Kak Biah

Siti tinggal menyewa di pinggir bandar PB bersama suaminya. Siti ketika itu sedang sarat mengandung anak pertama. Dia baru sahaja berpindah ke situ dan masih belum kenal dengan jiran-jiran di situ kecuali penghuni di sebelah rumahnya sahaja.

Mereka bersuaikenal semasa dia sedang berpindah masuk tempohari. Zana nama jirannya dan suaminya Azmi. Siti senang dengan mereka.

Suatu hari suami Siti pulang lambat dari kerja. Siti kebosanan lalu dia keluar mengambil angin di taman rekreasi berhampiran rumahnya. Di situ juga ada taman permainan kanak-kanak. Kelihatan Zana sedang memerhati anak-anaknya yang sedang bermain. Siti pun menuju ke arah Zana dan melabuhkan duduk di bangku bersebelahan. Zana menyambutnya dengan senyuman.

Sedang mereka bersembang, datang seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 50an, cantik orangnya dan kelihatan muda tidak seperti usianya. Dia menyapa Zana dan memberitahu baru selesai bertemu seseorang di taman itu.

Zana memperkenalkan wanita itu sebagai Kak Biah dan mempunyai kemahiran mengurut. Dia tinggal di blok berhampiran mereka dan mempunyai dua anak gadis.

Tiba-tiba Kak Biah mengusap-ngusap perut Zana dan bertanyakan kepada Zana adakah perutnya masih sakit. Zana memberitahu sakitnya belum hilang. Kak Biah terus mengusap atau mungkin juga mengurut perut Zana. Zana seperti menahan kesakitan. Siti agak tergamam dan terkejut dengan tindakan Kak Biah.

Dia tidak selesa dengan keadaan itu. Di dalam hati Siti tertanya-tanya mengapa mesti dia berbuat begitu di tempat awam. Siti merasa pelik kenapa Zana tidak membantah akan perbuatan Kak Biah terhadapnya.

Kak Biah bertanya kepada Siti apakah dia merasa sakit atau tidak selesa ketika dia mengusap perut Zana. Siti terkejut, bagaimana dia tahu. Semasa Kak Biah mengurut perut Zana, Siti merasa sakit kepala tidak terperi. Siti memberitahunya tidak merasa apa-apa.

Lalu Kak Biah bertanya lagi, adakah Siti merasa sakit atau tidak selesa ketika bersama suami. Atau adakah Siti pernah mengalami masalah peranakan atau masalah dalaman yang lain. Siti sekadar menggelengkan kepala. Kak Biah bertanya lagi adakah Siti merasa takut. Sungguh Siti tidak faham apakah maksud Kak Biah.

Tiba-tiba Kak Biah minta diri, katanya dia mendapat firasat ada orang akan datang ke rumahnya. Zana mengiyakan kata-kata Kak Biah. Kata Zana selalunya firasat Kak Biah betul. Telah beberapa kali Zana mengalaminya ketika dia bersama Kak Biah. Siti mula rasa ragu-ragu, mustahil baginya manusia biasa ada kebolehan seperti itu.

Beberapa hari selepas itu, Siti terserempak dengan Zana dan Kak Biah di kedai runcit berhampiran rumahnya. Zana memberitahu Kak Biah akan mengadakan sessi mandi bunga dan urutan untuk menaikkan seri muka di rumahnya. Katanya bagus untuk kesejahteraan rumahtangga. Siti menolak dengan baik.

Kak Biah menawarkan dia juga boleh melakukan secara individu di rumah masing-masing. Tetapi syaratnya suami tidak boleh tahu sang isteri ada melakukan sessi mandi bunga tersebut. Siti mengatakan dia tidak berminat dan terus beredar dari situ. Siti cepat-cepat berlalu kerana dia merasa sakit kepala dengan tiba-tiba seperti dihempas dengan benda keras. Siti rasa mungkin sakit kepala itu biasa bagi wanita hamil sepertinya.

Setelah beberapa bulan tinggal di situ, Siti telah kenal dengan beberapa jiran di situ. Kebanyakannya suri rumah sepertinya. Ada yang menjadi pengasuh kanak-kanak, mengambil upah menjahit, membuat kuih dan ada yang membuat bisnes atas talian.

