JANGAN TAKSUB DENGAN BOMOH

JANGAN TAKSUB DENGAN BOMOH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Aku Pirlo (bukan nama sebenar). Seorang lelaki, sudah berkahwin dan tinggal di utara semenanjung tanahair.

Ini adalah kisah ke-4 yang aku tulis dalam FS #pirloutara. Cerita adalah benar, terjadi lebih kurang 7 tahun lepas. Jalan cerita akan di olah sikit-sikit untuk menjadikan lebih sedap dan teratur.
_______________________________________________________________
“Hang ada qeja dak malam ni?”
“Takdak pun, awat ayah?”
“Hang rajin dak? Bawak ayah pi jumpa ustaz sat. Tapi jauh sikit la.”
“Tang mana tu?”
“Ayah pun taktau nak habaq..nanti Mat (sepupu) tunggu kat tol, lepaih tu kita ikut ja belakang lepa.”
“Haa takpala, satgi lepaih Isyak kita pi..”

Ayah ketika itu di penghujung 60an, di mana beliau merupakan seorang pesara pemandu lori dari syarikat yang terkemuka dalam negara. Sepanjang usianya, beliau tidak pernah jatuh sakit, maksudnya sakit-sakit yang major la. Kalau setakat demam dan selsema biasa-biasa tu penah la.

Cuma dua bulan kebelakangan ni sebelum terjadinya perbualan telefon di atas, Ayah ada mengadu susah nak tidur. Bila dah start baring nak tidur ja, dia akan rasa ketat kat bahagian dada macam tak cukup nafas. Jadi dia kena duduk bersila dan sandar kat dinding, lepas tu kena lapik pulak 2-3 bantal bawah dagu, baru boleh tidur dengan lena. Itu pun tidur tak jerap sangat.

Dan lagi satu kadang-kadang badan dia tak boleh kena air. Maksudnya masa mandi la. Kalau setakat basuh-basuh ambik wuduk tu ok ja. Dia kata masa mandi, bila masa air terkena permukaan badan ja, dia rasa macam tajam mencucuk-cucuk. Kalau jadi macam ni selalunya Ayah memang tak mandi terus, cuma sekadar lap-lap badan ja. Cuma kalau dah banyak hari tak mandi tu, dia akan paksa jugak sekali dua untuk mandi, sebab mungkin badan dah berdaki dan tak selesa.

Jumpa doktor? Banyak kali dah. Tapi setakat klinik ja la, kerajaan dan swasta semua dah pergi.

“BP ok, gula ok, cuma kolestrol pakcik ni macam tinggi sikit. Saya bagi ubat, pakcik makan ikut time ye. Makan pun kena jaga sama tau pakcik. Pakcik kena kurangkan makan udang, ketam, bla bla bla…..

Ya, kolestrol tinggi. Sebelum datang sakit ni pun setiap kali pergi checkup memang benda yang sama doktor akan highlight. Ubat memang doktor bagi, tapi lansung tak disentuhnya atas alasan

“Ayah tak rasa sakit pun, nak makan pasai apa”. Bertimbun-timbun ubat yang tak diusik kat rumah, penuh dalam tupperware. Last-last expired, buang macam tu ja.

Pemeriksaan lanjut kat hospital? Hmm..bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Sakit lagu mana pun, Ayah akan cuba elak jugak nak pergi hospital. Sebut ja hospital, dia akan struggle buat-buat macam dah sihat. Termasuk la dengan sakit yang Ayah baru rasa ni, ada ja alasan dia.

“Nak pi hospital buat apa, doktor klinik sama ja dengan doktor hospital. Buang masa saja pi””Hospital ramai sangat orang, Ayah tak larat aih nak tunggu lama-lama.””Alaahh..kawan-kawan Ayah pun pernah kena macam Ayah rasa ni..pi cek doktor merata dah, semua tak tau punca. Last-last dapat tau sakit yang doktor tak bole nampak ni..”

