Kampung Seribu Kubur 2

Mak masak daging gerang asam. Makanan kegemaranku. Rasanya lebih kurang seperti asam pedas, tapi daging yang digunakan bukanlah daging tetel, dan kuahnya lebih pekat. Memang sampai menjilat bekas mangkuk.

“Kau seorang je aku tengok yang boleh hirup kuah pedas,” perli kakak.

Aku yang sedang enak menghirup terus terhenti, tersengih lalu meletakkan kembali piring di atas meja.

“Sampai naik berpeluh ah b sayang tengok,” tutur Intan pula, yang mula menghulurkan tisu kepadaku.

Aku sempat melirik pada mak yang sekadar memerhatikan perlakuan kami berdua. Aku mengambil tisu itu sambil mendiamkan diri, tak berani bersuara. Enggan mengundang komen tajam dari mak.

Intan yang nampak perubahan raut wajahku terus bersuara. Barangkali cuba untuk menghidupkan suasana.

“Kak, abang Irfan cakap nama kampung akak ni KSK. La ni bila dah sampai dia panggil Kampung Seribu Kubur pulak,” tutur Intan, mengomel.

Aku terdiam. Begitu juga dengan kakak. Kami berdua terus berubah sugul bila topik tentang nama kampung diutarakan. Kami berdua memandang mak, barangkali meminta panduan orang lebih berpengalaman dalam hal seperti ini.

“Haah, itulah nama kampung ni. Kampung Seribu Kubur. Si Irfan ni sahaja yang pendekkan jadi kampung KSK. Kononnya lebih moden,” tutur mak.
“Owh. Sebab apa?” soal Intan lagi, menduga.

“Sebab kubur-kubur tu lah. Nampak kan tadi, masa masuk kampung tadi,” soal mak kembali. Intan mengangguk. Aku dan kakak pula masing-masing mendiamkan diri.

“Nampak. Pasal tu pun nak tanya gak tadi, tapi segan,” tutur Intan kembali, lembut. Aku tersenyum dalam diam. Pandai juga awekku menyusun kata.

“Apa nak disegankan. Tapi kalau tanya mak pun, susah mak nak ceritakan. Ceritanya panjang. Satu malam belum tentu habis,” tutur mak lagi, berseloroh.

“Orang kampung tak kisah ke?” soal Intan kembali, dalam nada yang serius.

Mak menggelengkan kepala. “Sebab dah biasa. Lagipun ada satu je pantang larang kat kampung ni yang kau kena ikut.”

“Apa dia?” soal Intan kembali.

“Pastikan semua dah ada di dalam rumah bila menjelang pukul 3 pagi.”

Intan ternganga, mendengarkan jawapan mak. Dia menoleh memandangku dan juga kakak, meminta penjelasan dari kami berdua. Tapi kami berdua sekadar mengangkat bahu.

“Nanti ada masa nanti, mak ceritakan kenapa,” tutur mak, yang mula mengangkat pinggan dan meletakkannya di singki. Aku dan kakak berbuat yang sama, meninggalkan Intan dalam keadaan termangu-mangu.

***
Jam sudahpun menginjak pukul 12 malam. Tapi aku masih lagi bergolek ke kiri dan kanan, cuba untuk mencari tidur yang seolah-olah sedang berlari dariku. Yang ada padaku ketika itu hanyalah resah. Memikirkan perbualan Intan dan mak sewaktu makan malam tadi.

Sedikit penjelasan sebelum aku dituduh yang bukan-bukan oleh korang yang sedang membaca: aku tidur berasingan. Intan barangkali sedang nyenyak diulit mimpi, tidur bersama kakakku. Aku tidur di bilik utama, berhampiran dengan ruang tamu. Bilik yang paling dekat sekali dengan pintu rumah. Bilik kakak rasanya masih lagi di tempat yang sama, dekat dengan bilik air. Yelah, dia kaki rajin kencing malam.

Rumah mak aku sama je macam rumah kampung yang lain. Ala, macam rumah Opah dalam cerita Upin dan Ipin tu. Rumah kayu. Yang pijak pun pasti berbunyi. Bilik-bilik seolah-olah terapung di atas, dan dapur serta tandas berpijak di tanah.

Aku tak ada masalah tidur di bilik sendiri. Di belakang bilikku ini dusun durian. Yang diusahakan bapak aku satu ketika dahulu. Tapi barangkali sekarang sudahpun dipenuhi semak samun. Kerana dah pun ditinggalkan hampir setahun. Aku rasa keesokan harinya pasti mak akan memaksa aku mengemaskan dusun. Satu lagi masalah yang aku akan cuba elakkan.

Tapi bukan itu yang menganggu tidurku. Aku lebih risaukan Intan. Kerana bilik kakak terletak betul-betul di belakang kubur. Bukak je tingkap tu, terus akan terserlah tiang-tiang nisan dalam 4-5 pasang. Warnanya yang putih itu seolah-olah menyala terang dalam kegelapan.