Mereka tahu Siti tinggal berjiran dengan Zana. Mereka juga maklum Zana rapat dengan kak Biah. Mereka menasihatkan dan mengingatkan supaya tidak terlalu rapat dengan Kak Biah. Mereka juga memberi amaran elakkan menerima sebarang tawaran perubatan atau perkhidmatan mengurut dari Kak Biah.

Katanya Kak Biah ada mengamalkan ilmu yang tidak elok. Sesiapa yang mengurut dengannya pasti terkena gangguan. Untuk menghilangkan gangguan, mereka terpaksa membuat rawatan ulangan dengan Kak Biah dan pastinya mereka dikenakan bayaran yang tinggi. Macam-macam cerita yang tidak enak tentang Kak Biah Siti dengar dari penduduk di situ.

Menurut mereka juga hubungan Kak Biah tidak berapa baik dengan jiran-jiran. Ini adalah kerana Kak Biah tidak senang bila jiran-jiran menegur anak-anak Kak Biah yang bebas membawa pulang teman lelaki bermalam di rumahnya Hanya Zana sahaja yang rapat dengannya.

Petang itu Siti ada membuat juadah minum petang. Sengaja dia buat lebih dengan niat untuk diberikan sedikit kepada Zana. Lalu selesai memasak, dia pun ke rumah Zana. Apabila dia mengetuk pintu dan memberi salam, Kak Biah yang membuka pintu. Kak Biah menyambutnya dengan senyum manis dan memberitahu Zana ada di bilik dan sedang berurut dengannya.

Kak Biah menjemput Siti masuk tapi Siti menolak kerana tidak mahu mengganggu mereka. Kak Biah bertanya adakah Siti berminat untuk melakukan sessi rawatan kerana katanya dia boleh membuang segala benda yang tidak elok di rumah Siti.

Menurutnya dia boleh nampak makhluk halus yang menghuni rumah Siti. Kak Biah memujuk Siti menerima pelawaanya kerana dibimbangi makhluk halus tersebut boleh memudaratkan kandungan Siti. Siti menolak dengan baik dan terus pulang ke rumahnya. Siti cepat-cepat beredar kerana tiba-tiba dia merasa mual dan pening.

Keesokannya ketika Siti menghantar suaminya ke muka pintu, Zana sedang menyapu di hadapan rumahnya. Apabila suami Siti telah berlalu pergi, Zana pun datang menghampirinya. Dia mengadu badannya banyak lebam-lebam setelah bangun tidur. Zana menyelak lengan baju dan menunjukkan kepada Siti.

Terdapat banyak kesan kebiruan dan lebam kemerahan pada betis, lengan dan sekitar tangannya. Pada leher dan bahu juga ada. Meremang bulu roma Siti melihat kesan-kesan lebam itu. Siti pun bertanya mungkinkah lebam-lebam itu kesan urutan semalam. Zana memberitahu Kak Biah ada berpesan supaya tidak risau dengan lebam-lebam itu. Menurut Kak Biah lagi, kesan-kesan itu adalah bekas angin dalam badan yang disedut keluar. Katanya selama ini Zana kerap lesu kerana banyak angin yang tidak baik di dalam badannya. Semua kesan tersebut boleh dihilangkan apabila sessi rawatan selesai. Oleh itu, untuk lebih berkesan Zana tidak boleh bersama suaminya sehingga diberitahu.

Siti merasa tidak sedap hati. Siti secara jujur memberitahu bahawa ibunya pernah bercerita tanda lebam seperti itu biasanya ada kaitan dengan hantu raya. Zana hanya ketawa dan mengatakan tidak mungkin urutan Kak Biah ada kena mengena dengan hantu raya.

Sedang mereka berbual, Kak Biah datang hendak mengambil kelengkapan mengurut yang tertinggal di rumah Zana. Wajah Kak Biah nampak bengis pagi itu, sedikitpun dia tidak menegur Siti. Kak Biah menjeling tajam ke arah Siti. Siti merasa Kak Biah tidak senang dengannya lalu melangkah masuk ke rumahnya. Apatah lagi kepalanya terasa berdenyut.

Siti membaringkan dirinya di sofa ruang tamu. Siti mula teringat dan terfikir mengapa setiap kali dia bertemu dengan Kak Biah dia pasti merasa sakit kepala yang amat sangat atau merasa seperti tidak selesa. Adakah itu cuma satu kebetulan sahaja.