Ya..tipikal mindset kebanyakan orang-orang tua di kampung, kalau rawatan moden semua dah nampak macam OK, tak lain tak bukan mesti angkara mistik. Ayah salah sorang yang tak terlepas dari kepercayaan ni. Ayah sendiri yang membuat kesimpulan bahawa semua sakitnya tu berpunca dari sihir atau dari bahasa kampungnya terkena buatan orang. Hari-hari Ayah kerap duduk termenung memikirkan kot ada sesiapa yang tak puas hati atau mungkin dendam lama yang tak terbalas, atau mungkin jugak Ayah ada terlepas cakap sampai buat orang jadi tak puas hati. Tapi sebenarnya segala kepercayaan ni atas hasutan kawan-kawan dia jugak, termasuklah jugak Mat si sepupu aku ni.

Rawatan alternatif? Pun bawak dah. Aku pernah ikhtiar dengan kaedah rawatan Darussyifa. Kebetulan pulak masa tu team Darussyifa utara ada buat tour kat area dekat dengan rumah aku. Ramai jugak perawat yang datang malam tu.

“Alhamdulillah, saya dah check, pakcik memang bebas dari gangguan-gangguan halus ni. Jadi saya syorkan pakcik pergi ke hospital dan cuba ikhtiar cara kat sana pulak ya. Kalau sama jugak, kita ikhtiar lagi cara lain pulak. Pakcik boleh datang lagi jumpa kami, inshaAllah..””…………….”

‘Ustaz’ yang ayah nak jumpa malam tu menurutnya merupakan seorang perawat tradisional yang cukup terkenal di tempat tersebut. Menurut info dari Mat, segala jenis sakit mampu diubatinya, terutamanya bab-bab berkaitan benda-benda halus ni. Sebenarnya Ayah sendiri dah sedia maklum yang aku cukup tak berkenan kalau Mat yang rekemen, tapi mungkin Ayah dah takdak pilihan masa tu. Mat si sepupu aku ni pulak nampak ja educated, tapi kepercayaan kat benda karut-marut ni cukup dasyat. Entah apa yang dihasutnya Ayah, sampai segala teguran dan nasihat kami anak beranak Ayah buat tak peduli ja.

Usai solat Isyak malam tu, perjalanan ke destinasi dituju dimulakan. Betul kata Ayah, memang jauh. Nak dekat 2 jam jugak la nak sampai ke situ. Nampak lebih kurang macam kampung kawasan felda. Gelap, suram dan banyak pokok kelapa sawit. Tapi Alhamdulillah, tiada benda yang tak diingini sepanjang perjalanan.

“Haa..sila sila..mai masuk..tapi hampa kena tunggu sat la..nak habih dah ni, sikit ja lagi.”

‘Ustaz’ Din (bukan nama sebenar) mempelawa masuk sambil menjalankan tugas sebagai seorang perawat. Ketika itu kelihatan 3 orang masih di situ, mungkin pesakit terakhir sebelum tibanya giliran kami.

Rawatan dilakukan di anjung rumah, open air, agak luas dan selesa. Apabila masuk, benda pertama yang paling ketara aku nampak adalah kain kuning. Hampir 30% tempat rawatan tu dipenuhi dengan kain kuning. Ada yang yang tergantung, ada yang terbalut, ada yang terlilit dan ada jugak digunakan untuk menutup botol-botol kaca kosong. Agak mencurigakan. Tapi perwatakan dan personaliti ‘ustaz’ Din biasa sahaja, berbaju melayu, berkain pelikat dan berkopiah. Umur pula aku estimate di awal 60-an.

“Haa mai sapa yang nak berubat tadi?”
“Pak menakan saya ni ‘ustaz’ Din, dia dok rasa macam….”
“Takpa-takpa, tak payah habaq, aku tau dah..hang bawak dak benda-benda yang aku pesan suruh bawak?”
“Ada ‘ustaz’, daun sireh jakan?”
“Haa..ok, kita boleh mula kot nuu…mai rapat kat saya sikit paklong.”

