Homestay Di Taiping

Assalamualaikum semua pembaca setia FS. Nama aku Cha. Dulu, aku pernah berkongsi pengalaman disini bertajuk “Di Santau Majikan” dan “Di Santau Majikan Part 2“. Kalau ada yang belum baca, nah ini link nya : (http://fiksyenshasha.com/di-santau-majikan/ ) (http://fiksyenshasha.com/di-santau-majikan-part-2/). Sekarang, aku dah pun berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan. Baru-baru ni, aku ada terbaca kisah tentang sebuah rumah yang di diami makhluk tanpa kepala di Taiping. Lalu aku teringat pengalaman ku sendiri sewaktu menghuni sebuah homestay di Taiping.

Kejadian ini berlaku pada tahun 2016 sewaktu cuti sekolah bulan Disember. Kira baru sebulan yang lalu lah. Waktu itu, aku sekeluarga bersama ayah, mama dan adik ku, Ice merancang untuk bercuti selama seminggu. Kita membuat perancangan bersama tiga lagi keluarga, iaitu keluarga kedua makcik-makcik ku dan pakcik ku. Jadi, ada dalam anggaran 20 orang lah bercuti bersama. Kita bercadang untuk menziarahi keluarga makcik ku di Taiping, tinggal di sana dalam 2-3 hari dan selepas tu berangkat ke KL pula.

Oleh kerana kami ini ramai, makcik ku yg tinggal di Taiping bernama Wak Deh, telah menyewakan sebuah rumah homestay untuk keselesaan kami. Yalah, memandangkan kami pun di beritahu anak-anaknya dari KL juga berhajat untuk menemui kami semua dirumah emak mereka. Jadi kami pun bersetuju untuk menyewakan homestay tersebut.

Perjalanan ke Taiping pun bermula. Ada diantara kami yang memandu, ada yang naik bus. Hanya makcik ku, Cik Wasi yang berangkat dikemudian hari kerana suaminya, Uncle Am, tak dapat cuti saing-saing kami. Yang menaiki bus hanya aku, suamiku Matiin, kedua anak perempuanku,Eve dan Belle, serta ayah, mama, pakcik ku Cik Nang dan isterinya, Cik Lina. Ice pula menaiki kereta bersama makcik ku Tante, suaminya Om dan kedua anak lelaki mereka, Fan dan Fiq. Tante sekeluarga perlu singgah ke Melaka untuk sehari atas urusan perniagaan dan hanya akan berjumpa dengan kami semua pada keesokan harinya. Cik Wasi juga begitu.

Sesampainya kita di Taiping, selepas berjumpa dan bersarapan bersama sanak-saudara disana terutama sekali Wak Deh dan suaminya, Wak Mis, kami pun menuju ke rumah homestay dengan diiringi abang saudaraku, Abg Nor dan anaknya, Akim. Cik Nang dan isterinya, Cik Lina membuat keputusan untuk tinggal dirumah kakak saudaraku, Kak Yah, yang juga berhampiran dengan rumah Wak Deh.

Bila sampai saja depan pagar rumah homestay tersebut, aku dah rasa lain macam sikit. Tapi oleh kerana anak-anak mula rasa ghairah sebab tak pernah tinggal rumah deret, aku pendamkan saja perasaan itu. Selesai saja mengangkat beg-beg, Abang Nor berpesan dia akan datang jemput kami untuk makan tengahari dalam pukul 12.00-12.30. Kami pun mula kemas-kemas barang-barang, atur siapa tidur bilik mana sebab dalam homestay itu ada 3 bilik, 1 ruang tamu, 1 dapur. Di dapur tu, ada pintu dan gate yang berkunci. Anak-anak pilih untuk tidur dibilik belakang dekat dengan dapur. Aku dan suami di bilik tengah manakala mama dan ayah tidur dibilik utama paling depan. Mama sempat berpesan pada aku, “Kak.. nanti besok Tante dengan Om sampai, kau kasi lah mereka tidur bilik tengah.

Nanti kau kalau nak pakai bilik mama boleh.. biar mama dan ayah tidur luar dengan budak-budak. Atau kau dan Matiin tidur luar lah temankan budak-budak tu nanti. Cik Wasi nanti tidur rumah Wak Deh je. Tante je nanti dengan kita kat sini satu malam.” Aku ya kan saja.

