Jururawat

Terima kasih saya ucapkan pada admin FS kerana sudi menyiarkan cerita saya. Saya Morticia A dan ini kisah ketiga saya kalau tak silap. Hee! Kali ini saya akan menceritakan kisah pengalaman saya sewaktu saya dimasukkan ke hospital ditempat kelahiran saya di Singapura.

Waktu itu, saya berumur dalam linkungan 13 atau 14 tahun pada tahun 1993/94. Saya sangat berminat bermain sepatu roda disekeliling kawasan perumahan saya. Pada suatu hari tu, setelah penat menunggu kawan-kawan “rollerblade” yang lain untuk bermain, saya putuskan untuk balik sahaja sebab dah sejam saya bermain rollerblade sendirian. Sesampainya saya dirumah dan menanggalkan sepatu roda saya tu, saya perasan ada 1 spot merah di tengah-tengah buku lali saya, sepertinya ada pendarahan dibawah kulit. Saya abaikan sahaja tapi bila tiba waktu maghrib, saya diserang demam panas secara tiba-tiba dan semua sendi-sendi saya menjadi bengkak termasuklah jari-jemari dan pergelangan tangan saya. Sakit sangat-sangat!

Keesokan harinya, arwah bapa saya menemani saya ke poliklinik untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor di poliklinik itu tidak dapat memastikan apa punca penyakit yang saya hidapi. Ujian d***h semua normal, tiada jangkitan kuman dan kesudahannya saya di-usulkan ke hospital besar untuk rawatan dan ujian lanjut oleh doktor pakar.

Setelah sampainya di hospital itu, saya menjalani pelbagai ujian d***h. Bengkak di sendi-sendi saya kadang ada, kadang susut. Setelah menjalani beberapa ujian, saya ditahan selama seminggu.

Serba sedikit tentang hospital yang saya ditahan tu… Hospital itu adalah salah satu hospital tertua disini dan pernah menjadi markas rawatan tentera British semasa jajahan mereka. Walaupun struktur asli bangunan hospital itu masih kekal, namun ia telah dibaik-pulih oleh kerajaan supaya ianya kelihatan bersih dan cantik.

Berbalik kepada cerita saya ditahan tu, katil saya berada di tepi pintu keluar-masuk wad. Dalam wad itu ada 6 orang termasuk saya. Disebabkan saya demam panas, saya sentiasa berasa ngantuk dan lemah dan hendak tidur saja. Pada hari pertama hingga keempat, tiada apa-apa yang pelik berlaku.

Saya ditahan selama seminggu lamanya kerana doktor pakar masih tidak dapat pastikan apa masalah kesihatan saya. Pada pagi hari terakhir saya disitu, mungkin dalam pukul 2 atau 3 pagi, saya dikejutkan oleh seorang jururawat. Biasalah, orang sakit, nurse asyik nak ambil bacaan tekanan d***h dan suhu badan setiap satu atau dua jam, bergantung pada keadaan si pesakit. Saya betul-betul mengantuk sangat-sangat (setelah disuntik dan makan ubat sebelumnya) tapi saya masih peka dengan keadaan sekeliling saya walaupun dalam keadaan mamai.

“Hello little lady! Give me your right hand and stay still, alright? I need to read your BP and heartbeat.” Kedengaran suara jururawat itu berkata halus kepada saya sambil mengangkat lengan kanan saya. Loghatnya seperti Mat Salleh (masa ni saya masih mamai teruk). Tangannya sejuk, mungkin dia baru keluar dari bilik nurse (ada aircon) yang bertentangan wad saya.

