Jangan Tak Tidur Ye

Assalamualaikum.

Terima kasih jika cerita aku ni tersiar. Hanya perkongsian daripada pengalaman hidup aku sendiri. Ini kali pertama aku menulis untuk FS. Selama ni aku cuma seorang silent reader yang gemar membaca cerita-cerita kalian.

Kisah ini berlaku sewaktu aku berusia 11 tahun. Dah lama, tapi aku tak boleh lupa.

Masa tu hari Jumaat malam Sabtu. Kira malam minggu lah. Biasanya kalau malam minggu, mak dengan abah aku bagi kami adik-beradik lampu hijau untuk tidur lewat sikit. Tapi takde lah lewat sangat. Sampai pukul 12 je lepastu masing-masing kena masuk tidur. Mak, abah dengan kakak aku duduk kat ruang tamu depan tengok TV. Aku pula tengok abang-abang aku main game dekat ‘mini library’ rumah aku. FIFA 1998 tak silap. Masa tu orang dalam game tu petak-petak lagi. Kalau Roberto Carlos yang rembat bola insyallah keeper boleh arwah. Selalunya aku seronok je tengok abang-abang aku ni main game sesama mereka. Tapi entah kenapa malam tu aku rasa bosan tengok mereka main. Mungkin sebab giliran aku nak main tak sampai-sampai kot. Asyik-asyik “Ok ok, last game, last game” dari pukul 9 lagi. Rasanya aku yang kena ‘game’ ni. Ceh.

“Baca komik lagi best” getus hatiku. Aku mengerling ke jam dinding “Baru pukul 10.45, awal lagi ni”. Aku bangun dan ambil 2-3 naskah majalah Gila-Gila daripada ‘mini library’, dan terus berjalan masuk ke bilik aku. Kami adik-beradik mempunyai bilik masing-masing. Jadi semuanya tidur berseorangan. Mungkin mak dan abah nak biasakan anak-anaknya jadi berani agaknya. Bilik aku ni lokasinya antara ruang tamu dengan dapur. Kira bilik aku ni di ruang tengah rumah. Disebelah, bilik kakak aku dan bertentangan dengan bilik aku, bilik abang-abang aku. Bilik mak abah di belah belakang rumah berdekatan dengan dapur.

Masuk je bilik, aku buka suis lampu tidur di sebelah kepala katil dan terus melayan membaca komik sambil berbaring atas katil single aku. Pintu bilikku yang terletak di bahagian kaki katil sengaja aku biarkan terbuka sedikit. Khusyuk membaca. Seronok melayan lawak kering majalah humor popular zaman itu. Sedar tak sedar, aku terdengar suis TV dan lampu ruang tamu dimatikan. Okay, itu petanda mak abah nak masuk tidur. Tengok jam loceng kat sebelah katil, dah pukul 12. Waktu ‘curfew’ dah sampai. Tapi aku teruskan juga membaca komik. Niat nak habiskan membaca, lepas tu baru tidur.

Tak lama lepas tu, terdengar bunyi langkahan kaki dari ruang tamu berhenti di hadapan pintu bilik aku. “Krekkkkkkkkkk…..”. Pintu bilikku dikuak dengan sangat perlahan. Diikuti dengan suara perempuan seperti separuh berbisik, memanggil namaku dengan perlahan dan panjang. “Sodiqqqqqqqq… Heeeehhh Sodiqqqq………Buat apa tuuuuu…”

Terkejut sedikit, tapi aku dah biasa. Bila aku toleh ke arah pintu, terlihat muka mak aku tengah tersengih sengih. Mak aku ni ada tabiat suka jenguk anak-anaknya sebelum tidur. Tapi mak aku ni suka sakat aku sorang je. Mungkin sebab aku dengan mak aku ni lebih rapat berbanding dengan adik-beradik aku yang lain. Tapi cara dia sakat tu macam tu lah, panggil-panggil nama aku, buat bunyi “hehhhh hehhhh” lah, ketuk-ketuk pintu pakai kuku lah. Kononnya nak menakutkan aku, tapi bila dah selalu sangat, aku dah jadi biasa lah. Dah lali.