Hari pertama, gangguan dah mula sedikit demi sedikit. Ia bermula pada masa aku, suamiku dan anak-anak pulang ke rumah homestay tanpa ayah dan mama selepas sesi jalan-jalan sampai ke malam. Ini kerana mama dan ayah masih nak bershopping tapi kami anak beranak dah kepenatan. Tambahan lagi, aku sedang datang h**d masa itu.

Sampainya kami di depan homestay setelah dihantar oleh Abang Nor, dia sempat berpesan padaku “Girl, apa-apa call abang tau. Nah kunci ayah bagi. Spare yang abang ada ni, nanti abang kasi kat ayah.” Aku pun beri kunci pada suami untuk bukak sliding gate. Alangkah terperanjatnya kami bila tiba-tiba seekor kucing meluru keluar dari homestay kami.! Nasib baik kita ini penggemar kucing, kecuali anak sulungku, Eve. Dia dah terpekik. Suamiku cuba untuk buka kunci gate, tapi tak berjaya. Dah semua kunci dia cuba, tapi masih tak boleh buka. “Kenapa abang.. salah kunci kot.?” Tanya ku.

“Entahlah Sayang. Sayang cuba pulak lah.. sakit dah tangan saya ni pulas-pulas kunci, tak boleh buka.” Merungut suamiku. Aku mula masukkan satu kunci kecil. “Bismillah..” Tiba-tiba, ibu kunci pun terbuka dengan hanya satu pulasan.! Sesudah itu, kami pun masuk ke rumah sambil membebel lah kenapa lupa tarik sliding door masa nak keluar..blablablabla. Kami mula periksa satu rumah takut-takut si kucing tadi kencing ke berak atas tilam. Alhamdulillah tak ada.

Malam pun semakin larut. Anak-anak ku pun dah mula mengantuk, terus masuk tidur di bilik mereka. Ayah dan mama pun dah pulang, dah mula mandi dan terus tidur. Suamiku sakit perut katanya, lalu dia pun pergi ke tandas di dapur. Tapi, tak sampai 10minit dia patah balik ke bilik. Bila ku tanya kenapa, dia cakap tak ada apa-apa.

Pada mulanya, aku tak boleh tidur. Rasa seperti terperasan ada orang lalu-lalang di ruang tamu. Entah bagaimana, aku tertidur juga, dan tersadar keesokan hari dalam pukul 10am. Suamiku yang sangat rajin sudah pun membelikan kami semua sarapan. Bila aku keluar dari bilik, dia sedang mencuci baju bersama mama ku di ruang dapur. Aku pun mandi, kejutkan anak-anak, bersiap dan memulakan hari kedua kami.

Hari kedua begitu seronok. Tante dan Om, Cik Wasi dan Uncle Am pun dah selamat sampai. Kami pun pergi berjumpa mereka di rumah Wak Deh. Sewaktu sedang bersarapan dirumah Wak Deh, Cik Wasi tiba-tiba bertanya pada mama ku, “Kak Di, boleh tidur semalam.?” Mama ku berkata, “Tak lah Wasi… pusing kiri salah, pusing kanan pulak mengadap tingkap. Lagi salah.! Haha.. kenapa..?” “Semalam, Wasi mimpi Kak Di. Kak Di pakai baju putih sambil senyum menyingai kat Wasi. Wasi dapat rasa ada yang tak kena tapi tak nak lah mesej Kak Di malam-malam. I think your homestay got sesuatu.” Kata Cik Wasi. Aku dan suami yang sedang mengopeng dengarkan perbualan mama dan Cik Wasi, terus menyampuk.. “Eh kita pun tak leh tidur seh mula-mula.! Macam rasa semacam. Dah lah semalam balik tiba-tiba ada kucing meluru keluar…”

Perbualan dah makin kearah cerita-cerita paranormal. Tapi Cik Wasi dan suamiku kata, tak apa lah jangan risau, tak ada apa-apa yang akan berlaku. Selepas selesai sesi sarapan, jalan-jalan, makan petang, mandi air terjun, waktu pun hampir ke maghrib dan akhirnya malam pun kunjung. Sesudah sesi makan malam dirumah Wak Deh, kami semua pulang ke rumah homestay ku untuk menunaikan solat fardhu Maghrib dan seterusnya Isya’ secara berjemaah. Selesai solat Isya’, aku dan suami pun mengalihkan beg kami ke bilik mama dan membuat kata putus untuk menemani adikku,Ice, serta dua adik saudara bujang ku, Fan dan Fiq untuk tidur diruang tamu.

