#katcha: Akak da Jumpa Danie

#katcha: Akak da jumpa Danie.

Ini kisah misteri dan seram ketiga aku kongsikan di sini. Kisah pertama aku: Akibat Taksub Dengan Rancangan Seram dan kisah kedua: Pak Cik Madi… pernah aku kongsikan. Terima kasih atas respon yang positif terutama sekali kisah Pak Cik Madi. Terima kasih kerana kirimkan doa.
Peristiwa berikut ini berlaku pada beberapa tahun lepas. Tugasan hakiki aku tamat pada pukul 2.00 petang setiap hari. Untuk mengelak kebosanan, aku daftarkan diri menjadi sukarelawan di bawah sebuah badan sukarelawan persendirian. Beberapa bulan menyertai badan sukarelawan, aku di minta menabur khidmat di sebuah hospital. Tugasku, membantu menguruskan kanak-kanak penghuni wad pediatrik. Menghiburkan mereka, melayan karenah mereka, menukar diapers, mengajar mereka dan sebagainya.

Dalam ramai kanak-kanak di situ, hati aku lebih dekat dengan seorang kanak-kanak lelaki bernama Danie (bukan nama sebenar). Berusia 6 tahun, lincah, aktif, bertubuh kurus, sentiasa memakai kopiah menutup kepalanya yang keguguran rambut akibat rawatan yang perlu di jalani setiap hari. Danie, penghidap penyakit kronik.

Seminggu mengenali Danie, die jadi pembantu cilik aku untuk membantu kanak-kanak yang lain. Orangnya rajin dan petah bercakap. Kami sangat rapat. Sehari tak jumpa Danie, aku tak senang duduk. Makin hari makin sayang dengan dia. Dia pun selalu cakap, “Danie saying katcha…” Itu pun da buat aku senyum sepanjang hari.

Beberapa hari sebelum peristiwa ini berlaku, Aku menjalankan tugas sebagai sukarelawan tanpa Danie. Menurut Mia, jururawat yang bertugas, Danie dapat ‘cuti’ balik rumah. Doktor yang bagi. Kata Mia, keadaan Danie semakin baik. Aku senyum gembira tapi ralat sebab Danie tak bagi tahu aku dulu. Aku bertugas macam biasa. Tiga hari selepas ‘bercuti’ aku sepatutnya jumpa Danie di wad. Tapi pada hari tersebut aku terlambat. Sampai di hospital pada waktu hampir Maghrib. Aku berjalan di koridor panjang di hospital menuju ke lif yang teletak di hujung koridor berhampiran dengan tangga kecemasan. Aku berjalan pantas, bulu tengkuk meremang sebab hanya kau sorang yang berada di koridor yang sunyi tu. Tiba-tiba aku Nampak susuk tubuh kanak-kanak melambai aku dari hujung koridor. Jarak kami lebih kurang 50m. Aku amati tubuh tersebut ternyata ia milik seseorang yang aku rindui.

Dia senyum sambil melambai. Aku membalas sambil separa menjerit “Danie! tunggu Kak Cha ke? Rindulah tu!” Aku cepatkan langkah. Tiba- tiba Danie lari menuju tangga kecemasan. Aku terus berlari anak menuju ke tangga kecemasan. Aku takut dia jatuh. Sampai di situ, aku tolak pintu yang menuju ke tangga kecemasan. “Nggettttttt..” kuat bunyi pintu tu. Terkejut aku. Sampai di tangga aku melangkah ke tangga yang menuju ke atas sebab wad kanak-kanak di tingkat atas. Baru dua anak tangga, aku dengar suara Danie ketawa halus dari arah tangga yang menuju ke bawah. Cepat-cepat aku jenguk ke bawah. Aku Nampak Danie turut menjengukkan kepala dan menyeringai ke arah ku. Sekelip mata Danie menghilangkan diri menuju ke tangga bawah. Aku menjerit, “Danie, tunggu akak. Jom balik wad da nak Maghrib ni. Akak bawa coklat Danie” sambil memanggil Danie, kaki aku pantas menuruni tangga menuju ke bawah iaitu ke basement tempat letak kereta.