“Haaa kenapa mak” aku bertanya. “Dah, tido tido. Esok nak subuh nanti lambat kang.” ringkas pesanan mak aku. “Okay mak. Kejap lagi Sodiq tido. Nak habiskan komik ni jap”. “Ha yelah” jawab mak aku. Mak pun berlalu pergi masuk ke biliknya. Tapi mak tak tutup rapat pintu bilik aku tu. Mak aku sedia maklum yang aku ni suka tidur pintu terbuka sikit. Bagi angin luar masuk sikit alasanku. Padahal sebenarnya aku ni penakut sikit kalau berada di ruang tertutup.

Aku teruskan membaca. Seronok melayan, sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Mata aku masa ni dah mula terasa berat. Menguap beberapa kali dah. Aku tutup komik, tarik selimut sehingga ke paras dada dan tutup suis lampu tidur bilik aku. Bersedia untuk terlena masuk ke alam mimpi. Entah mengapa, malam tu aku perasan suasana sunyi. Selalunya akan terdengar bunyi serangga lah, bunyi cicak lah, cengkerik lah. Tapi waktu tu terlalu sunyi. Sampai aku yang cuba lelapkan mata ni jadi tak selesa, resah.

Dalam aku menutup mata untuk tidur tu, telinga aku terdengar bunyi kain seperti dikibas dengan perlahan dari arah ruang tamu. Bunyinya kedengaran perlahan, tapi cukup jelas. Husnuzon, mungkin langsir ditiup angin walaupun aku tahu yang tingkap rumah semua tertutup rapat bila waktu malam. Tapi tak dapatlah nak husnuzon lama-lama sebab bunyi kibasan kain tu seolah-olah bergerak dari ruang tamu, melintas pintu bilik aku, masuk ke ruang dapur dan melintas semula melalui depan bilik aku menuju ke ruang tamu. Agak normal kelajuan pergerakannya. Seolah-olah bunyi kibasan kalau kita berjalan pakai kain batik / pelikat. Kakak aku? Tak, dia tidur biliknya berkunci. Kalau dia keluar bilik pun aku pasti terdengar dia buka pintu sebab bilik kami bersebelahan sahaja. Abang-abang aku? Mustahil. Mereka ni spesis hanya memakai short di dalam rumah.

Harapan untuk aku husnuzon hanyalah mak aku. Sebab mak aku ni biasa memakai kain batik seperti kebanyakkan mak-mak di kampung. “Mak kot” itu saja yang aku fikirkan. Tapi mak nak buat apa kehulu-kehilir awal-awal pagi macam ni? Takkan lah nak berlatih ‘Moonwalk’ pulak. Dalam husnuzon tu, tiba-tiba aku terdengar pintu bilikku dikuak perlahan. “Krekkkkkkkk…” Aku yang sedang memejamkan mata kononnya untuk tidur tu hanya membiarkan sahaja. Dalam otak aku yang sudah lali dengan usikan mak aku selama ni, aku tertunggu dialog biasa yang aku dengar. Seperti jangkaan aku, ada suara di sebalik pintu yang memanggil namaku. Perlahan sahaja seperti berbisik. “Sodiqqqqqqqq… Heeeehhh Sodiqqqq………Buat apa tuuuuu…” Aku yang masih menutup mata tersenyum sedikit dek gara-gara perangai mak aku yang dah pukul 1 lebih ni pun masih nak mengusik anak bujangnya ni. Pantas aku menjawab dengan nada yang lembut “Nak tido dah ni. Mak janganlah kacau”. Sambil aku menarik selimut sehingga menutup muka aku. “Haaahhhh tidurrr Sodiqqqqqq…. Jangan bukak mata tuuu” katanya lagi. “Iyeeee. Pegi la tido mak. Sodiq nak tido ni” aku menjawab. Senyap. Tiada respons. Mungkin mak dah tak ada dah kot kat pintu. Agak pelik juga suara mak aku masa tu. Dia seolah-olah pelat bercakap.

Aku turunkan semula selimut yang menutup mukaku. Lemas rasanya bila ditutup sebegitu. Tapi mataku masih dibiarkan terpejam.