Memandangkan hari esok kami akan berangkat ke KL, aku pun mula kemas barang-barang dan mandikan anak-anak. Adik saudaraku, Sophie, nak sangat tidur di homestay dengan anak aku si Belle. Dia pun atur tempat tidurnya bersama Belle dan Eve dibilik belakang. Setelah selesai mandikan anak-anak dan Sophie serta diriku sendiri, aku temankan mereka ke bilik mereka memandangkan Sophie ni masih kecil. Jadi, setelah aku tidurkan dia dan anak-anak, aku duduk diruang tamu bersama yang lain yang sedang menonton cerita seram (tak ingat pulak tajuknya tapi ada kena mengena dengan santau). Abang Nor dan isterinya Kak Jan pun ada bersama-sama dengan Cik Wasi dan Uncle Am.

Selesai cerita itu, Abang Nor suami isteri dan Uncle Am suami isteri pun pulang. Aku pun matikan TV dan berehat sambil bercerita dengan suamiku tentang pengalaman hitam dalam hidupku terkena santau. Ice dan Fan dah tertidur, manakala si Fiq pula sedang tonton perlawanan bola di handphone nya. Disinilah gangguan mula berlaku.

Sedang aku dan suami sedang seronok bercerita, tiba-tiba kami terdengar satu bunyi hentakan dan gegaran di pintu pagar di depan homestay kami. Suamiku bingkas bangun, buka sliding door sedikit dan berdiri disitu agak lama. Setelah itu, dia cepat-cepat tutup dan kunci sliding door. Aku dan Fiq bertanya kenapa, dia suruh kami diam dan tidur saja. “Esok nanti abang cerita.” katanya. Tapi tak sampai 5 minit dia baring disebelahku, tiba-tiba kita terdengar Sophie menangis dibilik hujung. Aku bingkas bangun dan berlari mendapatkannya. “Sophie, Sophie.

Buka mata sayang. Kakak ni. Abang pun ada. Sophie kenapa..?” Dia perlahan-lahan membuka matanya dan memelukku dengan erat. “Kenapa ni Sophie..? Dah, dah tidur yer. Kakak ada.. jangan takut. Kenapa nangis.? Sophie nampak apa..?” aku bertanya. “Sophie nampak orang lari luar tingkap. Sophie takut..” Aku dan suami saling berpandangan muka dan terdiam. “Ok dah, dah. Takde apa-apa.” Aku cuba tidurkan Sophie semula. Aku mencapai handphone dan mula membuka app Al Quran yang ada. Sambil tidurkan Sophie, aku dengarkan ayat-ayat suci Al Quran sambil ikut membaca.

Setelah Sophie tidur semula dengan lenyaknya, aku pun keluar menemani suamiku. Sekali lagi, tak sampai 5 minit aku bersama suami, terdengar pula bunyi gegaran dipintu gate belakang rumah. Suamiku suruh aku tidur sahaja. Sekali lagi, aku tak dapat tidur dengan betul. Bila mamaku bangun untuk solat Subuh, aku pun terjaga. Kami tak menceritakan hal ini kepada sesiapa sampai lah kami sampai di KL.

Apa yang suami ku nampak pada malam itu merupakan satu lembaga seperti monyet berbulu hitam sedang menyangkung didepan gate homestay kami. Lembaga itu seolah-olah ingin masuk ke dalam rumah melalui pintu depan tapi tak boleh. Kami semua syak lembaga itu ingin mengambil lampin wanita yang berisi d***h h**d aku. Itulah sebabnya ia cuba membuka pintu belakang dengan mengegarkan gate belakang pula setelah tidak berjaya menembusi pintu depan.

Kami membuat kesimpulan ia tak dapat menembusi kedua-dua pintu disebabkan, pertama, kami telah berjemaah dirumah homestay pada malam kejadian, dan kedua, kerana aku membuka bacaan Al Quran setelah Sophie diganggu.

Cha

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

7 thoughts on “Homestay Di Taiping”

  1. haha. watak yg tak penting dalam cerita tu kalau boleh dikurangkn la kalau tak main peranan dlm cerita. okay ? btw cerita yg menarik.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.