapi kali ini bergerak menjauhi katilnya. Razi tercangak-cangak di dalam gelap tercari-cari empunya tapak kaki tersebut tapi masih gagal menangkap sebarang susuk tubuh. Keadaan persekitaran yang gelap membataskan lagi penglihatannya. “Siapa pulak tu?” Razi separuh berbisik. Dari bersandar, Razi terus duduk. Otaknya ligat berfikir. Dan bunyi tapak itu semakin lama semakin menjauh. Dan senyap.

Tak lama berselang, dalam masa terpinga-pinga itu, sekali lagi Razi terdengar bunyi tapak kaki tadi, kali ni bunyi itu berpatah balik ke arahnya! Dan dalam keadaan berlari! “Siapa tu woi?!!” Razi separuh mejerit. Hatinya geram bercampur cuak. Sampai betul-betul di hadapan katilnya, bunyi tadi m**i. Razi menoleh. Kosong lagi! Seriau Razi! Dalam keadaan yang agak gawat itu, tiba-tiba Razi terdengar bunyi dengusan! Entah dari mana! Kuat! Razi terkulat-kulat. Rasa seram menyerangnya secara tiba-tiba! Razi kembali berbaring, rasa ingin tahunya m**i serta-merta. Bunyi dengusan jelas kedengaran, sekejap kuat sekejap perlahan. Sekejap jauh, sekejap dekat. Bunyinya seperti orang dalam keadaan yang teramat marah. Mendengus-dengus! Atau bunyi lembu! Lembu kena sembelih! Bulu romanya meremang! Dalam keadaan yang semakin menekan itu, Razi hanya mendiamkan diri. Matanya dipejam. Mulutnya terkumat kamit, entah apa yang dibaca, Razi sendiri pun tak pasti. Perlahan-lahan selimut ditarik hingga menutupi muka. Badannya mengigil-gigil ketakutan, rasa seram sejuk yang masih bersisa tadi kembali memuncak.

Tiba-tiba…

“Hey! Kenapa kau tutup muka? Tiba-tiba Razi disapa! Suara itu datang betul-betul dari hadapan mukanya, terasa begitu dekat. Seolah-olah di balik kain selimut sahaja. Razi terasa dadanya menyendat, badannya terketar-ketar dan nafas turun naik kencang. Tuhan saja yang tahu betapa kecut perutnya di saat ini.
“Hey, kau takut ke? Bukalah muka kau, tengoklah aku! Kau cari aku kan?!!Hihihihiiiiii…!!!” Suara tadi kembali menyapa, diselangi seli dengan hilaian pendek yang bisa menaikkan bulu roma. Di balik selimut, Razi terasa seakan-akan empunya suara tersebut sedang tersengih-sengih memandang tepat ke arahnya yang tergigil-gigil ketakutan. Bulu romanya tegak berdiri! Muka dan tengkuknya terasa kembang!

Razi hanya mampu lagi mematikan diri, tak bergerak walaupun sedikit. Peluh merembes laju dari setiap liang roma di badan. Di sebalik selimut itu, Razi dapat melihat sesusuk tubuh, tapi berbalam-balam. Secara tiba-tiba bunyi tapak kaki tadi berbunyi semula, kali ini bergerak seolah-olah meninggalkannya, di selang seli dengan bunyi ketawa mengekek halus. Seakan geli hati benar dapat menakutkan-nakutkan Razi. Makin lama bunyi tapak itu makin menjauh, bergerak hingga ke hujung dorm lalu senyap.

Satu detik, dua detik, tiga detik… Razi kekal membatukan diri, dan hatinya tidak putus-putus berdoa. Matanya terpejam-pejam menahan ketakutan tahap maksima. Lama-kelamaan keadaan beransur-ansur menjadi tenang. Dan kembali sepi. Setelah menunggu seketika, setelah Razi yakin empunya suara tadi telah pergi menjauh, perlahan-lahan Razi menarik selimut hingga ke paras hidung. Razi menarik nafas lega walaupun perasaan seram itu masih ada. Mulutnya terkumat-kamit mengucap dan beristhigfar, sambil matanya melingas ke kiri dan ke kanan seolah-olah mencari sesuatu…

“Kau cari aku ke??!!!

Tersirap d***h Razi! Tanpa disedari Razi mengalihkan pandangan ke arah suara tersebut. Suara itu datang dari atas lokernya. Razi terkedu! D***h becerau naik ke muka! Tengkuknya terasa mengembang! Di hadapannya, tertenggek suatu lembaga dalam keadaan mencangkung, serba putih, rambut panjang terjurai mengerbang, berwajah buruk dan di penuh d***h! Tambah mengerikan apabila daging mukanya jatuh lerai satu-persatu manakala lidahnya terjelir panjang menjilat-jilat d***h di muka! Makhluk itu merenung tepat ke arah Razi! Matanya semua putih, tiada biji mata hitam. Dalam keadaan yang samar-samar itu, Razi dapat melihat dengan jelas lembaga itu menyeringai, tersenyum melirik-lirik sebelum senyuman itu bertukar menjadi satu hilaian yang maha ngeri, nyaring lagi menyeramkan! Mata Razi terbuntang, nafasnya seakan terputus dan otaknya jadi beku tiba-tiba sebelum pandangnya bertukar menjadi sayup-sayup lantas gelap! Razi pengsan!

Selang satu minggu kemudian, “Jali, terima kasih banyak-banyak atas segalanya. InshaAllah, ada umur kita jumpa lagi. Jaga diri baik-baik.” pesan Razi dari dalam perut kereta kepada Jali buat sekian kalinya. Jali hanya mampu mengangguk-angguk lemah. Tatkala kereta Razi bergerak meninggalkan perkarangan asrama, Jali masih lagi melambai-lambai pada Razi, hatinya sayu dan perasaannya bercampur baur tatkala melihat kawan barunya yang bakal pergi meninggalkannya dan sekolah buat selama-lamanya. Selepas peristiwa Razi di ganggu tempoh hari, Razi telah mengambil keputusan untuk berhenti belajar di situ. Ternyata peristiwa di ganggu tempoh hari meninggalkan kesan yang mendalam pada Razi. Menurut Razi lagi, dia akan menyambung persekolahan di sekolah lamanya. Jiwanya lebih tenang katanya.

Jali beransur-ansur melangkah pulang ke asrama. Malam itu dia mengambil keputusan untuk tidak pergi ke prep malam, dia berasa teramat malas. Lagipun sesi persekolahan baru sahaja bermula, tiada apa yang perlu disegerakan. Jali hanya berbaring, bermalas-malas di katilnya sambil fikirannya menerawang jauh memikirkan perihal Razi.Tak disangka Razi akan mengambil keputusan drastik sebegitu. Sungguh tak disangka. Sesekali matanya menjeling ke katil sebelah, yang dulu kepunyaan Razi yang sudah kosong. Tiba-tiba…
Tap! Tap! Tap!…Hihihi…!!!

The end.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Art Pena

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

2 thoughts on “Hey! Kau Cari Aku Ke?”

  1. Dulu aku keje kt klinik. Kalu xde patient, klinik mmg sunyi. Ada beberapa Kali dngr bunyi tapak kaki, pki selipar jepun. Berjalan biasa. Bila tgk kt tmpt yg bunyi tapak kaki, xde org. Ni kan pulak bunyi tapak berlari2 ke arah ko. Seram wehh…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.