Hutan Bercahaya

Assalamualaikum wbt dan hai semua.

Aku baru sahaja tahu mengenai Fiksyen Shasha ini daripada YouTube dan selepas melakukan pencarian menerusi Google, aku menemukan tapak web ini. Aku bukanlah seorang yang kerap terkena gangguan sebagaimana kebanyakan mereka yang selalu berkongsi cerita berkenaan hantu. Namun, dalam hidup aku setakat ini, ada dua ketika sahaja yang mana aku mengalami kejadian yang boleh dikatakan mistik. Satu adalah apa yang akan aku ceritakan di bawah, yang kedua adalah ketika aku mengikuti rakan aku pergi mencandat sotong. Peristiwa ketika mencandat sotong itu mungkin aku akan sampaikan dalam artikel yang lain.

Pengalaman pertama aku ini sebenarnya tak berapa mistik. Sebab setelah aku kaji, fenomena ini adalah sesuatu fenomena alam yang biasa berlaku. Cuma dalam arus kemodenan sekarang, mungkin tidak ramai yang dapat menyaksikan fenomena ini. Namun, ada keanehan juga dalam peristiwa yang aku alami ini.

Ceritanya bermula begini. Ia berlaku sewaktu aku sedang melanjutkan pengajianku di Kolej Universiti TATI di Kemaman. Pada tahun 2008 atau 2009, aku mula mengikuti suatu program latihan ketenteraan Askar Wataniah di kem Bukit Kuang untuk beralih status daripada orang awam kepada perajurit muda atau askar simpanan. Kolej aku tu tak ramai pelajar sangat, jadi anggota askar wataniah kami pun hanya boleh dikira dengan jari. Kalau peserta perempuan yang sekumpulan dengan aku tu ada dalam 4 orang termasuk aku kalau tak silap — Aku, Zatul, Mira dan seorang lagi aku lupa nama dia sebab kami berempat pun semuanya berlainan kursus. Jadi, sebelum mengikuti Askar Wataniah pun memang kami tak pernah berhubung. Kecuali dengan Mira sebab dia adalah teman serumah aku, tetapi karakter dia ni macam AJK kampung. Sibuk memanjang. Selalu ada komitmen pelbagai. Jadi, jarang jugalah kami ada masa untuk diluangkan bersama. Aku pula spesis skema, sibuk belajar memanjang, dan ketika latihan itu berlangsung, aku sebenarnya sedang dalam waktu peperiksaan. Tapi aku semangat pergi juga latihan itu disebabkan karakter aku sewaktu itu memang suka mencuba perkara baru dan juga sebab aku gila duit, elaun banyak jugalah diberikan, bagi kita yang masih memegang status pelajar pada masa tu.

Oleh kerana kami tak ramai, maka kami digabungkan dengan para pelajar daripada beberapa institut pengajian tinggi lain di sekitar Kemaman tu. Latihan ini berlangsung selama sebulan. Tidak semua aktiviti berlangsung di kem. Ada waktu kami di bawa keluar daripada kawasan kem seperti ke kawasan lapang sasar untuk latihan menembak. Ada juga latihan berlangsung selama seminggu di hutan. Dan seperti yang anda boleh jangkakan, di situlah berlakunya peristiwa itu.

Ketika latihan di hutan itu, kami ditempatkan di kawasan yang boleh dikatakan celah-celah semak jugalah. Betul-betul dalam hutan. Kami berlatih di dalam hutan itu seolah-olah kami benar-benar dalam keadaan perlu berwaspada dengan musuh. Pokok tidak ditebas sangat, hanya dibersihkan sedikit lantai hutan bagi mengelakkan binatang berbisa. Pacat tu jangan cerita la. Sedar-sedar dah gemuk duduk berjuntai dekat pipi, atas mata la.

Maka, alkisahnya, pada satu malam itu, kami diarahkan untuk pergi ke kaki bukit di dalam hutan tersebut bagi menjalani latihan serang hendap. Kami bergerak selepas asar, dan semua bergerak dalam pasukan kecil dan kemudian diletakkan di tempat-tempat berbeza di kaki bukit tersebut. Apa yang sangat menakjubkan berlaku ketika hari mulai menggelap sehinggakan jika diletakkan tangan di hadapan muka pun tidak akan terlihat tangan itu, dan setelah persekitaran benar-benar gelap dan langit pun kelihatan lebih cerah daripada sekeliling. Ketika itu, daun-daun serta beberapa pohon mula bercahaya seperti dalam cerita animasi Avatar. Namun, animasi Avatar itu terlalu berlebihan dan cahayanya tidaklah terlampau terang seperti lampu, ia sekadar menampakkan latar susun hutan persekitaran kami, namun tubuh badan sendiri pun masih tidak terlihat walaupun terdapat cahaya daripada tumbuhan-tumbuhan tersebut. Ia adalah sesuatu pemandangan semulajadi yang sangat indah yang mungkin hanya aku dapat saksikan sekali itu sahaja dalam seumur hidup aku. Bila lagi dapat menyaksikan peristiwa sebegitu di dalam hutan gelap sambil diawasi oleh pasukan tentera. Sebab dalam hutan itu ada pelbagai risiko. Risiko hantu, risiko binatang liar dan juga risiko orang jahat. Jadi, setelah beberapa jam di kaki bukit, kami pun selesai latihan dan bergerak pulang ke kem induk kami di hutan itu.