Sampai tangga paling bawah Danie tak kelihatan. Aku tolak pintu yang memisahkan tangga ke ruangan basement. Tempat letak kereta kosong. Hanya ada dua tiga biji kereta sahaja. Danie masih tak kelihatan. Aku jerit nama Danie. Tiada sahutan. Aku ugut untuk tinggalkan dia di situ. Juga tiada respon. Tiba-tiba aku dengar suara orang ketawa betul-betul di sebelah telinga. Bila aku toleh, kosong. Bulu roma terus meremang. Tanpa membuang masa, aku lari naik semula tangga ke tingkat atas menuju wad kanak-kanak. Aku perlukan bantuan untuk mencari Danie. Aku rasa tak sedap hati. Danie tak seberani itu!

Sampai di wad, keadaan agak kelam kabut. Semua kakitangan sedang sibuk. Aku menuju ke katil Danie. Katilnya di tutupi tirai. Semua kakitangan wad kelihatan sibuk di situ. “Ahh.. mungkin ada penghuni baru” aku bercakap sendiri. Aku cuba cari Mia tapi tak jumpa. Aku jenguk-jenguk ke katil-katil lain mencari Danie. Sah! Danie keluar dari wad dan bermain di tangga hingga ke basement sebab aku tak nampak dia di wad. Aku buat keputusan untuk mencari pengawal keselalmatan untuk bantu aku cari Danie. Ketika melintas katil Danie, tiba-tiba aku dengar suara wanita menangis. Tak lama kemudian bunyi tirai di tarik. Aku berhenti sekejap untuk mengetahui apa yang berlaku pada pesakit ‘baru’ tersebut. Tak lama lepas tu aku Nampak Mia keluar dari tirai dengan mata yang merah. Dia terkejut melihat aku di situ. Dia datang dan peluk aku. Perlahan-lahan Mia cakap; “Cha, Danie dah tiada….”.
Aku terkedu. “Itu Danie ke? Budak di sebalik tirai tu Danie ke? Yang lari-lari sembunyi dari aku tadi di tangga pun Danie juga ke?” Mia pandang aku tak percaya. Perlahan aku cakap pada Mia, “Owh… jadi aku tak perlu cari dia lagi la? Dia dekat sini rupanya…” dalam keadaan mamai aku lepaskan pelukan Mia. Aku nampak semua kakitangan di situ mengesat air mata masing-masing termasuk si perawat. Esakan kecil terdengar di setiap penjuru bilik. Dengan langkah yang longlai, lutut yang lemah, aku cuba bergerak. Aku dekati Danie.. Wajah penghuni syurga itu kelihatan polos dan bersih. Matanya tertutup rapat, senyuman kecil terukir di bibirnya yang merah. Seronok agaknya dapat bergurau dengan aku di tangga tadi. Aku usap kepala dia, aku cium dahi dia. Aku bisik pada die; “Selamat jalan sayang. Akak dah ‘jumpa’ Danie…”

Lepas peristiwa itu, aku tarik diri dari menjadi sukarelawan dari wad kanak-kanak. Aku tak nak lagi kehilangan seorang demi seorang “Danie” aku. Aku tak kuat. Siapa aku jumpa dan main ‘lari-lari’ dengan aku di tangga kecemasan tu? Aku tak tahu sebab waktu tu Danie yang sebenar sedang berdepan dengan maut. Selepas beberapa tahun baru aku ada kekuatan untuk berkongsi kisah ini dengan anda semua. Nasihat aku, hargailah orang di sekeliling kita. Layanlah dia dengan sebaik mungkin kerana mungkin esok atau lusa, kesempatan itu akan hilang dari kita.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]
#katcha

33 thoughts on “#katcha: Akak da Jumpa Danie”

  1. Wuuuuu… jgn la post citer sedih…. x pasal² menitis air mata aku baca.. nasib baik xde org nmpk.. wuuuuuuuu (sambung nangis)

    Reply
  2. Ya allahh…baca kisah ni tringat wajah ank..slalu je bg mak nya mrh..nakal xbertempat…sedih nya…tiap mlm slalu pandang wajah dia…hr2 kena mrh je… 😢😢😢😢

    Reply
  3. Sedih laa..mmg betul pn,hargai org y kita ada skrg sblm semuanya terlambat..ase nk nangis je baca..hmmm..😢😢😢

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.