Disebabkan lampu diluar wad itu agak terang, saya dapat melihat dengan agak jelas wajahnya. Ehh!! Jururawat Minah Salleh lah! Rambutnya perang, disiput rapi, bertubuh langsing, berkulit halus, mulus, berhidung mancung dan matanya kebiru-hijauan. Dia memakai “head-dress” (topi jururawat) dan seragamnya agak panjang hingga melepasi lututnya tetapi tidaklah sampai mencecah buku lali. Saya tak nampak kaki dan kasutnya sebab wad kan dah dipadamkan lampu hanya nampak paras seragam jururawatnya saja berpandukan lampu diluar wad tu lagipun saya sedang berbaring. Dia mengambil BP dan degupan jantung saya tanpa menggunakan velcro lengan dan alat bacaan BP tu, hanya menggunakan stethoscope dan memegang pergelangan tangan saya dan membuat kiraan secara manual. Saya amat mengantuk sekali, mungkin efek suntikan dan ubat-ubatan sebelumnya. Selesai saja, dia berkata, “Alright young lady. Go back to sleep. Sweet dreams!” lalu saya pun sambung tidur dengan lenanya sehinggalah pagi.

Saya tersedar dalam pukul 7.30 pagi selepas dikejutkan dengan jururawat yang bertugas untuk mandi dan bersiap untuk dibawa Xray. Saya melihat sekeliling saya untuk mencari jururawat Minah Salleh tu tapi tak ada. Saya terus tanya pada jururawat yang membangunkan saya tadi.

“Kak… Mana misi Mat Salleh tu? Semalam masa Adik tidur, dia kejut untuk check Adik.”

Jururawat tu kebingungan. Dia kata, mana ada jururawat Minah Salleh kat hospital ni, lebih-lebih lagi team dia baru mengambil alih tugas dari team shif malam yang memang tak ada satu Mat Salleh pun! Mungkin dia lihat saya agak kebingungan dan sepertinya dia seolah-olah tau kan sesuatu, dia bertanyakan saya soalan ini…

“Dik, nurse Mat Salleh tu semalam dia pakai uniform macam mana? Sama tak dengan uniform yang Akak dan kawan-kawan Akak pakai ni?”

Aku tengok dia atas bawah dan juga rakan-rakannya yang bertugas… Beza sungguh seragam mereka dengan jururawat Minah Salleh semalam tu! Yang akak ni dan jururawat-jururawat yang lain, seragam mereka ni ada corak bunga sedikit di bahagian tepi bawah skirt mereka. Seragam mereka pun pendek, sampai ke paras lutut dan yang penting kesemua jururawat di hospital tu TIDAK MEMAKAI HEAD-DRESS!

Saya describe-kan kepada akak jururawat tu tentang seragam “jururawat” Minah Salleh tu. Terus dia memanggil rakan setugasnya yang berada diluar wad. Nampak “eksaited” lah pulak. “Adik ni nampak *dia* lah semalam! *Dia* datang kerja!” Saya pun menyampuklah siapa yang dimaksudkan “dia” tu. Akak jururawat yang lagi satu tu cakap, sebenarnya yang datang ambil BP dan heartbeat saya tu besar kemungkinan adalah seorang hantu jururawat Minah Salleh! Hospital tu kan bekas hospital tentera British jadi yang datang check saya tu adalah HA-HAN-HANTUUUU!!!!

Rupanya ada beberapa jururawat dan doktor telah ternampak entiti tersebut dan adakalanya seperti seorang askar Mat Salleh yang cedera sedang menunggu rawatan tetapi bila didatangi dekat, ianya hilang sekelip mata. Yang hantu jururawat Minah Salleh tu pulak, memang dah selalu mereka ternampak, jadi mereka yang bekerja di wad situ dah terbiasa dengannya. “Dia” tidak mengganggu orang, hanya “menjalankan tugasnya” sahaja dan hilang selepas orang melihatnya. Meremang bila saya teringatkan pengalaman bertemu hantu face-to-face tu!

Dipendekkan cerita, saya disuruh pulang untuk mendapatkan rawatan tradisional sebab perubatan moden tidak dapat mengesan apa-apa penyakit pada diri saya. Akan saya ceritakan di kesempatan lain sebab pengalaman perubatan tradisional itu agak panjang. Sekian, terima kasih!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 9 Average: 5]
Morticia A

2 thoughts on “Jururawat”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.