Malam itu Siti bermimpi berada di satu tempat yang pelik dan asing baginya. Di satu kawasan yang tandus. Cuma terdapat sebatang dua pokok kering yang tidak berdaun. Di dahan salah satu pokok ada seekor gagak hitam bertenggek di atasnya. Tanah di situ dipenuhi dedaun kering yang bewarna kehitaman. Juga terdapat tulang-tulang berserakan di situ. Suasananya seperti suram sekali. Tidak pasti siang atau malam ketika itu.

Tidak tahu dari mana tiba-tiba muncul Kak Biah. Rambut Kak Biah kelihatan telah beruban dan mengerbang. Pakaiannya kusut masai seperti tidak terurus. Dengan mata terbeliak dia mengejar Siti. Siti lari ketakutan sehingga tercungap-cungap.

Tiba-tiba Kak Biah mencekak rambut Siti dari belakang. Siti terkebelakang dan tidak dapat lari lagi. Siti merasa sakit, seperti bukan di dalam mimpi, seperti benar-benar terjadi. Ķak Biah memalingkan wajah Siti ke arahnya dan terus mencekik Siti dengan kedua tangannya . Siti dapat rasakan begitu kuat sekali cengkaman Kak Biah di lehernya. Siti tidak dapat berkata-kata. Dia merasa seperti lidahnya terjulur keluar kerana dicekik dengan kuat dan rakus. Siti merasa sesak nafas. Tidak terlawan rasanya kudrat Kak Biah yang benar-benar kuat dan bertenaga. Siti rasa seperti nyawanya berada di penghujung, rasa seperti hendak m**i.

Dengan mata merah menyala bagaikan biji saga Kak Biah marah kepadanya dengan mengatakan ‘Kau dah tahu’ berulangkali. Siti sekadar mampu mengucap dengan kalimah Allah dan membaca ayat-ayat quran yang terlintas di fikirannya. Tidak lama kemudian, terdengar suara hilaian yang begitu nyaring sekali berselang seli dengan bunyi gagak.

Siti tersedar dan masih mendengar bunyi gagak di tingkap biliknya. Siti rasa seperti lidahnya benar-benar terjulur keluar. Namun kesakitan yang dirasai masih berbekas. Seperti Siti baru saja mengalaminya di dalam realiti. Siti benar-benar takut. Berpeluh-peluh badannya. Siti masih rasa tercungap-cungap seperti baru lepas berlari. Siti betul-betul keliru apa sebenarnya yang dia alami.

Beberapa hari kemudian, bapa saudara Siti ada mengunjungi Siti. Lalu Siti menceritakan mimpnya itu. Siti juga bercerita tentang rasa ketidakselesaan apabila bertemu dengan Kak Biah. Bapa saudaranya mengatakan mungkin benar Kak Biah ada membela makhluk halus. Mungkin rasa sakit kepala itu kerana makhluk belaan Kak Biah tidak dapat masuk atau mempengaruhi Siti untuk tunduk kepada Kak Biah. Mungkin dia marah Siti memberitahu tentang hantu raya kepada Zana. Atau mungkin juga dia marah kerana Siti menolak pelawaannya. Pakcik Siti menasihatkan adalah lebih baik menjauhkan diri dari orang seperti Kak Biah.

Selepas kejadian Siti didatangi mimpi seram, Siti perasan Kak Biah seperti mengelak bertembung denganya. Siti ada bertanya khabar Kak Biah melalui Zana, Zana mengatakan dia kurang pasti kerana dia sudah jarang bertemu dengan Kak Biah. Suaminya tidak lagi membenarkan dia berhubungan dengan Kak Biah. Kata suaminya, Kak Biah banyak mengajar ilmu mengarut dan bukan-bukan. Bagaimana mungkin Kak Biah mengajar tentang ilmu kesejahteraan rumahtangga jika dia pun gagal berkali-kali dalam perkahwinannya. Lagi pula kata Zana, Kak Biah mengelak bertembung sesiapa saja kerana mungkin bimbang ditanya tentang perut anak gadisnya yang makin membesar.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Zezedeha Azizi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 14 Average: 4.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.