(panggilan paklong menjadi kebiasaan orang-orang kampung di sebelah utara sebagai panggilan hormat terutamanya untuk orang yang lebih tua dan tidak dikenali)

Sehelai daun sireh dikeluarkan dari plastik, lalu dilipat dua di dalam tapak tangan ‘ustaz’. Daun dilipat mengikut urat di tengah-tengah. Matanya terpejam sambil mulut terkumat kamit membaca sesuatu. Selepas beberapa ketika, tapak tangan dibuka, dan kembali ditutup. ‘Ustaz’ melakukannya berulang-ulang kali. Seingat aku Ayah juga disuruh berselawat dalam hati tanpa henti semasa rawatan dijalankan. Dalam lebih kurang 10-15 minit, ‘ustaz’ menghentikan ritual dan membelek-belek daun sirih tersebut dengan teliti. Dalam ditenungnya ke permukaan daun.

“Hampa mai tengok sendiri daun ni..”

Kelihatan terdapat banyak garisan tanda di atas daun (kesan tanda tu lebih kurang apabila daun dilipat-lipat, jadi akan muncul kesan-kesan lipat tu di permukaan)

“Tu maknanya memang terkena gangguan la ni..Banyak jugak paklong kena ni.. ”

“Allah..Oqang hantaq ka ‘ustaz’?” Ayah serta-merta menyahut. Kesemua yang ada di situ turut merapatkan diri kecuali aku, masih setia di penjuru rumah sambil bermain solitaire di hp.

“Dok nampak gaya macam tu la..Dia macam tak puaih hati sungguh ni.Tapi saya nak habaq siap-siap ni, paklong jadi lagu ni sebab paklong dah terlangkah benda yang lepa tanam depan rumah. Qupa benda tu lebih kurang macam pocong, tapi saiz kecik ja la.”

Suasana diam seketika memikirkan rupa paras bentuk ‘benda’ yang ditanam depan rumah. Kalau nak ikut, bukan Ayah ja yang terlangkah benda tu banyak kali, Mak, aku, adik beradik lain, cucu-cucu, jiran tetangga pun kerap jugak dok lalu-lalang kat situ.

“Ok, semua benda dalam plastik ni paklong campoq boh dalam ayaq (campuran bunga dan daun) lepaih tu tequih mandi. Segala sisa-sisa hat jatuh kat lantai tu, paklong kutip dan bungkuih elok-elok boh dalam plastik. Lepaih tu pi tauk kat dalam sungai yang mengaliaq na..”
“Baik ‘ustaz’. Tapi ‘benda’ orang tanam depan rumah tu lagu mana?’Ustaz’ habaq ja kat mana, balik satgi kami pi cari korek buang.”
“Takpa, benda tu ‘orang’ saya dah pi ambik tadi, paklong tak gaduh nak cari dah. ”
“Haa..lagutu takpala, tak gaduh kami nak cari dah satgi..”

Dipendekkan cerita, selepas 2 minggu lebih dirawat ‘ustaz’, yakni selepas segala pantang larang dan petua diikuti dengan jayanya, derita kesakitan Ayah masih lagi di takuk yang lama, malah terasa lebih teruk dari dulu. Orang putih kata no improvement at all. Ketika itu seperti timbul seribu kekesalan di muka Ayah kerana lebih mempercayai cakap Mat dari anak-anak sendiri. Mat pun tak tau menghilang ke mana lepas tu..tak nampak batang hidung terus.

“Esok hang qeja dak?”
“Haa qeja, awat Ayah?”
“Hang ambik cuti bawak Ayah p hospital sat boleh dak? Kita p la cuba check kat sana tengok.”
“Haa boleh, kita pi awai sikit pagi esok, takut lambat sikit orang dah ramai.”
“Ok…”

Mengalir air mata jantan aku ketika tu. Aku kira mungkin derita kesakitan Ayah dah semakin teruk sampai akhirnya Ayah sendiri menyerah diri kepada benda yang dia paling benci, hospital.

Pagi esok tu hanya Kakak yang ikut. Kami terus melalui jabatan kecemasan memandangkan sakit Ayah ketika itu boleh dikatakan di zon jingga iaitu memerlukan rawatan segera. Segala ujian dan diagnostik yang berkaitan dijalankan terhadap Ayah.

Petang, lebih kurang pukul 3 macam tu, waris terdekat atau penjaga Ayah dipanggil oleh doktor bertugas. Doktor lelaki berbangsa cina, bercermin mata dan kelihatan agak keletihan ketika tu, mungkin tak cukup rehat kot.

