Jalan pintas ke surau

Aku mengusap lembut kepala Teman, kucing peliharaan nenek. Teman badannya gempal dan berbulu emas sangat manja dengan orang sekitarnya. Aku terkekeh sendiri melihat gelagat kucing itu mengejar anak-anak ayam di halaman rumah.

‘Lan, masuk dalam rumah cepat! Hari dah senja.’ Nenek memanggil.

Aku mendongak ke atas, kelihatan langit sudah mula beransur gelap. Aku bangun dan menyapu bahagian punggungku lalu masuk kedalam rumah.

Rutin seharian aku apabila berada di kampung, aku dan datuk akan melalui jalan kecil di belakang rumah untuk ke surau. Kami masih boleh menggunakan jalan utama, tetapi datuk lebih memilih untuk menggunakan jalan kecil ini supaya tidak terlambat untuk solat berjemaah.

Aku kurang gemar sebenarnya guna jalan ini. Jalan ini sudahlah sempit, dikelilingi hutan pulak. Jadi aku rasa sedikit seram lalu jalan ini

Pada suatu hari, aku terlalu leka bermain dengan kawan-kawan sehingga menyebabkan kami terlewat untuk ke surau.

Teruk aku dimarahi datuk. Jadi kami terpaksalah menunaikan solat maghrib di rumah. Tetapi, datuk tetap ingin pergi ke surau. Tak dapat solat maghrib, solat Isyak pun jadilah.

Kami keluar dari rumah dengan berbekalkan cahaya lampu suluh. Aku berasa sedikit sangsi kerana biasanya sewaktu melalui jalan ini, langit tidak lah terlalu gelap. Kami masih boleh berjalan tanpa menggunakan lampu suluh.

Aku hanya diam sepanjang perjalanan. Jalan ini mengambil masa kira-kira 8 minit dari rumah untuk ke jalan utama yang menghubung ke surau. Jadi agak penat jugalah berjalan.

Nak dijadikan cerita, aku kebosanan, sambil berjalan aku menyuluh kesetiap sudut hutan sekejap pada semak, sekejap pada pokok.
Sampai lah aku tersuluh satu busut yang terletak betul-betul bawah sebatang pokok limau. Busut itu bukan yang menjadi perhatian aku tetapi, sebuah entiti yang menonjolkan kepalanya di sebalik busut tersebut.

Cepat cepat aku halakan lampu suluh ke arah lain. Lemah lutut aku ketika itu. Nak saja aku aku beritahu datuk. Tapi aku tak mampu nak buka mulut. Busut itu terletak kira-kira 7 meter dari tempat kami sedang berjalan. Sungguh aku terlalu takut sampaikan aku hanya menunduk ke tanah.

Semakin kami berjalan, semakin dekat busut itu. Apabila kami betul-betul melepasi busut tersebut, kakiku tiba-tiba berhenti melangkah. Kulihat atuk masih tenang berjalan. Perlahan-lahan meninggalkan aku. Aku menjerit memanggil datuk, tetapi suara aku entah macam mana tidak kedengaran. Aku cuba menggerak kaki tetapi gagal. Seolah-seolah kaki aku dipaku pada tanah.

Aku mula menangis. Kelibat atuk aku lihat semakin mengecil. Aku hairan takkan datuk tak perasaan ketiadaan aku?

‘krrttss ‘krrttss

Aku membuntangkan mata. Kedengaran bunyi sesuatu diseret diatas daun-daun kering. Aku toleh kebelakang di tempat busut tadi. Aku lihat entiti yang sama yang aku tersuluh tadi perlahan-lahan merangkak mendapati aku.

Tak dapat aku luahkan apa yang aku rasakan saat itu. Seakan suatu perasaan yang memaksa jantung untuk berhenti berdegup.

Buruk dan ngeri. Itulah sajalah yg aku dapat definisikan kepada makhluk tersebut.

Semakin dekat ia menghampiri, semakin gelabah aku cuba untuk mengerakkan kakiku.

Segala macam surah dan ayat suci Al-Quran aku baca walaupun tajwid dan makhrajnya sudah entah kemana

‘Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta’

Seakan ada satu kuasa yang hadir dalam diri aku ketika itu, Alhamdulillah dengan izin-nya
Aku dapat menggerakkan kakiku semula.

Mengalahkan Usain Bolt aku berlari sepantas mungkin meninggalkan kawasan itu.

Sekilas haram pon aku tak menoleh ke belakang.

Sehinggalah aku tiba di jalan yang berhubung ke surau , tidak jauh dari situ aku nampak surau tersebut seperti biasa depenuhi penduduk kampung yang majoritinya orang tua.

Aku terduduk di bahu jalan melepaskan lelah. Tidak cukup nafas aku berlari tadi. Rasa takut pon masih belum reda. Tetapi aku tetap berasa lega.

‘Roslan!’

Aku menoleh ke arah suara tersebut.

Pucat mukaku apabila melihat datuk. Yang lebih memeranjatkan aku lagi di belakang datuk, makhluk itu sedang memyeringai memandang aku.

Akibat terlampau takut, aku pengsan di tempat tersebut.

Aku hanya tersedar apabila sehelain kain basah menyentuh bahagian dahiku.

Perlahan-lahan aku buka mata. Mata aku mengambil masa untuk menerima cahaya di sekeliling. Nampaknya hari sudah siang. Berapa lama aku tidak sedar?

Aku teringat akan kejadian ngeri itu. Aku bertanya kepada nenek.

‘Nenek, semalam Lan nampak jembalang kat belakang datuk. Bende tu pandang Lan macam nak tangkap Lan.” Aku beritahu nenek.

Nenek menenangkan aku dan menceritakan semula macam mana penduduk kampung yang baru pulang dari surau ternampak aku pengsan di bahu jalan dan membawa aku pulang ke rumah.

Dan yang lebih menggangu aku apabila datuk beritahu yang ‘aku’ berjalan elok je dekat belakang dia semalam. Dia dapat tahu aku pengsan pun hanyalah apabila dia sampai di rumah.Salah seorang penduduk kampung tersebut menceritakan apa yang terjadi. Berhari hari jugalah aku demam.

Walaupun setelah mengalami peristiwa ngeri itu, kami masih menggunakan jalan tersebut sehinggalah aku tumbuh dewasa dan merantau ke negeri orang. Datuk sudah meninggal dan nenek tinggal bersama dengan mak cik aku. Rumah itu masih elok terjaga. Jalan tu pon masih ada cuma mungkin dah ditumbuhi semak sbb dah takde orang lalu.

Peristiwa itu mungkin pahit tapi tkkan dapat aku lupakan sehingga hari ini

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 74 Average: 4.6]
Naff Naufal

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.