Hidung aku tiba-tiba menangkap bau hanyir. Baunya tak kuat, tapi cukup untuk kau cakap “Hanyirnya, ape menda bau ni”. Hati aku mula rasa tak sedap. Perut rasa sebu. Aku sejuk, tapi aku berpeluh. Baunya datang secara tiba-tiba. Seolah-olah ada yang membawa bau tu masuk ke bilik aku. Perlahan-lahan aku membuka mata sekecil yang boleh. Cuba melihat kalau-kalau mak masih ada kat pintu bilikku. Dalam samar-samar kegelapan bilik aku yang hanya diterangi lampu dapur, aku ternampak sesusuk tubuh berdiri di sebalik pintu bilikku. Kepalanya menjengah dari belakang pintu seolah-olah sedang mengintai aku. “Eh, mak kenapa ada lagi kat sini?” Automatik soalan tu terkeluar dari mulut aku. Dia hanya diam. Tidak menjawab. Hanya memandang aku dari sebalik pintu. Apabila mataku sudah boleh menyesuaikan pengelihatan dengan keadaan yang samar-samar itu baru aku dapat lihat dengan jelas, apa yang berdiri di sebalik pintu bilik aku.

Susuknya seorang perempuan. Matanya merah. Terjegil bulat memandang tepat ke arah aku yang sedang terbaring. Saiz matanya terlalu besar jika nak dibandingkan dengan mata normal manusia. Rambutnya panjang mengerbang kerinting berwarna putih kekelabuan. Mukanya pucat, berkedut seribu seperti beratus tahun usianya. Hidungnya memancung panjang kebawah. Mulut dan dagunya berwarna hitam kemerahan seolah-olah berdarah.

Dia tersenyum lebar sambil menjawab “Kannn dahh suruhh jangannn bukaaa mataaaaaaa.. Heeeheeeeheeeeheeeeeee” Dalam dia menjawab tu, terjulur keluar lidahnya yang panjang dan berwarna hitam. Hanyir habis bilik aku masa tu.

Aku memang tak dapat bergerak langsung. Nak alihkan pandangan pun aku tak mampu. Menjerit, apatah lagi. Seolah-olah suara aku tersekat. Aku hanya boleh menatap wajah nenek tua itu tanpa boleh berbuat apa-apa. “Dia” mula ketawa, dan dari ketawa bertukar menjadi mengilai. Seronok mengusik aku yang masih kanak-kanak belum akhil baligh ni agaknya. Tapi entah mengapa, aku cukup bernasib baik malam tu. Dalam dia ketawa mengilai, perlahan-lahan dia menghilang. Sempat dia memberi pesan, “Jangan tak tidur yeeeee….heeeeheeeeheeee..”

Esoknya aku terus demam panas. Seminggu baru kebah. Lepas tu mak aku dah tak usik-usik aku macam tu dah. Sebabnya mak aku cakap tak nak nanti ‘’Dia’’ datang bilik mak aku pulak mengusik mak aku. Tau pun seram. Hahaha.

Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Mada

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.8]

9 thoughts on “Jangan Tak Tidur Ye”

  1. hahahahah ., adoii 😂
    okey la tu. skrng aku da xboleh nmpak dh bnde2 ni semue, dn jarang2 dh nk kne kcau dengn bnde2 ni.. 😌

    Reply
  2. Aq pernha jugak la kena kacau tk seram pon time tido aku bukak mata sikit sebab (tetibe rasa nak bukak) tengok ado orang intai aq tido baju oren kepala botak muka putih kulit biasa tapi kabur aq ingatkan ayah aq so aq sambung tido pagi tu aq tanya ayah aq yang baru nak bangun katil aq tanya “abah ada tngok adik tido ke takdi” ayah aq jawab “tak” naik bulu roma aq pastu malam tu ade org ketuk atap'(ceiling) kuat plak tu tapi aq tk takut duk ingatkan tikus ke apa tapi memang kuat banyak kali plak tu

    Reply
  3. Heh… roberto carlos ye… haha… teringat aku main fifa 98 ni… letak roberto carlos jadik striker… terus rembat dari tgh padang pas kick off… easy gol…

    Reply
  4. First time aku rasa seram sampai bulu roma menegak walaupun sebenarnya aku baca cerita ni dalam pkul 2, dekat-dekat nak pukul 3 petang. Cerita yang seram dengan penceritaan yang baik.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.