KAWAN ATAS MOTOR

KAWAN ATAS MOTOR
by Melur Tzuyu

Assalamualaikum wbt kepada semua readers FS..

Ni bukan pertama kali aku menulis di FS ni sebenarnya.. tapi cerita aku tak di publish kan kat FS ni dengan alasan tertentu.. so, tak apalah.. kalau masih tak di publish kan juga, anggaplah tak ada rezeki aku nak share cerita-cerita aku dekat sini.

Sebenarnya, aku ni peminat setia juga lah kat FS ni.. tapi aku tak pernah baca kalau kat rumah.. aku selalu baca masa kat ofis waktu pagi sebelum memulakan kerja harian.

Aku terpanggil untuk berkongsi cerita misteri ni tapi bukanlah seram sebenarnya.. Cuma sangat menjadi perkara misteri yang tak pernah dapat aku rungkaikan sehingga ke hari ini. Cerita ni terjadi sewaktu aku di sekolah menengah dulu.

Ceritanya macam ni..

Suatu pagi yang dingin lagi sejuk..

“Awak sekolah SM T.U.T ker?” tanya aku sebaik sahaja motor aku hentikan sedikit dihadapan laluan dia berjalan. Aku memandang tepat ke muka dia. Dia mengangkat muka lalu mengangguk. “Dah 2, 3 hari saya lalu nampak awak jalan kaki sorang-sorang.. Meh la saya tumpangkan alang-alang kita satu sekolah.” Dia menurut lalu terus membonceng. Sepanjang perjalanan nak ke sekolah tu, kami tak berborak pun. Dia senyap, aku pun senyap sehinggalah sampai di pekarangan rumah warden asrama tempat aku selalu parking motor. Dia turun lalu..
“Terima kasih..” satu suara lembut memecah suasana. Aku mengangguk sambil tersenyum dan dia terus berlalu. Elok jer aku dah kemas parking motor, dia hilang dari pandangan. “Laju jugak dia ni berjalan..” bisik aku sendirian.

Untuk pengetahuan, semenjak hutan belakang rumah aku tu ditarah, aku mengambil inisiatif untuk ke sekolah dengan menaiki motor je ikut laluan belakang tu.. jalan tanah yang dengarnya akan dibangunkan dengan jalan ber tar suatu hari nanti.. so buat masa ni, aku ikut je jalan tanah ni untuk ke sekolah.. senang.. lagipun jalan dalam.. memandangkan aku yang masih bersekolah dan tak mempunyai lesen, so jalan belakang tu adalah jalan terbaik dan pintas untuk aku dengan beraninya menunggang motor ke sekolah. Ikut pintu belakang sekolah, parking kat rumah warden asrama. Pastu jalan kaki sama-sama dengan pelajar asrama melalui lorong berbumbung yang menyambungkan laluan dari asrama ke bangunan sekolah. Jimatlah sikit duit parents aku nak bayar sewa bulanan pakcik van yang hantar aku hari-hari pergi balik sekolah sebelum ni.

Dah lama aku pergi balik sekolah ikut jalan belakang tu, tak penah sekalipun nampak sesiapa budak sekolah aku yang lalu jalan yang sama sehinggalah suatu hari tu aku ternampak seorang pelajar perempuan berjalan kaki untuk ke sekolah. Dua, tiga hari aku lalu, aku terserempak dengan dia sehinggalah tergerak hati aku untuk berhenti dan bertanya. Bila dah tau satu sekolah, terus aku pelawa untuk tumpangkan dia.

Sehinggalah ke hari-hari berikutnya,
Seperti biasa aku akan menumpangkan dia dan dia pun seolah-olah macam dah menunggu aku untuk tumpang sekali ke sekolah, kami semakin hari semakin rapat dan menjadi kawan atas motor. Berborak.. bergelak ketawa.. bercerita.. sehingga lah sampai ke sekolah, persahabatan tu setakat di atas motor je. Kat sekolah masing-masing dengan kelas dan kawan-kawan sendiri agaknya. Cuma setiap kali waktu balik dari sekolah, aku tak pernah terserempak pula dengan dia berjalan kaki balik. “Adalah yang menjemput tu agaknya..” fikir ku sendirian.

Sehinggalah suatu hari tu aku tak nampak dia tunggu aku kat tepi jalan tu lagi. Aku berhentikan motor tunggu dalam 5 minit camtu. Mana tau dia terlambat ke kan.. Tapi.. dia tak muncul-muncul.. fikir aku, mungkin dia tak sihat agaknya.. mungkin.. ntah.. Esok pun sama.. tiada jugak kelibat dia menunggu disitu. Hari ketiga.. keempat.. kelima.. cukup dari hari isnin hingga jumaat. Aku terfikir nak tanya kawan-kawan aku. Yang menjadi masalahnya, macam mana aku nak tanya sedangkan sepanjang aku menjadi kawan atas motor dengan dia, aku tak pernah sekalipun tanya nama dia.. tingkatan berapa.. kelas mana. Pelik kan? Tapi itulah hakikatnya.. kami berborak perkara yang diluar dari sepatutnya lebih penting untuk ditanya dan dibualkan sepanjang menjadi kawan atas motor tu. Tentang keluarga, langsung.. Aku tak tahu apa-apa melainkan hanya kisah orang-orang disekeliling jer.

