Kampung seribu kubur 4

Jam sudahpun menginjak pukul 10 malam. Aku masih lagi berbaring menelentang, dengan mata terpaku pada kipas yang berpusing. Entah apa yang menarik ada pada kipas tu. Yang aku tahu, kepala aku masa tu, ikut berpusing macam lipas. Ligat memikirkan macam-macam masalah.

Yang utama sekali tentulah cerita mak pagi tadi. Kisah yang disampaikan mak tadi tak menjawab satu persoalan pun. Hanya menambahkan lagi bag soalan yang sudahpun memberat. Tak terlarat untuk aku seret ke mana-mana.

“Macam mana mak cik meninggal mak?” soalku pagi tadi.

“Mak cik kau meninggal kemalangan. Motor. Masa dia baru balik dari kilang,” jelas mak.

“Tak ada kena mengena dengan kampung ni?” soal kakak pula, inginkan kepastian.

“Jodoh dan ajal ni takdir Tuhan nak. Tak ada kena mengena dengan kampung ada seribu kubur ke tak,” balas mak membuatkan kami berdua menundukkan wajah.

Tapi sejujurnya jawapan mak itu tak memberikan kepuasan pada hati aku. Aku dapat rasakan yang ada lagi yang mak simpan. Ada lagi yang mak rahsiakan. Tak akanlah kebetulan sahaja yang mak cik hilang, dan mak cik juga yang m**i awal. Tak akanlah tak ada perkaitan lansung?

Aku berbaring pula ke sisi, mengeluh memikirkan persoalan yang sedang ligat berputar bak kipas di siling. Ketika ini aku sedang pening pula memikirkan tentang Intan. Keadannya masih lagi begitu, tertidur tak sedarkan diri. Nafasnya tetap, tapi badannya panas. Aku takut sesuatu akan jadi pada Intan. Dan cadangan mak untuk tunggu dan berdoa sahaja tak kena lansung pada diriku.

“Mak, mungkin orang boleh buat macam atok. Bawak parang, pergi….”

“Pergi ke mana? Mak sendiri tak tahu atok kau buat apa, pergi mana. Macam mana kau nak ikut jejak langkah atok kau?” soal mak, memotong cadanganku.

Aku terdiam pagi tadi .Tak mampu menawarkan hujah balas. Tapi malam ni beribu-ribu hujah datang menerpa. Tak akanlah aku nak biarkan sahaja Intan macam tu. Tunggu dan berdoa bukan cara aku. Walaupun aku tak adalah pandai sangat dalam agama, aku masih tahu yang usaha itu merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Aku mengeluh panjang. Bersemangat memang bagus. Tapi pada masa yang sama aku mengakui ada betulnya jugak cakap mak. Aku nak buat apa? Aku tak ada rancangan yang tetap untuk menyelamatkan Intan. Aku sendiri tak tahu apa yang sedang berlaku pada Intan, apatah lagi nak menyelamatkannya.

Oleh kerana buntu, kelopak mata aku mula memberat. Dan aku terus terlelap.

***
Mimpi menerjah dalam tidurku. Aku tahu ia mimpi, kerana aku sedang berada di dusun belakang rumah. Dengan parang di tangan, aku menebas semak di kiri dan kananku. Yang sudah mula memenuhi ruang di antara pokok durian yang atok tanam.

Aku hayunkan parang ke kiri dan kanan, sambil aku rentap dan tarik rumput dan daut yang terputus. Aku campakkkan ke tepi, ke longgokan yang aku akan bakar nanti. Badan aku dah mula berpeluh, dah pun melekit. Nafas aku berat, pantas turun naiknya, bagaikan kerbau yang sedang dilapah.

Ketika itulah hayunanku terkena sesuatu yang keras. Aku dapat merasakan sesuatu yang pekat terkena tanganku. Ketika itu, aku dapat rasakan sesuatu yang tak kena. Aku dapat mengagak yang parang aku tertetak sesuatu. Tapi entah kenapa, tubuh aku masih lagi teruskan aktivitinya sepertinya biasa. Tangan aku yang sebelah merentap benda yang baru sahaja parang aku putuskan.

Dan aku tarik rambut Intan, membawak kepalanya betul-betul di depan mukaku. D***h segar masih lagi melelh dari lehernya. Dan matanya masih lagi terbuka memandangku. Mulutnya juga bergerak, mengatakan sesuatu. Walaupun dengan d***h penuh di mulutnya, apa yang dituturkan Intan itu, masih boleh didengar telingaku.

“B….tolong selamatkan sayang.”

Panggilan Intan terus membawa aku keluar dari alam mimpi. Aku terbangun dari katil, dengan seluruh tilamku kini berbekas dengan peluh. Nafasku turun naik pantas, seperti aku baru sahaja selepas berlari maraton. Ataupun baru sahaja lepas mengemaskan dusun. Aku mengerling pada jam dinding, pukul 3 pagi.

Bulu roma aku yang basah dengan peluh, mula naik. Terasa di seluruh badan. Ketika itulah, bunyi yang bersahut-sahut itu, kembali menerjah telingaku.

Pada mulanya aku ingin berbaring, sambil menutup kedua belah telingaku. Aku tak sanggup menahan seriau yang kini memenuhi seluruh tubuhku. Tapi bunyi yang datang kali ni, lain dari yang lain. Kali ini, ia datang, bersama dengan jeritan Intan.

“B…selamatkan sayang B!! Sakit!!! B!!!”

