Hotel Di Atas Bukit

Salaam semua. Aku Tash. Dah lama aku nak sambung kisah angker aku selepas cerita pertama aku keluar di Fiksyen Shasha kat sini https://fiksyenshasha.com/disediakan-hotel-kerana-flight-delay-tak-sangka-terpaksa-hadap-gangguan-ini/

Agak teruk penulisannya sebab aku menulis ikut kronologi hahaha! Minta maaf pada yang mengenali aku melalui kisah tu. Tinggi betul expectation korang ya?

Kalau boleh, izinkan aku menulis secara bagaimana aku bercakap. Buat masa ini aku rasa elok aku rakamkan pengalaman aku di hotel-hotel sepanjang penginapan aku ok?

Bismillah…

HOTEL DI ATAS BUKIT

“Kau jangan lupa book hotel cepat-cepat..sebab sekarang dah musim cuti sekolah” Pesan Vimala sebelum aku melangkah keluar pejabat hari Jumaat tu.

“Haah la. Cuti sekolah dah ya? Aduh..thanks ingatkan. Nak kena buat melalui sistem dulu mintak izin Boss ni” Aku senyum je pada Vimala walhal badan aku dah tak berapa sihat sebab di pejabat sekarang ni musim orang tak sihat, ada je demam lah selsema lah sampai aku macam nak terjangkit pulak. Hmm terpaksa bawak balik laptop ni adeh. Inilah akibatnya kalau kita dipanggil meeting minit-minit terakhir, kena terbang pula ke destinasi negeri di bawah bayu.

Sabtu pagi tu, aku demam. Dah agak dah sebab tanda-tanda nak demam sejak Jumaat lagi. Maka seharian lah aku di atas katil makan ubat dan komatosa. Bangun hanya untuk solat dan isi perut untuk makan ubat je. Ahad esoknya..baru aku teringat yang aku kena “fly” Isninnya. Apa pun tak ready maka kelam kabut aku masuk sistem pejabat untuk minta izin bossku ke luar kawasan supaya aku boleh book tiket penerbangan dan hotel. Boss aku best weh ha-ha! Sempoi je sebab faham anak buah memang selalu kena travel sana sini.

Alhamdulillah aku berjaya book tiket penerbangan walaupun dalam keadaan minit-minit terakhir. Malangnya kebanyakan hotel yang aku biasa duduk sepanjang aku ke negeri yang jauhnya 2 jam 20 minit itu sudah penuh. Yang tinggal entah hotel mana tah, tak biasa. Lantaklah! Asal dapat tidur, mandi dan makan pun dah ok.

Aku cuba masuk satu portal booking hotel yang terkenal dan terpapar beberapa hotel sekitar kawasan pejabat di sana. Lepas tengok reviu dan gambar biliknya, maka aku pun book lah hotel tersebut. Lepas bagi tahu ayah, riak mukanya berubah. Ini sebab ayah aku pernah bermastautin di negeri bawah bayu tu bertahun lamanya.

Ayah cakap hotel yang aku pilih tu jauh dari orang dan sunyi. Dia cakap lagi, “Tak ada hotel lain ke?” Aku pun cakap kat ayah aku tengok reviu dia ok, bilik dia macam terang dan moden. Ayah cakap lagi “kenapa tak duduk ada satu hotel Islamik sikit?” Aku gelak je sebab aku cakap kat ayah, bilik yang ada cuma tinggal 3 katil satu bilik…buat apa nak katil banyak-banyak senyumku. Ayah tengok gambar terbaru hotel dan cakap okeylah. Lagi pun pun aku dah bayar pakai kad kalau aku batalkan, lecehlah nak bercakap dengan customer service dia. Malas sebenarnya.

Hari yang ditunggu pun tiba. Aku pun dengan gembiranya sampai hotel waktu petang. Cubaan aku untuk menukar bilik daripada paras bawah tanah (sebab tiada tingkap) tidak berjaya memandangkan bilik hotel penuh ditempah orang bercuti. Aku redha jelah. Sekurang-kurangnya aku dah mencuba nasib.