“Ja.. kau kenal tak budak yang free hair rambut panjang selalu pakai riben putih ikat rambut ekor kuda kat sekolah kita ni?” tanya aku kat Jaja kawan sekelas aku.
“Melayu ker?”
“Haaa.. melayu laa.. errmm.. melayu kot sebab selalu borak dengan dia elok jer bahasa melayu dia.. tak ada pulak slang cina.” jawab aku berkerut sebab aku pun tiba-tiba jadi tak pasti. Budak yang tumpang aku ni lawa.. kulit putih macam cina.. mata pun sepet macam cina.. tapi serius bahasa melayu dia fasih, so aku cukup-cukup confirm dia ni melayu.
“Budak melayu kat sekolah kita ni yang free hair tak ramai pun Melur.. Cina.. India ramai lah.. kau maksudkan siapa ni?.” tanya Jaja. Aku terdiam, tak pasti..
“Emmm.. tak apalah Ja..”

Isnin minggu berikutnya aku berasa lega, sebab kawan atas motor aku ni dah tercongok tunggu aku tepi jalan seperti biasa. Dari jauh aku dah senyum-senyum pandang dia. Motor aku hentikan, dia naik tanpa bicara. “Awak tak sihat ker? Lama saya tak nampak awak”. Soal aku.
“Nenek saya sakit.. saya jaga dia”. Jawab dia pendek.
“Owhh.. maaf..” paddle motor aku pulas perlahan. “Sekarang nenek awak macam mana?”
“Sihat dah..” jawab dia ringkas dan kami berborak seperti biasa. Tiada lagi cerita tentang keluarga atau nenek dia, hanya cerita-cerita biasa. Seperti biasa, sampai jer sekolah dia akan turun dan ucap terima kasih. “Saya masuk dulu ya..” ayat last yang dia akan bagi kat aku setiap kali aku tengah nak parking motor. Sepanjang dia tumpang aku, kami tak pernah jalan beriringan ke bangunan sekolah. Memang selalu dia yang akan pergi dulu tinggalkan aku bersama budak-budak asrama lain yang sedang berpusu-pusu ke bangunan sekolah. Begitulah keadaan berbulan-bulan lamanya.

Nak dijadikan cerita, sehinggalah ke suatu hari ni aku sekali lagi tak nampak kelibat dia menunggu aku kat tepi jalan seperti selalu. “Nenek dia sakit balik agaknya..” bisik aku kat dalam hati. Tapi aku tetap berhentikan motor tunggu dia dalam 5 minit camtu sebelum aku meneruskan perjalanan ke sekolah. Aku takut dia terlambat so tunggu jerlah sekejap. Tapi rupanya itulah kali terakhir yang aku akan terus tak akan nampak dia lagi. Pergi balik sekolah aku jadi kosong.. tak ada lagi peneman kawan atas motor aku lagi. Aku tertanya-tanya juga, ke mana lah dia agaknya.. apa khabar nenek dia.. ke.. dia yang sakit.. bertubi-tubi soalan muncul kat kepala aku masa tu. Dia duduk mana? mana nak cari dia ni? terasa kesal pulak tak pernah nak ambil tahu tentang diri dia sebelum ni.

Tapi masalahnya setiap kali berjumpa, memang otak aku ni tak terfikir langsung nak tanya semua tu. Macam hilang camtu jer soalan-soalan tu semua. Akibat perasaan aku yang sangat curious pasal kawan atas motor aku ni, aku jadi penasaran sangat nak selidik pasal dia kat sekolah. Semua kawan-kawan aku tanya, dari junior sampai ke senior aku dok tanya. Sebab aku tak pernah tau pun dia tingkatan berapa.. muda dari aku ker.. sebaya ker.. atau tua dari aku ker. Sorang pun tak tau siapa yang aku cari.. siapa yang aku maksudkan dengan gambaran yang aku beri. Maklum, masa tu tak ada telefon pun untuk aku snap gambar dia. Dan yang lagi pelik, tak ada pulak aku dengar kecoh-kecoh kat sekolah ni sorang student berhari-hari ponteng kelas ke apa ker kan.