Tanpa berfikir panjang, aku mengambil telefon dan terus meluru keluar dari bilikku. Menuju ke dapur. Aku lihat kakak sudahpun menjengah keluar dari bilik. Matanya terbeliak bila melihat aku terus meluru ke dapur. Aku turun ke bawah, mencari parang pusaka atok yang memang tergantung di dinding dapur. Aku ambil parang itu, dan terus meluru keluar dari pintu belakang.

Dengan selipar mak disarung di kakiku, aku terus berlari dalam kegelapan malam. Menuju ke arah dusun. Lansung aku tak mempedulikan jeritan kakak dari belakang, “Woi! Kau nak pergi mana tu!!! Intan kat sini!!”

Aku meneruskan larian. Misi aku hanya satu ketika itu, menyelamatkan Intan.

***
Larianku terhenti. Kerana gelap. Gelap kiri dan kananku. Aku lansung tak nampak apa yang ada di depan. Aku mendongak pula di atas, melihat rembulan yang sudah pun mengambang. Sepatutnya cahaya yang dipantulkan bulan itu sudah cukup untuk menerangi jalanku. Tapi tak, di sekelilingku gelap pekat. Seolah-olah ada jendela yang memisahkan langit dan bumi.

Aku menoleh pula ke belakang, melihat rumah mak yang kini sudahpun jauhku tinggalkan. Kelihatan kerdil sahaja dari sini, seolah-olah sudah sebatu aku berlari. Aku ingin berpatah balik, tapi bunyi jeritan dari Intan memalingkan badan aku kembali ke depan.

Dengan tekad aku mara, berlari-lari anak. Kakiku terasa perit bersarungkan selipar mak yang lebih kecil, tapi aku teruskan juga langkah. Badanku merempuh semak dan semak samun, mukaku banyak kali berlanggar dengan ranting-ranting kayu. Tapi aku mara juga ke depan, kerana nekad aku nak menyelamatkan Intan.

Aku tahu, ada parang di tanganku. Tapi aku tak sanggup nak hayunkan. Kerana aku takut ia akan tertetak sesuatu dalam kegelapan. Maka aku hanya boleh melangkah sambil meraba-raba ke depan, sehinggalah kaki aku tersadung sesuatu. Terjelepuk aku ke bawah. Wajah mencecah tanah.

Keadaan serta merta bertukar sunyi. Diiringi kesakitan yang kini mencengkam wajahku. Aku mula meraba-raba parang yang sudahpun terlepas dari genggaman. Sambil dadaku berombak kencang kerana gelap yang seperti merangkak menghampiriku.

Dalam keadaan berbaring, aku menoleh pula ke kiri dan kanan. Cemas, dek kerana telingaku yang dapat menangkap sesuatu. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang sedang menghampiriku, pantas. Ia kini berjalan pula mengelilingiku, seperti pemangsa yang sedang menunggu masa untuk menerkam.

Mujurlah aku teringat telefon aku yang simpan di poket. Cepat-cepat aku keluarkan dan hidupkan lampunya. Aku bangun dan suluh ke depan, tapi kosong. Tak ada apa-apa. Aku suluh ke kiri dan kanan pula. Masih tak ada apa-apa. Aku sedar yang aku kini sudahpun berada di tengah-tengah dusun. Dengan pokok durian yang kini meninggi tinggi di atasku.

Keadaan yang gelap gelita tadi kini sudahpun beransur terang. Seolah-olah jendela antara langit dan bumi kini telahpun terbuka. Dadaku yang berombak tadi kini sudapun tenang. Sambil menarik nafas yang panjang, aku meneruskan kembali langkahku ke depan.

Di waktu itu, telinga aku dapat menangkap sesuatu. Seperti bunyi keramaian yang sedang berlaku. Mata aku pula ternampak cahaya-cahaya api yang sedang berkumpul di depan. Seperti obor api yang menyala terang. Dengan berhati-hati aku melangkah, melepasi dusun durian yang kini sudahpun di penghajang. Menghampiri orang ramai yang sedang berkumpul di depan.

Ketika itu aku terasa seperti di alam mimpi. Kerana di kiri dan kananku setiap orang memakai baju melayu lama. Tiada baju kemeja, ataupun seluar jeans. Yang ada hanyalah baju melayu dan kain pelikat yang diikat bak tanjak di kepala. Mereka tak menyedari lansung kehadiranku yang memakai seluar pendek dengan t-shirt bundle polo di badanku. Mereka semua seperti sedang tertumpu ke depan. Bersorak dan mengiyakan apa sahaja yang dikatakan oleh orang yang di depan.

Aku kini memandang pula ke depan. Terbeliak mataku melihat Intan yang kini sedang terikat di batang kayu yang dicacak. Aku lihat Intan dipakaikan baju kurung lama, dengan kain batik membalut bahagian bawah badannya. Di sebelah Intan, kelihatan seorang lelaki tua yang sedang berdiri dan menyampaikan sesuatu, disambut sorakan dan teriakan dari orang di kiri dan kananku.

Apa yang sedang berlaku?

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/susbmit

Amyrul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 145 Average: 4.6]

17 thoughts on “Kampung seribu kubur 4”

  1. memang ending cerita ni cliffhanger ke? cerita sangat menarik tolong la ada sambungann tak dapat nak fikir ending dia mcm mana plsss writer saya nak sambungan kampung seribu kubur🙏🏽😭

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.