Jin Hutan

FiksyenShasha, walaupun dah lama aku dengar namun baru lepas raya ini baru sempat aku baca satu per satu story. Betul-betul mengghairahkan daripada gaya penulisan dan bahasa, punch line, dan kaedah penyampaian.

Good job anak-anak Melayu, misteri dan horror alam Melayu tidak dapat diincikan. Maka sebab ghairah itu, aku juga ingin kongsikan pengalaman aku di Utara Tanah Melayu bersempadanan Negara Gajah Putih dalam plus minus 20 tahun lepas. Maka tanpa berbunga-bunga;

“Fuh, panas rembang ni betul-betul buat aku dahagakan air” simpulku di dalam hati.
Aku melihat Pak Long dekat penjuru semak buluh tidak memandang aku. Perlahan-lahan aku capai parang beralih ke perdu pokok lalu megeluarkan daun nipah yang diikat rapi dari celahan gulungan kain pelikat.

Lalu, aku gulung canti-cantik daun nipah, buangkan lapisan atasnya menjadi senipis kulit bawang lalu membaluti tembakau Jawa basah. Fuuhhhh memang padu, aromanya memang mengasyikkan. Aku beli tembakau tak sampai sekati dekat nat (pasar pagi)buat halau nyamuk hutan yang cukup-cukup mengatalkan telinga.

Aku melihat Pak Long dari jauh tiba-tiba beralih arah menuju kedalam hutan, dengan pantas aku mengekorinya sambil meninggalkan seberkas rotan di perdu pokok.

Semakin lama-semakin kedalam Pak Long meredah kaki bukit sehinggakan aku fikir neither orang kampung nor pencari petai hutan akan sanggup meredah ke halkum hutan ini. Mungkin lagi beberapa batu sudah sampai ke sempadan Siam.

“ Pak Long berhenti sekejap, aku nak buang selut” sambil aku menyapu selut ke banir akar kari hutan. Aku tidak pernah mengeluh mengikuti Pak Long, abang ayah aku, yang selalu mengajak aku mencari buluh lemang di dalam hutan, baik rotan ataupun manau di lereng bukit.

Bagi aku yang belasan tahun ini, memang sukakan cabaran daripada duduk dirumah tidak membuat apa-apa, nenek yang menjagaku akan bersikap sikap acuh tidak acuh sekiranya aku mengikuti anaknya yang sulung itu iaitu Pak Long.

Aku lihat Pak Long dari 10 kaki kehadapan berdiri tegak sambil dia membuka seputar bagai laksamana. Ganjil tapi dapat dibaca. Disentengkan pelipat seluar atas sedikit daripada buku lali. Bagaikan ada aral dihadapan yang menyambutnya.

Perlahan-lahan aku mencapai ranting basah yang boleh didapati dimana-mana lantai hutan. Aku sentiasa ingatkan nasihat Pak Long, sebelum melangkah masuk ke dalam perut hutan banat mulakan dengan Bismillah dan selawat keatas Nabi Muhammad SAW dan doa Nabi Yunus AS. Sekiranya berlaku perkara yang janggal jangan ditegur, jangan disahut, jaga mata dan penglihatan dan sentiasa berhati-hati.

Krapp..krapppp…krappppp…berdebubbb bunyi dahan-dahan menyembah lantai hutan. Terkejut aku bukan kepalang. Dahan sebesar peha anak lembu betul-betul jatuh di hadapan Pak Long. Pak Long terkumat-kamit, sambil mematahkan ranting yang dipegangnya. Dilurut-lurut ranting lalu dibuang cermat. “ Hang siap-siap cepat, depa ada kat sini”, Pak Long menyuruhku yang sedang berdiri membelakangi perdu Mempelas.

Aku membuat bulatan sekelilingku dengan ranting kayu cukup untuk aku membuka kuda-kuda. Pak Long aku perasan sudah mula memakai pelikat terbalik dengan memegang seruas rotan yang selalu diselit tepi pinggang kirinya. Zasssss…zassss…zasssssss…Pak Long melibas sambil melompat tepi semak. 15 minit aku memang aku nampak b**i berjanggut keluar dari sarang. Sebesar lembu naik badan, tapi ada janggut.

Pak Long menempik kuat menyuruh sesuatu keluar, bergema hutan dan jauh aku ternampak kelibat jubah singkat warna merah dihujung pokok Beruas tengah mengintip. Bongkok sabut kepala senget ke bahu. Betis kurus bunting padi.

Pak Long pernah cakapkan pada aku pasal warna mambang (apa tu mambang?Mambang Di Awankah di Perak?), katanya warna merah dan hitam ini jenis yang amat jahat. Dari renungan mataku, Pak Long membaca sesuatu dibibir mulut yang dilindungi misai hitam pekatnya lalu membuat garisan menggunakan anak ranting diantara kami dengan sebaris pokok Beruas. “Kat sinilah batas kami dengan hangpa. Sinilah keturunan hangpa aku pasung! Takkan hangpa semua langkau batas ini sampai bila-bila atau hangpa sendiri binasa “ suara Pak Long sampai ke celah-celah Beruas.

Berderap-derap bunyi tapak kaki dan rengekan b**i. Kata Pak Long, itu Jin jahat yang duduk di kaki-kaki bukit yang boleh menyebabkan pemburu atau askar tersesat. Jenis ini boleh menyamar pokok,kawan, haiwan dan ada kebolehan terbang. Jadi berhati-hati dan sentiasa ingatkan Allah swt. Pernah ada dulu, seorang askar yang tersesat kerana Jin ini menjelma menjadi rakannya. Bila dipanggil dia menyahut hingga akhirnya tersesat dipermainkan jenis Jin ini.

Sewaktu berjalan pulang ke rumah nenek sewaktu Asar, barulah Pak Long memberitahuku, rotan yang dipotongnya bertaut kembali walaupun sudah beberapa kali dipangkas menggunakan golok Patutlah dari awal kami memotong rotan tadi, Pak Long banyak berdiam diri. Ada ketika dia membebel tidak ketahuan punca.

Dia bersabar melayan makhluk itu sehingga membawanya melepasi lembah jauh dari rumah orang kampong. Berselut jugalah kasut getah aku yang dipakai, rupa-rupanya Pak Long memancing makhluk itu ke kawasan terpencil lalu memerangi dan memasungnya. Rotan yang Pak Long libas tadi aku lihat pecah abu.

Betul-betul kuat dilibasnya. Bersepai daging beluti kalau silap singgah. Rotan itu Pak Long bakar sewaktu langit warna merah tanah di bawah perdu pisang baru tumbuh jantung di kebun nenek.

Keesokan petang aku perasan pokok pisang tu dah layu macam kena siram air panas. Nenek pula bising-bising kerana pokok pisangnya m**i tapi nenek menasihati Pak Long supaya kurangkan ke hutan dan mencuba peluang pekerjaan di Bandar sahaja yang lebih baik dan terjamin.

Kini dah berlalu semuanya walaupun masih banyak yang hendak aku ceritakan hal best aku dengan Pak Long. Pak Long kini pun dah tidur hanya aku menceritakan kembali dan dengar-dengar hutan itu pun sudah jadi kebun buah-buahan dan aku pun sudah lama tidak menjengah. Sekian wassalam

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Mat Tepos

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 5]

10 thoughts on “Jin Hutan”

  1. Cerita menarik. Gaya penulisan pun best macam novel Tamar Jalis. Saya harap penulis teruskan menulis dan kongsikan lagi cerita-cerita menarik di sini.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.