“Ok encik, puan, kami sudah check terhadap pakcik. Kami dapati bahawa pakcik mempunyai masalah jantung. Ada 3 saluran dah tersumbat, 1 daripada saluran tu dah teruk ye. Jadi pakcik kena menjalani rawatan dengan segera. Saya akan pindahkan pakcik ke hospital yang mempunyai pakar dan alatan yang cukup ye.”

Sedih, kecewa, tetapi Alhamdulillah, sekurang-kurangnya punca kesakitan Ayah selama ini sudah dikenal pasti. Ayah mungkin akan dirawat dengan menggunakan kaedah memasukkan spring atau belon untuk melancarkan saluran-saluran yang dah tersumbat. Mengikut info yang diterangkan doktor, kaedah moden ini diakui lebih selamat dan berisiko rendah berbanding dengan kaedah rawatan ‘bypass’ yang memerlukan major operation selama 7 hingga 8 jam. Apa-apa pun segala keputusan rawatan dan sebagainya akan dibuat oleh doktor pakar di hospital besar nanti.

Dipendekkan cerita, sebelum segala keputusan tentang rawatan dibuat, Ayah akan didiagnostik sekali lagi di sana. Setelah meneliti hasilnya, doktor pakar mengesahkan bahawa keadaan paru-paru Ayah dalam keadaan yang agak membimbangkan. Terdapat banyak kesan pneumonia dalam paru-paru Ayah. Doktor suspek punca utama adalah disebabkan oleh rokok. Ya rokok, dan Ayah memang seorang perokok tegar sejak dari zaman mudanya lagi. Malah di awal kesakitannya baru-baru ni pun, rokok masih setia berada dimulutnya seperti biasa. Kadang-kadang sehari sampai 2 kotak dia balun. Aku sendiri tengok imej xray tu dan saling tak tumpah seperti pesakit covid19 sekarang, di mana hampir keseluruhan paru-paru Ayah diselaputi oleh benda putih macam asap.

Sebab tu la Ayah cepat penat dan selalu tak cukup nafas. Jalan tak sampai 10 tapak pun dah penat, tambah pulak di akhir-akhir ni bercakap sikit pun boleh jadi penat. Pergi ke mana-mana pun semuanya dengan wheelchair. Oh ya, kat bab badan tak boleh kena air tu, doktor suspek ketika mandi tu badan Ayah dalam keadaan panas ataupun sedang demam. Jadi tindak balas air tehadap badan ketika tu rasa seperti tusuk menusuk dan sangat tak selesa, ntah la betul ke tidak.

Jadi, disebabkan oleh masalah paru-paru tu, rawatan Ayah terpaksa ditangguhkan sebab walaupun tidak memerlukan pembedahan besar, namun risiko agak tinggi jika diteruskan.

Masuk minggu ketiga di wad, kesihatan Ayah lansung tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Ayah semakin penat, struggle sungguh Ayah nak bernafas masa tu. Doktor pun dah finalized, jika keadaan Ayah masih sama esok, maka mereka terpaksa menidurkan Ayah. Belum sempat menjelang pagi esok, semua ahli keluarga dipanggil untuk berjumpa Ayah sebab beliau akan ditidurkan atas sebab kesihatan Ayah yang sangat teruk masa tu.

Setelah 3 hari berlalu, waktu petang betul-betul selepas asar, Ayah dipanggil menghadap Illahi. Alhamdulillah, Ayah dapat pergi dengan tenang dan segala urusan dipermudahkan.

Pengajaran :
1) Tak dinafikan sihir atau benda-benda mistik ni memang wujud, cuma jangan terlalu taksub.
2) Jangan merokok
3) Jaga pemakanan
4) Kalau rasa tak sedap badan sikit pun, cepat-cepat pergi checkup. Sebab sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Terima Kasih

Al-fatihah untuk Ayah.

Pirlo Utara…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pirlo Utara

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 100 Average: 4.8]

2 thoughts on “JANGAN TAKSUB DENGAN BOMOH”

  1. Cerita nasihat yg sangat baik saudara. Memang ramai yang berfikiran macam ayah saudara tu. Hospital dikatakannya menipu. Saya juga ada adik beradik yg berperangai begini

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.