Sempat juga aku nak pergi makan dan berjalan sekitar Kota Kinabalu dan kembali lebih kurang jam 9 malam macam tu. Pada mulanya tidak ada apa-apa yang terjadi cuma ada perasaan tak best je. Sebab tu lepas solat aku baca macam-macam. Cubaan untuk tidur aku sukar entah kenapa. Berborak dengan buah hati suruh dia doakan aku sebab dah rasa tak best..mungkin perasaan aku je kot?

Jam sudah menunjukkan jam 11 malam lebih. Aku dah lama berhenti berbual dengan buah hati. Suasana tak berapa sunyi pun, ada je aku dengar bunyi orang “sibuk” tarik perabot lah, buka tutup pintu dan ketuk-ketuk. Itu normal lah tu bagi aku. Aku cuba tidur dengan bacaan ayat manzil dan ruqyah melalui telefon pintarku. Aku juga sudah membaca ayat-ayat lazim sebelum melelapkan mata. Tidur juga aku dengan zikir-zikir di dalam hati walaupun aku rasa macam dah lama aku berzikir tak dapat tidur juga.

Tiba-tiba aku terbangun. Mata aku tertancap pada jam telefon pintar yang masih memainkan ayat-ayat ruqyah. Aku rasa aku macam baru saja melelapkan mata. Sekarang dah terbangun pulak tiba-tiba. Mata terkebil-kebil. Tiba-tiba aku terasa peha kiriku disentuh dan blanket hotel yang menutupi pehaku bergerak sedikit. Mata aku terkebil-kebil lagi. Cubaan menutup mataku menjadikan aku seperti orang yang keliru kerana aku cuba merasionalkan apa yang berlaku tadi. Betul ke apa yang aku nampak tadi dan apa yang aku rasa? Tapi memang aku benar-benar merasakan tekanan sentuhan dan mata aku memang melihat blanketku bergerak. Gila! Aku dah baca pendinding dan ayat ruqyah masih terpasang. Hmm..barangkali sebab badan aku masih lemah.

Aku pejamkan mata dan cuba untuk tidur kembali memandangkan esok aku ada mesyuarat yang penting. Tapi lain pula jadinya bila aku terlihat seorang perempuan berambut panjang yang menundukkan kepalanya dengan baju putih yang comot di penjuru bilik. Pergh! Apa pula yang aku nampak ni walaupun mataku terpejam. Serentak dengan itu kedengaran bunyi cicak yang agak kuat dari dalam bilik. “What the hell?” Getus hati aku walaupun aku Melayu.

Aku pejamkan kembali mataku. Ternampak kembali makhluk yang sama. Hampeh! Maka aku buka je mata dan mulai bosan sebab aku nak tidur weh. Aku buka apps AlQuran dan aku baca dengan suara bangun tidurku serak serak rock itu. Masalahnya aku boleh tak baca Ayat Kursi tapi aku baca Al-Mulk. Sekuat alam aku baca sampai aku rasa penat tapi aku malas nak keluar bilik ke nak pi minum ambik air ke..Last-last aku habiskan dengan melihat bagaimana zikir ditulis dengan mataku yang terpejam supaya aku fokus kat zikir dan taknak terlihat makhluk yang sama acap kali aku pejamkan mata.

Entah berapa lama pula baru aku dapat tidur kali kedua tu. Hazab. Bangun paginya untuk subuh, aku dah rasa penat. Sampai di pejabat sana, rakan-rakan menanyakan di mana hotel penginapanku. Aku sebut namanya…dan mereka hanya membulatkan mata sambil berkata, “Berani kau duduk sana..kami urang sini semua tau bah…tempat tu memang keras.”

Tahulah aku. Lain kali, tak akan aku buat perkara yang sama. Tiada minit-minit terakhir lagi dan hotel penginapan itu juga tidak akan termasuk senarai hotel aku di masa hadapan insyaAllah.

Balik Semenanjung petang itu dan esoknya, aku demam menggigil…sejuk sampai ke tulang walaupun tanpa pendingin hawa. Betullah, aku masih belum kuat. Sebab itu mudah aku terkena gangguan.

Sekian kisah angkerku kali ini. Banyak lagi sebenarnya yang pernah berlaku pada aku sejak kecil. Kalau cerita ni mendapat sokongan kalian, insyaAllah akan ku sambung kisah angker dan misteri yang aku tahu dan alami sendiri. Wassalam! #KisahAngkerku

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]
Tash

4 thoughts on “Hotel Di Atas Bukit”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.