Sebenarnya itu sahajalah perkara mistik yang aku alami dan yang ingin aku sampaikan. Cuma yang menghairankan aku, kenapa orang lain macam tak jakun seperti aku. Macam tiada orang lain yang ingin membahaskan peristiwa itu. Sepertinya mereka ini tidak mengalami apa yang aku alami. Aku pun sememangnya sejenis orang yang anti sosial dan menghidapi selektif mutism, maka aku tidak terlalu kecoh bertanyakan hal itu kepada orang. Dan disebabkan aku juga kerap bercuti untuk menduduki peperiksaan, aku kurang meluangkan masa dengan kadet lain. Tambahan pula, sememangnya pegawai pelatih kami tegas-tegas, dan kadang-kadang marah tanpa munasabah. Jadi, kami menjalani latihan itu dengan serius tanpa banyak bicara terutama jika ada kehadiran pegawai pelatih yang amatlah garang ketika melatih kami, lagi menakutkan daripada mana-mana hantu.

Dek kerana kegarangan pegawai pelatih kami, maka memang sepanjang sebulan di sana, langsung tidak kedengaran cerita mistik yang biasanya berlaku apabila pelajar berkumpul seperti histeria dan penampakan hantu. Malahan, perkara yang terjadi kepada aku ini juga tidak sempat aku ceritakan untuk disahkan sama ada turut disaksikan oleh rakan-rakan kadet lain sehinggalah sekarang.

Dan perkara aneh lain lagi sewaktu hari terakhir kami di hutan itu, aku nampak satu bentuk aura pada sekitar badan rakan-rakan kadet lain. Ia seperti kabus atau asap yang mengelilingi tubuh badan, seperti dalam cerita animasi Dragon Ball tu, Goku sewaktu dia nak bertukar menjadi Super Saiyan tu. Jika diikutkan logik fikiran, ada mungkin juga lah itu fenomena alam biasa. Sebab, tubuh kita ni mamalia berdarah panas kena dengan suhu hutan yang sejuk itu maka akan terbentuklah kabus itu. Tetapi, itulah kali pertama aku melihat kejadian seumpama itu. Walaupun selepas itu aku menyambung pengajianku ke UK, negara yang bersalji tu pun, tidak pernah aku saksikan fenomena badan berasap seperti itu. Nafas berasap tu biasa dekat UK, tak merokok pun boleh berasap. Tapi seluruh badan berasap tu memang ketika dalam hutan itu sahaja. Dan hal itu hanya berlaku pada pagi terakhir kami di sana. Sepanjang pagi hari-hari sebelumnya, tidak kelihatan langsung perkara ini terjadi. Malahan seperti biasa lagi, rakan-rakan kadet lain tidak memberikan sebarang reaksi, tak terkejut tak hairan. Aku pun dari luaran macam sama sahaja dengan mereka. Macam tiada perasaan, tapi dalam hati aku sangat takjub bila menyaksikan kejadian itu. Tetapi iyalah, mungkin semua letih dan cuma fikirkan ingin cepat-cepat keluar dari hutan itu dan balik ke kem utama supaya dapat tidur biarpun sebentar di atas katil empuk.

Sekian sahaja perkongsian pengalaman sebenar aku hampir 10 tahun lepas.

PS: Minta maaf lah kalau tak seseram yang diharap

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Sarahx87

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.6]

8 thoughts on “Hutan Bercahaya”

  1. Based on what you write, saya rasa awak ni seorang yang special dan unik… the way u think.. Cerita awak pun walaupun bukan mistik, tetapi tetap menakjubkan

    Reply
  2. Biasalah tu dik oii…dlm hutan daun2 yg reput mmg kuarkan sejenis cahaya bila mlm hari…nampak mcm bersinar flourescent…mmg jurulatih pesan jgn usik @ ambik sebarang benda dlm hutan tu….psl badan berasap….pakaian kita yg lembab…bila kn cahaya matahari mmg akan nampak berasap…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.