Aku takut, bila sahaja menjelangnya pukul 3 pagi nanti. Bunyi itu akan kedengaran. Aku takut apa reaksi Intan nanti, bila bunyi itu menjengah telinganya. Aku takut dia akan membuka tingkap, jika kakak lambat menghalangnya. Aku takut…

Tapi aku takut apa? Aku sendiri tak tahu apa yang akan berlaku. Aku dah mendengar bunyi itu, sejak aku kecil. Dan disebabkan bunyi itu datang pukul 3 pagi, ketika aku sedang nyenyak berdengkur, jarang sangat telingaku dapat menangkap bunyi itu.

Lagipun, pantang larang mak masih aku dan kakak ikut sejak kecil. Tak pernah kami terfikir untuk membuka tingkap, bila sahaja bunyi itu bergema. Kami hanya mampu berselubung di balik selimut, sambil menutup telinga, mengharapkan bunyi itu akan beransur hilang.

Mungkin tak ada apa yang aku perlu risaukan. Kakak ada dengan Intan. Dah tentulah kakak boleh melindungi adik kesayangannya itu. Dengan jaminan seperti itu, aku tersenyum. Aku menutup kembali mata, kerasa rasa penat sudahpun menguasai diri. Dan bersamanya, tidur yang sudah lama aku tunggu.

***

Bunyi ketukan yang kuat menjengah telingaku. Seperti ada orang yang sedang bertukul di depan pintu bilik. Aku yang kini sudahpun tidur tertonggek hanya beralih ke sisi, menutup telingaku dari bunyi yang memang menyakitkan.

“Oi! Bangunlah! Subuh!”

Kini jeritan seperi mak lampir pula menusuk ke telingaku. Aku berbaring menelentang pula, sambil meletakkan bantal di atas muka. Malas aku mengambil peduli amukan orang gila yang sedang mengetuk pintu bagai nak rak. Aku cuba mencari kembali tidur yang baru sahaja direntap dariku.

“Oi! Mak suruh kau jadi imam!”

Nama mak yang dipetik terus membuatkan mata aku terbungkang. Aku menolak bantal itu ke tepi, lantas beralih memandang jam di telefon. Pukul 6.15 minit pagi. Dengan keluhan yang panjang, aku terus bangkit dari katil.

“Irfan, nak! Kau dah bangun belum?” Kini suara mak pula yang bergema, membuatkan aku terus berdiri.

“Kejap mak, orang nak pergi ambil air sembahyang dulu,” balasku.

“Ha, siap cepat. Lepas tu kita boleh baca Yaasin, boleh tengokkan si Intan,” tutur mak.

Mendengar nama Intan aku terus meluru membuka pintu, kelihatan mak dan kakak tercegat di depanku.
Masing-masing sudahpun bertelekung putih.

“Intan? kenapa dengan Intan mak?” soalku kembali.

Mak dan kakak tak menjawab. Masing-masing dengan wajah yang suram, seperti ada awan mendung yang melindungi wajah mereka.

Kerana tak mendapat jawapan, aku terus berjalan melepasi mereka, menuju ke bilik kakak. Aku tak mengambil peduli kakak yang menjerit di belakang,

“Oi! Bilik anak dara tu!”

Aku terus menolak pintu, mataku ligat mencari Intan. Mataku terpaku pada susuk tubuh yang sedang terbaring kaku di atas katil kakak. Aku melihat wajah awekku itu. Yang selama ini jarang sekali lekang dari senyuman. Kulitnya yang putih-putih kemerahan kini bertukar putih sepenuhnya. Seperti d***h sendiri tak berani naik memenuhi wajah yang pucat itu.

Aku perasan yang mata Intan bagaikan kaku. Hanya memandang ke depan. Dia lansung tak menyedari kehadiranku yang kini sudahpun melutut menghampirinya. Tubuh Intan menggigil tak berhenti, diiringi bunyi berdesir yang keluar dari mulutnya berulang kali bagaikan zikir.

Aku memegang tangan Intan. Ingin memberitahu yang aku kini di sebelahnya. Tapi Intan lansung tak menoleh memandangku. Matanya masih memandang ke depan. Seperti ada sesuatu di situ, di dinding bilik kakaku. Aku menoleh pula ke belakang, memandang kakak dan mak yang kini sudahpun berada di pintu bilik.

“Apa yang jadi kak?”

Kakak menundukkan wajah. Tapi mulutnya masih lagi menjawab soalanku.

“Akak tak tahu. Akak jumpa dia macam ni malam tadi, kat dapur. Dia terbaring menggeletar seluruh badan, sampai terkencing. Akak terpaksa mintak tolong mak untuk bawak dia naik ke sini.”

“Kenapa tak kejutkan Irfan?” soalku lagi.

“Kau tengah sedap terbongkang tidur,” balas mak pula.

Aku menoleh kembali memandang Intan, yang masih lagi menggeletar seluruh tubuhnya. Aku memeriksa pula dahi awekku itu, menyedari yang badannya pula panas.

“Dah cepat, pergi ambil wuduk. Hanya Allah sahaja yang boleh tolong Intan sekarang!”

Bersambung Bahagian 3 nanti…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amyrul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 86 Average: 4.4]

3 thoughts on “Kampung Seribu Kubur 2”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.