Sehingga suatu hari tu.. waktu rehat sekolah..
“Ja.. kau ingat tak budak free hair yang aku penah tanya kau dulu?”.
“Haaa.. kenapa?”.
“Sebenarnya, aku selalu tumpangkan dia ke sekolah tau.. borak-borak macam biasa.. sampai kitorang ni dah jadi macam kawan rapat tau.. gelak-gelak sakan kalau berborak tu.. tapikan.. sebenarnya kan.. sepanjang kat sekolah.. waktu rehat.. waktu balik.. perhimpunan pagi.. sukan ker.. memang aku tak pernah nampak pun dia kat sekolah kita ni.. terserempak kat library ke kan.. ” aku mengerutkan dahi. Jaja memandang aku tepat.
“Kebetulan kot, masa dia kat library kita kat kantin.. masa dia kat kantin kita pulak kat library..”. jawab Jaja positif sangat.
“Hmmm.. mungkin..” sahut aku perlahan.. “tapi kan Ja..” sambung aku, terdiam seketika.. ligat otak aku berfikir.. “..aku cuma terfikir.. baru aku perasan.. sepanjang dia naik motor dengan aku, dia tak pernah sentuh aku tau.. maksud aku, peluk pinggang aku atau pegang bahu aku.. tangan dia mesti pegang besi belakang motor tu..” aku berkerut lagi sambil pandangan aku meluas ke padang sekolah yang betul-betul berada di sebelah kantin sekolah. “Aku bukannya lelaki, elok haa bertudung.. tak salah pun kalau dia pegang aku.. peluk ker.. kann..” sambung aku lagi.. Jaja terdiam pandang aku.
“Kau ni Melur.. buat cerite seram pulak..” bahu aku Jaja tumbuk perlahan.

“Kringggg!!!”

“Opocott mak kau..!!” latah Jaja. Aku pun turut terkejut terus menampar bahu Jaja. Loceng sekolah berbunyi.. tak dapat aku nak teruskan bercerita dengan Jaja masa tu. Kami terus bangun menuju ke kelas. Jaja pandang aku. Aku cuma tersenyum membalas pandangan Jaja.
“Teruk la kau ni Ja.. itu pun nak melatah..”
“Mana taknya.. tengah meremang kusyuk aku dengar cerita seram kau ni boleh pulak loceng sekolah berbunyi.. mau tak terkejut beruk aku dibuatnya..” sahut Jaja. “Hmmmmpph.. kau tak mengarut kan Melur?” sambil jalan beriringan. Aku menggelengkan kepala meninggalkan seribu tanda tanya dalam kepala Jaja masa tu. Selepas dari hari tu, baru segalanya aku terfikir.. bukan setakat naik motor tak pegang aku.

Untuk pengetahuan korang, baju yang di pakai.. kasut dia pun lusuh tak putih macam budak-budak lain.. masa tu aku dok fikir mungkin dia ni miskin.. jadi pakaian sekolah dia pakai apa ada jer. Pergi sekolah jalan kaki, mungkin parents dia tak ada duit nak sewa van sekolah nak hantar pergi balik dia ke sekolah. Tak jumpa kat kantin, mungkin dia tak ada duit belanja nak makan kat kantin sekolah. Mungkin dan mungkin.. Mungkin sebab tu juga, aku rasa kesian dan tumpangkan dia bila tiap-tiap hari nampak dia berjalan kaki ke sekolah pagi-pagi buta macam tu. Dah la jauh. Macam mana aku boleh perasan pakaian dia? Yaa.. jalan yang aku lalui tu cukup diterangi cahaya fajar yang sedang meninggi. Samar-samar dengan cahaya lampu motor aku yang menyuluh dia setiap kali dier menunggu aku di tepi jalan. Lagi pula setiap kali sampai di rumah warden asrama, kegelapan pagi sudah pun beransur terang dan aku sangat yakin apa yang aku nampak.

Sampai ke hari ni pun aku masih lagi cam muka dia kalau aku terjumpa dia.. kalau lah.. dah lebih 25 tahun pun berlalu, aku langsung tak pernah terserempak dengan dia sejak hari tu apatah lagi mendengar khabar berita dari dia. Untuk pengetahuan korang, jujur aku cakap.. dia memang seorang yang sangat lawa.. mempunyai raut wajah dan tutur kata yang lembut. Tinggi dia.. berat dia lebih kurang aku je.. Persahabatan aku dengan dia di atas motor tu cuma dalam tempoh kurang setahun tu jer.. Siapa dia?! ..dan kemana dia agaknya.. Ntah laa..

Sekian.

Akhir kata, aku nak minta maaf.. nama sekolah, nama aku dan rakan bukan nama sebenar.. lokasi pun tidak aku sebutkan.. tapi cerita aku ni bukan rekaan.. terima kasih kepada FS kalau sudi publish dan terima kasih jugak pada korang yang sudi membaca. Maaf sekali lagi sebab aku tak pandai menyusun cerita. Sebelum terlupa, jalan tu sekarang dah jadi jalan simpang masuk dari Highway. Dah jadi jalan yang sibuk pun sekarang. Lagi satu, jalan tu juga dah banyak berlaku kemalangan yang meragut jiwa, kereta terbalik la, kereta melayang la, lori terbalik menghempap kereta dilaluan sebelah laa, dan macam-macam lagi lah.. Mungkin disebabkan oleh pemandu yang suka meluncur laju dari highway setiap kali menyusuri simpang jalan disitu. Wallahu a’lam..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Melur Tzuyu

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 195 Average: 4.9]

2 thoughts on “KAWAN ATAS MOTOR”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.